Kisah yang dipaparkan menerusi akhbar Harian Metro semalam, mengenai seorang kanak-kanak 9 tahun, Siti Sirna Mohd Rashid yang hanya mendapat upah RM5 telah mendapat perhatian para netizen.
Menurut laporan tersebut, Siti Sirna terpaksa berkorban membantu meringankan beban ibunya, Rohana Md Isa, 46 dengan membantu jiran berniaga kuih dan perlu bangun seawal 3 pagi.
“Sehari (sepanjang cuti sekolah) dapat RM5 upah bantu jiran kupas kentang dan cuci peralatan memasak. Duit ini bolehlah bantu ibu dan keluarga,” ujar anak bongsu daripada lima beradik ini.
Sumber foto: Harian Metro
Kehidupan keluarga ini dikatakan hilang tempat bergantung selepas bapa Siti Sirna, Mohd Rashid Sharuddin meninggal dunia pada 2012.
Lebih menyanyat hati kerana mayatnya ditemui terapung di lombong di Puchong. Malah, keluarga ini masih tidak mampu membayar RM800 sebagai kos bedah siasat kematian tersebut.
Buat masa ini, keluarga ini turut bergantung kepada wang zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Saya tidak dapat bekerja kerana menjaga anak dan risau dengan keselamatan mereka.
“Ketika baru pindah di pangsapuri yang saya sewa RM124 sebulan ini, ada individu pernah bawa anak mengemis ke Subang. Mujur ada jiran yang bawa dia balik,” ujar ibu kepada Siti Sirna, Rohana.
Kisah keluarga ini sememangnya meruntun hati ramai netizen. Mereka juga mempertikaikan upah RM5 yang dianggap tidak berbaloi langsung itu.
Sumber foto: My Media Hub
Apa pun, mungkin ada antara kita yang menganggap RM5 tidak memberi apa-apa kesan baik kepada kanak-kanak ini dan keluarga, namun berbeza bagi mereka. Setiap yang diterima itu dianggap sebagai rezeki dan kurniaan.
Bagi anda yang ingin membantu, boleh salurkan ke akaun Maybank 1020 5458 4535. - CARI |