Sumber Foto: Berita Harian
Penyanyi Ainan Tasneem, 24 yang bakal mengahwini seorang jurutera, Mohamad Ariffudin Mohammad Swaimi pada 6 Januari ini mengakui yang dia belum lagi merasai debarannya.
"Ketika ini, saya masih lagi sibuk dengan pengajian selain jadual harian yang sentiasa padat. Mungkin kerana itu, saya tidak begitu merasai debaran untuk menaiki jenjang pelamin. Entahlah, mungkin terlalu awal untuk saya merasakannya kerana masih ada beberapa minggu lagi sebelum saya menamatkan zaman gadis," katanya kepada Berita Harian Online.
Buat masa ini dia sibuk memenuhi undangan nyanyian selain melunaskan tanggungjawab sebagai penuntut semester akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuteraan BioProses di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Ainan dan pasangannya akan disatukan dalam majlis pernikahan secara tertutup di Shah Alam dan majlis resepsi pula akan diadakan pada 7 Januari ini di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam.
Sumber Foto: Twitter Ainan Tasneem
Pelantun lagu Aku Suka Dia menyatakan yang dia nekad untuk berhenti menyanyi selepas berkahwin.
"Saya sudah nekad untuk berhenti menyanyi, tetapi tidak akan menolak jika menerima tawaran pengacaraan. Seandainya diberi peluang, saya masih berminat untuk menghasilkan lagu tetapi tidak akan sesekali kembali menyanyi," katanya.
Empunya badan sudah buat keputusan, peminat di luar sana jangan kecewa pula ya. -CARI |