Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu balistik ke arah Laut Jepun dan disifatkan sebagai tindak balas terhadap rancangan pelaksanaan sistem pertahanan peluru berpandu Amerika Syarikat (AS).
Peluru berpandu itu dilancarkan dari bandar Unyul pada jam 7.50 pagi waktu tempatan.
Ujian tersebut adalah lanjutan daripada pelancaran tiga peluru berpandu balistik pada 19 Julai lalu yang dianggap sebagai simulasi serangan nuklear terhadap Korea Selatan.
Pyongyang telah melaksanakan siri ujian peluru berpandu sepanjang tahun ini sebagai tindak balas terhadap sekatan ketat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Resolusi PBB melarang Korea Utara daripada membangunkan teknologi peluru berpandu balistik.
Pyongyang sebelum ini berulang kali memberi amaran serangan nuklear ke atas Korea Selatan dan AS.
Hubungan antara dua negara Korea itu antara lain menjadi lebih tegang berikutan keputusan Washington yang menyasarkan pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un dengan mengenakan sekatan berkaitan pencabulan hak asasi manusia.