|
|
Lelaki disyaki terlibat kegiatan loteri haram diberkas di Bau
Februari 15, 2026, Ahad - 6:46pm
Suspek ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti loteri awam haram di Bau. Turut dirampas barangan milik suspek untuk tindakan lanjut. - Gambar IPD Bau
Suspek ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti loteri awam haram di Bau. Turut dirampas barangan milik suspek untuk tindakan lanjut. - Gambar IPD Bau
BAU: Seorang lelaki tempatan diberkas polis kerana disyaki terlibat dengan kegiatan loteri awam tanpa lesen di sini.
Ketua Polis Daerah Bau Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, tangkapan itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau pada Sabtu.
“Pada jam lebih kurang 3.30 petang, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki tempatan yang sedang duduk di kaunter di sebuah premis kedai di sini.
“Hasil pemeriksaan, mendapati lelaki berkenaan disyaki terlibat dalam kegiatan loteri awam haram. Suspek kemudian ditangkap bersama barang rampasan untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan akhbar.
Mohd Haide berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Judi haram, empat individu ditahan di Sri Aman
Februari 15, 2026, Ahad - 6:47pm
SRI AMAN: Polis menahan beberapa individu terdiri daripada lelaki dan wanita tempatan dalam empat serbuan berasingan ke atas aktiviti perjudian haram di sekitar daerah ini dari 9 hingga 14 Februari 2026.
Ketua Polis Daerah Sri Aman Superintenden Dennis Bunyam berkata, dalam operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman itu, empat individu terdiri daripada lelaki dan wanita tempatan berumur antara 25 hingga 60 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Serbuan pertama dan kedua dilakukan pada 9 Februari 2026, diikuti serbuan ketiga pada 10 Februari 2026 dan keempat 14 Februari 2026.
“Hasil serbuan tersebut, polis telah merampas sejumlah wang tunai, beberapa unit telefon bimbit serta peralatan dipercayai digunakan untuk tujuan perjudian dalam talian,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Dennis berkata, kesemua suspek disiasat di bawah peruntukan berkaitan Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan peruntukan undang-undang lain berkaitan.
“PDRM menegaskan, tindakan tegas akan terus diambil terhadap pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti ini diminta menyalurkannya kepada polis bagi membantu membanteras kegiatan tersebut,” tegasnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Naik taraf jalan di Lorong 2B, Kampung Pulau Melayu berjaya siap lebih awal daripada jadual
Februari 15, 2026, Ahad - 6:48pm

Ting (tiga kanan) bersama pasukannya meninjau jalan berkenaan selepas kerja naik taraf siap dilaksanakan.
MIRI: Projek naik taraf jalan di Lorong 2B, Kampung Pulau Melayu di sini yang siap lebih awal daripada jadual membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kemudahan asas rakyat sentiasa diberi keutamaan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I Datuk Sebastian Ting Chiew Yew memuji kontraktor serta agensi berkaitan atas kejayaan menyiapkan projek berkenaan lebih awal daripada tarikh asal.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau berkata, projek bernilai RM80,000 itu dibiayai menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau.
Menurutnya, projek yang bermula pada 12 Januari lalu melibatkan kerja menurap semula jalan berbatu dengan lapisan asfalt bagi melancarkan aliran trafik serta meningkatkan kualiti kehidupan penduduk setempat.
“Projek ini pada asalnya dijadualkan siap pada 11 Mac, namun berjaya disiapkan lebih awal pada awal Februari dan kini telah dibuka kepada pengguna.
“Pelaksanaan yang lancar serta kerjasama erat semua pihak membolehkan projek ini disiapkan lebih awal daripada perancangan, sekali gus membolehkan komuniti setempat menikmati kemudahan jalan raya yang lebih selamat dan tahan lama dengan segera,” katanya semasa lawatan pemeriksaan ke tapak projek tersebut baru-baru ini.
Ting menegaskan, pembinaan dan penyelenggaraan jalan merupakan infrastruktur asas yang memberi impak besar kepada rutin harian penduduk termasuk urusan berulang-alik ke tempat kerja, ke sekolah, kecemasan perubatan serta aktiviti ekonomi setempat.
Sehubungan itu katanya, penambahbaikan infrastruktur asas kekal menjadi keutamaan kerajaan di bawah pelaksanaan RTP.
Beliau turut memaklumkan bahawa keputusan menaik taraf jalan berkenaan dibuat selepas menerima maklum balas penduduk yang membangkitkan masalah permukaan jalan berbatu yang tidak rata serta takungan air ketika musim hujan.
“Dengan turapan asfalt baharu ini, penduduk kini dapat menikmati laluan yang lebih rata, selamat dan tahan lama,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap keperluan asas rakyat khususnya di kawasan luar bandar di seluruh Sarawak melalui penambahbaikan berterusan terhadap jalan raya, kemudahan awam serta persekitaran komuniti demi pembangunan yang lebih selesa dan mampan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Remaja antara tujuh lelaki ditangkap dalam Ops Limau/Dadu di Engkilili
Februari 15, 2026, Ahad - 6:49pm
KUCHING: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun antara tujuh lelaki tempatan ditangkap dalam Ops Limau/Dadu dilancarkan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu di Pekan Engkilili, petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu DSP Pricha Azin berkata, operasi khas itu dijalankan hasil risikan berkaitan aktiviti perjudian di sebuah rumah kedai dua tingkat di pekan berkenaan.
“Kesemua suspek yang berumur antara 18 hingga 48 tahun ditangkap ketika leka bermain judi Hoo Hey Haw atau Holo.
“Pemeriksaan di lokasi membawa kepada rampasan beberapa peralatan perjudian termasuk dadu, meja permainan serta sejumlah wang tunai yang dipercayai digunakan untuk pertaruhan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM 5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Beliau menambah, tiga suspek turut didapati mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.
“Ujian awal saringan air kencing turut dijalankan ke atas kesemua suspek dan didapati negatif dadah,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tiga NGO Bumiputera agih bantuan kepada 200 keluarga masyarakat Cina sempena TBC
Februari 15, 2026, Ahad - 6:52pm

Ariffin (lima kanan) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima di Kuil Some Shak Lung Kung hari ini.
MIRI: Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bumiputera berganding bahu menganjurkan program pengagihan bantuan kepada 200 keluarga masyarakat Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC), sekali gus mencerminkan semangat perpaduan utuh rakyat Sarawak.
Program tersebut dianjurkan bersama oleh Persatuan Kebajikan Transformasi Sukarelawan Miri, Persatuan Belia Miri dan Persatuan Maju Ke Hadapan Kuching dan berlangsung di Kuil Some Shak Lung Kung di sini, hari ini.
Antara barangan yang diagihkan termasuk beras, minyak masak, makanan dalam tin serta barangan kering lain bagi meringankan beban penerima menjelang musim perayaan.
Majlis pengagihan bantuan itu turut disaksikan oleh Timbalan Datuk Bandar Miri Kaunselor Ariffin Mohamad yang menzahirkan penghargaan atas semangat kerjasama merentasi kaum yang dipamerkan oleh penganjur.
Menurut beliau, program tersebut jelas mencerminkan jati diri rakyat Sarawak yang sentiasa bersatu tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang.
“Perpaduan sebenar bukan sekadar slogan, tetapi diterjemahkan melalui tindakan saling membantu terutama ketika ada yang memerlukan.
“Usaha kebajikan yang merentasi batas budaya seperti ini bukan sahaja mengukuhkan keharmonian masyarakat, malah wajar dijadikan contoh terbaik untuk menyemai nilai murni dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Ariffin turut menegaskan bahawa kekuatan unik Sarawak terletak pada keutamaan yang sentiasa diberikan kepada keharmonian dan sikap saling menghormati antara kaum.
Beliau berkata, program seumpama itu mampu meningkatkan lagi kefahaman antara etnik serta memastikan semangat berkongsi kegembiraan perayaan dan menyebarkan kasih sayang terus subur dalam masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sarawak agar terus memupuk budaya prihatin dan bersatu padu demi membina negeri yang lebih harmoni dan sejahtera.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua lelaki disyaki jual beli kad ATM ditahan di Miri
Februari 15, 2026, Ahad - 6:53pm

Barang-barang yang dirampas daripada suspek. - Gambar PDRM
MIRI: Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an diberkas dalam satu operasi pemantauan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di sekitar bank-bank di bandar raya ini pada 13 Februari.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi yang dijalankan antara jam 8 pagi dan 4 petang itu berjaya menahan kedua-dua suspek yang disyaki terlibat dalam aktiviti jual beli kad ATM serta pemindahan wang berkaitan penipuan dalam talian.
“Hasil tangkapan tersebut, polis turut merampas pelbagai kad ATM, beberapa unit telefon bimbit serta sebuah kereta dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM15,000,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua suspek telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 424A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun, atau denda antara RM10,000 hingga RM100,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 120B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, Mohd Farhan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak sesekali menyerahkan kad ATM atau maklumat akaun bank kepada mana-mana pihak untuk digunakan.
“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyerahkan kad ATM bagi tujuan pinjaman wang serta tidak menggunakan akaun bank sendiri untuk membuat transaksi pemindahan wang bagi pihak individu lain,” tegasnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
sbh - Peruntukan RM559.85 juta perkasa keterjaminan makanan Sabah
swk - Dua lelaki disyaki jual beli kad ATM ditahan di Miri
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kejohanan Junior Persatuan Badminton Sibu 2026 berjaya tarik penyertaan 134 bakat muda
Februari 15, 2026, Ahad - 6:50pm

Ting (dua dari kanan) bergambar kenangan bersama para pemain dan jawatankuasa pertandingan selepas majlis penutupan.
SIBU: Kejohanan Junior Persatuan Badminton Sibu 2026 yang berakhir hari ini di Gelanggang Badminton Sekolah Menengah (SM) Katolik Sibu berjaya menarik penyertaan 134 bakat muda badminton melibatkan pemain bawah umur 10 hingga 16 tahun.
Kejohanan anjuran Persatuan Badminton Sibu (SBA) itu bermula semalam, mempertandingkan 13 kategori membabitkan acara perseorangan dan beregu lelaki serta perempuan.
Dalam kategori Bawah 16 Tahun, pasangan Clement Lee Zeng Wei-Samuel Kong Zheng Sheng muncul juara acara beregu lelaki, manakala Hazel Toh Hong Hui menjuarai perseorangan perempuan.
Bagi perseorangan lelaki, kejuaraan menjadi milik Bryan Choo Chong Jun.
Kategori perseorangan Bawah 14 Tahun menyaksikan Olivia Wong Yu Xuan menampilkan prestasi cemerlang apabila merangkul gelaran juara perseorangan perempuan, sementara Jonathan Chiong Sie You memenangi perseorangan lelaki.
Dalam acara beregu, pasangan Dominic Eu Suk Jia-Hii Neng En muncul juara beregu lelaki, manakala Olivia Wong Yu Xuan-Samantha Kong Zi Yann mengungguli beregu perempuan.
Bagi kategori Bawah 12 Tahun, pasangan Nashley Wong Sie Ying-Suki Wong Ke Sing menjuarai beregu perempuan, sementara Benjamin Choo Chong Wei-Lau Yee Whei muncul juara beregu lelaki.
Gelaran perseorangan perempuan dimenangi Chanel Law Jia Ying, manakala Lau Yee Whei mengungguli perseorangan lelaki.
Sementara itu, kategori Bawah 10 Tahun menyaksikan Lucas Ngui Yew Heng muncul juara perseorangan lelaki, diikuti Medwyn Ting Yi Ming di tempat kedua.
Berucap pada majlis penyampaian hadiah, Presiden SBA Ting Wei Ping berkata, para pemenang akan dipilih untuk mewakili Sibu dalam pertandingan yang akan berlangsung di Kuching pada bulan Mac ini.
“Dalam proses pemilihan tersebut, sebahagian daripada anda, sekiranya layak ke peringkat akhir, akan turut dipilih mewakili Sarawak ke kejohanan di Kuantan, Pahang pada bulan April, sebagaimana sebahagian daripada anda yang telah mewakili Sarawak pada pusingan pertama di Johor.
“Kepada mereka yang tidak berjaya menaiki podium atau memenangi kejohanan ini, ingatlah bahawa setiap juara bermula sebagai seorang pemula yang enggan berputus asa.
“Kemajuan sebenar lahir daripada perlawanan yang sukar, kekalahan yang tipis dan saat-saat di mana anda memilih untuk bangkit dan mencuba sekali lagi,” ujarnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
TYT, isteri saksikan perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia
Februari 15, 2026, Ahad - 4:38pm

Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah bersama Fazzrudin menyertai perarakan santai 'A March of Unity' mengelilingi stadium malam tadi. - Gambar Astana Sarawak
KUCHING: Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyaksikan perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia antara Kuching City FC dan DPMM dari Brunei yang berlangsung di Stadium Negeri, malam tadi.
Hadir bersama Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah ialah anakanda Sharifah Fariah dan Sharifah Nong-Jasima serta suami Muhammad Nur Hakeem.
Ketibaan TYT dan isteri disambut oleh Presiden Kuching City FC merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzruddin Abdul Rahman, Konsul Jeneral Negara Brunei Darussalam Sheikh Abdul Mahdani Dato Paduka Sheikh Abdul Gani, Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC Iswandi Ali Hassan bersama isteri Puan Dayang Siti Aisyah Mohd Atai serta dif-dif kenamaan yang lain.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Imam Besar Sarawak Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dzulkornain Masron serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Sports Corporation Khairul Nizam Morshidi.
Memetik Facebook rasmi Tun Pehin Wan Junaidi, sejurus tiba Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menerima sorakan gemuruh daripada lebih 10,000 penonton yang membanjiri Stadium Negeri bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan yang bertanding.
Semasa rehat separuh masa pertama, tetamu istimewa itu menyertai perarakan santai 'A March of Unity' mengelilingi stadium sambil melambai ke arah para penyokong bersama Fazzrudin dan diiringi dif-dif kenamaan dan pasukan pancaragam dari SMK St Joseph Kuching.
Detik tersebut menjadi detik istimewa kerana buat julung kalinya Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah hadir ke Stadium Negeri untuk menyaksikan perlawanan bersama ribuan penyokong sekali gus memberi peluang kepada para hadirin melihat pemimpin yang disayangi dengan lebih dekat.
Pada perlawanan itu, pasukan tuan rumah, Kuching City FC berjaya menewaskan DPMM dengan keputusan 3-1, sekali gus mencatat agregat 6-2 dan melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.
Sebelum berangkat pulang, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah merakamkan ucapan tahniah kepada Fazzrudin dan pasukan Kuching City FC atas kemenangan yang diraih serta mendoakan agar pasukan yang mewakili Sarawak itu terus cemerlang di peringkat separuh akhir seterusnya merebut gelaran juara Piala Malaysia edisi tahun ini.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kerajaan Sarawak akan terus sokong pembangunan bola sepak negeri: Abang Johari
Februari 15, 2026, Ahad - 4:29pm

Premier melakukan sepak mula sebagai simbolik perlawanan akhir Piala Premier 2025 di Stadium Negeri, petang ini. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus menyokong pembangunan sukan bola sepak negeri, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, sokongan akan diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan agensi kerajaan berkaitan untuk melahirkan lebih ramai pemain tempatan yang berpotensi menjadi pemain profesional pada masa hadapan.
“Kita menyokong setiap usaha yang dilakukan bersama anak-anak Sarawak termasuk persatuan sukan iaitu Persatuan Bola Sepak Sarawak dan agensi kerajaan negeri untuk melahir pemain bola sepak profesional pada masa depan,” ujarnya
Beliau berkata demikian sebelum sepak mula perlawanan akhir Piala Premier 2025 antara Samarahan FA bertemu Bintulu FA di Stadium Negeri, Petra Jaya petang ini.
Abang Johari meluang masa hujung minggu menyaksikan aksi final tersebut ditemani cucu kesayangannya.
Sejurus tiba, Premier dan cucunda serta tetamu kehormat menerima sorakan gemuruh daripada ribuan penonton yang membanjiri Stadium Negeri bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan yang bertanding.
Ketibaan Abang Johari dan cucunda disambut oleh Presiden Kuching City FC merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzruddin Abdul Rahman dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Dalam ucapannya, Premier turut menzahirkan rasa gembira dan teruja dengan kejayaan Kuching City FC yang berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat besar malam tadi menumpaskan DPMM dari Brunei.
“Malam tadi kita sah masuk separuh akhir dan kemungkinan akan berdepan dengan pasukan Selangor. Jangan takut, ada keyakinan... lawan dengan bersungguh-sungguh pada separuh akhir,” katanya.
Beliau berkata, pelaburan dalam sukan bola sepak di Sarawak kini semakin meningkat dan memberi kesan positif kepada prestasi pemain tempatan.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua penyokong bola sepak Sarawak. Pihak kerajaan akan sentiasa membantu dan saya yakin kita akan dapat melihat pemain-pemain yang lebih handal dari Sarawak sama ada di peringkat dalam atau luar negeri,” katanya.
Ini kali kedua Abang Johari menyaksikan perlawanan di stadium sama dengan kali terakhir pada perlawanan Liga Super membabitkan Kuching City FC menentang Negeri Sembilan FC yang berkesudahan Kuching City FC menundukkan pasukan pelawat 2-0.
Juara Piala Premier 2025 akan membawa pulang trofi kejuaraan, pingat, sijil penyertaan serta hadiah wang tunai RM50,000, manakala naib juara menerima RM30,000 bersama trofi, pingat dan sijil.
Bagi tempat ketiga bersama pula, pasukan terlibat akan menerima trofi tempat ketiga, pingat, sijil penyertaan serta hadiah wang tunai RM10,000.
Dalam pada itu, penyokong yang hadir ke Stadium Negeri turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan antaranya televisyen 55 inci, motosikal, telefon bimbit, serta hadiah-hadiah lain.
Turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Rubiah Wang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
ART hidrogen dijangka beroperasi suku terakhir 2026

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap majlis Malam Penghargaan UNGC Malaysia-Brunei. | UKAS
KUCHING: Pada suku terakhir 2026, jika tiada halangan, bandar raya Kuching akan menerima perkhidmatan Transit Aliran Autonomi (ART) yang dijanakan hidrogen, yang pertama seumpamanya di rantau ini, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Inisiatif ini mencerminkan ikhtiar Sarawak untuk menjadi pelopor dan pemimpin ke arah ekonomi serta teknologi rendah karbon di rantau ASEAN,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2026.
Sementara itu, beliau berkata permulaan 2026 menyaksikan kejayaan Sarawak menyambungkan grid elektrik Sarawak dengan grid Sabah bagi menyalurkan 50 megawatt (MW) tenaga elektrik ke negeri itu.
Menurutnya, itu merupakan penyambungan grid rentas sempadan yang kedua selepas penyaluran tenaga elektrik hijau sebanyak 190 MW hingga 200 MW ke Kalimantan Barat sejak 2016.
Beliau menambah dengan penyambungan ke grid Brunei, akan wujud grid Borneo yang memanfaatkan tenaga hijau dari Sarawak.
Selain itu, Abang Johari berkata tahun ini juga membawa potensi kerjasama lebih erat antara Indonesia dan Malaysia, khususnya Sarawak, dari segi penjanaan dan penyaluran tenaga hijau rentas sempadan serta pembangunan teknologi tinggi.
“Dua minggu lalu, saya telah menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi Indonesia 2026 dan Menteri Penyelarasan Hal Ehwal Ekonomi Indonesia telah menyatakan keinginan untuk bekerjasama dengan Sarawak dalam bidang semikonduktor kerana Sarawak sudah menampakkan kejayaan dalam bidang ini.
“Sarawak, melalui syarikat X-FAB, telah berjaya mengeluarkan cip analog di Zon Industri Bebas Samajaya di Kuching sejak 1998 dan pusat pengeluaran tersebut sedang menjalani pembesaran dengan kos RM3 bilion untuk meningkatkan pengeluaran,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan Sarawak harus menjadi pencipta teknologi dan bukan lagi sekadar pengguna teknologi jika ingin keluar daripada kepompong sebagai wilayah yang berasaskan teknologi rendah.
“Kejayaan Sarawak setakat ini melalui syarikat Kerajaan Sarawak, SMD Semiconductor, untuk mencipta cip sebatian berasaskan Gallium Nitride dan dikuasakan oleh AI atau cip GaN merupakan kesungguhan usaha untuk menjadi pereka cip berbanding hanya sebagai pemasang cip,” katanya.
Di samping itu, Abang Johari turut berhasrat agar Sarawak memiliki satelit sendiri di angkasa lepas bagi tujuan pemantauan cuaca melalui pembangunan satelit mikro.
Katanya satelit jenis itu atau CubeSats jauh lebih murah untuk dibangunkan dan diletakkan pada orbit bumi rendah berbanding kos satelit konvensional.
“Ini juga adalah langkah untuk menggiatkan inovasi dan membuka peluang kepada generasi muda kita untuk menguasai teknologi aeroangkasa, satu bidang yang semakin penting bagi ekonomi masa depan,” katanya.
Sumber : Suara Sarawak |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
salam dan selamat pagi semua
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Edited by Vellfire at 16-2-2026 10:05 AM
KOPEKS terus main peranan strategik
Februari 16, 2026, Isnin - 8:30am

RASMI: Saat menerangkan sesuatu kepada Mohamad sebelum merasmikan Premis K-Care Klinik di Sembulan selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bayaran Dividen KOPEKS Tahun 2023-2024.
# Selaras dengan pelan pembangunan SMJ, bersama menyokong agenda pembangunanS Tahun 2023-2024. negeri secara inklusif dan mampan
KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berbangga dengan pencapaian Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) kerana berjaya mengekalkan perniagaan pembiayaan kepada anggota secara konsisten, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi negara.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, keupayaan itu membuktikan kekuatan asas kewangan, kecekapan pengurusan serta komitmen tinggi KOPEKS untuk terus mendahulukan keperluan anggotanya.
Dengan keupayaan dan kejayaan membanggakan, KOPEKS juga berjaya melaksanakan agihan dividen tunai kepada anggotanya yang jelas mencerminkan prestasi kewangan yang baik.

AMANAT: Mohammad menyampaikan ucapan semasa merasmikan Majlis Pelancaran Bayaran Dividen KOPEKS di Dewan Saadah MUIS.
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada KOPEKS atas kejayaan penganjuran Majlis Pelancaran Bayaran Dividen pada hari ini. Pengumuman dividen ini mencerminkan prestasi kewangan yang sihat serta pengurusan dan kepimpinan koperasi yang berdisiplin dan berwawasan.
"Sejak lebih 63 tahun yang lalu, KOPEKS telah membuktikan peranannya sebagai koperasi berimpak tinggi yang menyumbang secara langsung kepada peningkatan taraf ekonomi penjawat awam di Sabah.
"Pengembangan perniagaan yang berterusan, digabungkan dengan fokus kebajikan anggota, menjadikan KOPEKS sebuah institusi yang kekal relevan dan dipercayai hingga ke hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bayaran Dividen KOPEKS Tahun 2023-2024 dan perasmian Premis K-Care Klinik, Sembulan, dekat sini, pada Ahad.

SIDANG MEDIA: Buvil berkata sesuatu kepada Mohamad sebelum sidang media, selepas merasmikan Premis K-Care Klinik di Sembulan.
Hadir sama Pengerusi KOPEKS, Datuk Dr. Haji Saat Haji Ag Damit; Setiausaha, Nismah Kanak; Bendahari, Ag Azmee Ag Kati; Anggota Lembaga Koperasi (ALK) Ag Masri; ALK, Yayun Lamadas dan ALK, Asiah Jamlus serta barisan pengurusan utama KOPEKS, Ketua Pegawai Eksekutif, Buvil Angkui; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Rita Rantian; Pengurus Perniagaan dan Perkhidmatan, Raihanah Hassanudin dan Pengurus Pentadbiran dan Operasi, Felicia Binson.
Dalam pada itu, Mohamad berkata lebih membanggakan, KOPEKS kini muncul sebagai perintis dalam perniagaan perkhidmatan kesihatan di Sabah.
"Saya dimaklumkan bahawa KOPEKS telah berjaya mengoperasikan tiga cawangan klinik kesihatan, masing-masing di Kota Kinabalu, Sepanggar, dan Kota Belud.
"Inisiatif ini bukan sahaja mempelbagaikan sumber perniagaan koperasi, malah memberi manfaat langsung kepada anggota dan komuniti melalui akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih dekat dan berpatutan," katanya.

SAMPAIKAN: Buvil menyerahkan buku autobiographi dan pengalaman pengurusan koperasi bertajuk 'Competent CEO' hasil tulisan beliau kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin.
Justeru, beliau menyeru semua penjawat awam khususnya di Sabah yang masih belum menjadi ahli koperasi supaya menyertai KOPEKS.
Ini kerana katanya, KOPEKS telah terbukti memberi manfaat nyata kepada anggotanya, termasuk pulangan dividen yang berterusan serta sokongan kewangan dan sosial sepanjang hayat perkhidmatan.
Beliau turut berharap KOPEKS akan terus berkembang dan memainkan peranan strategik selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam memperkasa ekonomi rakyat, memperluas perkhidmatan berimpak tinggi, dan menyokong agenda pembangunan negeri secara inklusif dan mampan.
Sumber : Utusan Borneo
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki ditahan, bantu siasatan kes kecurian perahu dan enjin sangkut
Februari 15, 2026, Ahad - 7:43pm
BINTANGOR: Seorang lelaki berusia 51 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kecurian sebuah perahu dan satu unit enjin sangkut hujung tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Bintangor DSP Tansli Mering berkata, tangkapan tersebut dibuat berdasarkan laporan kes yang dibuat oleh pemilik bot terbabit pada 6 Disember 2025.
“Hasil maklumat awam, pihak polis telah berjaya menahan lelaki berkenaan di sebuah kampung, dekat sini.
“Siasatan lanjut telah membawa dan menunjukkan kepada pihak polis lokasi perahu dan enjin sangkut tersebut di simpannya.
“Perahu dan enjin sangkut tersebut telah dirampas dan dijadikan bahan kes,” kata Tansli kepada media, hari ini.
Berikutan itu, kata Tansli, lelaki tersebut telah ditahan reman bagi proses siasatan.
“Kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum dengan penjara hingga 7 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Saringan urin ke atas suspek juga telah dibuat dan didapati negatif dadah dan suspek tiada rekod jenayah lampau.
“PDRM khususnya IPD Meradong ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan jenayah serta merayu kepada orang ramai memberi kerjasama kepada pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti jenayah bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara,” tegas Tansli lagi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|