|
|
27 individu jayakan kempen derma darah SNPA Cawangan Sarikei
Februari 15, 2026, Ahad - 7:46pm

SNPA Cawangan Sarikei berjaya menganjurkan kempen derma darah di Unit Tabung Darah Hospital Sarikei
SARIKEI: Seramai 27 individu berjaya menderma darah pada program kempen derma darah anjuran Sarawak Nursing Professional Association (SNPA) Cawangan Sarikei, semalam.
Program yang diadakan di Unit Tabung Darah, Hospital Sarikei itu menyaksikan lapan orang adalah penderma baru, 13 penderma ulangan termasuk dua pasangan 'valentine.'
Kesemua darah yang berjaya dikumpul pada program ini telah disumbangkan kepada Unit Tabung Darah, Hospital Sarikei.
Hadir sama menjayakan dan memberi sokongan ialah Pengerusi SNPA Cawangan Sarikei Wong Siew Hua, ahli SNPA dan juga orang awam.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pemandu cedera kereta terbabas di Bintangor
Februari 15, 2026, Ahad - 7:50pm
BINTANGOR: Seorang pemandu cedera ringan setelah kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan berhampiran SJK (C) Hua Nam, Jalan Sungai Petai di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.45 pagi.
“Sejurus menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor telah dikerahkan ke lokasi kemalangan yang terletak 14 kilometer dari balai.
“Ketika sampai di lokasi tersebut, pasukan bomba mendapati sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki telah terlibat dalam kemalangan kendiri iaitu terbabas ke tepi jalan,” katanya kepada media, hari ini.
Namun demikian katanya, mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.
“Berdasarkan situasi tersebut, pihak bomba hanya bertindak melakukan pemantauan dan pemeriksaan di lokasi kemalangan bagi memastikan tiada mangsa lain yang terlibat dan situasi kemalangan berada dalam keadaan selamat.
“Mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk dibawa ke Hospital Sarikei bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” ujarnya lagi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Othman Abdillah lepas jawatan Presiden SEDAR, Affendi Jeman ambil alih
Februari 15, 2026, Ahad - 8:17pm

Affendi (kiri) bersalaman dengan Othman susulan peralihan kepimpinan pada kongres parti tersebut.
KUCHING: Presiden Parti Sedar Rakyat (SEDAR) Datuk Othman Abdillah mengumumkan peletakan jawatannya selepas menerajui parti itu selama dua penggal berturut-turut sejak 2019.
Beliau yang memimpin parti berkenaan selama lapan tahun dari 2019 hingga 2025 memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan presiden, sekali gus membuka laluan kepada kepimpinan baharu untuk meneruskan hala tuju parti.
Sehubungan itu, Affendi Jeman telah dipilih sebagai presiden baharu bagi penggal 2026 hingga 2029.
Keputusan rasmi itu diumumkan pada Kongres Umum Tahunan ke-7 parti berkenaan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Dalam kongres tersebut, sebanyak 20 jawatan utama tidak dipertandingkan dan dimenangi tanpa bertanding.
Turut diumumkan bahawa jawatan presiden akan dipilih setiap tiga tahun, dan barisan kepimpinan yang baharu dipilih akan berkhidmat bagi tempoh 2026 hingga 2029.

Affendi (duduk, empat kiri) bersama barisan kepimpinan baharu parti dan ahli majlis tertinggi bagi penggal 2026 hingga 2029.
Antara yang dipilih ialah Awang Badlee Awg Ali sebagai pengerusi tetap dan Mohamad Zulkarnaen Yusuf sebagai timbalan pengerusi tetap.
Jenau Masing dipilih sebagai timbalan presiden, manakala Abdul Halim Abdullah dinamakan sebagai naib presiden I.
Muhamad Musyirin Hendri dilantik sebagai naib presiden II (Belia) dan Masmanis Mohamed Yusof sebagai naib presiden III (Wanita).
Hussain Zainudin akan berkhidmat sebagai setiausaha agung, dibantu Raduan Abdul Rahman sebagai penolong setiausaha agung.
Sementara Saferi Muhamad Suhaili dilantik sebagai bendahari agung, manakala Izzatul Sofiah Hussain sebagai penolong bendahari agung.
Kongres itu turut menyaksikan pelantikan sembilan ahli majlis tertinggi iaitu Fazira Hipeni, Bakri Jeman, Abang Yusuff Abang Othman, Ahmad Joti Bakawi, Julina Jajol, Dayang Meria Abee, Noraida Along, Roslan Ismail dan Hatta Manchu.
Selain itu, parti berkenaan turut mengumumkan nama ‘Parti Sedar Rakyat’ akan turut dikenali sebagai ‘Parti Wawasan Rakyat’, yang melambangkan aspirasi kepimpinan berpandangan jauh serta komitmen terhadap hala tuju masa depan yang lebih progresif.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
PKR Lanang anjur Makan Malam Gala TBC 2026 pada 1 Mac 2026
Februari 15, 2026, Ahad - 8:33pm

Makan Malam Gala Tahun Baharu Cina 2026 anjuran PKR Lanang.
SIBU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Lanang akan menganjurkan Makan Malam Gala Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 pada Ahad, 1 Mac depan bertempat di Restoran Joystar Garden, bermula jam 6.30 petang.
Ketua Cabang PKR Lanang, Michael Lee dalam satu kenyataan media berkata, majlis yang membawa tema 'Memperkukuh Perpaduan, Berkongsi Kemakmuran' itu bertujuan menghimpunkan ahli parti, pemimpin komuniti serta orang awam dalam suasana muhibah dan perayaan sempena sambutan TBC.
“Kita menyasarkan penyertaan antara 65 hingga 75 meja dengan harga meja yang bersubsidi iaitu RM200 setiap meja bagi menggalakkan penglibatan akar umbi.
“Seorang Menteri Sarawak dan Sabah telah mengesahkan kehadiran sebagai tetamu kehormat, selain jemputan turut disampaikan kepada beberapa Menteri Persekutuan serta wakil rakyat bagi memeriahkan majlis berkenaan.
“Sempena bulan Ramadan, majlis ini turut menampilkan sesi berbuka puasa bersama sebagai lambang saling menghormati serta semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk tarian singa, tarian tradisional serta persembahan seni yang mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia.
Selain itu katanya, beberapa aktiviti sampingan turut diatur, antaranya cabutan bertuah, pemberian angpau khas kepada kanak-kanak berumur 18 tahun dan ke bawah, selain kuiz interaktif serta aktiviti menarik lain untuk semua peringkat umur.
“Makan malam gala ini bukan sekadar perhimpunan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dalam komuniti.
“Kami menjemput seluruh penduduk Lanang dan Sibu untuk bersama-sama memeriahkan malam perpaduan ini tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Orang ramai yang berminat mendapatkan tiket boleh menghubungi Wong Sing Han di talian 019-8099669 atau Michael Lee (013-8113555) memandangkan bilangan meja adalah terhad.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
107 individu ditahan dalam 68 operasi banteras judi di Kuching
Februari 15, 2026, Ahad - 9:23pm
KUCHING: Seramai 107 individu ditahan menerusi 68 serbuan dalam Operasi Bersepadu bagi membanteras kegiatan perjudian yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching dari 1 Januari hingga 14 Februari lalu di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, sepanjang tempoh tersebut, polis telah melaksanakan sebanyak 81 serbuan melibatkan pelbagai kategori kesalahan perjudian, dengan majoritinya berjaya.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada 90 lelaki dan 17 perempuan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Alexson berkata, bagi kes judi dalam talian, 49 serbuan berjaya dijalankan, dengan 49 individu ditangkap.
Pihaknya turut merampas wang tunai sebanyak RM4,392, 49 unit telefon bimbit, serta 21 barangan lain.
Beliau menambah, tujuh premis telah dipotong bekalan elektrik, manakala enam permohonan sekatan laman sesawang dan enam permohonan pembatalan lesen perniagaan turut dikemukakan.
"Dalam operasi membanteras loteri awam tanpa lesen pula, 15 serbuan berjaya dilaksanakan dengan tangkapan 15 individu.
"Polis merampas wang tunai RM1,021, 15 telefon bimbit dan empat barangan lain.
"Selain itu, empat premis dipotong bekalan elektrik dan dua permohonan pembatalan lesen perniagaan dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan," tambahnya.
Sementara itu, bagi kes 'calling centre' judi, Alexson berkata empat serbuan berjaya dijalankan dengan 43 individu ditangkap.
Beliau menambah, dalam serbuan itu, polis turut merampas 21 telefon bimbit dan 36 barangan lain, manakala empat premis turut dipotong bekalan elektrik.
"Secara keseluruhan, jumlah rampasan sepanjang operasi ialah wang tunai RM5,413, 85 telefon bimbit dan 61 barangan lain.
"Sebanyak 15 premis telah dipotong bekalan elektrik, enam permohonan sekatan laman sesawang dibuat dan lapan permohonan pembatalan lesen perniagaan dikemukakan," jelasnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
sbh - KOPEKS terus main peranan strategik
swk - TYT seru seluruh rakyat Sarawak pelihara perpaduan, keharmonian
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|