|
KUMPULAN pemancing yang terselamat dalam kejadian berkenaan. FOTO APMM
Langkawi: "Selepas beberapa kali azan, akhirnya ada bot nelayan yang lalu di kawasan berhampiran nampak kami terapung sebelum mereka datang memberi bantuan.
"Sebelum itu, ada juga bot yang lalu, tapi mereka tak nampak kami, mungkin belum terbuka 'hijab' ketika itu," kata pemancing, Mohd Syahrin Samsudin, 43.
Mohd Syahrin dari Perlis antara pemancing berdepan detik cemas selama lima jam selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Beras Basah di sini, petang semalam.
Dalam kejadian 2 petang itu, bot Empayar Mahsuri yang membawa 14 pemancing dan empat kru dilaporkan bocor sebelum karam akibat dipukul ribut.
Menceritakan lanjut, Mohd Syahrin berkata, dia bersyukur kesemua pemancing diselamatkan oleh sebuah bot pukat tunda, jam 7.30 malam tadi.
"Ketika itu keadaan sekitar hampir gelap, kira-kira 7.30 malam dan kami bernasib baik apabila awak-awak dari sebuah bot melambai sebelum saya membalas dengan cahaya lampu suluh.
"Saya lega bila bot (pukat tunda) menyalakan semula lampu ke arah kami, maknanya ada respons daripada mereka," katanya ketika ditemui di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Bukit Malut di sini, malam tadi.
Mohd Syahrin berkata, dia bersama 13 rakan pemancing berada di laut selama dua malam selepas keluar dari Jeti Kuala Perlis untuk memancing pada pagi, Khamis.
"Hari ini (semalam) kami nak ubah ke tempat baharu untuk memancing dan dijangka esok pagi (hari ini) kami akan tiba di Kuala Perlis selepas menyertai trip memancing selama empat hari tiga malam.
"Ketika terapung, saya hanya memikirkan cara untuk terus bertahan dengan mengingati balik perkara yang pernah dipelajari termasuk kaedah menenangkan rakan-rakan yang semua dalam keadaan panik," katanya.
Sementara itu, tekong bot Empayar Mahsuri, Baseri Aziz, 55, berkata, kejadian berlaku pantas ketika cuaca buruk dan ombak setinggi kira-kira lima meter.
"Papan depan bot tiba-tiba terbuka luas, kemudian (papan) bawah pun pecah menyebabkan air masuk ikut depan dan tak dapat nak buat apa-apa sebelum bot tenggelam, 1.45 tengah hari.
"Ketika kejadian kami dalam perjalanan balik dengan kelajuan dalam empat knot, selain cuba merapat ke pulau berdekatan sebab ombak kuat kerana cuaca buruk," katanya. |
|