Kebiasaannya kita pergi melancong atau berurusan rasmi di luar negara, barulah menaiki kapal terbang kerana perjalanan jauh.
Namun, bertempat di barat daya Republik Czech terdapat seorang lelaki bernama Frantisek Hadrava dari Kampung Zdikov dikatakan tidak tahan 'penat' ketika memandu kereta, bertindak mencipta kapal terbang sendiri untuk ke tempat kerja.
Menurut laporan Portal Oddity Central, hasil tindakan itu, tempoh perjalanan dapat dipendekkan sehingga tujuh minit berbanding memandu selama 14 minit untuk ke tempat kerja di sebuah kilang kecil di Drevostroj di bandar Ckyne.
Difahamkan pesawat ciptaannya itu merupakan pesawat ringan berasaskan model kapal terbang Mini-Max, sebuah pesawat Amerika Syarikat (AS), sejak dua tahun lalu.
sumber foto: http://img.ltn.com.tw/
Jelasnya, empat lot parkir kereta diperlukan untuk meletakkan kapal terbang miliknya yang dinamakan Vampira itu.
Vampira seberat 175 kilogram yang dikuasakan dengan sebuah enjin tiga silinder, menggunakan enam liter minyak petrol bagi penerbangan selama sejam dan pesawat itu mampu mencapai kelajuan maksimum 91 kilometer sejam.
Menariknya, Hadrava hanya membelanjakan sebanyak 100,000 Czech Coruna (RM16,956) bagi membangunkan Vampira.
Lelaki itu memberitahu mula jatuh cinta dengan kapal terbang ketika berusia 10 tahun selepas menonton sebuah dokumentari mengenai pesawat lama.- CARI