Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disyorkan untuk menetapkan hari pembuangan undi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada cuti sekolah khususnya pada Sabtu bagi mengelak operasi sekolah terjejas.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, memandangkan jangkaan hari mengundi bagi PRU ke-15 dibuat bukan pada musim cuti persekolahan, maka akan banyak bilik darjah dan ruangan di sekolah akan digunakan sebagai saluran tempat mengundi.
"Biasanya, secara umum pilihan raya dibuat pada cuti hari minggu. Kita berharap begitulah untuk kali ini supaya tidak menjejaskan operasi sekolah. Buat Sabtu itu bagi memudahkan. Sebab kalau Ahad lain pula, ada negeri bersekolah hari itu.
"Tapi kita tak tahu tarikh yang akan ditetapkan SPR. Apa yang penting, kalau operasinya pada Sabtu, ini adalah perkara yang kita sudah lalui seperti pilihan raya sebelum ini. Cuma kalau hari bersekolah itu akan terjejas operasi sekolah pada hari berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ditemui media selepas membuat pelepasan peserta PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) Peringkat Putrajaya-Genting Highlands di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini.
SPR dalam kenyataan kelmarin memaklumkan akan bermesyuarat pada 20 Oktober ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting bagi PRU-15 termasuk hari penamaan calon, pengundian awal serta hari mengundi.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) ada membuat perbincangan dengan SPR mengenai penggunaan sekolah, tetapi bukan secara khusus berhubung penggunaannya pada hari bersekolah.
"Perlu diingat, (tempoh) SPR untuk menyediakan tempat ini juga bukan sehari. Penyediaan tempat mungkin akan ambil masa sehari sebelumnya.
"Sebab itu, kalau ianya diadakan pada Sabtu memudahkan semua orang termasuk pihak sekolah dan ibu bapa. Perkara begini SPR lebih maklum dalam membuat keputusan," katanya.