Oleh YATIMIN ABDULLAH
TANAH MERAH 31 Mac - Seramai 14 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Banggol Kemunting di sini hangus dalam kebakaran petang ini.
Bagaimanapun, kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu tidak melibatkan kemalangan jiwa kerana semua mangsa yang terlibat berjaya menyelamatkan diri.
Ketua Zon Machang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Che Rusli Che Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 1.45 petang.
Menurutnya, 16 anggota dari dua buah balai iaitu Tanah Merah dan Machang bersama tiga buah jentera telah dikejarkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran.
"ihak kami mengambil masa selama 20 minit untuk mengawal api dari merebak ke kawasan berhampiran kerana kedudukan rumah terlalu rapat. Punca dan anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE