|
KUALA LUMPUR: Akibat sakit perut berterusan, artis serba boleh, Ifa Raziah, terpaksa ditahan di Hospital Gleneagles di sini, petang semalam. Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha, 40, berkata selepas melalui beberapa ujian, doktor memberitahu beliau berdepan empat jenis penyakit iaitu bengkak hati, refluks gastroesofageal, hiatus hernia dan fibroid. "Saya mula mengalami sakit perut yang teruk sejak pulang dari Jakarta, Indonesia, baru-baru ini dan makan pun tidak menentu. Saya memang tidak menyangka sakitnya melarat. "Selepas menjalani beberapa ujian, doktor memberitahu saiz fibroid sudah sebesar kandungan bayi dua bulan sehingga menampakkan perut saya lebih besar. "Apapun, doktor menasihatkan saya agar menjalani pembedahan usus besar bagi merawat masalah hernia terlebih dulu, kemudian baru membuang ketulan fibroid," katanya yang dihubungi BH Online sebentar tadi. Tambah Ifa, doktor turut memberitahunya, masalah kolesterol tinggi, asid dalam perut, sembelit, kerap batuk dan obesiti antara punca terjadinya penyakit berkenaan. Bagaimanapun Ifa berkata, besar berkemungkinan beliau perlu memilih tarikh lain untuk menjalani pembedahan berkenaan memandangkan beberapa komitmen kerja yang perlu dilangsaikan. "Kalau hendak diikutkan, saya mempunyai beberapa komitmen kerja yang perlu diselesaikan. Tetapi, apabila perkara ini terjadi, saya perlu melakukan sedikit perubahan pada jadual kerja. "Tengok dulu macam mana, kalau boleh saya mahu pembedahan dijalankan pada tarikh lain. Tetapi jika doktor menasihatkan ia perlu dilakukan segera, maka saya akur," ujar Presiden Persatuan Bintang Dangdut Malaysia (PBDM) ini.
Selanjutnya di : http://www.bhplus.com.my/node/236917
|
|