|
|
Lelaki asin masuk secara haram dipenjara, disebat dang diusir
Februari 11, 2026, Rabu - 3:06pm
MIRI: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan masuk ke negara ini secara haram.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran setelah selesai menjalani hukuman penjara kelak.
Tertuduh, Anselmus Alimuti, 25, dari Indonesia, didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, tertuduh telah ditahan pada jam 10.30 pagi, 26 Januari lalu di tepi jalan menghadap ke sebuah kawasan perumahan di Taman Kanjia di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.
Ketika disoal siasat awal polis, tertuduh yang merupakan warganegara Indonesia gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan sah yang membenarkannya masuk dan tinggal di negara ini.
Berikutan itu, tertuduh telah ditangkap dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Marvind Kaliyani di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Afiq Fadhli dari Sarawak wakili Malaysia sebagai ahli panel IESF
Februari 11, 2026, Rabu - 4:54pm

Afiq (tengah) berkongsi pandangan praktikal berdasarkan program pembangunan e-sukan di Malaysia dan Sarawak.
KUCHING: Afiq Fadhli Narawi dari Sarawak telah mewakili Malaysia di pentas antarabangsa sebagai ahli panel pada Sidang Kemuncak E-sukan Dunia Persekutuan E-sukan Antarabangsa (IESF) ke-10.
Beliau yang merupakan Timbalan Presiden Persekutuan E-sukan Malaysia (MESF), Ahli Lembaga Pengarah IESF serta Presiden Persatuan E-sukan Sarawak (SESA) bersama pakar global membincangkan impak kecerdasan buatan (AI) terhadap sukan elektronik kompetitif.
Sidang kemuncak dua hari dari 10 hingga 11 Februari di Busan, Korea Selatan tersebut menghimpunkan pemimpin e-sukan, ahli akademik, penggubal dasar serta pemain industri bagi membincangkan trend dan cabaran baharu dalam sektor berkenaan.
Afiq tampil dalam sesi panel dengan mengupas tajuk 'AI and Esports: Leap or Threat?’ di mana beliau berkongsi pandangan praktikal berdasarkan program pembangunan e-sukan di Malaysia dan Sarawak.
“Dalam program latihan kami, AI digunakan untuk menterjemahkan data prestasi mentah kepada panduan kejurulatihan yang boleh dilaksanakan,” kata Afiq.
“Sebagai contoh, dalam perlumbaan simulasi, AI membantu menganalisis data telemetri dan menukarkannya kepada panduan jelas mengenai teknik membrek, kelajuan mengambil selekoh serta konsistensi.
"Pendekatan sama turut diaplikasikan dalam eFootball, Tekken 8 dan beberapa judul e-sukan lain," katanya.
Walaupun mengakui AI sebagai alat penting dalam pembangunan atlet, Afiq menegaskan kepentingan tadbir urus yang betul.
“AI sepatutnya melatih atlet, bukan menggantikan atlet. Kebimbangan utama saya ialah keselamatan data. Data prestasi sangat sensitif. Jika disalah urus atau dibocorkan ia boleh memberi kelebihan kompetitif kepada pihak lawan,” katanya.
Tambah beliau, persekutuan perlu memainkan peranan utama dalam menetapkan garis panduan etika yang jelas.
“Jika persekutuan tidak menetapkan peraturan sekarang, peraturan itu akan ditentukan oleh vendor teknologi atau kepentingan komersial justeru integriti mesti diutamakan berbanding kelajuan inovasi,” katanya.
Afiq turut melahirkan rasa bangga dapat membawa perspektif Sarawak ke peringkat global.
“Merupakan satu penghormatan besar dapat mewakili Malaysia di Sidang Kemuncak E-sukan Dunia... ini membuktikan ekosistem tempatan kita bukan sahaja berkembang malah mampu menyumbang secara bermakna kepada wacana e-sukan antarabangsa,” katanya.
Ahli panel lain termasuk Dr Seth Jenny dari Slippery Rock University (Amerika Syarikat), Ignat Bobrovich dari syarikat Valvur yang berpangkalan di Estonia, serta Dr Tsubasa Shinohara dari Universiti Tsukuba, Jepun.
Sesi dipengerusikan oleh Ahli Lembaga Pengarah IESF Flip De Bruyn dari Namibia.
IESF yang ditubuhkan pada 2008 kini mewakili lebih 152 persekutuan kebangsaan di seluruh dunia serta mempromosikan tadbir urus, integriti dan pembangunan mampan dalam e-sukan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kompleks Sukan Mini Selangau bernilai RM11.5 juta dijangka siap November 2027
Februari 11, 2026, Rabu - 3:31pm


Abdul Karim bersama Gira serta tetamu kenamaan lain pada upacara miring majlis pecah tanah projek pembinaan Kompleks Sukan Mini Selangau, hari ini.
SELANGAU: Kompleks Sukan Mini Selangau bernilai RM11.5 juta merupakan inisiatif strategik Kerajaan Sarawak bagi menyediakan kemudahan sukan moden dan berstandard kepada masyarakat luar bandar.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek itu tertangguh selepas pandemik COVID-19 susulan isu tapak, reka bentuk serta masalah kewangan kontraktor terdahulu.
Menurutnya, penyelarasan semula telah dibuat dan kontraktor baharu dikenal pasti bagi memastikan projek berkenaan dapat dimulakan segera, dengan tempoh pelaksanaan dijangka mengambil masa dua tahun dan siap pada November 2027.
"Kompleks ini bakal dilengkapi trek larian, padang bola sepak mengikut spesifikasi pertandingan serta beberapa fasiliti sokongan lain.
"Ada juga cadangan penambahbaikan dari semasa ke semasa mengikut keperluan komuniti setempat," ujarnya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembinaan Kompleks Sukan Mini Selangau, hari ini.

Abdul Karim menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembinaan Kompleks Sukan Mini Selangau, hari ini. Turut kelihatan ialah Gira, Rita serta yang lain.
Beliau turut menekankan kepentingan kadar sewaan fasiliti yang berpatutan agar tidak membebankan penduduk luar bandar, khususnya golongan belia.
"Kita tidak mahu kemudahan yang dibina ini sukar diakses kerana kos sewaan tinggi.
"Hasrat kita adalah memastikan anak-anak kampung dapat menggunakan fasiliti ini untuk aktiviti sukan tanpa halangan kewangan," jelasnya.
Kompleks berkenaan kelak akan diselia oleh Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) yang bertanggungjawab terhadap pengurusan fasiliti sukan negeri.
Dalam perkembangan berkaitan Abdul Karim berkata, kerja-kerja naik taraf pelbagai fasiliti sukan di Sarawak giat dijalankan sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2027.
"Antara fasiliti terlibat termasuk stadium utama negeri, lapangan sasar menembak, gelanggang skuasy, tenis, renang serta beberapa venue lain yang akan diperkukuh bagi memenuhi piawaian pertandingan," katanya.
Beliau yakin semua persiapan akan berada pada landasan tepat sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan sebelum September 2027 bagi memastikan penganjuran temasya berjalan lancar.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang dan Ahli Dewan Negara Senator Rita Sarimah Patrick Insol.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|