Johan nafi pindah rumah
SPEKULASI mengenai keengganan keluarga Johan Ashari untuk memberi restu 'cinta ekspresnya' terhadap Lana Nordin semakin hebat diperkatakan. Malah ada ura-ura mengatakan hubungan Johan dengan keluarganya kini semakin renggang kerana jejaka itu masih kekal dengan pendirian cintanya itu.
Antara cerita panas lain yang Aida terima, Johan juga khabarnya sudah berpindah keluar dari rumah keluarganya selepas ketegangan yang wujud antara mereka. Betul ke ni? Apa sudah jadi? Takkanlah sampai nak keluar rumah bila cinta tak direstui?
Peluang berjumpa Johan pada satu majlis filem Paku baru-baru ini, Aida sempat jolok Johan dengan soalan tu. Menolak mentah-mentah berita itu, menurut Johan, dia masih lagi tinggal bersama keluarga.
"Saya masih tinggal bersama keluarga tau. Saya tidak tahu bagaimana kisah ini keluar. Mana dapat cerita ni?" Tanya Johan dalam nada terkawal.
Aida sudah agak, mestilah begitu jawapan Johan. Apa pun kita bersangka baiklah ya, sebab Aida kenal Johan, dia memang budak yang baik. Menurut Johan, fokus dia sekarang adalah ke arah menjadi lelaki yang lebih baik untuk insan insan yang disayanginya.
"Mungkin tidak lama lagi saya akan berkahwin, banyak kena berubah. Apa yang penting adalah tolonglah sama-sama mendoakan kebahagiaan saya,a€ katanya.
Dalam pada itu, seorang rakan artis turut bercerita mengenai kejadian pada malam Anugerah Skrin Jumaat lalu. Khabarnya Johan telah menerima amaran daripada ibunya agar tidak pergi ke sana bersama Lana. Malah situasi itu agak tegang sehingga mengganggu emosi Johan.
Itu lagi satu cerita tak betul. Realitinya kata Johan, hubungan dengan keluarga masih berada dalam keadaan baik. Memahami bahawa ibunya mahukan wanita terbaik mendampingi dirinya, Johan menyerahkan jodohnya sebagai urusan Allah.
"Hubungan saya dengan keluarga masih baik. Orang hanya membuat spekulasi kononnya kami renggang, tidak betul. Saya kena banyak berdoa semoga semuanya okey dan keluarga gembira dengan pilihan ini," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20131209/hi_07/Johan-nafi-pindah-rumah#ixzz2nAAOwO4N
© Utusan Melayu (M) Bhd
|