PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan kes baharu tertinggi penularan COVID-19 iaitu sebanyak 33,209 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah yang dikesan semalam itu membabitkan 32,768 kes penularan tempatan dengan 441 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Memperincikan mengenai kes baharu itu, Dr Noor Hisham, berkata kategori paling tinggi yang dicatatkan adalah pesakit kategori dua iaitu sebanyak 20,071 kes atau 60.44 peratus.
"Ia diikuti kategori satu dengan 12,935 kes (38.95 peratus), kategori tiga (98 kes), kategori lima (53 kes) dan kategori empat (52 kes)," katanya dalam kenyataan hari ini.