KUALA LUMPUR ― Scorpions, kumpulan rock legenda Jerman, yang popular di Malaysia akan mengadakan konsert di negara ini pada hujung Oktober.
Bagaimanapun kumpulan itu belum menetapkan lokasi tepat di sini dalam senarai konsert kembaranya sempena ulang tahun ke-50 penubuhan mereka.
Perkara itu diumumkan melalui Facebook rasmi mereka beberapa hari lalu, “Scorpions akan mengadakan konsert kembara dunia 2016 di Malaysia”, lapor ProjekMMO.
Kumpulan rock itu, paling berjaya di Eropah, dianggotai Klaus Meine (vokal), Rudolf Schenker (gitar), Matthias Jabs (gitar), James Kottak (dram) dan Paweł Mąciwoda (bes).
Scorpions menghasilkan 18 album studio, 27 album kompilasi dan 74 single. Enam daripada single ini menduduki tangga pertama dalam carta di beberapa negara.
Lagu popular mereka termasuklah “Winds of Change”, daripada album paling laris Crazy World (1990).
Album-album yang meletup sebelum itu, Animal Magnetism (1980), Blackout (1982), Love at First Sting (1984), World Wide Live (1985) and Savage Amusement (1988).
Walau butiran lokasi tepat dan harga tiket belum diumumkan secara rasmi, konsert itu disahkan bakal berlangsung pada hari Sabtu, 29 Oktober 2016 di sini.
Scorpions turut dijadualkan mengadakan konsert di Taipei, Taiwan (3 Oktober), Saitama, Jepun (8 dan 9 Oktober) dan Melbourne, Australia (18 Oktober).
Kumpulan ini pernah mengadakan tiga konsert di Kuala Lumpur. Yang terakhir, Scorpions Unbreakable Live in Malaysia pada 2004 disambut 10,000 peminat.