|
|
Hajiji hadir majlis sambutan Ambang Ramadan 2026
Februari 16, 2026, Isnin - 7:45pm

HADIR: Hajiji disambut mesra semasa tiba di majlis itu
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hadir majlis sambutan Ambang Ramadan 2026 ‘di Dewan Seri Sulaman di sini pada Ahad.
Turut hadir isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md Shamsureezal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya yang juga Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB).
Antara pengisian sempena Ambang Ramadan itu ialah ceramah oleh Ustaz Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, juara Imam Muda musim pertama dan penceramah jemputan khas dari Indonesia, Ustazah Dr Hajah Oki Setiana Dewi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ramadan Jazz, gabungkan seni muzik dan dakwah akan diadakan pada 14 Mac
Februari 16, 2026, Isnin - 9:14pm

RAMADAN JAZZ: Sapawi (dua kanan), Jamawi (tiga kiri), Afendi (dua kiri) bersama kepemimpinan USIA ketika menghadiri mesyuarat penyelarasan program itu di SICC semalam.
KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dengan kerjasama beberapa jabatan serta agensi negeri dan Persekutuan, akan menganjurkan program Ramadan Jazz di Kompleks Sukan Likas, di sini pada 14 Mac depan.
Ia adalah sebagai kesinambungan program seumpamanya yang diadakan di Sandakan pada 2024 yang mendapat sambutan sangat menggalakkan.
Antara yang terlibat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Majlis Agama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) dan Tabung Haji.
Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad, berkata program berkenaan mengangkat pendekatan dakwah kontemporari melalui gabungan muzik, tazkirah dan aktiviti kebajikan.
Katanya, Ramadan Jazz membawa pembaharuan dengan pendekatan santai melalui seni muzik dan pengisiannya meliputi aspek kerohanian.
"Program ini ada kekuatan tersendiri dalam proses membangunkan masyarakat MADANI, iaitu memupuk hubungan akrab, kasih sayang, ihsan, semangat bekerjasama di kalangan belia.
"Kita menggunakan pendekatan di lapangan terbuka, menggabungkan seni muzik dan dakwah yang diterjemahkan dalam satu program," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini semalam.
Sapawi berkata sempena program itu, pelbagai acara diadakan seperti pengagihan bubur lambuk, ceramah agama, semarak subuh menyantuni kumpulan asnaf, serta program ziarah ke hospital," katanya.
Menurutnya, program yang berlangsung dari jam 4 petang hingga 9.30 malam itu dijangka dihadiri lebih 1,500 orang.

SIAP: Program Ramadan Jazz dijadual pada 14 Mac depan.
Ia digerakkan oleh Belia USIA di bawah pimpinan Ketua Belia USIA merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.
Sapawi turut menjelaskan bahawa program itu juga menjadi platform berkesan mendekati golongan belia serta masyarakat umum dalam suasana Ramadan yang lebih inklusif.
Katanya, ia mengambil kira sambutan program Ramadan Jazz sebelum ini di Sandakan yang membuktikan kaedah dakwah di ruang terbuka mampu menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk bukan Islam dan pelancong.
Program Ziarah Ramadan ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) pada 15 Mac dijangka dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan.
Dalam pada itu, Sapawi berkata sebahagian artis yang menjayakan program Ramadan Jazz ini didatangkan dari Semenanjung, manakala sebahagian lagi adalah artis tempatan.
Manakala pada acara kemuncaknya diadakan cabutan pengunjung bertuah, dengan menawarkan pelbagai hadiah, termasuk tiket mengerjakan umrah.
Pada 24 Mac 2024, program Ramadan Jazz The Elopura diadakan di Sandakan dan mendapat sambutan sangat memberangsangkan.
Program itu antaranya diisi dengan solat subuh berjemaah, tazkirah dan persembahan muzik jazz, merupakan Inovasi baharu dalam usaha memupuk nilai murni masyarakat.
Program itu turut diserikan dengan persembahan lagu-lagu dakwah daripada Fiq Mentor, Dagnie dan Afad (Raihan).
Pengusaha The Elopura Hotel Sandakan, Datuk Md Afendi Hamdan, menjadi penggerak utama program berkenaan bersama USIA.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tahun Kuda bawa inspirasi tenaga, keazaman dan keberanian: Musa
Februari 16, 2026, Isnin - 9:30pm


MUSA
KOTA KINABALU: Sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina 2026 yang juga bersamaan dengan Tahun Kuda, rakyat diseru untuk mengambil inspirasi daripada sifat-sifat mulia yang dikaitkan dengan haiwan gagah berkenaan.
Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman berkata, kuda melambangkan kekuatan, daya tahan, ketekunan dan semangat yang tidak mudah mengalah.
Katanya, ia juga mencerminkan tenaga, keazaman serta keberanian untuk melangkah maju dengan penuh keyakinan.
"Semoga kita dapat mencontohi nilai-nilai ini dalam kehidupan seharian bekerja dengan tekun, tabah menghadapi cabaran, dan terus berusaha mencapai kecemerlangan serta kemajuan.
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghoa di Sabah dan di seluruh Malaysia.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita wajar berasa bangga dengan pencapaian besar yang diraih sejak kemerdekaan, kejayaan yang terhasil daripada komitmen, ketabahan dan perpaduan rakyat daripada pelbagai latar belakang," katanya dalam perutusan sempena Tahun baharu Cina 2026 hari ini.
Menurutnya, walaupun berbeza, terdapat lebih banyak persamaan yang menyatukan rakyat. Nilai-nilai bersama iitulah yang terus mengukuhkan ikatan, memelihara keharmonian dan menjadi asas kepada kemajuan bersama.
"Saya menantikan peluang untuk bertemu dan menyampaikan ucapan perayaan di rumah-rumah terbuka yang diadakan sempena sambutan ini.
"Amalan kunjung-mengunjung ketika musim perayaan telah menjadi budaya yang indah dalam kalangan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama.
"Tradisi ini mencerminkan semangat sebenar negara kita sebuah negara yang rakyatnya hidup dalam suasana saling menghormati dan memahami antara satu sama lain," katanya.
Beliau berkata, di bumi yang bertuah ini, setiap rakyat bebas mengamalkan tradisi dan kepercayaan masing-masing.
Justeru, beliau menyeru rakyat agar terus memupuk muhibah, menghargai kepelbagaian, serta menyelesaikan perbezaan dengan kebijaksanaan dan semangat persefahaman.
"Semoga Sabah dan rakyatnya terus maju dan makmur demi kesejahteraan negeri serta generasi akan datang.
"Kepelbagaian kaum, budaya dan agama merupakan kekuatan terbesar kita.
"Bersama-samalah kita berdiri teguh dalam solidariti dan melangkah ke hadapan sebagai satu bangsa dengan kekuatan, ketahanan dan semangat maju seperti kuda demi kemajuan Sabah," katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
KMC Anthony seru diperkukuh perpaduan sempena Tahun Baharu Cina 2026
Februari 16, 2026, Isnin - 9:34pm

ANTHONY
KENINGAU: Ketua Masyarakat Cina (KMC) Keningau, Kapitan Anthony Chong Kong Ming menyeru seluruh masyarakat agar menjadikan sambutan Tahun Baharu Cina 2026 sebagai titik memperbaharui tekad, memperkukuh perpaduan dan memperkasa kerjasama antara kaum.
Dalam perutusan rasminya, beliau yang juga Presiden Persatuan Hakka Keningau serta Pengerusi Persatuan Keluarga Chong Sabah Cawangan Keningau menegaskan bahawa perayaan yang diraikan bukan sekadar tradisi tahunan, sebaliknya medan muhasabah dan penyatuan komuniti.
Katanya, komuniti Tiong Hua di Keningau sejak sekian lama menjadi sebahagian daripada nadi pembangunan daerah, berganding bahu dengan masyarakat pelbagai kaum dalam bidang ekonomi, sosial dan kebajikan.
“Tahun baharu membawa makna memperbaharui azam, mengukuhkan hubungan kekeluargaan serta menyalakan kembali semangat kerjasama demi kemajuan bersama,” katanya.
Beliau turut menyeru agar masyarakat terus memupuk nilai saling menghormati, memperkasa ekonomi komuniti dan membimbing generasi muda supaya keharmonian yang dikecapi hari ini terus terpelihara.
Kapitan Anthony merakamkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat, dengan harapan agar tahun ini membawa kesejahteraan, kesihatan dan kemakmuran berpanjangan kepada semua.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sumbangan bakul makanan ringankan beban veteran
Februari 16, 2026, Isnin - 9:42pm

SAMPAIKAN: Ahli PVTLDM Cawangan Sabah Wilayah Pedalaman menerima sumbangan bakul makanan sempena majlis itu.
KENINGAU: Kebajikan veteran terus diberi perhatian apabila Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan menghulurkan sumbangan bakul makanan kepada ahli Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Cawangan Sabah, khususnya di Wilayah Pedalaman.
Yang Dipertua PVTLDM Cawangan Sabah, Amir Abdullah Abdul Makbul berkata, sumbangan itu amat bermakna dalam membantu meringankan beban kehidupan seharian para veteran, selain membuktikan bahawa kebajikan bekas perajurit sentiasa diberi perhatian dan dihargai.
Menurut beliau, keprihatinan dan sokongan berterusan daripada Jeffrey bukan sahaja memberi manfaat dari segi fizikal, malah menyuntik semangat serta mengukuhkan rasa dihargai dalam kalangan ahli persatuan.
“Ini membuktikan bahawa jasa dan pengorbanan veteran tidak pernah dilupakan. Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli PVTLDM Cawangan Sabah Wilayah Pedalaman merakamkan gambar kenangan dalam satu program penyerahan bakul makanan yang disumbangkan Jeffrey.
ALBUM: Ahli PVTLDM Cawangan Sabah Wilayah Pedalaman merakamkan gambar kenangan dalam satu program penyerahan bakul makanan yang disumbangkan Jeffrey.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi PVTLDM Cawangan Sabah Wilayah Pedalaman, Amran Radin, atas usaha menyelaras bantuan kepada ahli-ahli di kawasan pedalaman.
Sumbangan terbabit dilihat sebagai manifestasi solidariti berterusan antara kepimpinan dan komuniti veteran, memastikan mereka yang pernah berbakti menjaga perairan negara terus disantuni dan dibela kebajikannya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kerja baik pulih bangunan USIA di Sembulan memasuki fasa kedua: Sapawi
Februari 16, 2026, Isnin - 10:02pm

SAPAWI
KOTA KINABALU: Kerja-kerja membaik pulih bangunan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) di Sembulan, kini memasuki fasa kedua di mana sebutharga mengenainya akan dibuka tidak lama lagi.
Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Hj Ahmad, berkata pelaksanaan fasa pertama sudah pun siap mengikut jadual.
"Sekarang masuk fasa kedua, iaitu bagi kerja-kerja menjadikannya sebagai pusat pentadbiran USIA selain pembangunan landskap di persekitaran bangunan," katanya.
Ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program Ramadan Jazz anjuran USIA di sini semalam, beliau berkata secara keseluruhan kerja-kerja pelaksanaan projek baik pulih itu berjalan lancar dan mengikut jadual.
Bangunan USIA itu letaknya di lokasi strategik Bulatan Sembulan, dibina sejak 1972.
Bagaimanapun, kebakaran pada sebahagian tingkatnya menyebabkan ia terpaksa dikosongkan dan operasi pentadbiran USIA berpindah ke bangunannya di 1Borneo sehingga kini.
Majlis Pelancaran Projek Membaikpulih Bangunan USIA itu dilancarkan oleh Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif selaku Exco Agama pada 28 September 2024.
Kerja baik pulih fas pertama menelan kos lebih RM3 juta.
Dalam pada itu, Sapawi berkata kerja pembangunan Pusat Latihan Dakwah Al-Bukhary kendalian USIA di Kampung Marasinsim, Kota Marudu, sudah siap sepenuhnya.
Katanya, ketika ini pihaknya sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi bagi pengiktirafan rasmi.
Bagaimanapun, katanya, ketika ini proses pembelajaran secara atas talian sedang berjalan, termasuk bagi mendapatkan pelajar dari seluruh negeri.
Apabila beroperasi sepenuhnya kelak, pusat berkenaan bakal menjadi mercu tanda baharu kejayaan USIA dalam bidang Latihan Vokasional dan Teknikal (TVET).
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ishak ajak rakyat perkukuh semangat kebersamaan sempena perayaan ini
Februari 17, 2026, Selasa - 9:39am

MOHD ISHAK AYUB
KENINGAU: Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Mohd Ishak Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor menyeru rakyat supaya terus memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.
Dalam perutusan rasminya, beliau menegaskan bahawa perayaan bukan sekadar tradisi kebudayaan, sebaliknya membawa mesej pembaharuan azam, pengukuhan institusi kekeluargaan serta pemantapan hubungan antara kaum.
“Tahun baharu adalah ruang untuk kita memperbaharui tekad, mempererat silaturahim dan memperkukuh keharmonian yang menjadi asas kestabilan negeri,” katanya.
Menurut beliau, komuniti Tiong Hua memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial, khususnya di kawasan Bingkor dan Keningau, melalui sumbangan dalam sektor perniagaan, pendidikan dan kebajikan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar sambutan Tahun Baharu Cina dijadikan wadah memperkasa kerjasama antara komuniti, memperkukuh ekonomi setempat dan membina masa depan yang lebih inklusif serta sejahtera.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh masyarakat Tiong Hua atas komitmen berterusan dalam memelihara keharmonian dan menyumbang kepada kemajuan negeri.
“Semoga Tahun Baharu Cina 2026 membawa kesejahteraan, kesihatan dan kemakmuran kepada seluruh rakyat,” katanya sambil mengucapkan 'Gong Xi Fa Cai. Xin Nian Kuai Le'.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ketua Menteri Sabah melepaskan konvoi JABD
Februari 17, 2026, Selasa - 9:44am

ALBUM: Hajiji bergambar bersama semua peserta konvoi berkenaan.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada Isnin melepaskan konvoi Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) Sabah yang melibatkan 150 motosikal dan lapan kenderaan pacuan empat roda di Menara Kinabalu.
Program yang dianjurkan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan, Skuad Anti Dadah Sabah, Foodpanda dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu akan menjelajah seluruh Sabah sehingga September.
Bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penyalahgunaan dadah serta kepentingan menjadikan Sabah bebas dadah, program itu akan berakhir pada 6 September di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena Sabah Moto Day 9.0.
Dalam majlis sama, Hajiji turut menyerahkan replika cek berjumlah RM531,350 sebagai sumbangan caruman daripada kerajaan negeri kepada KWSP untuk 10,627 penunggang e-hailing.

KONVOI: Hajiji ketika membuat pelepasan konvoi JABD berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
UMS Anjur ICAPS 2026, Himpun 17 Universiti Antarabangsa
Februari 17, 2026, Selasa - 12:16pm

Para peserta ICAPS merakamkan gambar bersama.
KOTA KINABALU - Kem Reka Bentuk Multidisiplin Pelajar Antarabangsa (ICAPS) 2026 ke-25 yang julung kali diadakan di rantau Borneo baru-baru ini telah berjaya menghimpunkan pelajar pelbagai negara bagi membangunkan penyelesaian inovatif pelbagai disiplin.
Program anjuran Program Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu diadakan di Nexus Resort, Karambunai dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta 17 universiti antarabangsa lain.
Kem tahunan berkenaan menghimpunkan pelajar pelbagai disiplin dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Taiwan, Vietnam dan Korea Selatan bagi membangunkan penyelesaian inovatif berteraskan teknologi menerusi tema “Teknologi ke Arah Start-up untuk Perniagaan Kecil”.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FKJ, Prof. Dr. Willey Liew Yun Hsien dalam ucapan perasmiannya sempena program tersebut menggalakkan peserta memupuk kreativiti, kerjasama silang budaya dan pendekatan penyelesaian masalah yang bermakna.
Sepanjang program ini juga katanya peserta terlibat dalam bengkel, pembangunan reka bentuk serta sesi pembinaan prototaip sebelum membentangkan cadangan projek masing-masing yang berfokus kepada sokongan pertumbuhan perniagaan kecil.
Antara universiti yang mengambil bahagian ialah Institut Teknologi Bandung (ITB), Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Universitas Muhammadiyah Surakarta, Nanyang Technological University (NTU), National Cheng Kung University, Hanoi University of Science and Technology serta beberapa universiti dari Korea Selatan termasuk Jeonbuk National University, Chungnam National University dan Jeju National University.
Dalam pada itu, Dekan FKJ, Profesor Madya Ir. Dr. Abu Zahrim Yaser dalam ucapan penutupan kem itu menekankan kepentingan inovasi, kerjasama strategik dan reka bentuk berfokuskan komuniti dalam mendepani cabaran global.
Hadir sama pada program tersebut Penyelaras Program Alam Bina, Prof. Ar. Nurakmal Abdullah @ Goh Tuo Ho
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lebih 10,000 orang menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina negeri
Februari 17, 2026, Selasa - 4:48pm

Musa (kiri) bersama Hajiji dan tetamu lain menggaul yee sang sebagai simbolik kemakmuran dan perpaduan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
KOTA KINABALU: Lebih 10,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina yang dianjurkan oleh kerajaan negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.
Majlis tersebut diserikan oleh Ketua Negeri Tun Musa Aman dan isteri beliau, Toh Puan Faridah Tussin, bersama Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Tun Musa dan Hajiji yang ditemani oleh Menteri Pelancongan, Alam Sekitar dan Kebudayaan, Datuk Jafry Arifin kemudian memimpin upacara memukul gendang untuk menandakan pembukaan rumah terbuka tersebut.
Tun Musa dan Hajiji serta tetamu jemputan lain turut melakukan acara tradisi Tahun Baharu Cina mengaul Yee Sang.
Tetamu dihiburkan dengan pelbagai persembahan daripada artis tempatan dan kumpulan tarian.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Balai Cerap Al-Biruni jadi pusat pendidikan falak dan penyelidikan
Februari 18, 2026, Rabu - 12:01pm

RASMI: Dr Mohd Arifin melakukan gimik Pelancaran Majlis rukyah hilal rasmi (Ramadan syawal dan zulhijjah seterusnya Majlis Rukyah Hilal Ramadan Tahun 1447H/2026M di Balai Cerap Al-Biruni,Tanjung Dumpil.
PUTATAN: Balai Cerap Al-Biruni Tanjung Dumpil bukan sahaja berfungsi sebagai lokasi rasmi cerapan hilal, malah berperanan penting dalam pendidikan dan penyelidikan falak di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, balai cerap berkenaan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai pusat pendidikan falak dan astronomi Islam yang lebih komprehensif.
Katanya, ia juga boleh diketengahkan sebagai pusat penyelidikan berdaya saing dan berteknologi tinggi selain destinasi pelancongan ilmu (astro-tourism) yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Bagi merealisasikan hasrat ini, aspek infrastruktur perlu dilengkapkan dengan kemudahan dan memenuhi standard sewajarnya.
“Ini termasuk penambahbaikan fasiliti cerapan, ruang pameran interaktif, dewan pembelajaran, kemudahan pengunjung serta akses lebih mesra pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Majlis Pelancaran Rukyah Hilal Rasmi (Ramadan, Syawal dan Zulhijjah) Peringkat Negeri Sabah Tahun 1447H/2026M di sini, pada Selasa.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Hajiji berkata, kerajaan negeri sedia membantu bagi memastikan balai cerap itu muncul sebagai antara ikon pelancongan ilmu di Sabah.
“Saya yakin dengan perancangan strategik dan kerjasama pelbagai pihak, balai cerap ini bukan sahaja menjadi kebanggaan umat Islam, malah kebanggaan seluruh rakyat Sabah.
“Semoga generasi muda yang hadir hari ini melihat bahawa bidang falak dan astronomi mempunyai ruang luas untuk diterokai serta mampu menjadi kerjaya yang menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara,” katanya.
Beliau turut berkata, majlis berkaitan ibadah umat Islam seperti itu bukan sahaja mempunyai nilai spiritual tinggi, malah mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan urusan agama Islam diurus secara bertanggungjawab, profesional dan berintegriti.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tujuh rumah musnah, anggota bomba cedera dalam kebakaran di Bukit Garam
Februari 18, 2026, Rabu - 12:14pm
KINABATANGAN: Tujuh rumah jenis tidak kekal dan sebuah kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Pangkalan Bukit Garam, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, seorang anggota Pasukan Bomba Bantuan (PBB) dilaporkan cedera ketika operasi memadam kebakaran dijalankan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 10.08 malam.
Katanya, seramai 17 anggota bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba pada jam 10.21 malam, didapati kebakaran membabitkan tujuh rumah jenis tidak kekal dengan enam daripadanya terbakar 100 peratus manakala sebuah lagi musnah kira-kira 20 peratus.
“Turut terbakar sepenuhnya sebuah kenderaan pacuan empat roda milik salah seorang mangsa terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, antara rumah yang musnah sepenuhnya ialah Rumah No.24 dan No.32 masing-masing dua tingkat, Rumah No.39, Rumah No.27 (dua tingkat) serta dua rumah tanpa nombor yang dilaporkan kosong ketika kejadian.
Beliau berkata, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan daripada sumber air jentera dan pili bomba berhampiran.
“Selain itu, satu lagi aliran 200 kaki dengan dua pancutan menggunakan pam angkut dari sumber air terbuka iaitu sungai berhampiran turut digunakan bagi mengawal api daripada terus merebak.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.20 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.40 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain,” katanya.
Hairi berkata, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan 10 rumah berhampiran daripada turut musnah dalam kebakaran berkenaan.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pemandu maut pacuan empat roda dipandu hilang kawalan rempuh lori treler
Februari 17, 2026, Selasa - 10:35am
SIBU: Seorang lelaki berusia 41 tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh rangka sebuah lori treler dalam kejadian di Jalan Upper Lanang, awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkifli Suhaili berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 1.59 pagi.
Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Ford Ranger yang dipandu mangsa dari arah pusat bandar menuju ke Lorong Then Kung Shuk 2.
“Siasatan awal mendapati setibanya di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh rangka lori treler yang diletakkan di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, kemalangan berkenaan turut mengakibatkan kerosakan teruk pada bahagian hadapan kenderaan mangsa.
Tambahnya, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Empat lelaki disyaki terlibat sabung ayam, judi holo di Pelugau ditangkap
Februari 17, 2026, Selasa - 10:45am
SIBU: Empat lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti sabung ayam dan judi holo dalam satu serbuan di kawasan Pelugau, Selangau, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata serbuan dilakukan sekitar jam 3.30 petang hasil maklumat awam.
Beliau berkata ketika serbuan dijalankan, polis mendapati sekumpulan lelaki sedang leka menjalankan aktiviti perjudian sabung ayam dan bermain judi holo di sebuah kebun.
“Kesemua mereka cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis namun empat lelaki berumur antara 42 hingga 57 tahun berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, polis turut merampas empat ekor ayam hidup, dua ekor ayam mati, satu unit alat penimbang, satu unit meja, lima kerusi plastik, sehelai kain holo, satu unit kong holo, tiga biji dadu, satu unit papan putih serta wang tunai berjumlah RM200.
Kesemua suspek dan barang kes dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut.
Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 73(1)(g) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sementara itu, Muhamad Rizal menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti perjudian yang menyalahi undang-undang kerana boleh dikenakan tindakan tegas.
Beliau berkata selain berdepan hukuman, aktiviti perjudian juga boleh membawa kepada masalah kewangan dan sosial dalam kalangan masyarakat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pemandu, penumpang MPV selamat, kenderaan terlibat kemalangan di Kanowit
Februari 17, 2026, Selasa - 10:55am
KANOWIT: Seorang pemandu dan penumpang terselamat selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan kendiri di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chih Mong, Jalan Lukut/Penyulau, di sini, pada Isnin.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kanowit, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.46 petang.
“Susulan panggilan tersebut, sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) bersama empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit digerakkan ke lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 4 petang dan memulakan operasi sejurus ketibaan.
Komander operasi melaporkan kemalangan berkenaan melibatkan sebuah MPV yang dipercayai terbabas sendiri.
“Pemandu lelaki berusia 31 tahun dan seorang penumpang lelaki berumur 25 tahun didapati dalam keadaan sedar serta tidak tersepit.
“Kedua-dua mangsa telah keluar dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.
Menurut kenyataan itu, tiada operasi menyelamat dijalankan memandangkan mangsa tidak tersepit di dalam kenderaan.
Bagaimanapun, anggota bomba membantu petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan rawatan awal sebelum kedua-dua mangsa dihantar ke hospital menaiki ambulans untuk tindakan lanjut.
Operasi dikawal pada jam 4.30 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.31 petang.
Turut berada di lokasi kejadian ialah tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), enam petugas KKM serta tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki diberkas disyaki miliki 8.8 gram syabu di Saratok
Februari 17, 2026, Selasa - 11:06am
SARATOK: Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan bersama dadah dipercayai syabu seberat kira-kira 8.8 gram dalam operasi rondaan di Jalan Simpang Paip, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Mangg ie berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 6 petang ketika anggotanya menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, anggota bertugas terserempak dengan sebuah motosikal berwarna merah yang ditunggangi seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota telah menahan suspek untuk tujuan pemeriksaan lanjut. Pemeriksaan awal ke atas tubuh badan suspek tidak menemui sebarang barang salah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan lanjut terhadap sebuah beg silang berwarna hitam bertulis ‘Casual X-Copper’ yang dipakai suspek menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dengan anggaran berat 5.5 gram.
Turut dirampas satu bekas gula-gula berwarna hijau bertulis ‘Mentos Pure Fresh’ yang di dalamnya mengandungi 10 paket plastik lutsinar kecil, masing-masing berisi ketulan kristal dipercayai syabu dengan anggaran berat keseluruhan kira-kira 3.4 gram.
Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan seberat 8.8 gram.
Hasil soal siasat awal, suspek mengaku secara lisan bahawa dadah tersebut adalah miliknya dan untuk diedarkan kepada pembeli di sekitar kawasan Saratok.

Kesemua barang yang dirampas dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan.- Gambar PRDM
Suspek yang berasal dari Saratok ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis turut merampas motosikal yang digunakan suspek serta barangan berkaitan untuk siasatan lanjut.
Mathew berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi rondaan dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah di daerah ini.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat terus terpelihara.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sekumpulan lelaki disyaki terlibat sabung ayam di Sungai Apong bertempiaran lari, lima ditahan
Februari 17, 2026, Selasa - 1:33pm

Operasi ke atas kegiatan sabung ayam.-Gambar IPD Kuching
KUCHING: Sekumpulan lelaki bertempiaran melarikan diri ke hutan sebaik menyedari kehadiran polis dalam serbuan ke atas kegiatan sabung ayam di Sungai Apong, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata pihaknya mengesan sekumpulan lelaki tempatan disyaki sedang menjalankan aktiviti sabung ayam kira-kira jam 4.14 petang.
Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran polis, kumpulan berkenaan cuba meloloskan diri dengan masuk ke kawasan hutan berhampiran.
“Namun, lima lelaki tempatan berumur antara 24 hingga 83 tahun berjaya ditahan bagi membantu siasatan dan polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti tersebut.
“Hasil saringan air kencing ke atas semua suspek didapati negatif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 73(1)(g) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 kerana melakukan kegiatan sabung ayam.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan menyalahi undang-undang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diseru agar menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina cerminkan semangat keterangkuman dan perpaduan Sarawak: Dr Sim
Februari 17, 2026, Selasa - 1:48pm

Tun Wan Junaidi serta Toh Puan Fauziah tidak ketinggalan merakam kenangan bersama pengamal media sebelum berangkat pulang dari majlis rumah terbuka. Turut kelihatan Dr Sim (depan, kiri) serta isteri Datin Amar Enn Ong (dua kanan). - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Penganjuran Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran kerajaan negeri mencerminkan semangat keterangkuman dan perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan Sarawak.
Menyifatkan perkara itu Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa menegaskan bahawa sambutan rumah terbuka kerajaan, sama ada Tahun Baharu Cina mahupun Hari Raya Aidilfitri, adalah platform penting untuk merapatkan hubungan antara rakyat pelbagai kaum dan agama.
“Kita dapat melihat kehadiran masyarakat daripada pelbagai latar belakang Orang Ulu, Iban, Cina, India dan Melayu, yang hadir bersama-sama.
“Malah ramai yang mengenakan pakaian tradisi masing-masing. Inilah keindahan dan kekuatan sebenar Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2026, pada Selasa yang menyaksikan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi sebagai tetamu kehormat.

Tun Wan Junaidi serta isteri Toh Puan Fauziah diiringi Fadillah (duduk, kiri) dan Ruziah (duduk, kanan) serta Dr Sim (berdiri, tengah) dan isteri Datin Amar Enn Ong serta tetamu kehormat lain merakam kenangan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di BCCK, hari ini. - Gambar Chimon Upon
Rumah terbuka anjuran kerajaan negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuchung (BCCK) itu turur dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof dan isteri Datin Amar Ruziah Mohd Tahir
Dr Sim menegaskan konsep rumah terbuka di Sarawak membawa maksud keterbukaan sebenar, di mana orang ramai tidak memerlukan jemputan khas untuk hadir kerana semua dialu-alukan.
Beliau berkata semangat ini merupakan asas penting kepada pembinaan bangsa atau nation-building di Sarawak, yang menekankan nilai kebersamaan, saling membantu dan bekerjasama demi menjadikan negeri ini tempat yang lebih baik untuk didiami.
“Di banyak tempat lain, bukan sahaja di Semenanjung Malaysia malah di seluruh dunia, masyarakat berdepan perpecahan akibat politik dan polarisasi. Apabila berlakunya perpecahan, kita tidak dapat bergerak ke hadapan,” ujarnya.
Beliau berkata pada tahun 2026, seluruh negara melihat Sarawak sebagai contoh terbaik bagaimana rakyat berbilang kaum dapat hidup bersatu dan maju bersama.
“Kita tidak mahu orang melihat Sarawak hanya kerana kita kaya dengan sumber. Jika orang memandang kita semata-mata kerana kekayaan, itu tidak akan kekal lama. Pembinaan bangsa memerlukan nilai dan jati diri sebagai Anak Sarawak,” katanya.
Mengulas mengenai pembangunan negeri, beliau berkata sebelum ini Sarawak berdepan kekangan kewangan untuk melaksanakan pelbagai projek seperti hospital, sekolah dan infrastruktur.
Namun kini, dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh dan belanjawan tahunan sekitar RM15 bilion, negeri ini mempunyai keupayaan untuk mempercepatkan pembangunan.
“Dalam tempoh lima tahun akan datang, jumlah peruntukan boleh mencecah sekitar RM75 bilion. Jika kita masih gagal mencapai kemajuan yang sepatutnya, maka kita perlu menilai diri sendiri. Justeru, nilai perpaduan dan kerjasama amat penting,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sambutan Tahun Baharu Cina bukan sekadar perayaan, tetapi simbol pertemuan dan penyatuan keluarga besar Sarawak.

Dr Sim ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2026 anjuran kerajaan negeri di BCCK, hari ini. - Gambar Chimon Upon
Dr Sim ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2026 anjuran kerajaan negeri di BCCK, hari ini. - Gambar Chimon Upon
“Yang paling penting ialah semua sihat. Apabila kita sihat, kita boleh terus membangunkan negeri ini bersama-sama,” katanya.
Menurut beliau, kehadiran pengunjung dianggarkan sekitar 5,000 orang berdasarkan rekod tahun-tahun sebelum ini, dan jumlah tersebut berkemungkinan meningkat memandangkan cuaca yang baik pada tahun ini.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sambutan Tahun Baharu Cina di Sarawak pamer keunikan negeri, dirai secara bersama
Februari 17, 2026, Selasa - 2:02pm

Aaron ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka TBC 2026 anjuran kerajaan Sarawak pada Selasa.
KUCHING: Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di Sarawak terus mencerminkan keunikan negeri ini apabila diraikan secara bersama oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, sambutan perayaan di negeri ini amat unik dan memperlihatkan penglibatan pelbagai kumpulan etnik
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan selamat menyambut TBC yan juga bersamaan dengan Tahun Kuda kepada seluruh rakyat, terutama masyarakat yang meraikannya.
“Sambutan TBC di Sarawak sangat unik kerana setiap perayaan seperti ini kita dapat menyaksikan penglibatan berbagai kumpulan etnik yang turut bersama meraikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka TBC 2026 pada Selasa yang menyaksikan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi sebagai tetamu kehormat.
Rumah terbuka anjuran kerajaan negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta tetamu kehormat lain.
Aaron berkata, penganjuran platform seperti itu selaras dengan kehendak dan tujuan kementeriannya untuk memastikan semua pihak dapat berintegrasi dalam suasana harmoni.
“Bagi kita di Kementerian ini kehendak dan memang tujuan kita mengadakan platform untuk semua pihak berintegrasi dalam suasana seperti ini.
“(Dan) di Sarawak, saya melihat perayaan ini satu perkara yang amat meriah disambut oleh semua masyarakat, tidak kira bangsa dan agama,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Rumah terbuka Tahun Baharu Cina Sarawak di BCCK berlangsung meriah
Februari 17, 2026, Selasa - 2:07pm

Tun Wan Junaidi serta isteri, Toh Puan Fauziah ditemani Dr Sim, Fadillah, serta yang lain merakam kenangan sebaik tiba pada Rumah terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) Peringkat Sarawak 2026 hari ini. Gambar Chimon Upon
KUCHING: Rumah terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) Peringkat Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pada Selasa berlangsung meriah dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum dan etnik.
Majlis yang bermula pada pukul 10 pagi itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Ketibaan mereka disambut oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, dan Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Sebastian Ting Chiew.

Masyarakat berbilang kaum hadir memeriahkan Rumah terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) Peringkat Sarawak 2026 hari ini. Gambar Chimon Upon
Para tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah dan persembahan kebudayaan, termasuk persembahan singa, yang menambahkan lagi kemeriahan majlis.
Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, serta dif-dif kenamaan lain.
Tahun ini menandakan kali ketiga sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri dianjurkan, selaras dengan visi Premier Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan prinsip keterangkuman dan perpaduan.

Masyarakat berbilang kaum hadir memeriahkan Rumah terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) Peringkat Sarawak 2026 hari ini. Gambar Chimon Upon

Tun Wan Junaidi bersama Dr Sim, Fadillah, serta yang lain melakukan acara yee sang pada majlis Rumah terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) Peringkat Sarawak 2026 hari ini. Gambar Chimon Upon
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|