|
Ronaldo bidas taktik Ferguson
RONALDO (kanan) ditenangkan penjaga gol United, Edwin van der Sar selepas tamat final Liga Juara-Juara semalam.
ROM - Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo menjelaskan bahawa kekalahan 0-2 pasukannya kepada Barcelona pada final Liga Juara-Juara kelmarin adalah disebabkan kesilapan taktik.
Menurut Pemain Terbaik Dunia itu, taktik yang direncanakan oleh Alex Ferguson hanya efektif pada 10 minit pertama.
Pada aksi di Stadium Olimpik kelmarin, United yang juga juara bertahan, turun menghadapi Barca dengan formasi 4-3-3.
Berdasarkan formasi itu, Ronaldo diletakkan sebagai penyerang tunggal di hadapan dengan diapit Wayne Rooney dan Park Ji-sung, masing-masing di sebelah kiri dan kanan.
"Kami tidak boleh beraksi baik. Ternyata taktik yang kami gunakan ini tidak baik dan ia adalah satu kesilapan besar," jelas Ronaldo.
"Kami hanya berjaya menguasai permainan pada 10 minit pertama, dan selepas itu segala-gala tidak menjadi."
Pada 10 minit pertama, Ronaldo berjaya menguji Victor Valdes sebanyak tiga kali, namun Barca berjaya mengambil kesempatan untuk menguasai permainan.
Peluang terbaik digunakan Andres Iniesta yang melakukan hantaran cantik kepada Samuel Eto'o, sebelum penyerang Cameroon itu bijak memperdayakan Nemanja Vidic dan Edwin van der Sar untuk gol pertama pada minit ke-10.
Gol itu jelas menjadi titik awal kebangkitan Barcelona, ketika formasi yang digunakan United mula menampakkan kesukaran apabila mereka berdepan masalah melepasi kekangan Sergi Busquets, Iniesta, dan Xavi Hernandez di bahagian tengah.
Satu-satunya cara United untuk mencari gol adalah menerusi percubaan dari jarak jauh, namun peluang mereka berakhir pada minit ke-70 apabila Lionel Messi menanduk masuk hantaran Xavi untuk gol kedua Barca.
"Barcelona bermain lebih baik dan saya akui, amat sukar untuk menerima kekalahan ini," ujar Ronaldo.
"Kami hanya memiliki kesempurnaan sebagai pemain pada 10 minit pertama dan selepas itu kami gagal sebagai pemain.
"Saya boleh katakan bahawa kami adalah pasukan yang tidak bagus dengan taktik yang tidak betul." - Agensi |
|