Oleh Izzah Abbasy
Lemang merupakan makanan warisan tradisional nenek moyang yang tidak akan dilupakan dan akan menjadi makanan atau hidangan wajib pada setiap perayaan.
Di Malaysia, lemang telahpun direkodkan sebagai hidangan istimewa sejak 1864 lagi.
Ramai yang gemar makan lemang ini berbanding membuatnya kerana prosesnya agak sukar dan susah untuk mencari buluh.
Lemang diperbuat daripada beras pulut dan santan yang dimasukkan ke dalam ruas buluh yang dilapik dengan daun pisang, sebelum dibakar sehingga masak.
Kaedah memasak menggunakan buluh merupakan kaedah kaum asli memasak di Malaysia.
Tapi, kini anda tidak perlu susah-susah untuk membuat lemang kerana ada cara mudah dan dikenali sebagai lemang segera. Selepas ini mudahlah untuk makan lemang, boleh buat sendiri. namun, penulis tidak pasti pula rasa lemang tanpa menggunakan buluh ini.
Resepi lemang dikongsikan oleh Hamidah M. Ibrahim di laman Facebook miliknya.
Cara-cara penyediaan lemang tanpa buluh :
1) Tanak pulut susu bersama santan asli dan sedikit garam.
2) Matikan api bila santan dah kering dan pulut masih separuh masak.
3) Dapatkan 2 jenis daun pisang, yang pucuk muda dan yang tua.
4) Balut pulut dengan pucuk muda dahulu dalam keadaan daun melintang.
5) Di bahagian luar balut seperti biasa seperti kuih lopeh.
6) Kukus 30-40 minit
7) Bila masak, grill sebentar hingga garing bahagian luar daun.
8) Buang daun balut sebelah luar dan tinggalkan bahagian daun muda.
9) Lemang dah pun siap! Bolehlah potong seperti lemang biasa.
Selamat mencuba! Kalau sudah cuba, jangan lupa kongsikan di CARI ya.
Sumber : Resepi Sedap
Kredit : Facebook Hamidah M. Ibrahim
|