MELAKA – Wanita berketurunan Kemboja yang juga pemilik syarikat jahitan pukal, Mariyah Holdings Sdn. Bhd., Mariyah Yaakob, 48, didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menghina kaum Melayu, tahun lalu.
Hakim Azaraorni Abd. Rahman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh membuat pengakuan berkenaan sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Anaknya, Ezuan Hafsham Mohd. Hisyam, 23, pula dikenakan bon berkelakuan baik sebanyak RM10,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin warganegara Malaysia selepas mahkamah mempertimbangkan tertuduh masih menuntut di University of Reading di United Kingdom.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan aplikasi TikTok dan membuat suatu penyataan dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu pada 16 November tahun lalu, kira-kira pukul 6 petang.
Ezuan yang juga Pengarah syarikat Mariyah Holding pula didakwa secara sedar menggunakan aplikasi TikTok membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video yang memaparkan ibunya mengatakan kenyataan jelik itu antara 14 hingga 16 November lalu.
Tertuduh juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar dalam prosiding memohon agar hukuman setimpal dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius kerana ia menyentuh isu ‘3R’ (kaum, agama, raja).
Peguam Kamal Hisham Jaafar yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar hukuman ringan diberikan ekoran pengakuan yang dibuat anak guamnya telah menjimatkan masa mahkamah, selain keduanya telah insaf.
Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Azaraorni memerintahkan Mariyah membayar denda sebanyak RM40,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar. Mariyah kemudian membayar denda berkenaan. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/12/06/hina-melayu-malas-mak-cik-kemboja-didenda-rm40000/