Ramai betul artis tanah air yang melangsungkan majlis pernikahan dalam masa terdekat ini ya. Jika semalam merupakan majlis akad nikah bagi penyanyi Ainan Tasneem, hari adalah giliran penyanyi Farah Asyikin pula melangsungkan majlis pernikahannya.
Dengan sekali lafaz, Farah Asyikin Zulkifli, 37, sah menjadi isteri kepada pengurus sebuah syarikat minyak dan gas, Raja Iskandar Raja Muktharuddin, 51, kira-kira jam 11.57 pagi tadi. Majlis berkenaan dilangsungkan di Dewan Lavender, Pusat Komuniti Bukit Damansara yang dihadiri 500 tetamu.
Sumber foto: Berita Harian
Selain menerima mas kahwin RM80, Farah menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak pengantin lelaki manakala jumlah wang hantaran pula dirahsiakan.
Ia merupakan perkahwinan ketiga Farah, manakala yang kedua buat suaminya. Hasil perkahwinan keduanya, Farah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, manakala Raja Iskandar mempunyai tiga anak.
Sumber foto: IG Farah Asyikin
"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan. Saya mengenali suami sejak setahun lalu dan pada Mac lalu, dia melamar saya.
“Suami sempat mengenali arwah bapa yang meninggal dunia pada bulan dia melamar saya dan hubungan kami direstui keluarga. Arwah bapa dan keluarga begitu menyayanginya," katanya kepada Berita Harian.
Farah mengenali suaminya ketika terbabit dalam kerja amal bersama Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat (Permuafakaf), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dengan program kemanusiaan.
"Saya bersyukur dipertemukan dengannya. Dia banyak membantu saya untuk terus kekal istiqamah. Sebagai manusia biasa, saya tidak selalu sempurna, namun dia sentiasa membimbing saya untuk menjadi insan yang lebih baik.
"Saya akui agak gementar untuk kembali berumah tangga tetapi perasaan kali ini sangat berbeza. Pertemuan dengannya membuatkan saya berasa seperti kali pertama bernikah. Sifat penyayang dan bertanggungjawab suami membuatkan saya serta anak berasa selamat dan disayangi," katanya.
Semoga perkahwinan kali ketiga ini berkekalan hingga ke Jannah. - CARI |