Tiga kilang proses makanan terbakar
Tiga kilang memproses makanan musnah dalam kebakaran di Bandar Teknologi, Semenyih, Kajang, hari ini. - Foto ihsan Bomba
KAJANG: Tiga kilang memproses makanan di Bandar Teknologi, Semenyih di sini, musnah dalam kebakaran pagi ini. Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan mengenai kejadian jam10.44 pagi. Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan. "JBPM turut menghantar pasukan bantuan bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih; Bandar Tun Hussein Onn (BTHO); Bangi; Seri Kembangan serta Petaling Jaya.
"Kerja pemadaman tiga unit kilang berkenaan segera dijalankan membabitkan kekuatan 27 pegawai dan anggota dengan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.45 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini. Ahmad Mukhlis berkata, pemeriksaan mendapati kilang pertama musnah 100 peratus, manakala kilang kedua mengalami kemusnahan 20 peratus dan kilang ketiga pula musnah sebanyak 30 peratus. Bagaimanapun, beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu. Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/11/1323774/tiga-kilang-proses-makanan-terbakar
|