|
Iluminasi Muzik nadi AJL23
TAHUN ini menyaksikan acara anugerah paling berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL) sudah pun memasuki tahun ke-23.
Jika diukur dari segi usianya, ia sudah boleh dianggap sebagai matang dalam mempersembahkan sesuatu yang cukup unik buat tatapan penonton setia AJL.
Malah, kita mampu melihat bagaimana 22 buah lagu yang telah dijulang sebagai Juara Lagu memberikan impak yang besar kepada industri dan juga kerjaya seni artis itu sendiri.
Bermula dengan lagu Sekadar Di Pinggiran pada tahun 1986 dan tahun lalu, ia menjadi milik Itu Kamu, membuktikan evolusi muzik berkembang dengan begitu pesat lantas memberi ruang kepada komposer dan penulis lirik tempatan menghasilkan karya yang terbaik.
Meskipun beberapa tahun kebelakangan ini, industri muzik begitu suram dengan masalah yang tiada kesudahan, namun, muzik tetap hidup dalam kehidupan seharian kita.
Untuk itu, AJL telah mengambil inisiatif untuk terus menghidupkan muzik dengan cahaya gemilang menerusi tema Iluminasi Muzik yang dijadikan tema pada tahun ini.
Berbicara dengan penerbit AJL23, Roslina Abd. Rahman atau lebih mesra disapa Ayong baru-baru ini, Iluminasi Muzik diangkat sebagai tema adalah untuk membuktikan sinar cahaya industri muzik masih lagi ada meskipun, kini, ia tidak secerah dan segemilang satu ketika dulu.
"Selain itu, Iluminasi Muzik juga sebagai lambang kebangkitan artis-artis baru yang bertanding dalam AJL tahun ini kerana mereka merupakan pelapis untuk menyinari industri muzik tanah air di masa hadapan," katanya.
Bercerita lanjut tentang konsep Iluminasi Muzik tahun ini, Ayong menjelaskan, permainan cahaya akan memainkan peranan penting sewaktu mengiringi persembahan artis yang bertanding pada malam itu nanti.
"Kami juga banyak bekerjasama dengan artis dalam aspek konsep persembahan masing-masing.
"Warna dan cahaya amat penting untuk menghidupkan lagi perjalanan persembahan artis itu sendiri.
"Ini menjadikan tema tahun ini yang saya sifatkan lebih meriah dan juga mahu membuktikan bahawa sinar muzik tempatan masih lagi ada serta mendapat tempat di hati peminat.
"Apa yang saya harapkan agar malam itu nanti akan dapat memberi gambaran kepada penonton tentang maksud Iluminasi Muzik itu sendiri," ujarnya lagi.
Selain itu juga, tambah Ayong lagi, pentas AJL23 juga memberikan satu kelainan pada tahun ini apabila set rekaan pentas dibina dengan mengambil ukuran 180 darjah untuk memberi peluang kepada kamera bergerak dalam memberikan gambaran terbaik kepada penonton di rumah.
"Bukan itu sahaja, pentas juga akan dihiasi dengan skrin LED yang turut memainkan peranan penting dalam setiap persembahan artis.
"Selain diadun dengan permainan lampu dan cahaya, grafik juga akan ditonjolkan mengikut lagu seperti mana yang dikehendaki artis," jelasnya lagi.
Seperti tahun-tahun sudah, maestro muzik terkenal, Ramli M.S masih lagi diberi tanggungjawab dan kepercayaan sebagai pengarah muzik AJL23 yang akan diiringi muzik orkestra.
Mengenai persembahan pembukaan oleh juara Gang Starz musim kedua, One Nation Emcees pula, Ayong memberitahu, konsep persembahan itu kelak akan menyaksikan lagu-lagu yang pernah dipertandingkan dalam sejarah AJL akan diberi nafas baru menerusi susunan muziknya oleh Damien Seet.
Begitu juga dengan persembahan interlud yang menyaksikan gandingan tiga penyanyi ternama iaitu Jamal Abdillah, M. Nasir dan Jaclyn Victor yang akan diiringi oleh muzik yang telah digubah oleh Ramli.
Sebelum ini, nama Datuk Siti Nurhaliza dikatakan menjadi pilihan untuk persembahan berkenaan namun, atas sebab terikat dengan komitmen lain, maka, Jaclyn yang dipilih.
"Simboliknya persembahan ini adalah ketiga-tiga penyanyi yang kami tampilkan ini mempunyai sejarah tersendiri dalam AJL dan mereka ini juga sebenarnya, sinar dan nadi industri muzik tempatan," katanya sudah 13 tahun berkhidmat dengan TV3.
Mengendalikan acara sebesar AJL untuk kali pertama, ternyata memberikan cabaran yang cukup besar buat wanita ini.
Namun, dengan pertolongan semua pihak dan krew yang terlibat terutama sekali bantuan daripada Penerbit Eksekutif AJL23, Mohamad Suffian Isa menjadikan semua yang dirancang berjalan lancar.
"Apa yang saya harapkan peminat di Stadium Putra dan juga dirumah akan terhibur dengan apa yang kami persembahkan dan teruskanlah menyokong industri muzik tempatan," katanya.
|
|