|
|
Pusat Khidmat Tanjong Batu sumbang limau mandarin dan kurma kepada kakitangan kesihatan di Bintulu
Februari 12, 2026, Khamis - 11:08am

Pang (tengah) menyampaikan beberapa kotak kurma dan limau mandari kepada kakitangan dan para petugas kesihatan.
BINTULU: Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan ketibaan Ramadan, beberapa kotak limau mandarin dan kurma telah disumbangkan oleh Pusat Khidmat N68 Tanjong Batu kepada petugas dan kakitangan penjagaan kesihatan di sini semalam.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang di pekarangan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu di sini.
Pang berkata, limau mandarin melambangkan kemakmuran dan nasib baik, manakala kurma mempunyai makna mendalam semasa Ramadan sebagai makanan tradisi masyarakat Islam untuk berbuka puasa yang memberi keberkatan dan penjagaan kesihatan.
Katanya, penyampaian sumbangan seumpama ini menjadi tradisi pihaknya sejak bertahun.
"Sumbangan ini lebih daripada sekadar perayaan, ia merupakan ungkapan penghargaan yang ikhlas atas dedikasi dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang berkhidmat tanpa mengenal penat lelah sepanjang tahun," katanya.
Beliau berkata, apa yang menjadikan Sarawak istimewa ialah semangat hormat menghormati dan keharmonian pelbagai budaya, merai dan memahami tradisi antara satu sama lain yang sewajarnya dihargai.
Menjelang musim perayaan, Pang turut mengingatkan semua orang untuk mengutamakan keselamatan semasa memandu di jalan raya menjelang perayaan ini serta tidak memandu dalam keadaan letih.
"Perjalanan yang selamat dan ketibaan yang selamat adalah rahmat terbesar musim perayaan supaya semua orang dapat menikmati Tahun Baharu Cina dalam keadaan ceria dan menyambut ketibaan Ramadan dengan tenang," katanya.

Pang (dua kiri) bersama mesra dengan kakitangan kesihatan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kumpulan Tarian Singa SUPP Cawangan Bintulu adakan upacara meraikan ulang tahun di Tua Pek Kong
Februari 12, 2026, Khamis - 11:14am

Pang (empat kiri) bersama ahli-ahli SUPP Bintulu merakam gambar bersama dua kostum singa baharu untuk kumpulan tarian singa.
BINTULU: Kumpulan Tarian Singa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu telah mengadakan upacara meraikan ulang tahunnya di Tua Pek Kong pusat bandar di sini pada semalam.
Sambutan ulang tahun itu melibatkan upacara menitik mata singa yang disempurna oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu yang juga Pengerusi SUPP Bintulu, Johnny Pang.
Pang berkata, upacara ini untuk memberi semangat kepada dua kostum singa bertuah yang baharu, melambangkan nasib baik dan kemakmuran pada tahun baharu.
Beliau berterima kasih kepada penajanya termasuk yang bersama meraikan upacara ulang tahun tersebut dalam suasana meriah dengan dipenuhi semangat perayaan menjelang sambutan Tahun Baru Cina.
"Tarian singa lebih daripada sekadar persembahan sebaliknya ia adalah warisan budaya dan simbol rohani, mewakili nasib baik, keberanian, perpaduan serta membawa kenangan bersama generasi masyarakat Cina," katanya.

Pang berkata, kesinambungan budaya memerlukan sokongan dan ketekunan.
"Penghargaan tidak terhingga kepada semua penaja atas sokongan murah hati mereka kepada Kumpulan Tarian Singa ini yang membolehkan budaya tarian singa terus berkembang maju di Bintulu," tambahnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kerjasama media perkukuh kedudukan Bintulu Port sebagai hab logistik dan pelabuhan hijau
Februari 12, 2026, Khamis - 11:31am

Mohamad Abu Bakar (empat dari kiri) memalu gendang sebagai simbolik Malam Penghargaan Media BPHB 2026 di sebuah hotel di Kuching, malam Rabu. Turut kelihatan ialah Ruslan (tiga kiri) serta tetamu kehormat lain.
KUCHING: Kerjasama erat antara Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dan media menjadi faktor utama kejayaan syarikat dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai hab logistik dan perintis pelabuhan hijau Sarawak.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Dato Ruslan Abdul Ghani berkata, kerjasama erat bersama media juga turut membantu meningkatkan kesedaran awam terhadap peranan strategik pelabuhan itu sebagai pintu masuk ekonomi utama di Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.
“Justeru ingin saya menyebut bahawa malam ini amat bermakna kerana ia didedikasikan untuk menzahirkan penghargaan ikhlas kami kepada rakan-rakan media atas sokongan, kepercayaan dan kerjasama berterusan dengan Pelabuhan Bintulu selama ini,” katanya dalam ucapan sempena Malam Penghargaan Media Bintulu Port Holdings Berhad 2026 di sebuah hotel di Kuching malam Rabu.
Antara tetamu yang hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Lembaga Pengarah Dato Dr. Salihin Abang, Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi dan Pengurus Besar, Group Stakeholder Relations BPHB Maslihah Tioh.
Beliau berkata sepanjang tahun 2025 sahaja, Bintulu Port telah disebut dalam media lebih 350 kali iaitu bersamaan purata satu liputan setiap hari.
“Sama ada program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Mesyuarat Agung Tahunan, majlis bersama pihak berkepentingan mahupun acara korporat, pihak media sentiasa konsisten membuat liputan terhadap aktiviti kami tanpa mengira keadaan,” katanya.
Beliau mengambil peluang merakamkan penghargaan yang cukup tinggi kepada media elektronik seperti TV Sarawak (TVS) selain Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang konsisten menyiarkan pencapaian utama syarikat itu.
“Kami juga menghargai peranan media cetak seperti Utusan Borneo, The Borneo Post, The Edge, See Hua Daily, Dayak.daily dan sebagainya yang menjadi jambatan antara operasi pelabuhan dan masyarakat awam,” tegasnya.
Menurut beliau, kepimpinan Pengerusi BPHB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki turut menjadi faktor utama kejayaan syarikat dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai hab logistik dan perintis pelabuhan hijau.
“Di bawah kepimpinan beliau, kami terus memperkukuh peranan sebagai hab logistik utama serta menyokong pembangunan mampan dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang di Sarawak,” katanya.
Mengulas perancangan masa depan, beliau berkata Bintulu Port kini giat menaik taraf peralatan serta memperluas operasi digital sejajar aspirasi menjadi pelabuhan digital sepenuhnya menjelang 2030.
“Kami juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk menyumbang lebih RM1 juta bagi penubuhan Anjung Kasih di Hospital Bintulu untuk kegunaan keluarga pesakit.
“Selain itu, kami akan berperanan sebagai rakan strategik bagi Sukan Olimpik Khas Malaysia 2026 yang dijadual berlangsung di Bintulu pada April ini,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri berikutan proses pemindahan pelabuhan daripada status persekutuan yang kini berada di peringkat akhir.
“Sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 kami komited untuk terus menambah baik prestasi dan melaksanakan sepenuhnya Sistem Operasi Pelabuhan ke arah menjadi pelabuhan digital sepenuhnya menjelang 2030,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
408 penjawat awam di bahagian Samarahan terima Pingat Perkhidmatan Setia
Februari 12, 2026, Khamis - 11:37am

Abang Johari turut menyampaikan plak kepada penerima Pingat Perkhidmatan Setia, pada Rabu. - Gambar UKAS
KUCHING: Seramai 408 orang penerima daripada 18 buah Jabatan atau Agensi dari Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan menerima Pingat Perkhidmatan Setia bagi Bahagian Samarahan.
Majlis penyampaian pingat yang diadakan di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Rabu itu disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Daripada jumlah 18 jabatan atau agensi berkenaan, ia merangkumi Kerajaan Negeri (14) dan Persekutuan (4).
Secara umumnya, penganugerahan Pingat Perkhidmatan Setia diberikan kepada penjawat awam yang bertaraf tetap dalam Perkhidmatan di Sarawak.
Ia adalah bagi mereka telah berkhidmat selama 20 tahun perkhidmatan terkumpul, yang telah menunjukkan mutu perkhidmatan yang cemerlang serta memuaskan dan disokong oleh Ketua Jabatan.
Penganugerahan pingat kepada penjawat awam juga adalah sebagai tanda menghargai sumbangan dan khidmat bakti penjawat awam dalam sektor awam.
Majlis kali ini merupakan majlis pertama yang diadakan pada tahun 2026.
Turut hadir pada majlis petang ini adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
IPD Sibu diperkasa menerusi projek pembangunan sokongan Kerajaan Sarawak
Februari 12, 2026, Khamis - 11:43am

Zulkipli menyerahkan sijil penghargaan kepada salah seorang pegawainya semasa majlis perhimpunan di IPD Sibu hari ini.
SIBU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu terus diperkasa melalui pelaksanaan projek pembangunan hasil sokongan Kerajaan Sarawak bagi meningkatkan kebajikan warga kerja dan keupayaan operasi pasukan polis.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata projek ini menyediakan persekitaran kerja lebih kondusif, menyokong kesejahteraan fizikal dan mental warga IPD serta memperkukuh hubungan dengan komuniti.
“Sokongan kerajaan negeri memperkukuh keupayaan operasi dan mutu penyampaian perkhidmatan polis kepada masyarakat.
“Projek-projek ini bukti komitmen bersama memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga Sibu,” katanya.
Antara projek utama ialah naik taraf padang kawad dan jalan kawasan IPD bernilai RM998,500 yang siap pada April 2024.
Selain itu, sebuah taman kanak-kanak baharu bernilai RM100,000 turut dibina di bawah Projek RTP Kerajaan Sarawak dan siap pada Jun 2025.
Dua lagi projek melibatkan naik taraf gelanggang sukan dan pembinaan gazebo dengan kos RM400,000, dijangka siap dalam masa terdekat.
Pada penghujung tahun lalu, pekarangan IPD turut dilimpahi lampu hiasan bernilai RM110,000 di bawah Projek RTP ADUN Dudong, siap sepenuhnya Februari 2026.
“Projek ini bukan sekadar pembangunan fizikal tetapi simbol komitmen kerajaan negeri memperkukuh keupayaan operasi polis,” tegas Zulkipli.
“Kami percaya fasiliti ini memberi manfaat jangka panjang kepada warga IPD dan masyarakat setempat, selain melestarikan keselamatan daerah.”
Beliau berkata demikian pada perhimpunan bulanan Ketua Polis Daerah Sibu di padang kawad IPD Sibu, pagi tadi.
Zulkipli turut menekankan bahawa projek ini menyokong perkembangan holistik kanak-kanak, meningkatkan kesejahteraan warga polis serta memperkukuh perpaduan sosial komuniti.
“Saya merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri, agensi pelaksana dan warga IPD yang sentiasa menunjukkan komitmen serta disiplin dalam melaksanakan tugas,” ujarnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Curi buah sawit untuk beli dadah, lelaki ditahan polis
Februari 12, 2026, Khamis - 11:59am
SARATOK: Seorang lelaki berusia 48 tahun telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri tandan buah kelapa sawit di sebuah ladang di sini.
Ketua Polis Daerah (KPD) DSP Mathew Manggie (gambar) berkata, kejadian ini dilaporkan berlaku pada 5 Januari lalu, jam 2.30 petang.
“Dalam kejadian tersebut, seorang polis bantuan bersama dengan penyelia ladang berkenaan sedang melakukan rondaan di dalam ladang telah ternampak sebuah pikap berwarna hitam dan tiada nombor pendaftaran telah membawa muatan sawit yang dipercayai sawit tersebut milik ladang.
“Menyedari kehadiran kenderaan milik pihak ladang tersebut, kenderaan suspek tersebut terus beredar dari kawasan ladang.
“Pengadu bersama penyelia telah mengikuti kenderaan tersebut sampai ke Taman Lily dan telah hilang jejak di dalam kawasan taman tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Berikutan itu, kata Mathew, pengadu telah bertindak membuat laporan polis berkaitan kejadian tersebut dan anggaran kerugian lebih kurang 400 kilogram iaitu sekitar RM300.
Menurutnya, berdasarkan laporan berkenaan pihak polis terus melakukan siasatan dan berjaya menjejaki dan seterusnya menahan suspek.
“Dalam masa yang sama, sebuah kereta pikap telah dirampas bersama dengan sebatang besi tajam untuk mengangkat buah sawit, dua bilah mata tombak, dua tandan buah sawit dan satu beg silang kalis air warna ungu.
“Hasil siasatan awal, suspek telah mengaku pergi ke ladang berkenaan yang terletak di Lubuk Nitik bersama rakan suspek yang masih bebas, dengan menggunakan kenderaan pikap berwarna hitam untuk mengambil buah sawit yang sudah dituai oleh pekerja ladang yang diletakkan di sepanjang tepi jalan ladang.
“Sebaik sahaja selesai menyimpan buah sawit tersebut di bahagian belakang pikap, suspek dan rakannya mula bergerak keluar dari ladang tersebut dan semasa dalam perjalanan menuju ke jalan raya, suspek dan rakannya nampak kenderaan milik ladang telah berada hampir di belakang kenderaan mereka,” kata Mathew.
Melihat situasi tersebut, katanya, suspek telah memecut kenderaan terus menuju jalan utama Pan Borneo dan masuk ke simpang Saratok lalu masuk ke Taman Lily.
Tambahnya, suspek dan rakannya telah keluar dari Taman Perumahan Lily lalu menuju ke Jalan Mudong dan menyembunyikan buah sawit yang dicuri serta dua bilah mata tombak di dalam semak berhampiran Jalan Mudong-Ibus.
“Berdasarkan keterangan dari suspek, kenderaan yang digunakan oleh dalam kejadian tersebut baru sahaja dibeli secara ansuran daripada seorang rakannya yang berasal dari Sibu sejak dua bulan lepas dan kenderaan tersebut masih belum ditukar nama hak milik dan masih atas nama pemilik asal.
“Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine dan suspek juga merupakan penagih dadah tegar dan mengaku mencuri buah sawit tersebut bagi membeli bekalan dadah untuk kegunaan sendiri.
“Berikutan itu, kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK),” tegas Mathew lagi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bunyi bising bongkar kehadiran ular sawa di Kampung Buangsiul
Februari 12, 2026, Khamis - 12:17pm

Ular sawa yang ditangkap APM Limbang.
LIMBANG: Bunyi bising di kawasan reban ayam membongkar kehadiran seekor ular sawa sepanjang tiga meter berhampiran rumah penduduk di Kampung Buangsiul di sini, pagi ini.
Menyedari kehadiran ular sawa berkenaan penduduk terbabit kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Limbang.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang Leftenan (PA) Jumaat Akasas berkata berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.27 pagi.
Katanya, sepasukan anggota diketuai Lans Koperal (PA) Mohd Arif Midun bergegas ke lokasi untuk menangkap ular sawa berkenaan.
"Ular sawa yang panjangnya lebih tiga meter itu akhirnya berjaya ditangkap dengan kaedah menjerut.
“Ketika operasi dijalankan tiada sebarang kecederaan berlaku,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi tamat pada jam 7.50 pagi selepas ular berjaya ditangkap dan anggotanya bertolak bali ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Limbang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Rumah Terbuka TBC ADUN Pelawan di Unicity pada 18 Februari
Februari 12, 2026, Khamis - 2:02pm

Tiang (enam kanan) bersama rombongan mengadakan kunjungan mesra ke kawasan komersial Sungai Merah.
SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan Datuk Michael Tiang akan mengadakan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 di Unicity, Jalan Wawasan pada 18 Februari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, majlis rumah terbuka yang diadakan pada hari kedua tahun baharu itu bermula jam 11 pagi hingga 1 petang.
"Semua rakan dan penduduk Sibu dijemput hadir untuk memeriahkan rumah terbuka ini.
"Marilah kita bersama-sama berkongsi kegembiraan dan semangat Tahun Baharu Cina," ujarnya.
Menurutnya, pemilihan hari kedua Tahun Baharu Cina amat bersesuaian kerana keesokan harinya umat Islam akan memulakan bulan Ramadan.
"Ini masa yang sesuai untuk kita berkumpul dan beramah mesra sebelum rakan-rakan Muslim kita menyambut bulan puasa.
"Di Sarawak, kita sentiasa meraikan perayaan bersama-sama seperti Gawai, Hari Raya dan Tahun Baharu Cina.

Tiang berbual dengan penjaja di Pasar Sungai Merah ketika mengagihkan angpau kepada orang ramai.
"Inilah gambaran sebenar keharmonian dan perpaduan negeri kita," katanya.
Beliau menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 1,500 orang, berdasarkan pengalaman sebelum ini yang pernah mencecah antara 2,000 hingga 3,000 pengunjung.
Tambahnya, pelbagai gerai makanan akan disediakan pada tahun ini, melibatkan pilihan juadah halal dan tidak halal bagi memenuhi cita rasa pengunjung daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
"Kita menyediakan pelbagai jenis makanan untuk semua kaum.
"Jadi orang ramai dialu-alukan datang dan menikmati hidangan yang disediakan," katanya.
Terdahulu, Tiang bersama rombongan mengadakan kunjungan mesra ke kawasan komersial Sungai Merah bagi menyantuni penjaja, peniaga dan orang awam sambil mengagihkan angpau sebagai tanda berkat dan berkongsi kegembiraan sempena Tahun Kuda.
Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana cuaca setakat ini baik dan berharap sambutan Tahun Baharu Cina pada kali ini akan membawa kesejahteraan serta kemakmuran kepada semua.

Tiang berbual dengan penjaja di Pasar Sungai Merah ketika mengagihkan angpau kepada orang ramai.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Suri rumah disyaki salah guna dadah diberkas
Februari 12, 2026, Khamis - 2:04pm
JULAU: Seorang suri rumah berusia 35 tahun diberkas kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah (KPD) Julau DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah berkata, suri rumah tersebut telah ditahan jam 3 petang semalam.
“Ketika melakukan rondaan pada Ops Tapis di sekitar Jalan Pakan pihak polis telah terserempak dengan sebuah kenderaan berwarna putih.
“Semasa hendak membuat penahanan ke atas kenderaan tersebut, secara tiba-tiba kenderaan tersebut memecut laju masuk ke simpang Sungai Sawa dan kemudiannya terbabas di tepi Jalan.
“Sewaktu anggota serbuan hendak membuat pemeriksaan, pemandu wanita tersebut bertindak melarikan diri ke kawasan semak samun berhampiran, namun berjaya ditangkap oleh anggota bertugas,” kata Alif kepada media, hari ini.
Pada masa sama kata Alif, pihak polis turut melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan yang dipandu oleh wanita terbabit namun tidak menjumpai apa-apa barang salah.
Sejurus ditahan kata Alif, wanita tersebut dibawa ke Balai Polis Pakan untuk ujian saringan air kencing.
“Hasil ujian tersebut telah mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine atau syabu.
“Suspek turut mengaku terlibat dalam kegiatan penagihan dadah sejak Januari 2019, manakala kali terakhir suspek menagih dadah jenis syabu iaitu pada 10 Februari di dalam rumah kediamannya.
“Suspek turut mengaku mendapatkan bekalan dadah jenis syabu daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai 'Kacak' di kawasan Batu 16, Jalan Entabai, Pakan,” kata Alif.
Berikutan itu kata Alif, suspek telah disiasat di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Gejala penyalahgunaan dadah terutama jenis syabu ini masih ketara berleluasa di daerah Pakan.
“Sehubungan itu, kita ingin menyeru agar komuniti setempat untuk tampil menyalurkan maklumat tentang kegiatan ini ke talian Hotline IPD Julau,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki cedera dipercayai diserang anak lelaki, polis buru suspek
Februari 12, 2026, Khamis - 2:35pm
KUCHING: Seorang lelaki berusia 49 tahun cedera selepas dipercayai diserang anak lelakinya dalam kejadian di Taman Desa Wira di sini, lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 11.15 malam.
Menurutnya, mangsa dipercayai dicederakan suspek yang berusia 23 tahun.
“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil, namun masih menerima rawatan susulan.
“Manakala, suspek masih belum ditangkap dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan,” katanya ketika dihubung, hari ini.
Sementara itu, menurut sumber, kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran antara bapa dan anak sebelum suspek dikatakan menetak leher mangsa.
Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Mayat ditemui di Miri Port Piasau bukan mangsa jatuh jambatan
Februari 12, 2026, Khamis - 2:38pm
MIRI: Satu mayat yang ditemui di kawasan Miri Port Piasau pagi tadi disahkan bukan mangsa yang dilaporkan terjatuh dari Jambatan Lutong, Kampung Pangkalan di sini, semalam.
Mayat berkenaan ditemui oleh pasukan Sarawak Coast Guard pada jam 9.26 pagi sebelum memaklumkan penemuan itu kepada pihak bomba.
Susulan maklumat diterima, Pegawai Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong bersama tiga anggota bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 9.40 pagi untuk membuat pengecaman.
Hasil pemeriksaan mengesahkan jasad tersebut bukan individu yang sedang dicari.
Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terhadap mangsa, Jackson Dian Bobbry Ganing, 32, masih diteruskan.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 1.11 petang semalam.
Sepasukan anggota dari BBP Lutong yang diketuai PBK I Mohd Faizul Ali kemudian digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai dan tiba pada jam 1.19 petang.
Berdasarkan kronologi kejadian, sekitar jam 12.48 tengah hari, seorang penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ternampak mangsa berdiri di atas sisi jambatan sebelum dipercayai terjatuh ke dalam sungai.
Saksi terbabit berpatah balik dan berhenti di tempat mangsa jatuh lalu sempat melihat mangsa terkapai-kapai sebelum tenggelam dibawa arus.
Saksi kemudian menghubungi pihak polis untuk memaklumkan tentang kejadian itu.
Maklumat awal turut menyebut mangsa dipercayai mengalami masalah kesihatan mental.
Operasi SAR hari kedua dimulakan pada jam 7.30 pagi tadi dengan kekuatan enam anggota BBP Lutong diketuai PBK II (TBBK I) Edwin Sigan dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Triton.
Pasukan tiba di lokasi pada jam 7.48 pagi, namun pencarian tidak dapat dimulakan pada jam 8 pagi berikutan keadaan air sungai yang surut.
Operasi turut membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak Coast Guard dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Setakat ini, usaha pencarian masih diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ops Tapis: IPD Sarikei tangkap 61 individu disyaki salah guna dadah sepanjang Januari
Februari 12, 2026, Khamis - 2:45pm

ASWANDY
SARIKEI: Sepanjang bulan Januari 2026 sahaja, pihak Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei telah berjaya menangkap seramai 61 individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei Superintenden Aswandy Anis berkata, kejayaan tersebut adalah hasil Ops Tapis IPD Sarikei.
“Ops Tapis tersebut telah dijalankan di daerah Sarikei, Tanjung Manis dan Belawai.
“Antara yang turut berjaya ditangkap ialah tiga individu yang disyaki ‘tokan dadah’ yang disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3 (1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.
“Di samping itu, seramai 15 individu pula ditangkap di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 kerana memiliki dadah, manakala dua individu ditangkap di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana memiliki air ketum yang disyaki untuk dijual,” kata Aswandy dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Selain itu kata Aswandy, 41 individu telah ditangkap di bawah Seksyen 15 (1) (a) ADB kerana ujian air kencing yang positif dadah.
Sementara itu katanya, seramai 13 individu yang juga penagih tegar telah dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 39C (1) ADB 1952 dan masing-masing dijatuhkan hukuman penjara lima tahun berserta satu sebatan.
“Dalam bulan Januari ini juga, pihak polis berjaya merampas 12 gram (g) Erimin 5, 14.90g dadah jenis syabu dan 32,000 mililiter (ml) air ketum.
“PDRM akan terus mempertingkatkan tindakan membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Sehubungan itu, pihak polis mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan dadah dimohon tampil dan menyalurkan maklumat melalui talian hotline JSJN 012-2087222 (Bukit Aman) dan 017-59292211 (JSJN Sarawak),” tegas Aswandy lagi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pemantauan projek yang berkesan diberi penekanan
Februari 12, 2026, Khamis - 3:08pm
Bagi pastikan ketelusan, akauntabiliti, nilai untuk wang dalam penggunaan dana awam

Gerawat (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pemantauan Pelaksanaan Projek RMK13 hari ini.
"Agensi pelaksana perlu menjejaki kemajuan pelaksanaan, mengenal pasti risiko serta menilai prestasi projek secara berkala bagi memastikan ia berjalan mengikut jadual yang ditetapkan dan dalam lingkungan siling peruntukan yang diluluskan."
Datuk Gerawat Gala
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek)
BINTULU: Sarawak meletakkan penekanan tinggi terhadap pemantauan projek yang berkesan bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti serta nilai untuk wang dalam penggunaan dana awam.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, dalam tempoh lima tahun ini, tumpuan bukan sahaja kepada perancangan, tetapi yang lebih utama ialah keberkesanan pelaksanaan dan pencapaian impak.
Katanya, setiap projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), peruntukan negeri, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Rakyat (P.029) dan Peruntukan Alternatif hendaklah dipantau secara sistematik dan konsisten.
"Agensi pelaksana perlu menjejaki kemajuan pelaksanaan, mengenal pasti risiko serta menilai prestasi projek secara berkala bagi memastikan ia berjalan mengikut jadual yang ditetapkan dan dalam lingkungan siling peruntukan yang diluluskan," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pemantauan Pelaksanaan Projek RMK13 Peruntukan Negeri, RTP, Projek Rakyat (P.029) dan Peruntukan Alternatif (AF) Bagi Zon Utara (Bintulu, Miri dan Limbang) Bil.1/2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Gerawat berkata, kita tidak boleh hanya menunggu laporan lewat atau isu menjadi kritikal sebelum bertindak.
Tambahnya, pendekatan yang proaktif dan berorientasikan penyelesaian mesti diamalkan.

Mesyuarat Penyelarasan Pemantauan Pelaksanaan Projek RMK13 yang dipengerusikan Gerawat (tengah) hari ini.
Katanya, sebarang isu teknikal, kelewatan tapak, masalah kontraktor atau kekangan peruntukan hendaklah ditangani segera melalui tindakan susulan yang jelas dan terkoordinasi.
"Langkah intervensi awal perlu dilaksanakan bagi mengelakkan masalah kecil berkembang menjadi isu besar yang boleh menjejaskan keseluruhan penyiapan projek.
"Saya juga ingin menegaskan kepentingan penyelarasan antara agensi.
"Semua jabatan dan agensi hendaklah bekerjasama secara kolaboratif dan bersepadu dalam pelaksanaan projek," tambahnya.
Pada masa sama katanya, tidak boleh bergerak secara berasingan sehingga menjejaskan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
Ujarnya, sebarang isu dan kekangan perlu dibincangkan secara bersama dan diselesaikan melalui perkongsian maklumat yang tepat pada masanya serta keputusan secara kolektif.
Jelasnya, komunikasi yang jelas dan terbuka antara agensi pelaksana, pejabat bahagian dan pihak berkepentingan lain adalah kunci kepada kelancaran projek.
Menurutnya, tahun 2026 menandakan permulaan pelaksanaan RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2030 sebagai satu fasa yang amat kritikal dalam memastikan hala tuju pembangunan Sarawak kekal sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Di samping itu katanya, beliau menggalakkan semua agensi untuk memanfaatkan pengalaman serta pengajaran yang telah diperoleh daripada pelaksanaan projek terdahulu.
"Pengajaran yang diperolehi perlu dijadikan rujukan dalam memperkukuh perancangan, menambah baik proses pelaksanaan serta meningkatkan kualiti hasil projek pada masa depan," katanya.
Beliau berkata, fokus utama adalah kepada penyampaian dan impak dengan setiap projek yang diluluskan mesti mencapai objektif serta sasaran yang telah ditetapkan.
Katanya, agensi pelaksana hendaklah mengambil pemilikan penuh dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hasil yang dicapai memandangkan projek-projek yang dilaksanakan bukan sekadar untuk memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) fizikal atau perbelanjaan, tetapi mesti memberikan manfaat mampan kepada rakyat.
"Sama ada projek infrastruktur asas, kemudahan awam, pembangunan luar bandar atau inisiatif alternatif pembiayaan, semuanya mesti menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat di Zon Utara," jelasnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
AZAM Sarawak terus perkukuh agenda transformasi digital
Februari 12, 2026, Khamis - 3:43pm

30 peserta terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah AZAM Sarawak, pegawai AZAM dan AZAM Young Souls menyertai bengkel Latihan Canva 101 di Kompleks AZAM.
KUCHING: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak terus memperkukuh agenda transformasi digital organisasinya menerusi penganjuran bengkel Latihan Canva 101 yang berlangsung di Kompleks AZAM hari ini.
Bengkel berkenaan menghimpunkan seramai 30 peserta daripada ekosistem AZAM termasuk Ahli Lembaga Pengarah, ahli-ahli AZAM, pihak pengurusan dan kakitangan serta belia di bawah platform AZAM Young Souls (AYS).
Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan AZAM dalam meningkatkan literasi digital dan keupayaan komunikasi visual dalam kalangan anggotanya, selari dengan keperluan semasa yang menuntut penyampaian maklumat secara lebih kreatif, pantas dan berimpak tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak Ali Suhaili berkata, latihan tersebut adalah langkah strategik bagi memastikan organisasi dan seluruh ekosistemnya kekal relevan dalam era digital.
“Transformasi digital bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. AZAM perlu memastikan seluruh ekosistemnya mempunyai keupayaan asas dalam reka bentuk dan komunikasi visual agar mesej yang disampaikan lebih jelas, konsisten dan berkesan,” katanya dalam ucapan penutup bengkel berkenaan.
Beliau menambah, penguasaan kemahiran digital asas seperti penggunaan Canva mampu meningkatkan profesionalisme penyampaian organisasi, khususnya dalam penghasilan bahan promosi, slaid pembentangan serta kandungan media sosial yang berkualiti dan selari dengan identiti korporat.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah AZAM merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Strategik dan Media Alice Wee menyifatkan latihan berkenaan sebagai langkah tepat dalam memperkukuh peranan AZAM sebagai organisasi yang berteraskan komunikasi.
“Sebagai organisasi yang menjalankan komunikasi partisipatif di Sarawak, AZAM perlu memastikan mesej yang disampaikan bukan sahaja tepat dari segi kandungan tetapi juga berkesan dari segi visual.
“Keupayaan ini akan meningkatkan kredibiliti serta keberkesanan penyampaian maklumat kepada masyarakat,” ujarnya.
Sepanjang bengkel tersebut, para peserta diberi pendedahan asas mengenai reka bentuk bahan promosi menerusi media sosial dan poster program, penyediaan slaid pembentangan yang lebih profesional serta penghasilan kandungan media sosial yang konsisten berasaskan prinsip komunikasi visual.
Sesi turut menerangkan perbezaan antara penggunaan Canva dan PowerPoint (PPTX), di mana kedua-duanya berfungsi sebagai alat reka bentuk dan pembentangan, namun berbeza dari segi fungsi, fleksibiliti reka letak serta kemudahan templat digital yang disediakan.
Bengkel berkenaan memberi manfaat langsung kepada ekosistem AZAM dalam memantapkan kebolehupayaan ahlinya, sekali gus menyokong aspirasi Mansang, bergerak ke hadapan secara progresif, berilmu dan berdaya saing.
Pendekatan itu turut menggalakkan budaya pembelajaran berterusan serta peningkatan kemahiran secara kolektif dalam organisasi.
Sebagai organisasi komunikasi, AZAM Sarawak komited untuk terus memperkukuh keupayaan digital bukan sahaja dalam kalangan anggotanya, malah menyebarluaskan kemahiran tersebut kepada komuniti melalui latihan, perkongsian kepakaran dan program penglibatan masyarakat.
Inisiatif seperti Latihan Canva 101 membuka ruang kepada ahli yang mempunyai kepakaran untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama komuniti setempat, selari dengan peranan AZAM dalam mempercepat literasi digital rakyat Sarawak secara inklusif dan berfokus.
Melangkah ke hadapan, AZAM Sarawak akan terus mempergiat usaha mendigitalisasikan pendekatan komunikasi dan penyampaian program sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan terhadap agenda Digital for Impact, bagi memastikan masyarakat Sarawak lebih bersedia dan celik digital dalam mendepani cabaran masa depan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sarawak tubuh Unit Diplomasi Iklim, fokus usaha wujud dasar iklim disepadukan dengan negara ASEAN: Abang Johari
Februari 12, 2026, Khamis - 4:00pm

Abang Johari (dua kiri) menyampaikan Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Kepimpinan Perniagaan Cemerlang ASEAN kepada Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain pada majlis tersebut. Turut kelihatan, Munir (kiri) dan Yoh (kanan). - Gambar Penerangan
KUCHING: Sarawak menubuhkan Unit Diplomasi Iklim yang memfokus kepada usaha mewujudkan dasar-dasar iklim yang disepadukan dengan negara-negara ASEAN.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata di bawah unit itu, negara-negara jiran akan bekerjasama membangunkan dasar iklim yang disepadukan.
“Terdapat istilah baharu sekarang yang kita panggil diplomasi iklim.
“Kita (Sarawak) telah menubuhkan satu Unit Diplomasi Iklim di bawah Jabatan Premier Sarawak dan unit ini menumpukan kepada jiran kita, bersama-sama membangunkan dan mempunyai dasar iklim yang disepadukan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi dan Perniagaan Sarawak ASEAN (ASBEF) 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Presiden Kelab Perniagaan ASEAN Tan Sri Dr Munir Majid dan Pengerusi Kelab Ekonomi ASEAN Tan Sri Michael Yeoh.
Forum anjuran bersama Kelab Ekonomi ASEAN (AEC), Institut Strategik untuk Asia Pasifik dan Kelab Perniagaan ASEAN itu bertemakan 'Dari Strategi ke Skala: Bersaing dalam Ekonomi Global yang Tidak Bersepadu.'
Abang Johari berkata, Sarawak juga akan terlibat dalam tindakan iklim, integrasi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan memajukan ekonomi kitaran melalui dasar iklim, perdagangan karbon dan pelaburan yang berfokus pada kemampanan.
“Di bawah strategi ini, Sarawak akan mengekalkan kredibiliti fiskal sambil melabur untuk pertumbuhan. Perbelanjaan pembangunan akan kekal berdisiplin. Pemilihan projek kekal selektif.
“Kedudukan kewangan akan terus diperkukuh dan dilindungi. Pertumbuhan akan diteruskan dengan cara yang mengekalkan keyakinan merentasi kitaran ekonomi.
“Ini adalah komitmen penyampaian, bukan aspirasi jangka panjang. Ia menentukan bagaimana kita berhasrat untuk bersaing, melaksanakan dan kekal boleh dilaburkan sehingga 2030,” jelasnya.
Abang Johari berkata, tempoh dari tahun 2026 hingga 2030 adalah kritikal, keputusan yang diambil sekarang mengenai sistem tenaga, kapasiti perindustrian, disiplin fiskal dan penyelarasan institusi akan membentuk daya saing Sarawak menjangkaui dekad ini.
Bagi pelabur dan perniagaan katanya, Sarawak menawarkan kredibiliti fiskal, kebolehpercayaan tenaga, kejelasan dasar dan kerajaan yang bersedia untuk membuat keputusan di bawah kekangan.
Menyentuh pembangunan ekonomi Sarawak, Abang Johari berkata ia mementingkan keseimbangan dalam dasar iklim dan daya saing global.
Ini katanya, dapat dilihat menerusi usaha Sarawak menyediakan kerangka kerja pelaksanaan bagi memperkenalkan mekanisme levi karbon, pertimbangan menyeluruh terhadap impak sosioekonomi dan daya saing industri untuk menyokong perniagaan melalui proses peralihan.
Menurutnya, Sarawak kekal pilihan pelabur kerana disiplin fiskal, strategi tenaga dan kapasiti pelaksanaan sejajar dengan realiti ekonomi global yang tidak bersepadu atau berpecah belah.
“Menjelang 2030, keutamaan Sarawak bukanlah untuk melakukan semuanya, tetapi terhad yang secara langsung memperkukuh daya saing dalam ekonomi global yang lebih berpecah belah dan terhad modal.
“Justeru, kita memperkenalkan Strategi Peringkat Tinggi bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, langkah pertama diambil Sarawak ialah mempercepatkan
peralihan tenaga bersih dengan mengembangkan tenaga boleh diperbaharui dan memodenkan infrastruktur bukan fungsi sokongan.
Menurut Abang Johari, pelaburan berterusan dalam penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan kebolehpercayaan grid direka bentuk untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada industri, infrastruktur digital dan kesalinghubungan seranta, maka ketersediaan tenaga tidak akan menjadi kekangan kepada pertumbuhan.
“Kedua, Sarawak akan membangun dan menarik industri strategik melalui perkongsian, rantaian bekalan tempatan yang diperkukuh dan pembinaan kapasiti PKS (perusahaan kecil dan sederhana) sambil memacu penggunaan teknologi.
“Kita akan meningkatkan aktiviti hiliran dan perindustrian, terdapat kesesuaian yang jelas antara bekalan tenaga, infrastruktur dan kepastian dasar,” katanya sambil menambah tumpuan diberikan kepada sektor hiliran gas, petrokimia dan industri bernilai tinggi.
“Ketiga, Sarawak akan meningkatkan keyakinan pelabur dan menarik penyertaan sektor swasta yang lebih besar dengan memperkukuh tadbir urus serta menambah baik proses kawal selia,” jelasnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
PPWS Lawas santuni penghuni Penjara Limbang
Februari 12, 2026, Khamis - 4:07pm

PPWS Cawangan Lawas menyerahkan pakaian terpakai lelaki kepada wakil Penjara Limbang semalam.
LIMBANG: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Lawas menyantuni penghuni Penjara Limbang dengan penyerahan sumbangan pakaian terpakai lelaki semalam.
Ketua rombongan Suriyah Jinin berkata, pakaian tersebut diberikan kepada banduan untuk digunakan apabila dibebaskan kelak.
Lawatan tersebut disertai 11 anggota persatuan terbabit.
“Lawatan dan sumbangan ini julung kali diadakan PPWS Cawangan Lawas dan sebahagian daripada program kebajikan dan kemasyarakatan yang diadakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Limbang Penguasa Penjara Choimmber Tain menyambut baik lawatan itu dan memberikan sedikit taklimat tentang peranan Jabatan Penjara kepada rombongan.
Pihak Penjara Limbang merakamkan penghargaan atas sumbangan pakaian terpakai kepada banduan dan mengharapkan lebih banyak lagi agensi dan NGO luar untuk berkolaboratif dan menjalinkan kerjasama strategik sebagai rakan komuniti kepada Jabatan Penjara Malaysia.
Sumber : Utusan borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Majlis Tahun Baharu Cina di Gelanggang Bola Keranjang Durin, 17 Februari
Februari 12, 2026, Khamis - 4:39pm

Teo (duduk, empat kiri) bersama ahli jawatankuasanya yang menghadiri mesyuarat persediaan penganjuran Majlis Tahun Baharu Cina di pekan Durin, hari ini.
SIBU: Bagi meraikan ketibaan Tahun Baharu Cina sempena Tahun Kuda, Persatuan Komuniti Durin dan Belia Durin akan bersama-sama menganjurkan Majlis Tahun Baharu Cina pada 17 Februari ini, jam 6.30 petang di Gelanggang Bola Keranjang Durin.
Penasihat Persatuan Komuniti Durin yang juga pengerusi penganjur Datuk Teo Boon Siew mendedahkan bahawa sepanjang lebih 40 tahun lalu, golongan belia Durin telah memilih hari pertama Tahun Baharu Cina untuk menganjurkan majlis sambutan tersebut.
Menurutnya, ia merupakan acara tradisi tempatan yang setiap tahun menarik kehadiran masyarakat pelbagai kaum.
Beliau berkata, sebagai salah seorang pengasas acara itu, apabila mengimbau kembali keadaan pada waktu itu, kawasan Durin menghadapi masalah insfrastruktur yang kurang baik.
Dalam suasana masyarakat luar bandar ketika itu yang kekurangan hiburan, walaupun pada musim perayaan, hampir tiada aktiviti dijalankan dan suasananya amat membosankan.
Menurutnya, bagi mereka yang pulang ke kampung untuk menyambut Tahun Baharu Cina, kebanyakannya hanya berada di rumah tanpa aktiviti dan selepas perayaan kembali semula bekerja.
Seluruh kawasan kampung kurang kemeriahan dan suasana perayaan juga hambar.
“Pada masa itu, sekumpulan anak muda berfikir bahawa memandangkan rakan-rakan dan penduduk kampung sanggup pulang dari jauh untuk menyambut perayaan, sekurang-kurangnya perlu ada satu platform untuk semua berkumpul dan beramah mesra agar tidak hilang makna sambutan Tahun Baharu.
"Oleh itu, kami berganding bahu menganjurkan majlis sambutan Tahun Baharu Cina ini supaya penduduk kampung dapat hadir bersama-sama dan bergembira," katanya di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, tujuan utama penganjuran majlis tersebut adalah untuk membawa kegembiraan kepada penduduk kampung supaya kawasan yang sunyi menjadi lebih meriah ketika musim perayaan dengan adanya persembahan hiburan dan peluang untuk masyarakat berkumpul.
“Hampir setiap tahun pada hari pertama Tahun Baharu Cina, majlis ini tidak pernah terhenti.
"Aktiviti kami mendapat penyertaan masyarakat pelbagai kaum dan pemimpin masyarakat serta wakil rakyat juga sentiasa hadir tanpa mengira keadaan. Ini amat menggembirakan," ujarnya.
Katanya lagi, penganjuran majlis itu telah berlangsung lebih 40 tahun.
"Tahun ini merupakan edisi ke-40, namun bukan tahun ke-40 berturut-turut kerana pernah dihentikan beberapa tahun akibat pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," jelasnya.
Teo berkata, walaupun kumpulan belia asal kini telah meningkat usia ke peringkat pertengahan dan lanjut usia, semangat belia Durin masih kekal.
Generasi belia baharu kini jelasnya, beransur-ansur mengambil alih peranan dan beliau yakin selagi semangat tersebut terus wujud, majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Durin akan terus dianjurkan.
Beliau turut memaklumkan, bagi tahun ini persatuannya akan menjemput Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Seri Tiong King Sing sebagai tetamu kehormat.
Turut dijemput sebagai tetamu kenamaan ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Lanang Alice Lau serta ADUN Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, majlis sambutan akan menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan yang menarik, termasuk persembahan nyanyian dan tarian daripada kumpulan terkenal dari Sibu, persembahan penyanyi lelaki dan wanita popular, tarian moden, nyanyian beramai-ramai, cabutan bertuah yang lumayan serta permainan berhadiah.
Selain itu, pihak penganjur turut menyediakan jamuan ringan kepada para hadirin dan mengagihkan angpau kepada kanak-kanak.
Pihak penganjur menjemput orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk hadir memeriahkan majlis tersebut di mana kemasukan adalah percuma.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Operasi Bersepadu Mega E-Cigarette serbu empat premis di Miri
Februari 12, 2026, Khamis - 4:49pm

Pasukan serbuan bersama sebahagian daripada produk e-rokok bernilai RM500,000 yang dirampas pada Selasa.
MIRI: Pelbagai produk rokok elektronik (e-rokok) bernilai setengah juta ringgit berjaya dirampas hasil serbuan ke atas empat premis di sekitar bandar raya ini dalam Operasi Bersepadu Mega E-Cigarette pada Selasa.
Operasi itu dilaksanakan Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Miri dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion Ke-12 Miri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Miri dan Majlis Bandaraya Miri (MBM).
Seramai 30 pegawai penguat kuasa daripada pelbagai agensi digerakkan dalam operasi bersepadu berkenaan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dijalankan secara menyeluruh dan berkesan.
"Beberapa premis perniagaan yang menjual produk e-rokok di sekitar bandaraya ini diperiksa dan daripada jumlah itu, empat diserbu atas kesalahan yang dikenal pasti.
"Hasil serbuan itu, pelbagai produk e-rokok dianggarkan bernilai RM500,000 dirampas kerana disyaki melanggar peruntukan undang-undang," menurut kenyataan yang dikeluarkan PKB hari ini.
Sebanyak tiga notis kesalahan turut dikeluarkan mengikut Seksyen 15(1) Akta 852 atas ketidakpatuhan terhadap keperluan pembungkusan dan pelabelan yang ditetapkan.
Tindakan lanjut termasuk pendakwaan akan dipertimbangkan selepas siasatan selesai.
"Semua barangan rampasan telah direkodkan dan akan diproses selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Operasi dan pemantauan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa tanpa notis awal bagi memastikan pematuhan sepenuhnya dalam kalangan pengusaha," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, pihak berkuasa menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta 852 dan pengusaha e-rokok diwajibkan mematuhi semua garis panduan, syarat pelesenan dan peraturan yang ditetapkan, dan kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan sitaan, kompaun serta pendakwaan di mahkamah.
PKB Miri menegaskan komitmennya untuk terus memperkasakan penguatkuasaan bagi melindungi kesihatan awam serta membendung penjualan dan pengedaran produk e-rokok yang tidak mematuhi undang-undang di bandar raya ini.

Pegawai penguatkuasa memeriksa dan menyita produk e-rokok dalam Operasi Bersepadu Mega di sekitar bandar raya ini pada Selasa.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SADA sertai Sesi Taklimat Perancangan Pembangunan SEB
Februari 12, 2026, Khamis - 5:28pm

Rohani bertukar cenderamata bersama wakil SEB selepas sesi taklimat di Menara Sarawak Energy semalam. Turut kelihatan Mussen (kanan) dan yang lain.
KUCHING: Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) hari ini menyertai Sesi Taklimat Perancangan Pembangunan Sarawak Energy Berhad (SEB) di kawasan Empangan Batang Ai, sebagai langkah memperkukuh penyelarasan perancangan pembangunan antara kedua-dua pihak.
Menurut Pengerusi SADA Datuk Seri Rohani Abdul Karim, sesi tersebut merupakan platform penting bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan secara bersepadu serta selari dengan hala tuju pembangunan bahagian Sri Aman.
“Sesi taklimat ini amat signifikan susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu SADA yang mengarahkan penyelarasan awal bersama Sarawak Energy Berhad, khususnya berkaitan perancangan pembangunan dan potensi pelancongan di sekitar Empangan Batang Ai.
“Pendekatan ini penting bagi mengelakkan pertindihan projek serta memastikan setiap pembangunan saling melengkapi,” katanya semasa sesi di sini, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa SADA komited untuk memastikan pembangunan dilaksanakan secara holistik dan mampan, dengan memberi keutamaan kepada kesejahteraan komuniti setempat serta pemeliharaan alam sekitar.
“Melalui kerjasama strategik bersama SEB dan agensi berkaitan, SADA berharap potensi sosioekonomi kawasan Empangan Batang Ai dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat,” tambah beliau.
Delegasi SADA turut terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman Charlie Keling dan Pegawai Tadbir Khas SADA Alfred Geling Ason serta wakil agensi pelaksana dan agensi teknikal projek SADA.
Kehadiran itu bagi memastikan semua pihak memperoleh pemahaman yang jelas mengenai perancangan pembangunan yang dirancang.
Tambah Rohani, sesi itu juga membuka ruang perbincangan konstruktif antara agensi bagi menangani isu perancangan dan pelaksanaan pada peringkat awal, sekali gus memperkukuh kerjasama strategik antara pihak berkepentingan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lebih 20,000 dijangka hadiri Rumah Terbuka TBC PDP 19 Februari ini
Februari 12, 2026, Khamis - 5:30pm

Ting (duduk tiga kiri) bersama ahli PDP yang lain ketika sidang media mengenai Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PDP 2026 hari ini.
SIBU: Lebih 20,000 orang dijangka menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Parti Demokratik Progresif (PDP) di Pusat Komersial Pulau Li Hua pada 19 Februari ini, yang bakal menjadi penganjuran terbesar sejak acara itu mula diadakan empat tahun lalu.
Pengerusi penganjur Joshua Ting berkata, sambutan yang diadakan sempena lawatan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu akan berlangsung dari jam 8 pagi hingga 1 petang dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
"Kita mengalu-alukan semua, seluruh warga Sibu dijemput hadir.
"Orang ramai daripada pelbagai kaum dan latar belakang dijemput menyertai Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina kita ini," ujarnya pada sidang media di sini, hari ini.
Ting yang juga Setiausaha Politik Premier Sarawak berkata, jemputan rasmi telah dihantar kepada semua tetamu yang dijemput termasuk semua wakil rakyat di bahagian ini.
Beliau memberitahu, rumah terbuka tahun ini akan menyajikan pelbagai juadah tempatan yang disediakan secara segar di lokasi bagi menampung kehadiran orang ramai pada majlis tersebut.
Di samping itu, pengunjung juga akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan hiburan sepanjang pagi termasuk muzik, tarian kebudayaan, nyanyian dan persembahan tarian singa, selain lokasi acara akan dihias mengikut tema Tahun Kuda, lengkap dengan maskot untuk sesi bergambar.
Sehubungan itu, Ting berharap sambutan tersebut dapat menonjolkan semangat perpaduan masyarakat majmuk Sarawak.
"Sempena sambutan Tahun Kuda ini, semoga Rumah Terbuka ini mencerminkan semangat sebenar Sarawak, perpaduan dalam kepelbagaian, keharmonian dalam budaya dan kemakmuran untuk semua," tambah beliau.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|