|
|
Penguang tegaskan tanggungjawab berat dipikul KMKK
Februari 13, 2026, Jumaat - 3:32pm

Penguang (depan) bersama para KMKK pada program Townhall KMKK dan JKKK Daerah Marudi 2026, semalam.
MIRI: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) diingatkan agar memainkan peranan penting sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan, selain menjadi mata dan telinga wakil rakyat di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil menegaskan bahawa tanggungjawab KMKK, termasuk tuai rumah dan kapitan, amat berat kerana mereka terlibat dalam pentadbiran serta agenda pembangunan di kampung dan rumah panjang.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi berkata, KMKK berperanan menyampaikan aliran maklumat penting di daerah masing-masing, menyelesaikan isu rumah panjang atau kampung serta memelihara adat resam kaum masing-masing.
“KMKK juga perlu bijak menguruskan kewangan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan mengamalkan integriti di peringkat akar umbi,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada penangguhan program Townhall KMKK dan JKKK Daerah Marudi 2026, semalam.
Beliau turut memaklumkan, RM600 diperuntukkan kepada setiap JKKK Kampung setiap tahun untuk mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya enam kali setahun.

Penguang menyampaikan sijil kepada salah seorang KMKK pada program semalam.
Menurutnya, semasa mesyuarat tersebut KMKK dikehendaki membentangkan laporan aktiviti dan kewangan JKKK masing-masing.
Program itu dihadiri 253 KMKK dari seluruh Daerah Marudi, termasuk 12 pemanca dan penghulu, 55 KK kawasan Mulu dan 24 KK kawasan Marudi, menjadikan jumlah keseluruhan 91 KMKK.
Dalam majlis tersebut, sijil pelantikan semula, sijil pelantikan baharu, dan sijil pelanjutan disampaikan kepada 16 KMKK kawasan Marudi.
Selain itu, sijil Kampung Contoh turut disampaikan kepada Kampung Dagang (DUN Marudi) dan Rumah Saut Sungai Sebatang (DUN Mulu).
Hadir sama pada program itu ialah Residen Bahagian Miri Galong Luang, Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Marudi ASP Cliff Emang mewakili Ketua Polis Daerah Marudi, Rose Edward Tarang selaku wakil Pejabat Daerah Marudi serta wakil pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sarawak dijangka mampu hadapi cabaran Tahun Kuda Api: Penguang
Februari 13, 2026, Jumaat - 3:34pm

Penguang dan Monica mengucapkan Gong Xi Fa Cai serta mengharapkan Tahun Kuda Api yang makmur untuk Sarawak kepada komuniti Cina.
MIRI: Sarawak dijangka mampu menghadapi sebarang cabaran pada Tahun Kuda Api ini berikutan asas perpaduan yang kukuh dan kepimpinan mantap negeri, kata Datuk Dr Penguang Manggil.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menegaskan dalam ucapan Tahun Baharu Cina bahawa semangat kebersamaan dan tadbir urus yang stabil menjadi faktor utama kejayaan Sarawak.
Beliau yakin bahawa di bawah kepimpinan berwawasan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sarawak akan terus maju walaupun menghadapi ketidaktentuan dan detik mencabar.
“Perpaduan dalam semangat dan jiwa tetap menjadi tunjang kekuatan Sarawak, selain hubungan harmoni di kalangan komuniti pelbagai kaum,” katanya.
Beliau menekankan bahawa struktur sosial yang kukuh ini telah membentuk Sarawak menjadi negeri stabil dan progresif, dan ia mesti terus dipelihara serta diperkukuh demi kesejahteraan rakyat.
“Dengan perpaduan dan saling menghormati, kita akan terus melangkah maju dengan jayanya untuk manfaat semua rakyat,” tambah beliau.
Penguang, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Marudi dan Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif (PDP), bersama isterinya Datin Monica Ukong, menyampaikan ucapan Gong Xi Fa Cai kepada komuniti Cina yang akan menyambut majlis makan malam bersama keluarga pada 16 Februari dan hari pertama Tahun Kuda pada 17 Februari.
Bagi pihak keluarganya, beliau menyampaikan ucapan selamat yang ikhlas kepada komuniti Cina di N.76 Marudi khususnya, serta kepada seluruh Sarawak dan Malaysia.
Penguang turut berharap tahun baharu ini membawa kebahagiaan, kemakmuran dan kesihatan yang baik, sekali gus membolehkan rakyat terus berkhidmat untuk Sarawak dengan dedikasi, komitmen dan perpaduan tujuan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
DIALOG sumbang alat kepada 80 nelayan di Miri
Februari 13, 2026, Jumaat - 3:36pm

Lee (duduk tengah) dan tetamu kehormat yang lain bersama para penerima bantuan PLB dan alat navigasi GPS dari DIALOG, hari ini.
MIRI: DIALOG Group Berhad (DIALOG), melalui kerjasama Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pertamanya bersama Jabatan Perikanan Laut Sarawak, telah menghulurkan bantuan kepada 80 nelayan di komuniti nelayan Miri dengan menyumbangkan alat peranti kecemasan Personal Locator Beacon (PLB) dan alat navigasi GPS bernilai RM188,950, bagi memastikan keselamatan nelayan di laut.
Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurut Lee, lautan yang luas dikongsi bersama oleh pelbagai pihak termasuk nelayan tradisional, nelayan komersial serta pemain industri minyak dan gas, industri perkapalan dan sebagainya.
"Lautan yang terbentang luas ini telah menjadi medan tempat ramai bergantung harap dan sumber mata pencarian kepada banyak pihak," jelasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu memberitahu, sumbangan tersebut mencerminkan keprihatinan tinggi pihak entiti industri minyak dan gas terhadap keselamatan dan kebajikan komuniti nelayan di Sarawak.
Terdahulu, Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, PLB merupakan peranti mudah alih yang akan diaktifkan apabila nelayan atau pengguna berada dalam situasi bahaya.
Menurutnya, jabatan amat menggalakkan para nelayan untuk menggunakan peranti itu secara berdisiplin dan bertanggungjawab demi menjamin keselamatan nyawa serta harta benda mereka.
Sumbangan itu katanya, bukan sahaja mencerminkan keprihatinan pihak industri terhadap keselamatan nelayan, malah memperkukuh hubungan kerjasama antara sektor industri dan komuniti perikanan.
Turut berucap, Pengarah Eksekutif, Group HSE DIALOG dan Pengarah DIALOG Services (Sarawak) Sdn Bhd Pau Kiew Huai berkata, aspek kesihatan, keselamatan dan alam sekitar kekal sebagai keutamaan asas dalam setiap operasi mereka.
Beliau percaya, kejayaan mampan diperkukuh melalui sokongan berterusan mereka terhadap komuniti tempat syarikat beroperasi.
"DIALOG terus meluaskan aktiviti upstream (huluan) melalui pembangunan lapangan, pembaharuan dan pembangunan semula dalam lapangan minyak dan gas, sejajar dengan pendekatan strategik DIALOG untuk meningkatkan keupayaan huluan sejak tahun 2011," jelasnya.
Beliau menambah, pada Disember 2023, DIALOG telah menubuhkan syarikat bersekutu di Sarawak: DIALOG Services (Sarawak) Sdn Bhd, diikuti dengan penubuhan pejabat di Miri pada 2024 dan di Kuching pada 2025 untuk mengurus aspek operasi aktiviti huluan DIALOG di Sarawak.
Sementara itu, aktiviti huluan DIALOG di Sarawak, termasuk Bayan Oilfield Services Contract di luar pesisir Bintulu dan lapangan D35 bersama PETRONAS, dan juga Baram Junior Cluster di luar pesisir Miri bersama Petroleum Sarawak Exploration and Production (PSEP).
Dengan bertujuan untuk menggalakkan dan menjaga keselamatan nelayan di laut, inisiatif CSR itu menyediakan alat peranti PLB dan GPS kepada nelayan di Miri, membolehkan mereka memandu arah dengan selamat sambil meneruskan aktiviti harian.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tabung Pendidikan Tinggi Keluarga Ling, L&P Consultant Services teruskan Bengkel Skor A+ SPM
Februari 13, 2026, Jumaat - 3:38pm

Ling menyampaikan cenderahati kepada Lim dan Yii (kanan).
MIRI: Pengurus Dana Tabung Pendidikan Tinggi Keluarga Ling Alan Ling bersama L&P Consultant Services dijangka menganjurkan Bengkel Skor A+ SPM selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Kedua-dua pihak telah menjalinkan kerjasama sejak 2023 menerusi pelbagai program anjuran bersama Pejabat Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man.
Hasil kolaboratif berterusan itu, L&P Consultant Services mengenal pasti pelajar yang layak menerima bantuan di bawah Tabung Pendidikan Tinggi Keluarga Ling.
Menurut Ling, tabung pendidikan tersebut akan diteruskan pada 2026 bagi memberi manfaat kepada pelajar khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.
Beliau berharap bantuan yang disalurkan dapat membantu pelajar melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Katanya, tabung berkenaan turut bertujuan mengurangkan beban kewangan pelajar meliputi keperluan seperti pembelian tiket penerbangan, gajet dan komputer riba sebagai persediaan memasuki universiti.
Bantuan ini diberikan secara sekali sahaja dan tidak perlu dikembalikan.
“Saya akan terus kekal prihatin terhadap pendidikan anak muda di Miri dan komited meneruskan bantuan serta program pendidikan demi kepentingan golongan muda di Miri,” katanya.
Sementara itu, Bengkel Skor A+ SPM yang dirancang selepas Aidilfitri dijangka melibatkan empat subjek dan akan diadakan di Sekolah Menengah (SM) Pei Min.
Maklumat lanjut mengenai pelaksanaannya akan dimaklumkan kepada pihak sekolah serta calon SPM dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan sama, Ling mengadakan kunjungan ke atas Pengarah L&P Consultant Services Lim Pang Ting sebagai tanda penghargaan atas sokongan padu serta kolaborasi berterusan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Ahli Parlimen Miri atas dorongan dan sokongan dana bagi menjayakan inisiatif pendidikan berkenaan.
Turut hadir ialah Perunding Kanan L&P Yii Ing Ping.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Perkukuh perpaduan, pelihara cara hidup unik Sarawak: Ripin
Februari 13, 2026, Jumaat - 3:45pm

Ripin (empat kiri) bersama tetamu kehormat dan hadirin pada Majlis Makan Malam Sambutan TBC di Miri, malam Khamis.
MIRI: Rakyat Sarawak perlu terus memelihara cara hidup unik negeri ini serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kepelbagaian, demikian jelas Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat.
Menurutnya, masyarakat Sarawak sentiasa meraikan semua perayaan bersama-sama seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya, Gawai dan Krismas dalam suasana penuh harmoni dan saling menghormati.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di sebuah restoran di sini, malam Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir itu turut menegaskan bahawa rakyat Sarawak berdiri teguh dan kekal bersatu di bawah kepimpinan kerajaan Sarawak yang diterajui Premier Sarawak serta kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Kita bersama-sama dengan semangat juang untuk memperjuangkan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Sarawak,” jelasnya.
Dalam pada itu, majlis berkenaan merupakan anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir dengan kerjasama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Lambir.
Lebih 100 tetamu hadir terdiri daripada ahli-ahli dari parti komponen GPS Lambir.
Turut hadir Pengerusi SUPP Lambir Ong Chee Yee.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
KPDN Sarawak periksa 15,700 premis sejak Januari
Februari 13, 2026, Jumaat - 3:47pm

Matthew (empat kanan) sambil disaksikan yang lain ketika melakukan pelancaran SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 di Pasaraya Farley di Sibu, hari ini.
SIBU: Sebanyak 15,700 premis di seluruh Sarawak telah diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak dalam tempoh 1 Januari hingga 10 Februari lalu, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membanteras pencatutan dan pelanggaran undang-undang perdagangan.
Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 308 kes melibatkan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang kawalan harga dan perdagangan telah direkodkan.
"Dalam pemeriksaan tersebut, nilai keseluruhan rampasan mencecah RM887,867.24, manakala kompaun yang dikeluarkan berjumlah RM67,700.
"Pemeriksaan berskala besar itu membuktikan komitmen berterusan kementerian dalam memastikan peniaga mematuhi peraturan, khususnya menjelang musim perayaan," katanya pada sidang media selepas Program Walkabout dan Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 di Pasaraya Farley, Jalan Salim di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mengetuai pemeriksaan di Pasaraya Farley Sibu bagi meninjau tahap pematuhan peniaga terhadap pelaksanaan skim berkenaan, selain memastikan bekalan mencukupi.
Menurutnya, penguatkuasaan dijalankan secara proaktif dan berterusan tanpa menunggu aduan semata-mata, sebaliknya penguatkuasa kementerian sentiasa berada di lapangan bagi memantau keadaan semasa.
Di bawah Ops Kesan 5.0, beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan 79 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) melibatkan 352 unit simpanan stok (SKU), selain tujuh notis bertulis tambahan membabitkan 11 barangan.

Matthew (dua kiri) memantau harga barangan pada pelancaran SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 di Pasaraya Farley di Sibu, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pelaksanaan SHMMP sempena Tahun Baharu Cina 2026 akan berkuat kuasa selama sembilan hari bermula hari ini hingga 21 Februari ini.
"Sebanyak 16 barangan keperluan telah diwartakan sebagai harga terkawal sepanjang tempoh tersebut terdiri daripada ikan bawal putih (200g-400g seekor), bawang putih tempatan, bawang putih import dari China, bawang kuning besar, bawang merah besar, sawi pendek/sawi Jepun, cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China, kecuali Beijing), lobak merah import dari China, lobak putih, kentang import dari China, halia tua import, kepak ayam, babi hidup (kawalan di peringkat ladang sahaja), daging babi bahagian perut, daging dan lemak babi (tiga lapis).
"Semua barangan berkenaan diwajibkan memaparkan tanda harga berwarna merah jambu," tegasnya.
Matthew memberitahu, seramai 207 pegawai penguat kuasa bersama 101 pegawai pemantau harga telah digerakkan di seluruh negeri sepanjang tempoh operasi tersebut.
Beliau menegaskan, individu yang menjual barangan melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.
“Kegagalan mempamerkan tanda harga merah jambu pula boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi individu dan RM20,000 bagi syarikat," katanya sambil menambah bahawa pelaksanaan SHMMP bertujuan mewujudkan persekitaran perniagaan yang adil dan beretika demi kepentingan pengguna.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku peniaga boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, e-mel [email protected], talian bebas tol 1-800-886-800 atau aplikasi EzAdu KPDN.
Turut serta ialah Ketua Penguatkuasa Negeri KPDN Sarawak Mohamad Khairi Jamaludin, Ketua Cawangan KPDN Sibu Kelyn Bolhassan, wakil Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Kaunselor Jenny Ting, Pengerusi Kumpulan Farley Lau Siew Whye dan Pengurus Kumpulan Farley Eiyen Lau.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Huang teruskan tradisi agih kad ucapan TBC
Februari 13, 2026, Jumaat - 3:49pm

Pegawai dan kakitangan Pusat Khidmat Parlimen Sarikei mengagihkan kad ucapan TBC kepada masyarakat di Parlimen Sarikei.
SARIKEI: Ahli Parlimen Sarikei Dato Sri Huang Tiong Sii meneruskan tradisi mengagihkan kad ucapan Tahun Baharu Cina (TBC) sebagai tanda ingatan dan penghargaan beliau kepada rakyat di kawasan tersebut.
Huang berkata, amalan itu bukan sekadar rutin tahunan sejak bergelar wakil rakyat, malah mencerminkan komitmen berterusannya dalam memelihara keharmonian serta memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.
“Inisiatif tersebut juga merupakan sebahagian daripada usaha mendekati rakyat selain memeriahkan lagi sambutan perayaan berkenaan.
“Ini juga sebahagian usaha saya untuk menyantuni dan mengeratkan hubungan dengan rakyat di samping memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang menghargai usaha berterusan wakil rakyat mereka dalam mendekati komuniti pelbagai lapisan.
Menurut Huang, perayaan seperti TBC bukan sahaja disambut oleh masyarakat Tionghua, malah menjadi platform untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
“Kita berharap semangat muhibah dan saling menghormati yang terjalin selama ini dapat terus diperkukuhkan demi kesejahteraan bersama.
"Semoga tahun baharu ini akan membawa kemakmuran, kesihatan yang baik serta kejayaan berterusan kepada semua rakyat di kawasan Parlimen Sarikei," katanya.
Dalam program pengagihan kad tersebut, Huang diwakili Pegawai Pusat Khidmat Parlimen Sarikei Wong Soon Mee bersama kakitangan lain.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Agensi kerajaan perlu lebih proaktif selenggara infrastruktur awam
Februari 13, 2026, Jumaat - 3:51pm

Dr Abdul Rahman (duduk kiri) ketika meninjau perkembangan pembinaan Tebingan Rangau yang sudah mencecah 90 peratus.
LIMBANG: Agensi kerajaan perlu lebih proaktif dalam menyelenggara infrastruktur awam termasuk menampal jalan yang rosak dan memastikan sistem perparitan tidak tersumbat bagi menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, sikap hanya duduk dan menunggu aduan serta arahan sebelum mengambil tindakan pembaikan perlu dielakkan.
Jelasnya, langkah proaktif ini seiring dengan hasrat kerajaan Sarawak melalui kepimpinan Premier Sarawak yang mengutamakan keperluan rakyat serta memastikan kesejahteraan rakyat itu dilaksanakan secara menyeluruh melalui kerjasama padu agensi kerajaan dan pihak yang berkaitan.
“Saya mintalah agensi-agensi yang berkaitan (seperti) Jabatan Pengaliran dan Saliran, Jabatan Kerja Raya dan Majlis Daerah Limbang (MDL) sentiasa memantau infra-infra asas jalan raya, perparitan dan sebagainya di bwah kendalian mereka.
“Kalau ada kerosakan, berlubang, terus tampal, jangan tunggu sampai orang mengadu, ini adalah tugas kita untuk menyediakan kemudahan yang baik kepada rakyat dan kita juga minta orang ramai terus memberi input dan aduan terus kepada mereka kerana melalui media sosial cuma dapat mengakibatkan rasa marah dan sebagainya.
“Dan ini merupakan hasrat kerajaan Sarawak melalui kepimpinan Premier Sarawak untuk memastikan kesejahteraan rakyat itu dilaksanakan,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Sungai Kaban dan Projek Tebingan Rangau hari ini.
Turut serta ialah Pengerusi MDL Kaunselor Sufian Mohat dan Setiausaha MDL Michelle Hildalyne Jering Anthony Luta.
Mengulas mengenai kawasan perparitan di Sungai Kaban yang tersumbat sehingga mengakibatkan banjir kilat, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Limbang bersetuju mengorek semula saliran itu hingga ke Sungai Limbang, jelasnya.
Katanya kerja mengorek parit berkenaan dimasukkan dalam pengendalian tiga tahun sekali jabatan itu.
ADUN Bukit Kota itu berkata lagi, pelbagai program diadakan di Limbang tahun ini termasuk sebagai salah satu vendor program Sarawakku Sayang yang akan diadakan pada April kelak.
“Sepanjang tahun kita ada banyak aktiviti termasuk Pesta Limbang dan ramai orang datang ke Limbang justeru kita kena memastikan kebersihan bandar dan sebagainya,” ujarnya.
Beliau memberitahu, Projek Tebingan Rangau sepanjang 250 meter dengan kos RM 20 juta kini sudah menjangkau 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya April kelak.
Bagaimana katanya, projek itu akan diteruskan melalui fasa dua untuk pemanjangan keluasan 250 meter lagi dengan kos peruntukan tambahan RM35 juta.
Beliau menjelaskan, Limbang kini mempunyai tiga tebingan sungai terbesar iaitu Tebingan Sungai Limbang sepanjang 1.8 kilometer yang terpanjang di Sarawak, serta Tebingan Sungai Medamit dan Tebingan Rangau.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Chiew sumbang buah limau mandarin sempena TBC
Februari 13, 2026, Jumaat - 3:52pm

Christopher (kanan) menyampaikan buah limau mandarin kepada wakil wartawan Utusan Borneo, Borneo Post dan See Hua ketika kunjungan petang Jumaat.
MIRI: Wartawan akhbar Utusan Borneo, The Borneo Post dan See Hua Daily News Miri menerima sumbangan buah limau mandarin daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man yang diagihkan kepada agensi, jabatan serta rakan-rakan termasuk warga media sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina (TBC).
Sumbangan disampaikan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Miri Christopher Jemat Amie ketika kunjungan di Wisma Rela Aman pada petang Jumaat.
Ia merupakan sumbangan tahunan daripada Pusat Khidmat Chiew yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
"Selain tanda meraikan bersama perayaan TBC, kami berharap ia juga dapat mengeratkan lagi hubungan kerjasama antara wartawan dengan Pusat Khidmat," jelas Christopher.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lau seru pelajar jadikan tahun baharu titik permulaan perbaharui azam
Februari 13, 2026, Jumaat - 4:03pm

Lau (tengah) serta yang lain menggaul 'yee sang' dalam majlis di sebuah sekolah dalam kawasan Bawang Assan.
SIBU: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan Kaunselor Kevin Lau, menyeru para pelajar agar menjadikan tahun baharu sebagai titik permulaan untuk memperbaharui azam dan memperkukuh iltizam demi masa depan yang lebih cemerlang.
Menurut beliau, kedatangan tahun baharu bukan sekadar sambutan perayaan, malah membawa simbolik permulaan baharu yang perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya.
"Para pelajar digesa merebut peluang yang ada, berusaha mencapai kemajuan, berani memikul tanggungjawab serta memperkasa kekuatan mental dan daya tahan diri," katanya ketika mengetuai rombongan cawangan parti tersebut mengadakan lawatan ke empat sekolah menengah di kawasan Bawang Assan sempena sambutan Tahun Baharu Cina semalam dan hari ini.
Sekolah yang menerima kunjungan dari cawangan parti itu ialah SMK Bawang Assan, SMK Chung Cheng, SM Guong Ming dan SMK Kwong Hua.

Lau (kiri) menyampaikan angpau kepada para pelajar.
Dalam lawatan tersebut, rombongan turut mengagihkan angpau, minuman dan buah limau mandarin kepada guru serta pelajar sebagai tanda penghargaan dan perkongsian kemeriahan perayaan.
Suasana sambutan di setiap sekolah jelas memperlihatkan semangat muhibah dan keceriaan warga sekolah.
Dalam ucapannya, Lau menegaskan bahawa masyarakat Cina sentiasa menitikberatkan nilai perpaduan dan semangat kekeluargaan.
"Walaupun pelbagai cabaran dan kesukaran dihadapi sepanjang tahun lalu, tahun baharu membawa sinar harapan dan peluang untuk memulakan langkah dengan lebih yakin.
"Jadikan usaha mengejar kemajuan sebagai arah tuju, keberanian mengejar impian sebagai matlamat hidup, dan pencarian kebahagiaan sebagai dorongan utama," katanya.

Lau (barisan depan lapan kanan) serta rombongannya bersama guru dan pelajar yang menerima angpau.
Beliau turut mengingatkan pelajar agar sentiasa mengekalkan sikap positif serta memastikan kesejahteraan diri dan orang sekeliling dalam usaha mencapai kejayaan.
Pada masa sama, mereka perlu membina ketahanan diri dalam menghadapi tekanan supaya lebih matang dan bersedia memikul tanggungjawab.
Tambahnya, proses pembentukan sahsiah dan jati diri yang kukuh merupakan asas penting untuk melahirkan individu cemerlang.
"Apabila melangkah ke alam pekerjaan dan masyarakat kelak, anda diyakini mampu menyumbang tenaga serta kepakaran dalam usaha membangunkan Sarawak ke arah yang lebih maju dan sejahtera," tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru para pelajar agar terus menjalin hubungan erat dengan guru, memberi tumpuan terhadap kecemerlangan akademik dan berusaha mencapai keputusan yang membanggakan demi menghargai pengorbanan ibu bapa serta pendidik.

Lau (tengah) menyerahkan limau kepada guru sekolah dalam kawasan Bawang Assan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
RM5.1 juta diperuntuk laksana program sumbangsih perayaan tahun ini: Abang Johari
Februari 13, 2026, Jumaat - 4:16pm

Abang Johari menyampaikan kotak sumbangsih sebagai simbolik kepada wakil anggota badan beruniform yang menerima sempena Tahun Baharu Cina 2026 di Kuching, hari ini. Turut kelihatan, Fatimah (tiga kiri), Dr Sim (dua kiri), Asfia (kiri) serta yang lain. - Gambar UKAS
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM5.1 juta bagi pelaksanaan program sumbangsih perayaan tahun ini sebagai tanda penghargaan kepada anggota badan beruniform yang bertugas di barisan hadapan sepanjang musim perayaan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan itu membolehkan program berkenaan diperluas bukan sahaja sempena Hari Raya Aidilfitri, malah meliputi sambutan Hari Gawai dan Tahun Baharu Cina.
“Saya yakin ini dapat kita teruskan dan disebabkan pertambahan ini, alhamdulillah tahun ini kita memperuntukkan RM5.1 juta untuk program seperti ini khasnya untuk hari perayaan.
“Kita cuba membantu supaya ada semangat perayaan bersama-sama dengan mereka walaupun jauh daripada keluarga,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Tahun Baharu Cina 2026 yang dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, langkah memperluas pemberian sumbangsih kepada perayaan lain merupakan ilham Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang yang menginginkan nilai inklusif diterapkan dalam usaha menghargai jasa anggota keselamatan tanpa mengira latar belakang.
Katanya, ketika masyarakat menyambut perayaan bersama keluarga, ramai petugas keselamatan kekal komited melaksanakan tanggungjawab.
“Ini khususnya apabila statistik menunjukkan peningkatan ketara kemasukan ke Sarawak pada musim perayaan,” ujar beliau.
Sementara itu, Fatimah dalam ucapannya berkata Program Sumbangsih Perayaan anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) melakar sejarah baharu tahun ini apabila buat julung kalinya diperluas merangkumi sambutan Tahun Baharu Cina, selaras dengan prinsip keterangkuman yang dibawa Abang Johari.
Katanya, program itu merupakan acara tradisi tahunan yang telah dilaksanakan selama 36 tahun sejak penubuhannya sebagai Biro Wanita dan kini menjadi antara program signifikan kerajaan negeri dalam menyantuni petugas barisan hadapan ketika musim perayaan.
Beliau berkata, pengumuman berita gembira mengenai peluasan program itu dibuat oleh Premier Sarawak ketika Majlis Penyerahan Simbolik Sumbangsih Raya 2025, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pelaksanaan program berkenaan.
“Pada tahun ini, program sempena Hari Raya diperluas meliputi sambutan Hari Gawai dan Tahun Baharu Cina.
“Sumbangsih Gawai telah dianjurkan buat julung kalinya pada 2025, manakala Sumbangsih Tahun Baharu Cina diadakan buat pertama kali pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata pada tahun ini, kerajaan melalui JWKS akan mengagihkan sebanyak 11,900 bekas makanan kepada 11 agensi penerima.
“Bagi edisi kali ini, lima jenis produk disediakan iaitu pek makanan sedia dimakan, kerepek, kacang, minuman kopi 3 dalam 1 dan minuman teh 3 dalam 1 untuk diagihkan kepada petugas terlibat,” katanya.
Antara penerimanya ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
Hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Mayat lelaki jatuh dari Jambatan Lutong ditemui
Februari 13, 2026, Jumaat - 4:27pm
MIRI: Mayat seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari Jambatan Lutong pada Rabu berjaya ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), awal pagi Jumaat.
Mangsa, Jackson Dian Bobbry Ganing, 32, ditemui pada jam 7.10 pagi oleh pasukan SAR kira-kira 1.3 kilometer dari Pos Kawalan Operasi Bomba (PKOB) dan satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
Dalam kejadian itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.11 petang pada Rabu sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira sembilan kilometer.
Komander operasi berkata, seorang penunggang motosikal yang melalui jambatan berkenaan sempat melihat mangsa berdiri di atas sisi jambatan sebelum dipercayai terjatuh ke dalam sungai.
Saksi kemudian berpatah balik dan berhenti di lokasi mangsa terjatuh serta sempat melihat mangsa terkapai-kapai sebelum tenggelam dan dihanyutkan arus.
Melihat keadaan itu, dia terus menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian tersebut.
Operasi SAR memasuki hari ketiga pada Jumaat dengan PKOB didirikan seawal jam 7 pagi membabitkan kerjasama pelbagai agensi.
Bagaimanapun, bot penyelamat tidak dapat diturunkan pada awal pagi berikutan keadaan air sungai yang surut dan berisiko menjejaskan aset jabatan.
Mayat mangsa ditemui pasukan SAR (UKPS) pada jam 7.10 pagi dan dibawa ke PKOB jam 7.48 pagi sebelum proses pengecaman dilakukan ahli keluarga pada jam 8.12 pagi.
Christopher (dua kiri) meluangkan masa berjumpa ahli keluarga mangsa dan petugas SAR di PKOB petang Khamis.
Berikutan penemuan itu, operasi ditamatkan sepenuhnya jam 8.30 pagi.
Sepanjang operasi, tujuh anggota JBPM berserta sebuah jentera FRT, sebuah kenderaan utiliti dan sebuah bot digerakkan ke lokasi.
Operasi turut melibatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Sarawak Coast Guard.
Difahamkan, mangsa merupakan pelajar pintar yang pernah mencatat keputusan cemerlang dengan memperolehi semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain pernah melanjutkan pengajian di Perancis.
Mangsa juga merupakan anak tunggal kepada penyanyi terkenal Iban, mendiang Ganning Asan.
Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Miri yang juga Ketua AMK Miri Christopher Jemat Amie pada petang Khamis turut meluangkan masa bertemu ahli keluarga mangsa dan petugas SAR di PKOB.
Menurutnya, segala perkembangan berkaitan operasi itu turut dipantau Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man untuk memastikan tindakan yang diperlukan dapat diselaraskan dengan baik sambil berharap mangsa dapat ditemukan segera.
“Keutamaan kita ketika ini adalah memastikan operasi pencarian berjalan lancar, keluarga diberikan sokongan yang diperlukan dan segala usaha dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pergerakan Pengakap platform pembentukan sahsiah murid
Februari 13, 2026, Jumaat - 4:32pm

Sesi Libat Urus Pengakap Daerah Limbang yang diadakan baru-baru ini.
LIMBANG: Pergerakan Pengakap bukan sekadar aktiviti kokurikulum semata-mata, ia adalah platform pembentukan sahsiah, kepimpinan dan nilai murni dalam kalangan murid.
Pesuruhjaya Pengakap Daerah Limbang Zainuddin Lokman berkata, Pergerakan Pengakap Daerah Limbang telah menjayakan pelbagai program sepanjang tahun lepas.
“Pelbagai aktiviti, program dan inisiatif telah dijalankan dengan baik hasil kerjasama erat dan komitmen tinggi daripada semua pihak dan masih banyak perancangan yang masih belum berjaya kita laksanakan akan diteruskan pada tahun ini,” katanya pada Sesi Libat Urus Pengakap Daerah Limbang, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid yang juga wakil Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Patrick Ukong, Pesuruhjaya Kawasan Zon 6 Fathi Ramli dan Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Cecilia Lim.
Zainuddin berkata lagi, sesi ini diadakan bagi memperkukuh pelaksanaan Pengakap di Daerah Limbang.
“Sesi libat urus ini diadakan dengan tujuan yang sangat jelas iaitu untuk kita berjumpa, berbincang dan berkongsi pandangan demi memperkukuhkan lagi pelaksanaan Pengakap di Daerah Limbang.
“Kita semua datang daripada latar belakang sekolah dan peranan yang berbeza, namun kita disatukan oleh matlamat yang sama iaitu membangunkan murid melalui kepengakapan,” katanya.
Katanya, dengan perbincangan secara terbuka ini, mereka dapat berkongsi idea dan cadangan dalam membina demi memastikan Pengakap di Daerah Limbang terus relevan dan berkesan.
“Gunakanlah sesi ini untuk kita menyelaraskan hala tuju, memperbaiki apa yang perlu, dan merancang langkah ke hadapan dengan lebih tersusun dan realistik, sesuai dengan keperluan sekolah serta kemampuan kita bersama,” ujarnya lagi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
ADUN Tanjong Batu hadiri sambutan TBC SM Kai Dee Bintulu
Februari 13, 2026, Jumaat - 4:37pm

Pang menitik mata singa yang baru sahaja dibeli pihak sekolah bagi kegunaan pasukan tarian singa SM Kai Dee, pagi Jumaat.
BINTULU: Bagi menyemarakkan sambutan Tahun Baharu Cina (TBC), Sekolah Menengah (SM) Kai Dee memberikan penghormatan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang untuk menitik mata patung singa baru milik pasukan tarian singa sekolah terbabit pagi Jumaat.
Sejurus tiba, Pang diberikan sambutan meriah oleh pihak pengurusan sekolah untuk sama-sama meraikan sambutan TBC anjuran pihak sekolah yang turut dimeriahkan para pelajar.
"Pagi ini, saya hadir ke SM Kai Dee untuk berkongsi kegembiraan serta kemeriahan sambutan tahun baharu peringkat sekolah dan turut diberikan penghormatan menyempurnakan upacara menitik mata singa baharu yang dibeli khas untuk pasukan tarian singa sekolah," ujarnya.
Menurutnya, dengan satu sentuhan berus merah sahaja, ia melambangkan kebangkitan singa pembawa tuah serta hadirnya keberkatan, sekali gus menjadi simbol kemajuan dan kecemerlangan sekolah pada tahun baru ini.
Ia jelas Pang, merupakan satu petanda baik buat sekolah SM Kai Dee yang mana diyakini akan terus berkembang maju dalam bidang pendidikan dan segala urusan akan dipermudahkan sebagaimana dalam firasat Tahun Kuda.
"Semoga dalam tahun baharu ini, seluruh warga sekolah akan terus berusaha mencapai kecemerlangan dan melakar kejayaan yang lebih tinggi manakala pasukan tarian singa pula akan terus menempa nama dan meraih kemenangan dalam setiap acara yang disertai," tambahnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penyalaan lampu TBC 2026 meriahkan Pekan Paku
Februari 13, 2026, Jumaat - 5:00pm

Miro (tengah) ketika merasmikan simbolik Majlis Perasmian Penyalaan Lampu Tahun Baharu Cina 2026 di Pekan Paku, malam tadi. - Gambar UKAS
KUCHING: Hiasan lampu Tahun Baharu Cina (TBC) di Pekan Paku berpotensi menjadi salah satu tarikan ikonik di daerah Bau, khususnya di kawasan Serembu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh.
Beliau berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja menyemarakkan sambutan perayaan, malah berupaya menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar kawasan.
“Sekiranya usaha ini diteruskan dan diperkasakan dari semasa ke semasa, Pekan Paku boleh muncul sebagai lokasi tumpuan baharu setiap kali musim perayaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penyalaan Lampu TBC 2026 yang berlangsung penuh meriah di Pekan Paku, malam tadi.
Miro berkata, selain hiasan lampu yang menarik, kawasan Pekan Paku mempunyai beberapa lokasi berpotensi seperti taman rekreasi serta sumber air panas yang boleh dimajukan sebagai produk pelancongan.
Jelasnya, penyelarasan antara elemen kebudayaan, tarikan semula jadi dan penglibatan komuniti setempat mampu menjadikan Pekan Paku sebagai destinasi pelancongan berkonsepkan komuniti yang mampan.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Paku atas komitmen serta usaha gigih menjayakan majlis tersebut termasuk penyediaan hiasan lampu yang menceriakan suasana malam perasmian.
Menurut beliau lagi, penyalaan lampu berkenaan bukan sekadar simbol kemeriahan TBC, malah mencerminkan semangat perpaduan, keharmonian serta kebersamaan rakyat Sarawak yang berbilang kaum.
“Sambutan seperti ini memperlihatkan bagaimana kepelbagaian budaya diraikan bersama dalam suasana saling menghormati dan hidup harmoni,” ujarnya lagi.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran pemimpin masyarakat setempat, wakil agensi kerajaan serta penduduk sekitar yang bersama-sama memeriahkan acara tahunan berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SKF anjur program Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 pada 8 Mac
Februari 13, 2026, Jumaat - 5:02pm

Lau (tengah) bersama pihak pengurusan SKF pada sidang media hari ini sambil menunjukkan kemeja-T rasmi program tersebut.
SIBU: Yayasan Buah Pinggang Sibu (SKF) akan menganjurkan program kesedaran kesihatan sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 pada 8 Mac di premisnya di No. 6, Jalan Chong Jin Bock, di sini.
Program itu yang bertemakan 'Kesihatan Buah Pinggang untuk Semua - Penjagaan untuk Rakyat, Perlindungan untuk Bumi', akan berlangsung jam 7 pagi hingga 1 tengah hari, menawarkan pelbagai pengisian termasuk saringan kesihatan, pakej ujian darah pada kadar istimewa, ceramah pendidikan perubatan berterusan (CME) serta konsultasi perubatan percuma.
Menurut Pengerusi Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming, penganjuran program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan penjagaan kesihatan buah pinggang, menggalakkan pengesanan awal serta mempromosikan amalan gaya hidup sihat secara berterusan.
“Perkhidmatan saringan kesihatan dan ceramah CME bukan sahaja dibuka kepada pesakit dalaman SKF dan ahli keluarga mereka, malah turut melibatkan orang awam sebagai sebahagian daripada komitmen yayasan terhadap pendidikan kesihatan komuniti dan penjagaan pencegahan.
“Bagi menyokong inisiatif ini, SKF turut melancarkan kemeja-T edisi terhad ‘Kidney Health for All’ pada harga RM12 sehelai.
"Hanya 1,000 helai ditawarkan berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat,” katanya pada sidang media, hari ini.
Selain itu kata Lau, SKF turut menawarkan pakej ujian darah komprehensif pada harga promosi RM80 berbanding harga biasa RM120.
Jelasnya, pakej berkenaan merangkumi pelbagai ujian penting seperti kumpulan darah, hematologi, glukosa, fungsi buah pinggang dan hati, HbA1c, faktor reumatoid, RPR (VDRL), ujian Hepatitis B, antibodi Helicobacter pylori, hormon perangsang tiroid serta analisis air kencing.
Peserta turut diberi pilihan satu ujian penanda tumor secara percuma sama ada CEA, AFP, PSA atau CA125.
Orang ramai dinasihatkan berpuasa sekurang-kurangnya lapan hingga 10 jam sebelum menjalani ujian.
Ujian darah akan dijalankan di SKF pada 8 Mac ini dari jam 7 pagi hingga 8 pagi, manakala orang ramai juga boleh menjalani ujian di Innoquest Pathology Sdn Bhd bermula 9 Mac hingga 31 Disember.
“Dalam pada itu, pakar nefrologi jemputan Dr Tiong Kung Ung akan menyampaikan ceramah bertajuk 'Diet Fosfat untuk Pesakit Dialisis' dan 'Pengurusan CKD pada Peringkat Awal' yang memfokus kepada kawalan pemakanan, pengesanan awal penyakit serta pengurusan pencegahan bagi meningkatkan kualiti hidup pesakit,” katanya.
Turut menyokong program berkenaan ialah Fresenius Medical Care yang akan menyediakan penilaian Pemantauan Komposisi Tubuh Badan (BCM) untuk membantu menilai status cecair dan komposisi badan pesakit bagi pengurusan dialisis yang lebih tepat.
Orang ramai yang berminat diminta membuat tempahan awal dengan menghubungi SKF di talian 084-343500 kerana tempat adalah terhad dan penyertaan berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat.
Program ini mendapat tajaan Fresenius Medical Care Malaysia Sdn Bhd, SBFM Industries Sdn Bhd dan Style Tailor.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pemilihan KMKK harus dinilai mengikut kelayakan akademik, keupayaan mentadbir
Februari 13, 2026, Jumaat - 5:03pm

Sikie (tengah) bersama-sama pegawai UKAS dan hadirin yang hadir dalam program tersebut.
TATAU: Proses pemilihan atau pelantikan ketua kaum dan ketua masyarakat (KMKK) haruslah dinilai mengikut kelayakan akademik serta keupayaan dalam mentadbir, kata Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus Dato Sri John Sikie Tayai.
Ini menurut beliau, bagi memastikan ketua kaum atau ketua masyarakat mempunyai kemampuan dalam mentadbir serta menguruskan kawasan atau rumah panjang/kampung jagaan masing-masing sesuai dengan peredaran zaman.
"Kemahiran memimpin amat penting terutamanya pada zaman ini yang mana keupayaan mempelajari ilmi baharu serta mampu menyesuaikan diri dengan corak pentadbiran moden akan membolehkan mereka terus mampu memimpin terutamanya generasi baharu yang rata-ratanya berpendidikan serta mempunyai pekerjaan serta kehidupan yang baik," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program 'Juh Ngopi Ngan' Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini, pada Khamis.
Jelasnya, proses pelantikan KMKK seperti tuai rumah, penghulu dan pemanca perlu dibuat berdasarkan kelayakan akademik serta keupayaan mentadbir bagi memastikan pengurusan kampung lebih tersusun dan berkesan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus berkata, penetapan syarat minimum memiliki sekurang-kurangnya sijil tingkatan lima bagi pelantikan baharu adalah langkah selaras dengan keperluan dan cabaran semasa.
Ini kerana tegasnya, seseorang pemimpin yang mempunyai latar belakang pendidikan yang baik akan mampu mengurus dokumentasi, menyediakan laporan serta berkomunikasi secara rasmi dengan agensi kerajaan dan pihak berkaitan.
Walaupun begitu katanya, ada juga calon yang tidak memiliki kelulusan tingkatan lima tetapi mempunyai pengalaman luas dalam sektor kerajaan, keselamatan atau perkhidmatan awam.
"Golongan ini masih boleh dipertimbangkan bagi menjadi KMKK mengikut kesesuaian," jelasnya.
Justeru katanya, bagi pelantikan KMKK yang baharu, keutamaan akan diberikan kepada individu yang berpengetahuan serta mempunyai keupayaan berkeupayaan mentadbir agar segala program pembangunan yang akan dan sedang dilaksanakan dapat berjalan dengan lancar.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
sbh - Sabah mengalu-alukan pelabur Jepun meneroka Ekonomi Biru
swk - Pemilihan KMKK harus dinilai mengikut kelayakan akademik, keupayaan mentadbir
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki acu objek menyerupai pistol dalam video tular didenda RM3,000
Februari 13, 2026, Jumaat - 1:54pm
KUCHING: Seorang lelaki yang videonya tular kerana mengacukan objek menyerupai pistol ketika menunggang motosikal pada Isnin, didenda RM3,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana memiliki sepucuk pistol tiruan.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Mason Jaro Lenya Barayan terhadap Mohammad Shahrul Azwan Khaidir, 31, selepas dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu sekitar jam 12 tengah hari di KM29, Jalan Kuching Serian di sini pada 9 Februari 2026.
Berdasarkan fakta kes, seorang pegawai kanan polis sedang melayari laman sosial sebelum terlihat satu rakaman video tular yang memaparkan aksi berbahaya seorang lelaki menunggang motosikal sambil mengacukan objek menyerupai sepucuk pistol.
Turut tertera adalah kapsyen pada video berkenaan yang berbunyi, 'Dirakam di Batu 12, Kuching-Serian, niat ingin bergurau tapi menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan orang lain.'
Susulan penemuan itu, polis melakukan siasatan dan menahan tertuduh pada hari sama, sekitar jam 5.50 petang serta merampas sepucuk pistol tiruan berjenama warna hitam tertera tulisan ‘Made in China’ daripada tertuduh.
Hasil siasatan polis mendapati tertuduh mengaku bahawa individu dalam video yang tular di media sosial pada 9 Februari 2026 kira-kira jam 12 tengah hari adalah dirinya.
Siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku ketika dia menunggang sebuah motosikal dan pada masa itu, tertuduh menggunakan tangan kiri untuk memegang serta mengacukan sepucuk pistol replika ke arah seorang lelaki yang sedang berjalan kaki di lokasi berkenaan.
Tertuduh tidak diwakili peguam. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani sementara kes disiasat oleh Inspektor Musyiri Johari.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki mengaku miliki syabu didenda RM3,300
Februari 12, 2026, Khamis - 5:59pm
MIRI: Seorang lelaki didenda RM3,300 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduh memiliki dadah berbahaya jenis syabu.
Tertuduh, Nasrul Asdaq Abdullah, 46, dari Simpang 3 Kampung Pasir, Lutong di sini, didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan keterangan kes, tertuduh bukan sebagai seorang yang diberi kuasa di bawah ADB 1952, didapati memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine (syabu) seberat 0.47 gram.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.30 petang, 17 Oktober 2025 di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pasir, Lutong di sini.
Pendakwaan kes dikendalikan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman di hadapan Majistret Ashok Linggam, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|