CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 11-2-2026 09:39 AM | Show all posts
Projek pembinaan Pakej 2, Fasa 1 Jalan Marudi-Mulu dimulakan
Februari 10, 2026, Selasa - 7:18pm



Gerawat (depan, bertopi) ketika meninjau projek pembinaan Jalan Marudi-Mulu Fasa 1, di Mulu, hari ini.

MIRI: Projek pembinaan Jalan Marudi–Mulu yang sekian lama dinantikan rakyat pedalaman Baram dan Mulu kini melangkah ke fasa pelaksanaan apabila Pakej 2, Fasa 1 projek berkenaan diserahkan secara rasmi kepada kontraktor semalam, sekali gus menandakan permulaan pembinaan fizikal laluan strategik tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, majlis penyerahan tapak projek Pakej 2, bagi Jalan Marudi-Mulu (Kuala Melinau) di bawah Projek Jalan Miri-Marudi-Mulu-Long Panai-Long Lama (MMMLL) oleh RECODA kepada Sarawork Sdn Bhd merupakan satu pencapaian penting dalam agenda pembangunan infrastruktur luar bandar Sarawak.

Menurut beliau, Pakej 2 melibatkan jajaran dari Poyut ke Sungai Selejau sepanjang 6.2 kilometer dan merupakan sebahagian daripada pelaksanaan berperingkat projek jalan Marudi-Mulu yang dirancang secara tersusun bagi memastikan kelancarannya mengikut jadual ditetapkan.

“Projek ini amat signifikan dalam memperkukuh jaringan perhubungan darat ke kawasan pedalaman, khususnya ke Taman Negara Mulu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Pembinaan jalan ini bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk tempatan, malah menyokong pembangunan pelancongan serta usaha pemeliharaan kawasan bertaraf antarabangsa ini secara lebih mampan,” katanya ketika ditemui selepas majlis ringkas berkenaan di sini, hari ini.

Gerawat menjelaskan, secara keseluruhan projek Jalan Marudi–Mulu melibatkan jajaran sepanjang 74 kilometer yang akan dihubungkan dengan Sabah-Sarawak Link Road Fasa 2, sekali gus mewujudkan rangkaian perhubungan strategik antara Sarawak dan Sabah.

Katanya, rangkaian jalan tersebut dijangka memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat dengan meningkatkan akses perhubungan, merancakkan pembangunan sosioekonomi serta membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk luar bandar.

“Pembinaan jalan ini juga akan membuka akses ke penempatan utama seperti Long Ukok, Long Linei dan Long Panai, yang sebelum ini berdepan kekangan perhubungan darat.

"Ini adalah komitmen kerajaan untuk memastikan tiada kawasan yang terus terpinggir daripada arus pembangunan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Gerawat merakamkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada Sarawork Sdn Bhd selaku kontraktor reka dan bina bagi Pakej 2, Fasa 1 Projek Jalan MMMLL, sambil berharap projek tersebut dapat dilaksanakan dengan penuh komitmen, profesionalisme serta mematuhi spesifikasi dan jadual yang ditetapkan.

“Kerajaan Sarawak akan terus memantau pelaksanaan projek ini secara rapi bagi memastikan ia berjalan lancar dan siap dengan kualiti terbaik demi manfaat jangka panjang rakyat, khususnya di Marudi dan Mulu,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 11-2-2026 09:41 AM | Show all posts
45,000 pelancong dari Mumbai, India masuk ke Sarawak melalui ICQS Sungai Tujoh
Februari 10, 2026, Selasa - 7:20pm



Ting (empat kiri) dan Yii (tiga kanan) merasmikan ‘Lake Duck Paddle Boat’ di Taman Bulatan Miri, hari ini.

MIRI: Sarawak merekodkan seramai 45,000 pelancong dari Mumbai, India memasuki negeri ini tahun lalu melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh di sini, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting.

Sehubungan itu, beliau berkata Sarawak menyasarkan untuk menggandakan angka tersebut kepada 90,000 pelawat dari India pada tahun ini, selaras dengan usaha berterusan memperkukuh penawaran pelancongan negeri, khususnya di bandar pintu masuk seperti Miri.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan bahawa pelancong ini memasuki Sarawak dari Brunei melalui ICQS Sungai Tujoh.

"Mereka terbang dari Mumbai ke Brunei sebelum menaiki bas ke Miri dan kawasan lain di Sarawak,” katanya, sambil menambah perkara itu menekankan kepentingan memastikan bandar seperti Miri terus menawarkan destinasi yang menarik dan dibangunkan dengan baik untuk pengunjung.

Ting berkata demikian ketika merasmikan ‘Lake Duck Paddle Boat’, tarikan baharu di Taman Bulatan di sini, hari ini.

Beliau yang juga ADUN Piasau berkata Miri semakin menjadi destinasi popular hasil usaha kolektif pelbagai pihak, termasuk Majlis Bandaraya Miri serta badan korporat seperti Kumpulan Syarikat Shin Yang menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), selain pihak lain yang komited menjadikan Miri sebuah bandar yang dinamik dan menarik.

Menurutnya, Taman Bulatan yang diwujudkan pada awal 1990-an merupakan inisiatif perintis kerajaan tempatan untuk mempromosikan kelestarian alam sekitar dan menyediakan ruang rekreasi yang amat diperlukan oleh penduduk Miri.

“Menyedari peranan penting ruang hijau dalam meningkatkan kualiti hidup di sebuah bandar yang pesat membangun, taman ini telah memainkan peranan penting dalam berkhidmat kepada komuniti kita sejak sekian lama,” katanya sambil menambah, ia turut menarik pengunjung dari luar Miri.

Ting berkata, pelbagai usaha penambahbaikan telah dilaksanakan di Taman Bulatan dari semasa ke semasa.

“Di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) saya pada 2020, saya memperuntukkan RM300,000 bagi pemasangan kemudahan taman permainan, RM300,000 untuk peralatan kecergasan luar, penaiktarafan pencahayaan, perabot taman dan penambahbaikan laluan joging serta tambahan RM400,000 bagi perluasan taman, menjadikan keseluruhan RM1 juta.

“Pada 2022, di bawah RTP saya, sebanyak RM600,000 diperuntukkan bagi pembinaan Velosolutions Pump Track.

“Sehingga kini, trek ini diiktiraf di peringkat antarabangsa dan Miri berbangga menjadi satu-satunya lokasi di Sarawak yang mempunyai Velosolutions Pump Track yang tersenarai dalam World Velosolutions Pump Track Registry,” katanya.

Beliau menambah, sebanyak RM100,000 turut diluluskan tahun lalu bagi pemasangan pencahayaan tambahan di Taman Bulatan.

Ting berkata, Kumpulan Syarikat Shin Yang juga telah memberikan sokongan besar terhadap pembangunan taman botani, taman papan luncur, gelanggang bola keranjang berbumbung serta Pavilion Oktagon yang akan datang.

Selain itu katanya, Persatuan Cina Sarawak dengan kerjasama semua kaum di Miri telah membina Jambatan Perpaduan di taman berkenaan.

“Kesemua pembangunan ini telah mengubah Taman Bulatan menjadi lebih daripada sekadar ruang rekreasi.

“Ia kini menjadi simbol Miri yang melambangkan perpaduan, pembangunan dan semangat komuniti,” katanya.

Mengenai ‘Lake Duck Paddle Boat’ Ting berkata, beliau yakin Taman Bulatan akan menjadi lebih menarik sebagai destinasi pelancongan dan riadah.

“Saya berharap pihak majlis akan terus memainkan peranan mempromosikan taman ini sebagai antara tarikan utama Miri untuk penduduk tempatan dan pelawat asing,” katanya.

Terdahulu, Datuk Bandar Miri Adam Yii yang turut hadir menyeru pengendali ‘Lake Duck Paddle Boat’ agar memastikan langkah keselamatan yang ketat untuk pengguna.

“Keselamatan semua pengunjung di taman ini, khususnya mereka yang menggunakan ‘Duck Paddle Boat’, mesti diutamakan,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-2-2026 09:41 AM | Show all posts
Pembinaan Jalan Teku Pasai Siong-Kemuyang Fasa Satu mendahului jadual
Februari 10, 2026, Selasa - 7:23pm



Dr Annuar (tiga kiri) bersama Chieng (kanan) meninjau tapak projek Jalan Teku Pasai Siong-Kemuyang hari ini.

SIBU: Projek Jalan Teku Pasai Siong-Kemuyang Fasa Satu yang dianggarkan menelan kos RM89 juta menunjukkan perkembangan positif dan pembinaannya kini telah siap lebih lapan peratus, berbanding jadual asal enam peratus.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee yang berpuas hati dengan perkembangan projek jalan sepanjang lebih enam kilometer itu memberitahu, projek turut berjalan lancar tanpa sebarang masalah serius dan dijangka siap pada September 2027.

"Setakat ini, kemajuan sebenar projek adalah 8.11 peratus berbanding jadual asal adalah 6.6 peratus, jadi ia mendahului kira-kira dua peratus," ujarnya kepada pemberita selepas melawat tapak projek jalan terbabit, hari ini.

Tapak projek yang dilawat melibatkan tempat di mana jalan bertingkat sepanjang 700 meter akan dibina menggunakan kaedah Permodelan Industri Bangunan (BIM), kaedah pembinaan yang pertama seumpamanya di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata, musim hujan yang hampir berakhir juga akan membolehkan kerja-kerja pembinaan dipercepat dan membolehkan projek disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Ketika musim panas, kemajuan kerja lebih baik malah pembuatan struktur lengkungan sedang dijalankan di Kuching dan akan dibawa ke sini tidak lama lagi," jelasnya sambil menambah, jalan tersebut akan memendekkan perjalanan dari Teku ke Lapangan Terbang Sibu tanpa perlu melalui pusat bandar.

Dr Annuar turut memberitahu, jalan tersebut juga akan membantu merancakkan pembangunan di kawasan tersebut, lebih-lebih lagi ia jauh dari kawasan bandar yang sudah sesak, selain tanah di sini yang lebih baik.

"Berkemungkinan kawasan ini sesuai untuk perumahan dan pusat pentadbiran, tertakluk kepada kelulusan dan perancangan kerajaan," katanya sambil memberitahu bahawa jalan itu turut memberi manfaat kepada lapan rumah panjang di Kemuyang, selain banyak lagi rumah panjang di Jalan Teku Pasai Siong.

Fasa kedua projek melibatkan pembinaan jalan berkembar dari persimpangan Jalan Teku Pasai Siong-Kemuyang hingga ke bulatan Universiti Teknologi Sarawak (UTS), sementara Fasa Ketiga dari kawasan Taman Kenari sehingga ke Jalan Oya membabitkan pembinaan jalan selorong dua hala.

Hadir sama ialah Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu Chieng Siong Ming.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-2-2026 09:43 AM | Show all posts
UPMS dan BDA berkolaboratif dalam program KitarNow
Februari 10, 2026, Selasa - 7:26pm



Dr Keeren (dua kiri) semasa mengadakan perjumpaan dengan salah satu vendor yang terlibat dalam program KitarNow di Bintulu semalam.

BINTULU: Sebagai tanda keprihatinan terhadap isu kebersihan alam sekitar, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) berkolaboratif dalam program KitarNow di bahagian ini.

Bagi tujuan tersebut, UPMS dan BDA semalam menjalankan lawatan tapak bersama ke beberapa vendor kitar semula di Bintulu sebagai sebahagian daripada usaha memperluas rakan pelaksana bagi aplikasi KitarNow.

Lawatan tersebut melibatkan Dr Keeren Sundara Rajoo (UPMS), Lydia Soloma Jalong (BDA) dan Ritchie Mensing Grasing (BDA).

KitarNow secara amnya merupakan aplikasi mudah alih percuma yang dibangunkan oleh UPMS dengan sokongan BDA.

Platform ini direka bagi menghubungkan organisasi dengan syarikat kitar semula bagi memudahkan amalan kitar semula yang lebih berkesan di samping mengukuhkan ketelusan data untuk memahami tingkah laku pengurusan sisa merentas pelbagai sektor.

Inisiatif ini mencerminkan model kerjasama yang praktikal, iaitu pihak berkuasa tempatan, universiti, rakan industri dan komuniti berganding bahu untuk memacu kelestarian melalui penyelarasan yang lebih tersusun serta aliran kitar semula yang boleh dijejaki.

Sepanjang sesi libat urus, empat vendor kitar semula telah bersetuju untuk menggunakan aplikasi ini sebagai rakan strategik rasmi iaitu Mega Progain Sdn Bhd, Green Town Eco Sdn Bhd, Fonsen Enterprise dan My Metal Sdn Bhd.

Vendor-vendor ini mengumpul pelbagai jenis bahan kitar semula termasuk kertas, tin aluminium, botol plastik, besi buruk dan minyak masak terpakai.

Pada masa ini, platform KitarNow telah digunakan oleh kumpulan sasaran termasuk sekolah, hotel dan organisasi masyarakat sivil, dengan matlamat membangunkan ekosistem kitar semula yang lebih mantap dan dipercayai di Bintulu.

Pelajar pascasiswazah UPMS Beatrice Kayok dan Tiew Siew Jin antara yang turut serta dalam lawatan berkenaan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-2-2026 09:44 AM | Show all posts
SUPP Bintulu adakan Rumah Terbuka TBC 2026 pada 22 Februari
Februari 10, 2026, Selasa - 7:31pm



Pang (tengah) bersama jawatankuasa penganjur Rumah Terbuka TBC 2026 SUPP Bintulu.

BINTULU: Sebagai tanda kegembiraan menyambut ketibaan Tahun Kuda, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu akan mengadakan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 di Dewan Suarah Bintulu pada 22 Februari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang, acara rumah terbuka yang diadakan pada hari keenam sambutan tahun baharu itu nanti dijangka bermula jam 10 pagi hingga 1 petang.

"Acara penuh gemilang itu dijangka dihadiri Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian," ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Jelasnya, sebagai sebuah bahagian yang didiami pelbagai bangsa serta latar belakang, orang ramai diseru agar datang bersama-sama memeriahkan sambutan berkenaan sambil menikmati juadah serta persembahan nyanyian, tarian dan sebagainya yang disediakan jawatankuasa penganjur.

Platform ini juga katanya, turut menjadi peluang bagi mengetengahkan serta menyokong bakat seni tempatan, sekali gus menyumbang secara positif kepada perkembangan seni dan budaya di Bintulu.

"Memandangkan acara ini berlangsung dalam bulan puasa, kami turut menyediakan bubur lambuk buat rakan-rakan Muslim supaya mereka dan hadirin yang lain dapat bersama-sama menikmati hidangan berbuka puasa sebagai lambang saling menghormati serta lambang keharmonian antara semua kaum dan etnik di sini," jelasnya.

Beliau berkata, apa yang penting adalah acara sebegini dapat menghimpunkan semua bangsa dan etnik tidak kira tua dan muda bagi bersama-sama merasai kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina yang merupakan sebagai lambang bersatu dalam kepelbagaian dan saling berkongsi rasa dan kegembiraan antara satu sama lain.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-2-2026 09:45 AM | Show all posts
300 penduduk kurang berkemampuan terima sumbangan bakul makanan
Februari 10, 2026, Selasa - 7:33pm



Tay (kanan) pada Program Sejambak Kasih yang menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada warga emas dan keluarga berpendapatan rendah sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Sri Aman baru-baru ini.Gambar Penerangan

KUCHING: Seramai 300 penduduk kurang berkemampuan menerima sumbangan bakul makanan menerusi Program Sejambak Kasih anjuran Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman baru-baru ini.

Setiausaha Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman,Tay Cho Seng berkata, program tahunan itu dilaksanakan bagi membantu golongan memerlukan khususnya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurut Tay, penerima terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah, warga emas serta individu kurang bernasib baik bagi memastikan mereka turut merasai kemeriahan perayaan.

“Dengan bantuan ini, sekurang-kurangnya golongan kurang bernasib baik tidak dilupakan kerana setiap perayaan yang menggembirakan wajar mengingati mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Sri Aman baru-baru ini.

Beliau berkata, program tersebut mencerminkan komitmen pertubuhan dalam menyemai nilai keprihatinan serta semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di daerah itu.

Tambahnya, pihak pertubuhan turut meneliti dan mengemas kini senarai penerima dari semasa ke semasa bagi memastikan bantuan disalurkan secara adil dan berkesan kepada golongan sasaran.

Pada majlis sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk wakil rakyat tempatan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sri Aman yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.

Majlis itu turut dihadiri wakil Pegawai Kebajikan dan Masyarakat Bahagian Sri Aman Roselind Usin, Pengerusi Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Temenggung Kueh Aik Seng, Ketua Biro Wanita Alice Wee, Ketua Biro Pemuda Ngu Sze Lee serta Kapitan Kiew See Ted dan Kapitan Lai Joon Phin.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 11-2-2026 09:46 AM | Show all posts
PUSAKA terima lawatan penanda aras integriti daripada MUT
Februari 10, 2026, Selasa - 8:49pm



Suraya (enam kiri) menyampaikan cenderamata kepada ketua delegasi MUT Raduan (tujuh kiri) sempena lawatan itu. Turut merakam gambar bersama ialah pegawai-pegawai MUT dan PUSAKA.   

KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) baru-baru ini menerima lawatan penanda aras integriti daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT).

Lawatan berkenaan bertujuan mendapatkan pendedahan, menilai serta mempelajari amalan terbaik PUSAKA dalam aspek pengurusan integriti, governans dan antirasuah organisasi.

Menurut kenyataan PUSAKA, lawatan itu memberi pendedahan mendalam kepada pegawai MUT mengenai keberhasilan PUSAKA dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA), yang dijadikan penanda aras untuk memperkukuh sistem integriti organisasi.

Katanya, delegasi MUT menilai amalan terbaik PUSAKA dalam membina budaya integriti dan sistem kawalan dalaman yang kukuh.

Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan MUT Raduan Bujet berkata lawatan itu merupakan inisiatif strategik bagi mendapatkan pengetahuan dan pendedahan mengenai pelaksanaan AIGA.

“Perkongsian amalan terbaik PUSAKA diharapkan memperkukuh kefahaman dan keupayaan kementerian dalam mengukuhkan integriti organisasi secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Kanan Pentadbiran PUSAKA Suraya Mohamad Ali menegaskan bahawa integriti mesti diperkukuh secara berterusan melalui penambahbaikan yang konsisten.

“Perkongsian pengetahuan sedemikian bukan sahaja mengukuhkan organisasi kami, tetapi juga memupuk budaya integriti kolektif dalam sektor awam,” ujarnya.

Melalui sesi perkongsian ini, kedua-dua pihak berpeluang bertukar pandangan dan pengalaman dalam memperkukuh budaya integriti, meningkatkan kecekapan pengurusan serta memperkukuh sistem kawalan dalaman organisasi.

PUSAKA mengalu-alukan inisiatif kerjasama itu dan berharap perkongsian amalan terbaik dapat memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi dalam usaha memperkukuh tadbir urus yang berintegriti dan berakauntabiliti.

PUSAKA menyambut baik lawatan tersebut dan yakin pertukaran pandangan akan membawa manfaat bersama bagi tadbir urus yang telus, berintegriti dan berakuntabiliti, sejajar dengan aspirasi pembangunan organisasi dan perkhidmatan awam Sarawak.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-2-2026 09:47 AM | Show all posts
Pelaksanaan projek bina baharu PKM Miri sedikit lewat
Februari 10, 2026, Selasa - 9:01pm



Taufik (empat kanan) bersama yang lain ketika mengadakan lawatan kerja meninjau perkembangan projek bina baharu Pusat Kegiatan Masyarakat Miri.

KUCHING: Pelaksanaan  projek bina baharu Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Miri sedikit lewat daripada jadual asal dengan kemajuan kerja keseluruhan setakat ini mencapai 77.89 peratus.

Perkara itu dimaklumkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sarawak Taufik Mohd Yusop ketika beliau menghadiri mesyuarat membincangkan perkembangan projek itu di bilik mesyuarat tapak projek JKR di PKM Miri, semalam.

Menurut kenyataan akhbar dikeluarkan KEMAS Negeri Sarawak, mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Jurutera Awam Kanan yang mewakili Pengarah Pembinaan Pasukan Projek Khas 2, Ibu Pejabat JKR Malaysia Edalyana Jee.

Mesyuarat itu bertujuan membincangkan status semasa pelaksanaan projek serta meneliti kemajuan kerja pembinaan PKM Miri.

“Projek pembinaan PKM Miri yang bermula dengan majlis pecah tanah pada 11 September 2024 dijangka siap pada 16 Mei 2026, setakat hari ini, kemajuan kerja keseluruhan adalah 77.89 peratus, varian 5.2 peratus lewat daripada perancangan jadual sebenar atas faktor cuaca dan kelewatan penerimaan sebahagian bahan binaan,” katanya.

Bangunan baharu PKM Miri yang dibina dengan kos RM14.7 juta itu akan berfungsi sebagai pusat latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang menawarkan pelbagai kursus.

Antara kursus yang ditawarkan ialah bidang jahitan, dandanan diri, komputer dan masakan.

Kemudahan itu disasarkan khusus untuk belia, wanita serta usahawan kecil dan sederhana, selain turut menempatkan Pejabat Pentadbiran KEMAS Bahagian Miri dan Daerah Sibuti.

Selesai mesyuarat, Taufik  bersama para pegawai yang hadir turut berkesempatan meninjau tapak pembinaan, bagi melihat dengan lebih dekat perkembangan dan kerja-kerja pembinaan yang sedang giat dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik.

Beliau berharap projek itu dapat disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan, supaya segala kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak KEMAS.

Beliau turut menegaskan bahawa kemudahan itu amat penting dalam menyediakan ruang pembelajaran dan latihan yang berkualiti kepada masyarakat dan komuniti di bandar raya Miri serta kawasan sekitarnya.

Hadir sama pada mesyuarat dan lawatan tersebut Pengarah Bahagian Pembangunan KEMAS Ibu Pejabat Suhaimi Sawal, Pegawai Operasi Unit Kewangan dan Pembangunan Handrick Wan Dolek, Penolong Pegawai Komuniti dan Kemahiran Parlimen Sibuti Julitta Laja yang menjalankan tugas Pegawai KEMAS Bahagian Miri, Pembantu Pembangunan Masyarakat Kanan Hayati Hussain serta pegawai-pegawai kanan JKR Malaysia dan kontraktor pelaksana.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 11-2-2026 09:48 AM | Show all posts
PIBG SK Melayu Pusat Limbang komited beri kerjasama
Februari 10, 2026, Selasa - 9:03pm



(Duduk tiga kiri) Mastura, Khairul Amree dan Hayati bersama kepimpinan SK Melayu Pusat dan PIBG sekolah itu bagi sesi 2026 hingga 2028.

LIMBANG: Tingkat kecemerlangan sekolah, penyediaan prasarana kondusif dan mewujudkan kerjasama padu dengan pihak sekolah antara aspek diberi tumpuan kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)  Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Pusat yang baru dilantik bagi tempoh 2026 hingga 2028.

Yang Dipertuanya Khairul Amree Abdul Rahman berkata, PIBG mempunyai peranan saling melengkapi terhadap fungsi pendidikan dalam menyediakan prasarana, kemudahan dan suasana sekolah yang kondusif kepada murid dan guru di sekolah berkenaan.

“Kita ingin meneruskan kepimpinan sedia ada dengan strategi untuk meningkatkan kecemerlangan sekolah SK Melayu Pusat yang merupakan sekolah tertua di daerah ini.

“Persatuan ini merupakan platform terbaik yang menjadi ruang interaksi dua hala antara ibu bapa dan guru serta pihak sekolah untuk meningkatkan mutu pembelajaran dan kemandirian murid,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau  berkata, komitmen dan kesungguhan yang bakal ditunjukkan oleh barisan kepimpinan PIBG baharu itu berupaya membantu meningkatkan kecemerlangan akademik, seterusnya mewujudkan kemenjadian murid seiring peranannya senagai rakan sinergi sekolah .

“Kita ingin terapkan istilah pendidikan awal bermula dari rumah dan sekolah itulah juga rumah kedua, inilah yang kita akan beri penekanan,” ujarnya.

Katanya, pelbagai program bakal dilaksanakan dengan menarik penglibatan aktif dan kerjasama padu daripada ibu bapa dan warga sekolah.

Ini jelasnya, termasuk membantu sekolah mencari dana dalam pelbagai bentuk termasuk daripada sumbangan rakan strategik sekolah.

Dengan dana tersebut katanya, membolehkan pihaknya dan sekolah melaksanakan dan menjayakan sesebuah program demi kecemerlangan murid yang masih lagi memerlukan prasarana lengkap.

Terdahulu mesyuarat agung sekolah itu diadakan baru-baru ini bagi memilih dan melantik kepimpinan PIBG SK Melayu Pusat sesi 2026 hingga 2028.

Turut hadir ialah Guru Besar Hayati Mohammad Amin, Naib Yang Dipertua baharu Dayang Mastura Ismail dan barisan kepimpinan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-2-2026 09:49 AM | Show all posts
Yii berpuas hati dengan projek RTP di SK Miri
Februari 10, 2026, Selasa - 9:06pm



Yii meninjau bilik muzik yang dinaik taraf dengan pemasangan bahan kalis bunyi pada dinding di SK Miri baru-baru ini.
MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii menzahirkan rasa puas hati terhadap pelaksanaan dan penyiapan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di bawah kawasan DUN Pujut di Sekolah Kebangsaan (SK) Miri.

Semasa lawatan pemeriksaan ke sekolah berkenaan baru-baru ini, Yii meninjau beberapa kerja yang telah disiapkan, termasuk naik taraf bilik muzik melalui pemasangan bahan kalis bunyi pada dinding, penggantian tingkap di bilik mesyuarat dan surau kepada tingkap gelangsar serta kerja-kerja mengecat semula palang tangan di tangga.

Menurut beliau, projek bernilai RM100,000 di bawah RTP 2024 itu telah siap sepenuhnya penghujung tahun lalu, lebih awal daripada tempoh jadual asal selama empat bulan.

“Sejak memegang jawatan, saya sentiasa memastikan peruntukan tahunan disalurkan kepada sekolah-sekolah kerana menyedari kepentingan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang kondusif bagi pembangunan pelajar serta kelancaran operasi sekolah.

“Oleh itu, kerja-kerja penambahbaikan ini dilaksanakan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan keseluruhan dalam persekitaran sekolah, sekali gus memastikan kemudahan dapat dimanfaatkan dengan lebih baik oleh pelajar dan warga pendidik,” katanya di sini.

Yii turut mendedahkan bahawa sistem yang dilaksanakannya bagi memastikan penyelarasan projek berjalan dengan berkesan iaitu setiap projek RTP disokong oleh kumpulan komunikasi WhatsApp khas, membolehkan interaksi rapat dan berterusan antara pihak sekolah dan agensi berkaitan.

Pendekatan tersebut katanya, membolehkan maklum balas serta keperluan pihak sekolah disampaikan secara langsung dan ditangani dengan segera.

Beliau turut memaklumkan orang ramai yang mempunyai pertanyaan berkaitan projek RTP atau sebarang aduan boleh menghubungi pasukannya di talian 019-8863819 atau 010-3833819.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-2-2026 09:51 AM | Show all posts
Pusat Khidmat DUN Nangka salur RM40,000 subsidi kepada peniaga bazar Ramadan
Februari 10, 2026, Selasa - 9:14pm



Gambar kenangan bersama peniaga Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa Dua.

SIBU: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka menyalurkan kira-kira RM40,000 subsidi kepada para peniaga di bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa Dua, yang berlangsung dari 18 Februari hingga 17 Mac.

Menurut Setiausaha Politik Premier Sarawak Sayed Azmee Wan Junaidi, Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa Dua tahun ini disertai seramai 114 peniaga dengan penyediaan sebanyak 58 khemah.

“Subsidi ini bukanlah jumlah yang kecil dan ia bertujuan memastikan urusan perniagaan di bazar ini dapat dijalankan dengan berkesan, di samping mengurangkan sebarang rasa tidak puas hati dalam kalangan peniaga.

“Ramadan merupakan bulan untuk beribadah dan pada masa yang sama mencari rezeki. Oleh itu, kita mahu semua peniaga mendapat peluang yang adil serta dapat berniaga dalam suasana yang harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Taklimat Bersama Peniaga Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa Dua di Dewan Lakis, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pihak penganjur turut menganjurkan pertandingan gerai tercantik sebagai usaha memeriahkan suasana bazar, dengan hadiah wang tunai disediakan kepada pemenang tempat pertama hingga ketiga.

“Hadiah wang tunai sebanyak RM800 bagi tempat pertama, RM500 bagi tempat kedua dan RM300 bagi tempat ketiga disediakan dan diharap inisiatif ini dapat memberi nilai tambah serta menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Sementara itu, majlis perasmian bazar Ramadan dijangka akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee pada 18 Februari, jam 3 petang.

Hadir sama pengerusi penganjur Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa Dua Syed Hamzah Wan Hamid Edruce dan Koordinator Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa Dua Khalid Zaini.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-2-2026 09:52 AM | Show all posts
MRP, RTP DUN Nangka berjumlah RM700,000 untuk dua rumah panjang
Februari 10, 2026, Selasa - 9:18pm



Dr Annuar (tengah) semasa lawatan tapak projek di Rumah Sebastian petang tadi dengan diiringi Sebastian (kiri) dan Penghulu Eddy Jemat Jelian (kanan).

SIBU: Sebanyak RM700,000 telah diperuntukkan bagi kerja-kerja pembaikan dan naik taraf di Rumah Sebastian Juntan dan Rumah Henry Nor di sini menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee.

Beliau berkata, peruntukan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan keselesaan dan kebajikan komuniti rumah panjang, khususnya menjelang perayaan utama seperti Gawai Dayak.

“Di Rumah Sebastian yang berusia lebih 100 tahun dan mempunyai nilai sejarah kerana pernah dikunjungi Sultan Terengganu, keutamaan kami adalah membaiki ruai kerana ia merupakan ruang utama yang digunakan komuniti untuk mengadakan majlis dan perayaan,” katanya kepada pemberita semasa lawatan tapak ke dua lokasi projek terbabit petang tadi.

Menurut Dr Annuar, sebanyak RM250,000 diperuntukkan bagi pembaikan ruai di Rumah Sebastian manakala RM240,000 lagi disediakan untuk pembaikan unit-unit kediaman.

Sementara itu, RM200,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja penambahbaikan di Rumah Henry Nor.

“Selain itu, RM70,000 telah digunakan untuk menambah baik sistem perparitan dan RM130,000 lagi akan digunakan bagi kerja-kerja pembaikan bumbung serta naik taraf ruai di Rumahh Henry Nor,” katanya.

Beliau menambah, kontraktor telah diarahkan untuk menyiapkan projek-projek berkenaan sebelum sambutan Gawai.

“Yang paling penting, projek-projek ini akan memberikan keselesaan yang lebih baik kepada penduduk, terutama semasa musim perayaan.

“Bagi komuniti Iban, ruai digunakan secara intensif sepanjang musim Gawai untuk menganjurkan pelbagai perhimpunan dan upacara,” katanya.

Sementara itu, Tuai Rumah Sebastian merakamkan penghargaan kepada Dr Annuar kerana sudi berkunjung ke rumah panjangnya di Batu 6 di sini bagi meninjau tapak projek.

“Kami berterima kasih kepada Datuk Dr Annuar atas perhatian yang diberikan kepada rumah panjang kami.

"Terdapat 19 pintu terlibat dalam projek MRP yang merangkumi pembaikan dinding dan siling ruai manakala 43 pintu lagi melibatkan projek berkaitan kebajikan,” katanya.

Beliau menambah, sebuah tandas awam baharu turut akan dibina di bawah projek RTP dan berharap semua kerja dapat disiapkan tepat pada masanya sebelum sambutan Gawai ini.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-2-2026 09:54 AM | Show all posts
Peranan KMKK, JKKK perlu diperkasa selaras cabaran pentadbiran semasa: Gira
Februari 10, 2026, Selasa - 9:26pm



Gira (tengah) menyampaikan sijil KMKK kepada salah seorang penerima pada majlis tersebut hari ini.

SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merupakan barisan hadapan dalam menjaga keharmonian, keselamatan, kebajikan serta perpaduan masyarakat setempat, justeru peranan mereka perlu diperkasakan selaras dengan cabaran pentadbiran semasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira berkata, KMKK bersama JKKK merupakan tonggak utama pentadbiran di peringkat kampung dan rumah panjang, selain menjadi penghubung langsung antara kerajaan dan rakyat.

“Anda ialah penghubung langsung antara kerajaan dan rakyat, yang memahami keperluan sebenar masyarakat, menangani isu setempat serta memastikan dasar dan bantuan kerajaan disampaikan dengan tepat dan berkesan.

“Dalam banyak keadaan, KMKK dan JKKK berada di barisan hadapan dalam memelihara keharmonian, keselamatan, kebajikan serta perpaduan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Program Pemantapan Personel KMKK dan Setiausaha JKKK Daerah Sibu khas untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Beliau turut menekankan kepentingan integriti dalam setiap keputusan dan tindakan pentadbiran, dengan menegaskan bahawa pengurusan di peringkat komuniti hendaklah bebas daripada unsur salah guna kuasa, kepentingan peribadi dan penyelewengan.

Katanya, integriti bukan sekadar menolak rasuah, malah merangkumi kejujuran, keadilan dalam membuat pertimbangan serta ketelusan mengurus sumber dan peruntukan yang diamanahkan kerajaan, sekali gus mampu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kepimpinan setempat.

“Apabila kepercayaan rakyat dapat dipelihara, urus tadbir kampung akan menjadi lebih harmoni, tersusun dan berkesan, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang berintegriti dan berwibawa,” tegasnya.

Mengulas pendedahan berkaitan Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Gira berkata penglibatan aktif KMKK dan JKKK amat penting bagi memastikan hala tuju pembangunan negeri Sarawak dapat difahami serta dilaksanakan secara berkesan di peringkat komuniti.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak melalui Belanjawan 2026 telah menaikkan elaun KMKK kepada RM400 sebulan sebagai pengiktirafan terhadap peranan dan tanggungjawab yang semakin mencabar.

Langkah tersebut, katanya, diharap dapat menyuntik semangat serta motivasi kepada KMKK untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, keikhlasan dan integriti demi kesejahteraan rakyat.

“Langkah ini merupakan satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan kerajaan terhadap jasa serta tanggungjawab KMKK yang semakin berat dalam membantu kerajaan melaksanakan tugas dan dasar di kawasan masing-masing.

“Peningkatan elaun ini diharap dapat menyuntik semangat dan motivasi kepada para KMKK untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, keikhlasan dan integriti demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang penganjuran kursus, bengkel atau seminar yang melibatkan KMKK perlu mendapat kelulusan Pejabat Daerah dan Pejabat Residen bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan dasar serta garis panduan ditetapkan.

Gira berkata, program pemantapan seperti ini wajar diteruskan kerana cabaran pentadbiran masa kini semakin kompleks, melibatkan keperluan pematuhan prosedur, penyediaan dokumentasi serta keupayaan bertindak secara pantas dan tepat.

“Program seperti ini amat penting kerana ia bukan sahaja memperkukuhkan kefahaman berkaitan pentadbiran di peringkat akar umbi, malah menjadi platform untuk menyelaras peranan dan tanggungjawab semua pihak yang terlibat,” katanya.

Hadir sama wakil Pegawai Daerah Sibu Sylvia Lau Gin Sibu dan wakil Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Benard Upieh.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-2-2026 09:57 AM | Show all posts
PSH diiktiraf pemangkin utama transformasi Komuniti DUN Dudong
Februari 10, 2026, Selasa - 9:29pm



Komuniti DUN Dudong mengikuti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat  yang dilaksanakan melalui Kursus Pengurusan Organisasi Berkesan.

SARIKEI: Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang dilaksanakan melalui Kursus Pengurusan Organisasi Berkesan diiktiraf sebagai pemangkin utama transformasi Komuniti DUN Dudong ke arah pembentukan masyarakat yang berdaya saing dan cekap mentadbir.

Program anjuran bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan  Dudong dan Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu itu telah menghimpunkan ahli jawatankuasa Cawangan, Ranting, Pemuda, Wanita, dan Belia bagi memperkasakan kompetensi mereka dalam aspek pengurusan dokumentasi, kewangan, dan tata kelola organisasi.

Penolong Ketua Cawangan PBB Dudong Jamil Julaihi berkata, agenda transformasi DUN Dudong menuntut perubahan minda dan cara kerja yang bermula daripada penguasaan ilmu.

“Inisiatif PSH di Kolej Komuniti ini bertindak sebagai pemangkin transformasi yang amat kita perlukan.

“Bagi mengubah landskap Komuniti DUN  Dudong menjadi sebuah entiti yang maju, jentera akar umbi wajib diperkasakan dengan kemahiran urus tadbir yang cekap, telus, dan sistematik.



Komuniti DUN Dudong mengikuti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat  yang dilaksanakan melalui Kursus Pengurusan Organisasi Berkesan.

“Kursus hari ini hanyalah satu permulaan; masih banyak ilmu yang perlu diteroka dan oleh itu, perancangan strategik akan terus dirangka bersama pihak kolej bagi memastikan agenda transformasi modal insan kita tercapai sepenuhnya," ujar Jamil dalam ucapannya ketika mewakili Ketua Cawangan Tan Sri Bustari Yusuf pada majlis tersebut, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu Norasmah Jaafar dalam ucapan alu-alunya pula berkata, pihak kolej amat komited berperanan sebagai hab ilmu yang menyokong aspirasi transformasi komuniti setempat.

"Seramai 10 orang tenaga pengajar kami telah berkongsi kepakaran hari ini, merangkumi modul Pemahaman Perlembagaan, Kepimpinan, Pengurusan Dokumentasi dan Kewangan, serta 'Simulasi Mesyuarat Penuh'.

“Pihak kita amat berbesar hati dapat menyumbang kepada pembangunan modal insan di DUN Dudong ini melalui program PSH," kata Norasmah.

Turut hadir memberi sokongan terhadap program ini ialah Ketua Wanita Cawangan Rosnani Amin.



Komuniti DUN Dudong mengikuti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat yang dilaksanakan melalui Kursus Pengurusan Organisasi Berkesan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-2-2026 10:02 AM | Show all posts
Beautyspells lahir 18,000 usahawan Sabah, ubah nasib B40
Februari 10, 2026, Selasa - 3:42pm



MERIAH: Norsidayati (dua kiri) meraikan kejayaan Adrian (kiri) dan Lisa (kanan) dalam majlis berkenaan.

TAWAU: Bermula daripada kosong tanpa modal besar, Beautyspells Sdn Bhd berjaya melahirkan lebih 18,000 usahawan di seluruh Sabah setakat 2026, sekali gus membantu ramai golongan B40 dan suri rumah meningkatkan taraf hidup mereka.

Pengarah Urusannya, Norsidayati Mustari berkata, pencapaian itu diraikan sempena Beautyspells Gala Award 2026 yang menghimpunkan lebih 200 usahawan di bawah naungan syarikat berkenaan.

“Majlis ini dianjurkan untuk meraikan pencapaian usahawan Beautyspells pells sepanjang 2025, khususnya mereka yang berjaya mencapai sasaran jualan ditetapkan.

“Ramai usahawan kami datang daripada latar belakang susah, dibesarkan ibu tunggal, tinggal di bawah kolong rumah dan ada juga suri rumah tanpa pengalaman perniagaan,” katanya.

Norsidayati berkata, sejak ditubuhkan pada 2014, Beautyspells memberi fokus membina usahawan daripada peringkat asas sehingga ada yang mampu mencatat jualan mencecah RM1 juta hingga RM2 juta setahun.

“Kami tidak hanya fokus menjual produk, sebaliknya membina manusia. Apabila seseorang usahawan capai jualan RM100,000 sebulan, kami mahu mereka ‘duplicate’ kejayaan itu dengan melahirkan pula usahawan baharu di bawah bimbingan mereka,” katanya.

Beliau berkata, syarikat turut menekankan latihan berterusan selari dengan keperluan semasa termasuk pemasaran digital menerusi platform seperti TikTok.

“Antara saluran bimbingan yang digunakan ialah komuniti Facebook Bell Academy, sesi siaran langsung, mesyuarat Zoom serta jelajah ke daerah-daerah setiap tiga hingga empat bulan bagi bertemu usahawan secara bersemuka.

“Peringkat umur usahawan kami antara 19 hingga 40 tahun dan kebanyakannya bermula daripada sifar, sama seperti saya dahulu,” katanya.

Sementara itu, usahawan Beautyspells Adrian Ong, berkata penyertaannya dalam syarikat ini sejak lima tahun lalu mengubah kehidupannya selepas sebelum ini bekerja di sebuah pasar raya.

“Hari ini saya sudah capai tahap Titanium Partnership dengan jualan RM800,000 pada awal pembabitan, seterusnya mencatat jualan melebihi RM1 juta dan RM2 juta beberapa kali.

“Saya galakkan mereka yang tiada pekerjaan atau mencari peluang pendapatan untuk mencuba bidang keusahawanan kerana ia mampu mengubah hidup,” katanya.

Seorang lagi usahawan Beautyspells, Lisa Asa, berkata sebelum menyertai syarikat ini, beliau berniaga di gerai makan dengan pendapatan tidak menentu.

“Pada mulanya sekadar cuba-cuba, tetapi kini ia menjadi kerjaya tetap. Pendapatan keluarga meningkat dan saya sudah mampu capai impian yang dulu hanya angan-angan,” katanya.

Beautyspells Gala Award 2026 menjadi simbol kejayaan syarikat itu dalam melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing di Sabah, sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-2-2026 10:05 AM | Show all posts
MCCC akhiri lawatan di Kelantan, perkukuh jaringan kerjasama cawangan
Februari 10, 2026, Selasa - 4:50pm



KENANGAN: Dexter merakamkan gambar kenangan bersama.

KOTA KINABALU: Program lawatan cawangan seluruh negara anjuran Jawatankuasa Sektor Perniagaan Dewan Perdagangan Malaysia–China (MCCC) berakhir secara rasmi dengan ketibaan delegasi di Cawangan Kelantan, sekali gus menandakan hentian terakhir siri jelajah berkenaan.

Hentian penutup itu bukan sekadar melengkapkan jadual lawatan, malah membuka lembaran baharu ke arah pengukuhan kerjasama strategik antara jawatankuasa pusat dan semua cawangan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Sektor Perniagaan MCCC merangkap Presiden Cawangan Sabah, Datuk Dexter Lau, berkata lawatan ke Kelantan sudah dirancang lebih awal, namun beberapa kali tertunda berikutan bencana banjir di negeri berkenaan.

“Peluang kali ini membolehkan saya memahami dengan lebih mendalam tentang budaya, latar belakang serta realiti operasi Cawangan Kelantan selain menilai keunikan yang membezakan negeri itu daripada cawangan lain.

“Saya gembira kerana akhirnya dapat hadir di sini dan lawatan ini memberi gambaran jelas tentang kekuatan, cabaran dan potensi sebenar Kelantan,” katanya.



KONGSI: Dexter berkongsi tujuan dan makna lawatan seluruh negara bersama wakil Cawangan Kelantan.

Beliau berkata, jelajah bersama Timbalan Pengerusi Coral Chia mencerminkan komitmen Dewan untuk mendengar sendiri suara akar umbi, seterusnya membawa isu, kekangan serta kelebihan setiap negeri ke peringkat nasional.

Menurutnya, pendekatan turun padang penting bagi memastikan dasar dan inisiatif Dewan selari dengan keadaan sebenar industri di lapangan.

Lawatan berkenaan meliputi pelbagai negeri di Semenanjung serta Malaysia Timur dengan sesi pertemuan bersemuka bersama ahli majlis cawangan dan ahli perniagaan tempatan.

Objektif utama ialah menghubungkan semula kekuatan nasional dan membolehkan MCCC berfungsi sebagai sebuah dewan perdagangan nasional yang benar-benar bersatu.

“Kita datang untuk mendengar, memerhati dan memahami secara mendalam, hanya dengan memahami struktur industri serta cabaran sebenar setiap negeri, barulah platform Dewan memberi nilai kepada ahli,” katanya.

Dexter berkata, MCCC bukan gabungan longgar, sebaliknya sebuah dewan perdagangan nasional dengan perlembagaan dan sistem tersusun, di mana semua cawangan berada dalam satu struktur bersepadu.

Katanya, perkongsian sumber, maklumat dan rangkaian antara negeri mampu mewujudkan sinergi lebih kukuh serta mempercepat pertumbuhan perusahaan.

“Apabila kita bergerak sebagai satu dewan, orang dan peluang boleh merentasi sempadan negeri. Di situlah terhasil kekuatan kolektif,” katanya.

Mengulas pemilihan Kelantan sebagai hentian terakhir, beliau berkata, negeri Pantai Timur itu mempunyai makna simbolik dalam landskap ekonomi negara.

“Kelantan memiliki potensi perdagangan rentas sempadan, asas industri tempatan kukuh serta ruang pembangunan dalam sektor halal, pertanian, pemprosesan makanan dan pasaran serantau.

“Mengakhiri jelajah di sini membawa mesej jelas bahawa keterhubungan nasional mesti menyeluruh dan inklusif, bukan tertumpu di beberapa negeri sahaja,” katanya.

Sepanjang lawatan, beberapa cawangan turut melantik wakil ke Jawatankuasa Sektor Perniagaan Pusat bagi mengaktifkan kerjasama rentas negeri dan mengubah fungsi jawatankuasa kepada platform operasi.

“Peranan kami bukan memberi arahan, tetapi menjadi jambatan antara suara tempatan dan peluang di peringkat nasional,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Cawangan Kelantan, Ooi Siong Hwa, mengalu-alukan kunjungan delegasi dan menyifatkan pertemuan bersemuka sebagai langkah penting memperkukuh hubungan perdagangan.

Beliau berharap lebih ramai wakil Kelantan dapat terlibat dalam program di Kuala Lumpur serta acara peringkat nasional pada masa depan.

Menurutnya, keanggotaan cawangan masih didominasi generasi pertama, justeru usaha merekrut ahli baharu dipergiat dengan sokongan Timbalan Pengarah Perhubungan Awam Tay Sheau Huey.

Cawangan menyasar kira-kira 50 perusahaan baharu untuk menyertai aktiviti pertukaran yang dirancang sekitar Mei atau Jun bagi memperluas rangkaian perniagaan.

“Selain dialog, kami juga mempertimbangkan pameran atau acara perdagangan supaya kerjasama dapat berlaku secara lebih langsung,” katanya.

Cawangan turut melantik dua wakil, iaitu Pengarah Hal Ehwal Komersial Andrew Gan dan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Komersial Goshen Lim Kim Siang ke jawatankuasa pusat bagi penyelarasan lebih rapat.

Dexter berkata, lawatan ke Kelantan membawa elemen dorongan dan pembinaan keyakinan, selain menghapus persepsi lapuk bahawa cawangan berkenaan kurang aktif.

Menurutnya, ahli berpengalaman memiliki nilai tinggi kerana komitmen dan ketekunan mereka dalam melaksanakan sesuatu inisiatif.

Beliau menambah pengurusan cawangan memerlukan sistem kukuh, kebijaksanaan serta empati supaya semua pihak dapat bergerak seiring.

Katanya, jawatankuasa pusat bertanggungjawab membina platform dan membuka ruang, manakala kejayaan akhir bergantung kepada kesediaan perusahaan memanfaatkan peluang.

“Lawatan seluruh negara mungkin berakhir di Kelantan, namun kerjasama nasional baru sahaja bermula. Dengan rangkaian lebih kukuh, kekuatan setiap negeri dapat digembleng untuk manfaat bersama,” katanya.

Turut hadir Presiden Cawangan Kelantan Chang Song Yee, Pengarah Perhubungan Awam Lee Chun Wah dan Setiausaha Eksekutif Tor Boon Tee.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 11-2-2026 10:07 AM | Show all posts
Sedcovest terus perkasa usahawan PKS
Februari 10, 2026, Selasa - 8:06pm



TINJAU: Redonah semasa lawatan berkenaan.

KOTA KINABALU: Sedcovest akan terus meningkatkan keupayaan dan menggerakkan sepenuhnya aset serta kepakaran yang ada dalam membantu kemajuan ekonomi, membangun dan melahirkan lebih ramai usahawan di Sabah.

Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn. Bhd., Datuk Redonah Bahanda berkata, agensi itu perlu lebih berani dan bertindak secara strategik dalam menghadapi apa sahaja cabaran dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negeri.

"Kita perlu memastikan setiap aset yang dimiliki oleh Sedcovest bukan sekadar wujud di atas kertas, tetapi digunakan sepenuhnya, dioptimumkan nilainya dan diterjemahkan kepada pulangan yang memberi impak sebenar kepada organisasi.

"Utilisation aset bukan lagi pilihan, tetapi keperluan strategik untuk kelangsungan dan pertumbuhan," katanya semasa berucap pada majlis merasmikan pra pelancaran dan lawatan di Pusat Inkubator Perniagaan (PIP) Anjung Selera, di sini hari ini.

Katanya, masa depan Sedcovest tidak ditentukan oleh bangunan yang dimiliki atau angka di atas kertas semata-mata, tetapi oleh keberanian untuk berubah, kesungguhan melaksanakan agenda dan kesatuan sebagai satu pasukan.

"Kita menginsafi bahawa syarikat ketika ini sedang mengharunginya tempoh yang mencabar. Namun, percayalah bahawa cabaran akan membina kekuatan. Percayalah juga setiap kesukaran akan diiringi kemudahan.

"Jika kita bergerak sehaluan, berfikir secara strategik dan bertindak dengan penuh integriti, saya yakin Sedcovest mampu melangkah lebih jauh, bukan sekadar memenuhi KPI, tetapi mencipta pencapaian yang boleh kita banggakan bersama," katanya.

Dalam hal itu, beliau meminta setiap kepimpinan dan warga kerja  agar terus membina Sedcovest yang bukan sahaja kukuh dari segi prestasi kewangan, tetapi juga teguh dari segi nilai, keyakinan dan semangat kebersamaan.

Beliau turut menegaskan bahawa sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Sedcovest dipertanggungjawabkan bukan sahaja untuk mencipta nilai sosial dan pembangunan usahawan, tetapi juga memastikan prestasi kewangan yang kukuh serta keupayaan menjana pendapatan secara berterusan.

Seiring dengan aspirasi itu katanya, Sedcovest berharap Pusat Inkubator Perniagaan (PIP) Anjung Selera Likas, satu inisiatif yang memberi peluang kepada usahawan PKS untuk mendapatkan premis perniagaan yang fleksibel dan lebih ekonomik di sekitar bandaraya Kota Kinabalu.

Katanya, PIP Anjung Selera merupakan outlet ketiga selepas PIP Wisma SEDCO dan diwujudkan selari dengan perubahan landskap keusahawanan masa kini yang lebih dinamik, inovatif dan berdaya saing.

“PIP Anjung Selera bukan sekadar menyediakan ruang perniagaan, tetapi membina ekosistem yang menyokong usahawan untuk berkembang, mencuba dan mencipta kejayaan baharu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakam setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada mantan Pengerusi, Datuk Rubbin Guribah, atas dedikasi dan sumbangan beliau sepanjang tiga tahun menerajui syarikat.

Menurutnya, kepimpinan terdahulu telah meletakkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan Sedcovest, dan legasi tersebut wajar diperkukuhkan demi kesinambungan kejayaan syarikat pada masa hadapan.

“Setiap peralihan kepimpinan bukan sekadar perubahan individu, tetapi satu proses memperkukuh kekuatan yang telah dibina. Legasi yang baik perlu diperkasa agar Sedcovest terus relevan, berdaya saing dan mampan,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-2-2026 10:10 AM | Show all posts
Ladang Nabawan catat rekod, agih hampir RM1 juta dividen kepada peneroka
Februari 11, 2026, Rabu - 9:46am



SERAH: Abdul Ghani menyerahkan replika cek pembayaran dividen kepada wakil peserta Ladang Nabawan Wilayah Barat.

NABAWAN: Ladang Nabawan Wilayah Barat mencatat rekod tertinggi sejak 2022 apabila mengagihkan hampir RM965,342 dividen kepada 175 peserta peneroka, bersamaan kira-kira RM5,516 seorang, hasil prestasi pengeluaran memberangsangkan sepanjang tahun lalu.

Agihan dividen itu sekali gus menjadi yang tertinggi dalam sejarah ladang berkenaan sejak ia mula diusahakan pada 2013 hingga 2015 melibatkan keluasan keseluruhan 441 hektar.

Pada 2025, Ladang Nabawan berjaya menghasilkan sebanyak 5,599 tan buah, sekali gus membuktikan keberkesanan pengurusan ladang serta komitmen berterusan semua pihak termasuk peneroka, pekerja dan penyelaras.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, berkata dividen yang diterima bukan sekadar pulangan kewangan, malah melambangkan kepercayaan dan kerjasama erat antara pengurusan dan peneroka.



ALBUM: Abdul Ghani bersama Syaheddrul bergambar bersama wakil peneroka yang menghadiri Majlis Simbolik Penyerahan Dividen kepada Peserta Ladang Nabawan Wilayah Barat.

“Dividen ini adalah hasil kerja keras serta komitmen semua pihak. Ia membuktikan bahawa usaha bersama mampu menghasilkan pulangan yang boleh dinikmati secara adil oleh peneroka,” katanya ketika berucap pada majlis simbolik penyerahan dividen, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengurus Besar LKTNS, Datuk Syaheddrul R Joddari, berkata kejayaan berkenaan turut mencerminkan keberkesanan strategi pembangunan ladang secara bersepadu yang dilaksanakan pihaknya.

“Kami berbangga dengan dedikasi para peneroka dan seluruh pasukan ladang. Kejayaan ini menunjukkan kerjasama erat dan perancangan tersusun mampu memberikan manfaat maksimum kepada komuniti ladang,” katanya.

Beliau turut mengakui Ladang Nabawan berdepan pelbagai cabaran termasuk cuaca ekstrem serta kekangan peralatan, namun pencapaian dividen hampir RM1 juta itu membuktikan ketahanan dan keupayaan semua pihak dalam memastikan kelangsungan serta kejayaan pembangunan ladang.

Majlis berkenaan turut dihadiri barisan pengurusan kanan LKTNS, pengurus ladang, penyelaras serta tetamu jemputan dari Wilayah Barat.

"Dividen yang diagihkan diharap dapat membantu peneroka membuat persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri, selain meningkatkan kesejahteraan keluarga serta ekonomi komuniti setempat," Syaheddrul.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-2-2026 10:11 AM | Show all posts
sbh - Ladang Nabawan catat rekod, agih hampir RM1 juta dividen kepada peneroka

swk - Premier Sarawak hadiri Mesyuarat MBKM ke-148 di Parlimen

Reply

Use magic Report

Post time 11-2-2026 11:39 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-2-2026 09:28 PM GMT+8 , Processed in 0.842714 second(s), 31 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list