Kami memang sudah tiada ikatan istimewa lagi - Emma Maembong
KUALA LUMPUR: Akhirnya Emma Maembong bersedia memberikan kenyataan mengenai episod perpisahannya dengan Zizan Razak sejak Januari lalu. Namun beberapa insiden yang melihat mereka dilihat seperti kembali bersama mengundang persoalan pelik. Kelibat mereka ketika menghadiri acara Maharaja Lawak Mega dan Anugerah Juara Lagu baru-baru ini mula mencetuskan reaksi pelik apakah kedua-duanya sudah kembali bersama hingga dilihat seperti 'berdrama' atau wujud insiden sudah ludah dijilat semula. Kepada BH Online, Emma merungkaikan apa yang bermain di fikiran semua dari hatinya. "Secara jujurnya, saya dengan Zizan memang sudah tidak ada apa-apa lagi hubungan. Tapi itu tak bererti saya terus memutuskan persahabatan dengannya. Dunia hiburan ini kecil, balik-balik akan jumpa orang yang sama. "Sebab itu saya masih dilihat menemani atau bersamanya dalam acara hiburan. Tapi itu tak bererti saya dengan dia sudah berbaik semula. "Benar memang orang suka dan doakan kami akan hidup bersama. Saya pun suka dengan situasi itu. Sudah dua tahun kami bercinta. "Tapi takkanlah saya sewenang-wenangnya nak minta putus daripadanya. Mesti ada sebab. Tapi cukuplah saya pendam semuanya. Biarpun begitu orang masih beranggapan saya meninggalkannya masa dia (Zizan) susah dan cuba mengaibkannya," katanya. Menurut Emma, beliau sebenarnya masih sayangkan Zizan cuma jodoh tak panjang untuk melihat kedua-duanya ke pintu gerbang perkahwinan. "Sejujurnya apabila kami putus, ramai yang nampak seperti saya jahat dan tak kurang menganggap saya berkelakuan seperti budak-budak. Tak kisahlah apa orang nak cakap. Saya tak mampu memuaskan hati orang di luar sana. "Biasalah orang di luar sana juga pantas menghukum dan menuding jari. Tak semestinya yang berdiam selama ini atau sebaliknya betul. "Begitu juga sebaliknya. Orang di luar sana tak tahu apa yang terjadi antara kami. Hanya kami yang tahu segala-galanya. "Sampai pada satu tahap saya muat naik lagu jiwang atau rentan pun orang cakap saya bersifat kebudak-budakan. Mungkin lepas ini saya akan muat naik lagu raya sebelum waktunya pula untuk menunjukkan saya gembira," katanya.
|