oleh Adib ZA
"Ini nak jual kopi ke atau berperang?" Mungkin itulah yang terpacul di mulut ramai orang yang terserempak dengan kenderaan yang mempromosikan syarikat kopi Zawara.
Memang menimbulkan tanya tanya, namun nampaknya ia telah berjaya menarik perhatian sekaligus membuatkan ramai mula tertarik dengan jenama Zawara Coffee.
Sebuah kenderaan yang mirip kenderaan perisai milik Angkatan Tentera Malaysia itu turut dipasang dengan dua pelancar roket tiruan. Memang betul-betul nak berperang 'promosi'!
Bagaimanapun, memetik laporan Berita Harian hari ini, pihak polis telah menahan dua orang lelaki yang didapati memandu kenderaan itu di Jalan Semarak Api, Cyberjaya.
Dalam kejadian 11.30 pagi itu, polis yang sedang membuat rondaan telah menahan kenderaan terbabit selepas mendapat aduan orang awam bagi tujuan pemeriksaan, kata Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali.
"Hasil siasatan mendapati dua lelaki berkenaan menjual kopi dan kenderaan itu diubah suai sebagai 'food truck' bagi menjual minuman itu.
"Kenderaan itu bukanlah kenderaan tentera sebenar dan pelancar roket itu juga adalah palsu," ujar Abdul Aziz kepada Berita Harian.
Rasanya tiada salah menghias 'foodtruck' untuk tujuan promosi dan juga menarik perhatian pelanggan. Namun, tindakan pemasaran sehingga meniru reka bentuk kenderaan tentera bukanlah cara yang betul.
Apa pula pendapat anda? Setuju atau tidak dengan cara pemasaran provokatif begini? - CARI
Sumber: Berita Harian
Sumber foto: Berita Harian/ Siakapkeli
|