KUALA LUMPUR: Malaysia mengalu-alukan penganjuran Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) ke-26 di Kigali, Republik Rwanda pada Jun depan.
Perkara itu dinyatakan Malaysia sempena sambutan Hari Komanwel hari ini.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini, berkata ketika sidang kemuncak itu, Ketua-ketua Kerajaan dijangka akan membincangkan isu kepentingan bersama berkaitan pemulihan ekonomi pasca pandemik, akses kepada bekalan vaksin COVID-19 secara adil, selamat dan berpatutan, isu alam sekitar dan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan 2030.
"Tema Hari Komanwel 2022 adalah seiring dengan tema Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2022 iaitu 'Delivering a Common Future: Connecting, Innovating, Transforming.
"Ia berhasrat untuk mentransformasikan seluruh Komanwel menjadi masyarakat yang bertunjangkan nilai demokrasi, multilateralisme dan pembangunan mampan," kata kenyataan itu.
Malaysia dan 53 negara anggota Komanwel yang lain menyambut Hari Komanwel setiap tahun pada Isnin minggu kedua Mac bagi meraikan jalinan persamaan, ikatan persahabatan dan sumbangan Komanwel dalam mewujudkan keamanan dan keharmonian.
Komanwel ditubuhkan pada 1949 dan Malaysia menjadi negara anggota pada 1957.
"Sebagai ahli Komanwel, Malaysia telah menganjurkan CHOGM Ke-11 pada 1989.
"Pada sidang Kemuncak itu, Ketua-ketua Kerajaan telah memperakui Langkawi Declaration on the Environment.
"Dokumen itu menyeru agar negara anggota mengukuhkan kerjasama dalam menangani isu alam sekitar," kata kenyataan itu.