Zaharif nazak, meronta-ronta kesakitan selepas dilanggar Perodua Ativa - Saksi
Mohd Nazri hadir di Mahkamah Tinggi, Ipoh, hari ini. - NSTP/L MANIMARAN
IPOH: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berada dalam keadaan nazak dan meronta-ronta kesakitan selepas motosikal ditunggang mangsa dilanggar sebuah Perodua Ativa putih, Disember tahun lalu. Saksi ke-12 pendakwaan yang juga remaja lelaki itu berkata, selepas perlanggaran berkenaan, dia melihat seorang pemandu lelaki turun dari kenderaan terbabit lalu pergi ke arah mangsa dan menyuruhnya mengangkat Muhammad Zaharif Affendi. Ketika berada di tempat kejadian, katanya, dia melihat Muhammad Zaharif Affendi terbaring dengan muka tiarap di atas jalan dan ada kecederaan pada peha serta siku mangsa. "Pemandu Ativa yang berpakaian baju T berwarna putih dan seluar tiga suku berwarna hitam, datang ke arah Zaharif jatuh dan memarahi saya: 'Apa pandang saya?! Kau tengok apa? Kau tolong aku angkat dia, aku polis!' dalam nada yang kuat.
"Saya berasa takut dan terkejut selepas mendengar kata-kata itu. Selepas itu, ada seorang orang awam yang memakai topi keledar mengangkat Zaharif belah kakinya, manakala pemandu Ativa itu mengangkat di bahagian ketiaknya. "Saya cuba menolong dengan memapah di bahagian belakang tengah badan Zaharif, namun hanya berjalan sampai tengah jalan sebelum melepaskan kerana berasa amat takut melihat keadaan Zaharif yang nazak," katanya ketika membaca pernyataan bertulis di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet. Pada hari kelapan prosiding perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi, saksi itu memberitahu mahkamah, dia sempat melihat pemandu Ativa itu dan orang awam yang mengangkat mangsa telah meletakkannya di bucu simpang Jalan Taman Jati 1. Katanya, dia kemudian berpaling serta berlari ke Mitsubishi Triton milik ibunya di bahu Jalan Pekeliling Meru Indah, dan ketika itu dia melihat ibunya yang berada di luar kenderaan sedang menelefon pihak ambulans. "Saya pergi semula ke arah tempat Zaharif dibaringkan di bucu simpang Jalan Taman Jati 1 sebab nak tengok apa yang terjadi. Pada masa ini, sudah ramai orang termasuk budak sekolah dan orang awam berkerumun di kawasan itu untuk melihat apa yang terjadi. "Saya ada nampak seorang pakcik yang memakai baju berwarna merah, peluk badan Zaharif sambil menyatakan: 'Zaharif, ni abah ni....' "Saya dapat melihat Zaharif meronta-ronta ke kiri dan ke kanan akibat kesakitan dan cuba bangun, namun ditahan oleh pakcik itu. Saya juga ada nampak seorang jururawat yang berpakaian seragam jururawat sedang cuba menenangkan Zaharif," katanya. Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, saksi itu berkata, dia mengenali pakcik berkenaan sebagai bapa Muhammad Zaharif Affendi kerana selalu ke restoran milik lelaki itu, namun tidak mengenali jururawat terbabit. Ditanya sama ada pemandu Ativa itu menunjukkan sebarang kad kuasa ketika memperkenalkan dirinya sebagai polis di lokasi perlanggaran pula, dia berkata, lelaki berkenaan langsung tidak menunjukkan sebarang pengenalan diri kepadanya. Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari 15 Disember 2023. Pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan. Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan turut dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, M Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman. Prosiding perbicaraan ditangguhkan sekejap dan akan disambung petang ini.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1323791/zaharif-nazak-meronta-ronta-kesakitan-selepas-dilanggar-perodua
|