Anda suka bermain dengan pewarna kuku dan menghias kuku anda dengan warna dan corak menarik? Macam mana kalau anda guna kreativiti anda untuk menghias kuku menggunakan coklat yang boleh dimakan?
Bagi anda yang gemar menggigit kuku pula, trend kecantikan tebaru ini akan membuat tabiat menggigit kuku anda menjadi semakin parah.
Pelukis kuku dari New Zealand, Jessie Mills telah mencipta kuku palsu diperbuat dari coklat yang boleh dimakan. Namun begitu, Jessie sendiri akui bahawa hiasan itu kelihatan 'menggelikan'.
Walaupun ramai netizen mempertikaikan kreativiti wanita itu, tontonan videonya yang dikongsi di akaun Instagramnya mencecah hampir 60 ribu pada masa artikel ditulis.
Jessie mendapat idea untuk menghasilkan hiasan kuku yang boleh dimakan it selepas mengambil bahagian dalam cabaran perhiasan kuku, 'The Polish Mountain Challenge'.
Apabila ditanya mengapa dia sanggup masukkan kukunya ke dalam mulut selepas dihias sehingga ia kelihatan sangat kotor, Jessie menjelaskan bahawa dia terfikir situasi bila mana kita menjilat jari selepas makan di KFC atau mengorek sisa makanan di celah gigi.
Sumber foto: IG Jessie Mills/NailedItNz
Jessie akui dia sudah lali dengan komen negatif netizen, malah kebiasaannya dia akan membaca komen tersebut bersama suaminya dan mereka hanya tertawa dengan komen yang dianggapnya lucu itu.
Hasil tutorial menghias kukunya, Jessie memiliki hampir 27 ribu pengikut di akaun Instagramnya, lebih 50 ribu pengikut di Youtube dan lebih 40 ribu pengikut di laman Facebook.
Bagaimana? Jika anda berminat, bolehlah tonton video tutorial Jessie. - CARI