|
Menyedihkan! Seekor anak ikan lumba-lumba mati angkara sekumpulan pelancong yang mengangkatnya dari dalam air semata-mata mahu berswafoto dengannya.
Foto: C5N
Haiwan kecil itu 'dibunuh' di pantai San Bernardo di selatan Buerno Aires di Argentina pada Ahad lalu, sambil dikerumuni pelancong lain yang cuba menyentuh dan merakam gambar haiwan itu.
Menurut portal Metro.uk, pelancong bergilir-gilir berswafoto dengan haiwan mamalia itu dan lebih mengejutkan, tiada siapa peduli dengan keadaan ikan itu yang semakin nazak.
Salah seorang pelancong yang berada di tempat kejadian, Claudia memberitahu C5N, orang ramai di sekitar tempat kejadian membiarkan ikan lumba-lumba itu mati begitu sahaja tanpa mengambil sebarang tindakan.
"Ikan itu masih kecil. Mereka boleh meletakkanya semula ke dalam air ketika ia masih bernafas.
"Malangnya orang ramai mula mengambil gambar dan menyentuhnya. Kemudian mereka kata ia sudah mati," katanya.
Video: Youtube
Ini adalah kali kedua dalam setahun ikan lumba-lumba mati di tangan pelancong yang 'terdesak' mahu berswafoto dengan haiwan itu.
Terdahulu pada Februari 2016, seekor anak ikan lumba-lumba mati dipercayai akibat dehidrasi selepas 'dipaksa' berswafoto bergilir-gilir dengan pengunjung yang kemudiannya membiarkannya terdampar di pantai.
Foto: UNILAD
Kejadian 'tidak berperasaan' itu juga berlaku di Argentina iaitu di Santa Teresita. - CARI |
|