Menurut badan penyiaran HaberTurk yang memetik kenyataan Menteri Kehakiman,Bekir Bozdag, sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh manakala 147 yang lain cedera dalam tiga serangan pengebom nekad di Lapangan Terbang Ataturk di Istanbul, Turki.
Menurut gabenor wilayah dan saksi, tiga pengebom nekad melepaskan tembakan dan meletupkan bom yang dibawa mereka dalam lapangan terbang antarabangsa utama di Istanbul itu.
Penyerang mula menembak pengawal lapangan terbang di pintu masuk terminal sebelum meletupkan bom yang dibawa mereka kira-kira jam 10.00 malam waktu tempatan.
Agensi berita Dogan pula melaporkan, penyerang membunuh sekurang-kurangnya 32 orang, termasuk dua pegawai polis, dan mencederakan 88 yang lain.
Presiden Recep Tayyip Erdogan menggesa kerjasama antarabangsa memerangi keganasan selepas serangan itu, pengeboman maut keempat di Istanbul tahun ini.
Tiada pihak mendakwa bertanggungjawab melancarkan serangan yang menyebabkan semua penerbangan dari lapangan terbang paling sibuk di Turki itu digantung.
Bagaimanapun, seorang pegawai kanan kerajaan berkata, petunjuk awal menunjukkan ia didalangi militan IS.- CARI