Kuota khas 24,570 pekerja asing hanya untuk sektor perladangan - Johari
[size=14.399999618530273px]Johari (tujuh kiri) bersama Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Indera Hermono (lapan kiri) pada perasmian Sambal Bakar on Fire di Ukay Height. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
[size=14.399999618530273px]
KUALA LUMPUR: Kelulusan kuota khas kepada 24,570 pekerja asing untuk bekerja di negara ini hanya membabitkan sektor perladangan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Beliau berkata berkata kuota khas itu bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan ketika ini. "Kuota khas tidak membabitkan sektor lain seperti pembuatan dan perkhidmatan yang masih kekal dibekukan buat masa ini. "Jumlah 24,570 itu adalah kuota yang kita dapati kurang dan untuk kita bantu industri yang terbabit dalam perladangan khususnya kelapa sawit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Restoran Sambal Bakar on Fire yang pertama di Malaysia, di sini, hari ini. Johari berkata, kuota khas berkenaan terbuka kepada pekerja asing dari mana-mana negara sumber termasuk Indonesia yang dikenal pasti mempunyai ramai tenaga kerja berpengalaman dalam sektor perladangan.
"Bagaimanapun, pemain industri kelapa sawit Malaysia dinasihatkan untuk mematuhi peraturan telah ditetapkan oleh kerajaan menerusi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) termasuk menyediakan tempat tinggal yang sesuai dan memenuhi keperluan Kementerian Sumber Manusia. "Proses pengambilan pekerja asing hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat kelulusan kementerian dan dalam konteks hubungan dengan Indonesia, kerajaan menyatakan komitmen untuk menghormati peraturan yang ditetapkan oleh negara berkenaan," katanya.
Katanya, sebarang usaha membawa masuk pekerja secara tidak sah adalah melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar peraturan. Sementara itu, mengulas mengenai isu 100,000 pembantu rumah Indonesia yang bekerja secara haram di Malaysia, Johari berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menjalankan Program Rekalibrasi untuk menyelesaikan masalah terbabit. Katanya, kerajaan turut mengingatkan kerjasama dua hala perlu berdasarkan saling menghormati dan mematuhi peraturan kedua-dua negara.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1327798/kuota-khas-24570-pekerja-asing-hanya-untuk-sektor-perladangan-johari
|