|
(Gambar fail) Salah satu cawangan Maybank di Kuala Lumpur. - Foto: Samsul Said/Bloomberg
KUALA LUMPUR: Sebahagian besar keuntungan yang diraih bank akan dipulangkan sebagai dividen kepada pemegang saham yang terdiri daripada institusi pelaburan tempatan dan tanggapan umum bahawa bank enggan melaksanakan moratorium menyeluruh untuk membuat untung dan menyimpannya sendiri adalah tidak tepat, demikian mengikut dua bank utama negara.
Malayan Banking Bhd (Maybank), kumpulan perbankan terbesar di Malaysia dari segi permodalan pasaran dan jumlah aset, berkata kebanyakan pemegang saham bank adalah pelbagai syarikat pengurus dana dan pengurus dana persaraan seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP.
Ia berkata, pemegang saham lain juga adalah orang awam iaitu rakyat jelata.
"Justeru, sebarang penurunan perolehan bermakna pemegang saham ini akan menerima pulangan yang berkurangan untuk pelaburan mereka," katanya kepada BH bagi mengulas mengenai tanggapan bahawa bank membuat untung dan menyimpan untuknya sendiri.
Maybank menjelaskan, bank mencatatkan keuntungan, namun sebahagian besar pendapatan mereka lebih rendah berbanding sebelum ini berikutan peruntukan untuk hutang yang belum dibayar meningkat.
Ia berkata, pelaksanaan moratorium 'blanket' secara berterusan akan menyebabkan peruntukan meningkat dan seterusnya akan mengurangkan pendapatan bank, sekali gus memberi kesan negatif kepada pertumbuhan modal, yang mana ia diperlukan oleh bank untuk meneruskan aktiviti pinjaman mereka.
Malah, jelasnya, langkah itu juga mempunyai impak negatif terhadap industri perbankan dan ekonomi untuk jangka panjang kerana ia akan mengikis paras modal dan kecairan bank dan seterusnya mengurangkan kemampuan bank untuk memberi pinjaman.
"Justeru, bank perlu mengekalkan tahap modal dan kecairan yang mencukupi di bawah piawaian tempatan dan antarabangsa, yang bertujuan untuk melindungi pendeposit bank," katanya.
Selain itu, Maybank berkata, dalam situasi pandemik sekarang, bank harus memperuntukkan modal tambahan untuk situasi tekanan supaya ia dapat kekal untung.
Sebagai perbandingan dengan moratorium 'blanket' (yang diberikan kepada semua termasuk mereka yang mampu membuat pembayaran balik), Bantuan Pembayaran Balik Bersasar akan membolehkan kami memberi bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
"Keuntungan yang kemudian disimpan oleh bank dapat disalurkan untuk menyokong ekonomi dalam bentuk kredit untuk rakyat dan perniagaan. Ini sangat penting untuk memastikan kesejahteraan rakyat berterusan," katanya.
Sesungguhnya, Maybank menegaskan, bank sentiasa bersedia untuk membantu pelanggan yang terkesan oleh pandemik dan secara proaktif berhubung dengan pelanggan dan menyediakan saluran yang mudah untuk mereka memohon bantuan.
Sementara itu, CIMB Group juga menjelaskan pendeposit dan pemegang saham bank kebanyakannya adalah pelabur institusi, yang menguruskan dana bagi pihak penyumbang atau orang ramai, seperti PNB, KWSP dan KWAP.
Justeru, katanya, adalah perlu bagi bank kekal untung untuk memberikan pulangan, yang mana pulangan untuk kebaikan dan manfaat rakyat.
"Bank kekal mencatatkan untung pada 2020, namun ia lebih rendah berbanding tahun sebelumnya berikutan persekitaran ekonomi dan pasaran mencabar yang belum pernah berlaku sebelum ini.
"Sektor perbankan adalah industri penting dan dianggap penting secara sistematik untuk ekonomi yang lebih luas. Oleh itu, adalah penting agar bank kekal untung dan berdaya tahan dalam tempoh ini," katanya.
Sumber : BeritaHarian
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|