Sebak, terharu membaca kisah yang dikongsikan seorang netizen melalui akaun Facebook Info Ibu Hamil.
Menurut netizen tersebut, dia terlihat seorang lelaki tua bersama seorang budak lelaki berusia lebih kurang 4 tahun di sebuah warung.
Lelaki itu kelihatan dalam keadaan sangat daif dengan kaki dan tangan hitam berminyak serta pakaian dan kasutnya yang lusuh. Tak jauh bezanya dengan budak itu di mana dia terlihat sangat kurus dan terketar-ketar mungkin kerana kelaparan.
Ketika si ayah memegang pinggan berisi nasi putih bersama anaknya memerhati lauk-pauk yang disediakan di dalam 'tray' makanan, keadaan dua beranak itu mengundang simpati pelanggan di warung itu, malah ada juga yang memandang hina kepada mereka.
Sebak melihat dua beranak itu hanya makan nasi putih dengan kuah kosong tanpa lauk, netizen itu meminta pembantu kedai untuk menghantar sepinggan nasi putih berserta sedikit lauk kepada dua beranak itu.
Sekali lagi, tersentuh jiwa netizen itu melihat lelaki tua itu mengalirkan air mata sambil menggosok-gosok dan mencium kepala anak yang sedang makan.
"Ya Allah lagi la sebak dada tengok lelaki tu menangis sambil peluk anak dia. Bagi saya air mata lelaki kalau gugur membasahi pipi adalah air mata yang sangat2 jujur.
"Bersyukurlah dengan apa yang kita ada sebab bukan semua orang dapat rasa nikmat kesenangan. Ingat, jika kita susah, ada lagi insan lain yang jauh lebih susah dari kita," katanya.
Kisah yang dikongsi netizen itu mendapat hampir 3000 perkongsian di laman Facebook pada masa artikel ditulis.
Rata-rata netizen yang membaca kisah itu turut bersimpati atas nasib dua beranak itu.
Semoga kedua-dua lelaki tua dan budak lelaki itu dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusannya di dunia. - CARI |