Ekoran isu Sarah pitam di belakang pentas usai membuat persembahan di konsert GegarVaganza 3 (GV 3) minggu keempat lalu, segelintir pihak membuat spekulasi dia disihir orang.
Sumber foto: Astro Gempak
Walau bagaimanapun, Siti Sarah, 32, menafikan dia terkena buatan orang, sebaliknya mengakui punca kejadian adalah disebabkan keadaan badannya yang lemah dan kekurangan tenaga.
"Tidak ada kena-mengena dengan perkara mistik. Apa yang disebarkan itu hanya cakap-cakap orang. Kalau nak tahu, ia berpunca daripada sikap saya yang lalai. Disebabkan terlalu sibuk, saya terlupa nak makan.
"ersembahan lagu duet bersama Rahmat Mega menerusi lagu Bunga Angkasa memerlukan tenaga yang banyak ditambah lagu itu bernada tinggi. Mungkin disebabkan saya berhabis dalam menyampaikan lagu itu menyebabkan saya pengsan," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Sarah, dia lebih risaukan sekiranya kehilangan suara berbanding jika terkena buatan orang.
"Saya percaya perkara sebegitu memang wujud tetapi dalam pertandingan ini saya tak yakin ada yang sanggup berbuat sedemikian. Apa pun yang orang perkatakan saya tak nak ambil serius kerana apa yang lebih penting adalah suara saya," katanya.
Dalam masa sama, Datuk Ramli MS menyifatkan tuduhan segelintir pihak mengenai isu sihir itu adalah mengarut.
Sumber foto: Carian Internet
"Jangan terlalu cepat nak mendengar atau percaya apa kata orang. Sebaiknya tanya terus kepada empunya diri. Seperti kes Sarah, apa saya boleh katakan dia kekurangan tenaga ketika menyampaikan lagu itu.
"Kalau nak tahu lagu itu susunan muziknya besar dan dia menyanyi sehingga nada yang paling maksimum. Ditambah dengan kondisi tubuhnya yang lemah menjadikan dia tidak mampu bertahan lama. Jadi tak mustahil dia boleh pengsan," katanya.
Mengapa ya, orang cepat membuat andaian seseorang itu terkena buatan orang apabila sesuatu yang buruk berlaku seseorang? - CARI