CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 15-2-2026 10:12 AM | Show all posts


SAMBUTAN: Limus dan tetamu jemputan lain sedang melakukan 'Yee Sang' sempena Karnival Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Daerah Kuala Penyu dan Menumbok.

"Mereka adalah rakan pelaksana penting agenda pembangunan Sabah di bawah kerangka hala tuju SMJ," katanya.

Beliau berkata kerjasama erat antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat tanpa mengira kaum amat penting, justeru akan terus diperkukuhkan.

Ini kerana, katanya, melalui kerjasama ini, dasar pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 15-2-2026 10:13 AM | Show all posts


PLAK: Limus menandatangani plak perasmian Pasar Am Menumbok dan Pasar Tani Terbuka Pekan Menumbok sempena majlis itu.

Mengenai karnival itu, Limus berkata penganjurannya diyakini memperkukuh lagi kesatuan dan perpaduan rakyat pelbagai kaum di daerah ini.

"Inilah kekuatan sebenar masyarakat Kuala Penyu dan Menumbok yang berbilang kaum dan bersilang budaya," katanya.

Menurutnya, komuniti yang bersatu padu adalah lambang kemajuan sesebuah negeri.

Beliau berkata apabila rakyat hidup dalam keadaan aman dan harmoni, pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan berkesan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-2-2026 10:13 AM | Show all posts


TAHNIAH: Limus menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada salah seorang pengunjung sempena Karnival Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Daerah Kuala Penyu dan Menumbok.

"Karnival seperti ini mencerminkan keunikan Sabah sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya.

"Setiap perayaan diraikan bersama dalam semangat saling menghormati dan muhibah.

"Inilah identiti kita sebagai rakyat Sabah, yang sentiasa mengutamakan persefahaman dan toleransi antara kaum," katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-2-2026 10:15 AM | Show all posts
50 kotak lima mandarin diagihkan kepada JKKK Sungai Dasin Ensurai
Februari 15, 2026, Ahad - 6:31am



Hii (enam kanan) dan Lau (tujuh kanan) ketika mengagihkan limau kepada penduduk Sungai Dasin Ensurai di Sibu pada Sabtu.

SIBU: Semangat muhibah dan kehangatan Tahun Baharu Cina jelas terasa apabila Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Dasin Ensurai menganjurkan program “Kehangatan Tahun Baharu Cina” dengan mengagihkan 50 kotak limau mandarin kepada penduduk setempat pada Sabtu.

Program yang berlangsung dalam suasana penuh ceria itu diketuai oleh Pengerusi JKKK Sungai Dasin Ensurai, Kapitan Hii Hiong Ping.

Turut hadir memeriahkan acara ialah Pengerusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan Kaunselor Kevin Lau, yang bersama-sama turun padang menyampaikan sendiri limau mandarin kepada para penerima.

Suasana majlis tampak harmoni dengan senyuman dan ucapan tahniah Tahun Baharu saling bertukar antara pemimpin dan penduduk.

Kehadiran pemimpin masyarakat dalam program tersebut mencerminkan keprihatinan berterusan terhadap kebajikan komuniti, khususnya ketika musim perayaan.

Menurut Hii, Tahun Baharu Cina bukan sekadar perayaan, malah simbol penyatuan keluarga, harapan baharu dan permulaan yang lebih baik.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan diharap dapat menyemarakkan lagi semangat perayaan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk.

"Selain memberi perhatian kepada pembangunan dan kemudahan infrastruktur, aspek kebajikan masyarakat juga sentiasa menjadi keutamaan kami.

"Agihan limau mandarin ini adalah tanda ingatan dan doa agar seluruh komuniti dapat menyambut perayaan dengan penuh kegembiraan," katanya.

Sementara itu, Lau merakamkan penghargaan kepada pihak jawatankuasa atas penganjuran program berkenaan dan menyifatkannya sebagai usaha murni yang wajar diteruskan.

Beliau turut mengambil kesempatan menyampaikan ucapan Tahun Baharu Cina lebih awal kepada penduduk, dengan harapan agar tahun yang mendatang membawa kesihatan yang baik, kebahagiaan keluarga, kejayaan dalam kerjaya serta rezeki yang melimpah ruah.

Program tersebut bukan sahaja menyuntik keceriaan sempena musim perayaan, malah memperkukuh jalinan kerjasama antara pemimpin dan masyarakat, sekali gus menyemai semangat perpaduan dan keharmonian dalam komuniti setempat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-2-2026 10:16 AM | Show all posts
21 pegawai KEMAS Sarawak hadir Kursus Pengurusan iAREF 2026
Februari 15, 2026, Ahad - 6:35am



Pegawai dan kakitangan KEMAS Negeri Sarawak ketika menyertai Kursus iAREF Bagi Tahun 2026 di Putrajaya.

SIBU: Seramai 21 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sarawak telah menghadiri Kursus Pengurusan Integrated Audit Report and Feedback Management System (iAREF) Bagi Tahun 2026, yang telah diadakan di Dewan Sri Lestari, Aras B1, Bangunan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Putrajaya, baru-baru ini.

Peserta kursus terdiri daripada pegawai yang melaksanakan peranan sebagai Auditi Pengesah, iaitu pegawai daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 9 dan ke atas, serta Auditi Penyedia yang terlibat secara langsung dalam proses kerja pengurusan kewangan di 10 Pusat Tanggungjawab (PTJ) KEMAS peringkat Bahagian dan Daerah di Sarawak yang diketuai oleh Puan Fatimah binti Rosli, Timbalan Pengarah Kewangan dan Pembangunan.

Menurut KEMAS Negeri Sarawak, kursus anjuran Unit Audit Dalaman (UAD) KKDW ini bertujuan menjadi platform penerangan terperinci secara langsung berhubung proses pelaksanaan penilaian kendiri pengauditan pengurusan kewangan serta pengesahan penilaian melalui Modul Self Assessment Audit (SAA) dalam Sistem iAREF.

"Pelaksanaan kursus ini juga bertujuan meningkatkan kefahaman dan kecekapan pegawai dalam melaksanakan audit pengurusan kewangan secara lebih sistematik dan berstruktur.

"Pada tahun ini, pengauditan pengurusan kewangan oleh UAD KKDW akan dilaksanakan sepenuhnya melalui Modul SAA dalam Sistem iAREF," katanya dalam satu kenyataan.

Modul ini, katanya merupakan satu mekanisme penilaian kendiri yang membolehkan setiap PTJ menilai tahap pematuhan terhadap prinsip tadbir urus kewangan yang ditetapkan, di samping membantu meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengurusan kewangan secara berterusan.

Jelasnya lagi, kursus sehari ini merangkumi pelbagai pengisian bermanfaat, antaranya ceramah bertajuk “Isu, Kesilapan Lazim dan Penambahbaikan Berdasarkan Pelaksanaan Tahun 2025”yang disampaikan oleh penceramah dari UAD KKDW.

Sesi seterusnya melibatkan ceramah berkaitan Pentadbiran Sistem Permohonan ID, merangkumi aspek log masuk dan pengurusan kata laluan.

Pada sebelah petang, peserta didedahkan dengan ceramah dan latihan secara hands-on melibatkan Sub-modul: Peranan Auditi Penyedia dan Auditi Pengesah, diikuti Sub-modul: Simulasi Penilaian Kendiri dan Pengesahan Penilaian, bagi memastikan peserta benar-benar memahami proses kerja yang terlibat dalam Sistem iAREF.

Secara keseluruhan, kursus ini telah disertai oleh seramai 216 orang peserta dari seluruh negara, melibatkan 52 PTJ, terdiri daripada pegawai yang melaksanakan peranan sebagai Auditi Pengesah dan Auditi Penyedia.

Penganjuran kursus ini diharap dapat memperkukuh pelaksanaan pengauditan pengurusan kewangan yang lebih cekap, telus dan berintegriti selaras dengan keperluan tadbir urus kewangan semasa yang dikehendaki oleh Kerajaan MADANI.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-2-2026 10:17 AM | Show all posts
sbh - Kerajaan komited bina negeri aman, bersatu padu: Limus

swk - 21 pegawai KEMAS Sarawak hadir Kursus Pengurusan iAREF 2026

Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 15-2-2026 10:40 AM | Show all posts
Remaja hilang ditemui selamat

SERIAN: Remaja perempuan berusia 16 tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang di Kampung Tema Saan, Tebedu, berjaya ditemui selamat di sekitar kawasan Serian.

Ketua Polis Daerah Serian, Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian memaklumkan mangsa ditemui hasil tindakan pihak polis dan maklumat orang awam.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk tindakan lanjut.

“Polis turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat dalam usaha mengesan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa Avril Filles Natalia Jimmey dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah di Kampung Tema Saan, Tebedu, pada Rabu. — TVS


Sumber : Suara Sarawak
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-2-2026 12:52 PM | Show all posts
Danum Valley Mountain Bike Race bakal jadi acara tahunan
Februari 15, 2026, Ahad - 11:11am



MENANG: Jafry (depan kiri) bergambar bersama pemenang Danum Valley Mountain Bike Race.

LAHAD DATU: Penganjuran Danum Valley Mountain Bike Race bakal dijadikan acara tahunan sebagai platform menarik penyertaan peminat sukan basikal dari dalam dan luar negara, selain mempromosikan keindahan alam semula jadi Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, keunikan hutan hujan tropika di Lembah Danum yang masih terpelihara merupakan aset tidak ternilai bagi negeri dan negara.

Katanya, penganjuran acara seumpama itu bukan sahaja memperkenalkan ekosistem hutan semula jadi Sabah yang kaya biodiversiti, malah meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar.

“Program ini adalah anjuran pertama dan kita mengharapkan pada masa akan datang lebih ramai peserta, terutama dari luar negara.

“Kita mahu semua peserta turut menikmati destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi di Danum Valley,” katanya ketika merasmikan acara berkenaan, di sini.



PENGANJUR: Auther (kiri) dan Freddie (kanan).

Edisi sulung perlumbaan sejauh 88 kilometer itu berjaya menarik 120 peserta, termasuk dari Thailand, Brunei, Perancis, Indonesia serta seluruh Malaysia.

Peserta paling berusia yang mengambil bahagian ialah seorang lelaki berumur 64 tahun, membuktikan acara itu terbuka kepada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

Program julung kali itu dianjurkan oleh Borneo Rainforest Lodge dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia serta Lembaga Pelancongan Sabah.

Acara berkenaan turut membuka ruang promosi lebih luas kepada pasaran antarabangsa, khususnya dalam segmen pelancongan sukan dan ekopelancongan yang semakin mendapat tempat di peringkat global.



PESERTA: Antara peserta yang menyertai Danum Valley Mountain Bike Race.

Sementara itu, Pengarah Program, Auther J Kimon berkata, sambutan awal yang diterima amat menggalakkan meskipun promosi dibuat dalam tempoh singkat.

Menurutnya, kebanyakan peserta luar Sabah mencadangkan agar promosi dan pendaftaran dibuka lebih awal supaya mereka dapat merancang perjalanan serta logistik dengan lebih teratur.

“Ramai peserta menyatakan minat untuk kembali menyertai edisi seterusnya. Jika promosi dimulakan lebih awal dan diperluaskan ke peringkat antarabangsa, kita yakin penyertaan boleh meningkat dua atau tiga kali ganda,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Borneo Rainforest Lodge, Freddie Coleman pula berkata, acara itu bukan sekadar perlumbaan sukan lasak, tetapi platform pendidikan dan kesedaran alam sekitar.

Katanya, peserta bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, malah berpeluang merasai sendiri pengalaman berada dalam kawasan konservasi hutan antara tertua di dunia yang kaya dengan biodiversiti unik.

“Kita mahu peserta pulang bukan sekadar dengan pengalaman perlumbaan, tetapi juga kesedaran tentang pentingnya memelihara khazanah alam seperti Danum Valley.

“Inilah nilai tambah yang membezakan acara ini daripada perlumbaan lain,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan beberapa penganjur acara di Semenanjung Malaysia dan menjangkakan jumlah peserta boleh meningkat antara 400 hingga 500 orang pada edisi akan datang sekiranya promosi dilakukan lebih awal serta mendapat sokongan berterusan pelbagai pihak.



SERONOK: Peserta merasai keseronokan mengayuh basikal sambil menikmati udara yang segar.

Seorang peserta dari Thailand, Muzcali, menyifatkan perlumbaan itu sebagai pengalaman unik dan mengujakan.

“Saya rasa ini satu pengalaman yang agak baharu kerana ini merupakan kawasan pemuliharaan, jadi ia sangat menyeronokkan bagi saya dan laluannya juga sangat menakjubkan,” katanya.

Bagi peserta tempatan, Tim James, peluang menyertai perlumbaan di kampung halamannya memberi makna tersendiri, selain menjadi platform mempromosikan acara itu kepada rakan-rakan di Bangkok, Thailand, tempat beliau bekerja sejak lebih empat tahun lalu.

Acara berkenaan dilihat berpotensi menjadi produk pelancongan sukan baharu Sabah yang mampu merancakkan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa, sekali gus menyokong agenda pembangunan pelancongan mampan negeri ini.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 15-2-2026 12:53 PM | Show all posts
20 belia sertai bengkel rakan pembangunan NEXTGEN 2026
Februari 15, 2026, Ahad - 11:03am



Para peserta bergambar bersama penganjur NEXTGEN 2026 selepas majlis penutupan dan penyampaian sijil di sebuah hotel di Kuching, Jumaat lepas.

KUCHING: Seramai 20 belia dari pelbagai universiti dan kolej telah menamatkan bengkel sebagai rakan pembangunan di bawah Program Next Generation of Sarawak (NEXTGEN) 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Udin Bujang berkata, program selama tiga hari itu menghimpunkan belia Sarawak berusia antara 18 hingga 28 tahun.

"Mereka didedahkan dengan gaya kepimpinan belia yang berstruktur, inklusif dan berpaksikan keperluan pembangunan negeri, khususnya dalam bidang STEM(Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan keusahawanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil NEXTGEN Sarawak 2026 di sini pada Jumaat lepas.

Udin berkata, NEXTGEN Sarawak 2026 adalah anjuran TEGAS yang direka untuk memperkukuh gaya kepimpinan belia Sarawak dengan ekosistem serta modal insan mengikut acuan Sarawak.

"Program ini berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan TEGAS dengan generasi muda di seluruh bahagian Sarawak bagi memastikan penglibatan belia yang lebih menyeluruh dan berterusan.

"Antara objektif penganjuran NEXTGEN Sarawak ialah memperkasa belia sebagai rakan strategik pembangunan dengan meningkatkan kefahaman terhadap hala tuju Sarawak, dasar utama kerajaan serta keperluan tenaga kerja masa hadapan," tegasnya.

Tambahnya, antara pengisian program ialah bengkel kepentingan STEM dan TVET dalam pembangunan tenaga kerja masa hadapan Sarawak, perkongsian inisiatif keusahawanan dan sokongan ekosistem startup negeri dan pendedahan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Pelan Ekonomi Digital Sarawak.

"Pengisian lain termasuk penerangan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Skim pendidikan Percuma Sarawak (FTES) yang bermula tahun ini," katanya.

NEXTGEN Sarawak katanya, adalah kesinambungan kepada pelbagai inisiatif pembangunan belia yang telah dilaksanakan sejak 2012 termasuk Forum Belia TEGAS, Sarawak Youth Leaders, Community Innovation Literacy (COMIL) dan pelbagai program berimpak tinggi lain.

"Kesemua inisiatif ini selari dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030 berteraskan modal insan yang berkemahiran, inovatif dan berdaya saing.

"Dalam konteks ini, TEGAS berperanan sebagai pemangkin ekosistem, bukan sekadar penganjur program...kami menyokong, memudah cara dan
membuka peluang agar belia Sarawak dapat berkembang bersama pembangunan negeri," kata Udin lagi.

Hadir sama, Ketua Bahagian Pendidikan Tinggi Kementerian, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sharifah Fariah Syed Junaidi, Pengurus Kanan Pembelajaran Inovatif Komuniti TEGAS Fredick Kevin Buseli dan Eksekutif Kanan Pemasaran Sarawak Skills Awang Mohamad Hasrekim Awang Yusof.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-2-2026 12:54 PM | Show all posts
Rumah kosong dua tingkat musnah terbakar di Kuching
Februari 15, 2026, Ahad - 11:19am

Pasukan bomba berusaha memastikan kebakaran di Jalan Stampin tidak merebak dan memusnahkan rumah lain di Jalan Stampin, malam tadi. - Gambar JBPM Sarawak

KUCHING: Sebuah rumah kosong jenis berkembar dua tingkat musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Stampin, di sini malam tadi.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.21 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dengan bantuan BBP Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran melibatkan sebuah rumah kosong berstruktur kekal dengan anggaran keluasan 30 x 45 kaki persegi dan telah terbakar 100 peratus.

"Api turut merebak ke rumah bersebelahan dan menyebabkan kira-kira 20 peratus bahagian rumah kedua terjejas," katanya dalam satu kenyataan.

Seramai 16 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) terlibat dalam operasi itu.

Pasukan bomba bertindak menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua nozel serta satu hosereel bagi menjalankan kerja-kerja pemadaman dan penyejukan di rumah kedua.

Kebakaran di rumah bersebelahan dilaporkan hanya melibatkan bahagian tingkap, dengan anggaran kerosakan sekitar 40 peratus pada peringkat awal sebelum berjaya dikawal.

Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya, dan kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan bagi memastikan tiada sisa bara yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

Operasi ditamatkan sepenuhnya selepas keadaan disahkan selamat dan semua anggota kembali ke balai.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-2-2026 12:55 PM | Show all posts
sbh - Danum Valley Mountain Bike Race bakal jadi acara tahunan

swk - MTPMA63 teliti hasil rundingan Persekutuan-Sarawak: Fadillah

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-2-2026 01:05 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-2-2026 01:06 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-2-2026 01:23 PM | Show all posts
MBKS tempatkan tong RoRo di beberapa lokasi terpilih: Wee
Februari 15, 2026, Ahad - 1:03pm



Petugas pembersihan memasukan sampah pukal ke dalam tong RoRo di salah satu kawasan tadbiran MBKS hari ini.

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan menempatkan tong Roll-on Roll-off (RoRo) di beberapa lokasi terpilih di kawasan tadbirannya bagi memudahkan penduduk melupuskan sisa pukal sempena ketibaan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026.

Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng berkata, pihaknya turut menjalankan kerja-kerja pembersihan segera di beberapa lokasi tong RoRo selepas mendapati terdapat sampah yang dibuang di luar tong, sekali gus menjejaskan kebersihan kawasan berkenaan.

"Ia antara inisiatif berterusan pihak kami dalam mengekalkan tahap kebersihan awam dan persekitaran bandar khususnya ketika musim perayaan apabila kebanyakan isi rumah menjalankan pembersihan besar-besaran.

"Tong RoRo disediakan bagi kemudahan orang ramai dan perlu digunakan secara bertanggungjawab.

"Amalan pembuangan sampah secara tidak teratur, termasuk membuang sisa di luar tong atau menggeledah barangan buangan bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah boleh mengundang masalah kebersihan serta penularan penyakit berjangkit," katanya.

Beliau berkata, adalah amat mendukacitakan apabila masih terdapat pihak yang sengaja membuang sampah di luar tong walaupun kemudahan yang sewajarnya telah disediakan.

"Ketika kita membuat persiapan untuk menyambut perayaan, marilah kita bersama-sama memikul tanggungjawab untuk memastikan bandar kita kekal bersih, teratur dan sihat untuk semua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wee turut mengingatkan penduduk supaya memastikan semua sisa dilupuskan dengan betul ke dalam tong yang disediakan serta bekerjasama dengan MBKS dalam usaha mengekalkan kebersihan di seluruh Kuching Selatan.

Beliau berkata, melalui tanggungjawab bersama dan kerjasama komuniti, MBKS berharap musim perayaan dapat disambut dalam suasana bandar yang bersih, sihat, ceria dan selamat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-2-2026 01:25 PM | Show all posts
Program Semarak Ramadan inisiatif ringankan kos sara hidup rakyat: Fazzrudin
Februari 15, 2026, Ahad - 1:14pm



Fazzrudin (empat kiri) dan Norsalawaty (tiga kiri) merakamkan kenangan di pintu masuk Bazar Ramadan di Medan Niaga Satok. – Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Program Semarak Ramadan membuka tirai dengan pelancaran jualan Agro Sarawakku Sayang serta Bazar Ramadan lebih awal di Medan Niaga Satok hari ini.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat menjelang Ramadan.

“Di bawah jualan Agro MADANI, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan kepada FAMA untuk memberi subsidi kepada barangan keperluan asas seperti ayam, telur dan beras supaya dapat dijual pada harga lebih rendah kepada masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak bazar berkenaan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah FAMA Negeri Sarawak Norsalawaty Abdul Kadir berkata, pelbagai promosi khas telah disediakan untuk orang ramai sepanjang tempoh program tersebut.

“Bagi promosi khas hari ini, kami menawarkan 300 ekor ayam dan 300 papan telur.

“Kami juga menyediakan kira-kira 300 pek kombo Agro MADANI yang mengandungi 5 kilogram beras, gula dan madu FAMA,” ujarnya.



Fazzrudin bercakap kepada pemberita pada Program Semarak Ramadan. – Gambar Roystein Emmor

Beliau menambah, selain jualan Agro Sarawakku Sayang, seramai 840 peniaga turut beroperasi di lot sedia ada di Medan Niaga Satok dengan menawarkan pelbagai barangan termasuk ikan, ayam, daging serta produk makanan lain.

Jualan Agro MADANI berlangsung dari 7 hingga 18 Februari, manakala Bazar Ramadan yang diperkenalkan lebih awal tahun ini bermula hari ini.

Sehubungan itu, Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata, pelaksanaan lebih awal itu memberi ruang kepada para peniaga untuk menyesuaikan diri serta membuat persediaan sewajarnya sebelum Ramadan, selain membolehkan pengunjung mencuba pelbagai juadah lebih awal.

“Bazar ini menampilkan pelbagai kategori jualan termasuk 14 lot minuman, 18 lot makanan bergoreng, 17 lot lauk-pauk, 15 lot kuih-muih tradisional dan lapan lot makanan bakar,” jelasnya.

Beliau menegaskan, program tersebut bukanlah inisiatif sekali sahaja, malah telah dilaksanakan sejak tahun lalu dan akan diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk membantu rakyat.

“Ini adalah antara usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam membantu rakyat dari segi kebajikan dan kelangsungan hidup,” tambahnya.



Fazzrudin (dua kanan) bersama Norsalawaty (kanan) menyampaikan pek kombo Agro MADANI kepada salah seorang penerima. – Gambar Roystein Emmor


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-2-2026 01:27 PM | Show all posts
sbh - Danum Valley Mountain Bike Race bakal jadi acara tahunan

swk - Kerajaan Sarawak kekal pertahan undang-undang O&G negeri

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 15-2-2026 01:28 PM | Show all posts
Everrise tawar ganjaran menarik, promosi istimewa sempena TBC
Februari 15, 2026, Ahad - 7:30am



Everrise menawarkan rangkaian lengkap barangan keperluan Tahun Baharu Cina termasuk limau mandarin import segar.

KUCHING: Everrise, rangkaian pasar raya premium terkemuka di timur Malaysia, menyambut kedatangan Tahun Baharu Cina (TBC) dengan pelbagai ganjaran menarik, promosi istimewa serta aktiviti sambutan di dalam premis bagi memeriahkan lagi suasana perayaan.

Menurut kenyataan Everrise hari ini, sempena dengan musim perayaan kali ini pihaknya menawarkan rangkaian lengkap barangan keperluan TBC termasuk limau mandarin import segar, barangan runcit perayaan, set hadiah eksklusif serta pelbagai pilihan minuman.

Turut disediakan koleksi wain dan champagne premium yang sesuai untuk majlis makan besar dan sebagai hadiah istimewa kepada keluarga serta rakan-rakan.

Bagi menambah kemeriahan, Everrise juga memperkenalkan pelbagai tawaran istimewa untuk para pelanggan setianya.

Bagi ahli yang berbelanja minimum RM100 dalam satu resit layak menerima angpau percuma sebagai tanda penghargaan.

Selain itu, menerusi kempen 'Lucky Prosperity Pick,' ahli yang berbelanja RM88 dalam satu resit berpeluang memenangi baucar bernilai sehingga RM500 untuk  menambah keceriaan sambutan perayaan tahun ini, tambahnya.

Promosi 'Happy Hour' turut diadakan di cawangan terpilih, manakala diskaun sehingga 70 peratus ditawarkan di gedung serbaneka Everrise Batu 4, BDC dan Padungan di Kuching.

Pelanggan juga berpeluang untuk mendapatkan hamper perayaan yang disusun rapi bermula dari RM150 sesuai dijadikan buah tangan kepada sanak saudara dan rakan taulan.

Bagi mereka yang mencari sentuhan eksklusif, pembungkusan khas TBC turut ditawarkan di cawangan terpilih dengan potongan harga sehingga 30 peratus.

Koleksi pakaian perayaan juga boleh didapati di Everrise Batu 4, BDC dan Padungan, Kuching.

Dalam usaha memberi lebih kemudahan kepada pelanggan, cawangan Everrise BDC dan Batu 4 di Kuching serta Boulevard Commercial Centre di Miri akan melanjutkan waktu operasi sehingga jam 12 tengah malam dari 13 hingga 15 Februari 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Everrise Melody Chum berkata, TBC merupakan masa untuk kegembiraan, kebersamaan dan harapan baharu dalam menyambut tahun yang mendatang.

“Dalam semangat perayaan ini, Everrise berbesar hati untuk menawarkan pelbagai ganjaran, tawaran menarik dan pilihan produk berkualiti yang boleh dinikmati bersama oleh keluarga dan komuniti,” katanya.

Ditubuhkan pada 1993, Everrise kini mengendalikan 20 cawangan di seluruh Kuching, Miri, Kota Kinabalu dan Bintulu dengan lebih 1,000 kakitangan.

Sebagai peruncit premium terbesar di Malaysia Timur, Everrise terus komited menyediakan produk berkualiti pada nilai terbaik dengan memahami keperluan pasaran tempatan yang sentiasa berubah.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-2-2026 01:29 PM | Show all posts
UKAS pupuk gaya hidup sihat, perkukuh kerja berpasukan menerusi acara pickleball
Februari 15, 2026, Ahad - 1:01pm



Pang (tengah) bersama Awang Putrayusrie (empat kiri) dan Angellie (dua kanan) serta beberapa pihak yang menyertai acara tersebut merakamkan kenangan.

BINTULU: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mengadakan Program UKAS Get-Together 2026 dalam memupuk gaya hidup sihat sambil mengukuhkan hubungan kerja berpasukan serta semangat setiakawan merentasi jabatan menerusi acara sukan pickleball di Kenyalang Pickleball Central di sini, semalam.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang serta turut dihadiri Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Angellie Stephen Raja.

Pang berkata, sukan seperti pickleball bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif, malah mampu mengukuhkan kerja berpasukan dan semangat setiakawan merentasi jabatan.

"Di gelanggang, tiada gelaran hanya rakan sepasukan, persaingan yang sihat dan keceriaan.

"Gelanggang ini terasa sangat biasa bagi saya, ia adalah tempat yang saya kunjungi sekali-sekala untuk kecergasan melalui permainan pickleball selepas mengharungi jadual yang sibuk," ujarnya.

Kadangkala katanya, apa yang diperlukan hanyalah sedikit pergerakan untuk menetapkan semula arah dan fokus.

Beliau berharap semua yang terlibat kekal aktif dan menjaga kesihatan diri dan menghargai usaha UKAS yang menganjurkan program bermakna tersebut.



Pang (kiri) bersama Angellie turut menyertai permainan sukan pickleball yang diadakan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-2-2026 05:30 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-2-2026 05:34 PM | Show all posts
KPDN laksana Ops Pantau 19 Feb hingga 20 Mac
Februari 15, 2026, Ahad - 2:15pm



Armizan menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Cina selepas merasmikan pembukaan Burger King Benono Drive-Thru dan penyerahan sumbangan bakul makanan sempena sambutan Tahun Baharu Cina hari ini. - Gambar BERNAMA

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Ops Pantau dari 19 Februari hingga 20 Mac bagi memastikan bekalan dan harga barangan kekal terkawal.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata operasi itu melibatkan premis peruncitan, pasar tani, pasar malam, tamu, pasar raya dan bazar termasuk penjualan dalam talian.

“Ops Pantau untuk kita membuat pemantauan dan penguatkuasaan secara berfokus, lebih kerap dan secara bersasar sepanjang Ramadan hingga menjelang Aidilfitri,” katanya kepada pemberita di Benoni, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis Datuk Pangiran Saifuddin Pangiran Tahir Petra.

Beliau berkata selain memantau harga barang kawalan, fokus utama operasi ialah memastikan bekalan barangan asas seperti gula, ayam, telur, minyak masak dan tepung gandum mencukupi di pasaran.

Selain itu, beliau berkata Ops Pantau turut memberi tumpuan kepada penjualan dalam talian susulan perubahan ketara dalam trend kepenggunaan.

“Rakyat kita sudah banyak membeli secara online. Jadi itu perlu dipantau untuk memastikan tiada promosi yang mengelirukan. Contoh apabila ditetapkan tempoh penghantaran, jangan sampai ada barang yang lewat,” katanya.

Armizan berkata penguatkuasaan akan dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Perihal Dagangan juga melibatkan premis yang mengadakan promosi jualan murah bagi memastikan tiada iklan mengelirukan pengguna.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 70,906 premis diperiksa di seluruh negara sepanjang pelaksanaan Ops Pantau pada tahun lepas dengan 390 kes direkodkan. Di Sabah, ia melibatkan 3,403 premis dan 37 kes.

Beliau berkata antara kesalahan utama dikesan ialah tidak meletakkan tanda harga, kesalahan timbang dan sukat serta menjual barang kawalan melebihi harga ditetapkan termasuk di bawah skim harga maksimum musim perayaan.

Sehubungan itu, Armizan menggesa orang ramai menyalurkan aduan melalui platform rasmi KPDN supaya tindakan penguatkuasaan diambil segera.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-2-2026 09:11 PM GMT+8 , Processed in 0.147294 second(s), 31 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list