Paper Utusan semalam ada review tentang movie ni. Garu kepala jap bila baca kupasan dan intpretasi saudara Hassan ni. Tak terfikir pun. Setiap orang melihat dari sudut yg berbeza.
Manusia, kapitalis dan sinemaOleh Hassan Abd Muthalib
PERSOALAN tentang apakah sebenarnya itu filem sering dibangkit oleh karyawan filem yang begitu prihatin - malah sedih - tentang apa yang berlaku ke atas seni yang disayangi dan diceburi mereka. Kesedihan ini lahir akibat sikap penerbit-penerbit filem dan penonton di seluruh dunia yang menolak filem-filem yang membawa pemikiran tentang alam, manusia dan ketuhanan Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa apabila diserahkan urusan kepada mereka yang bukan ahlinya, maka tunggulah kehancuran. Studio-studio filem dan stesen-stesen televisyen kini dikendalikan oleh mereka 'yang bukan ahli'. Mereka sanggup melakukan apa sahaja kerana kedudukan mereka bergantung kepada sesuatu produk yang 'laku' di pasaran. Maka mereka terus menyajikan 'sampah' semata-mata kerana ia diminati dan mendatangkan keuntungan.
Isu dan persoalan tentang kemunduran sinema di Malaysia sendiri pernah diperkatakan menerusi Seman (Mansor Puteh), Johnny Bikin Filem (Anuar Nor Arai), Kala Malam Bulan Mengambang (Mamat Khalid), Wayang (Hatta Azad Khan) dan Bunohan (Dain Said). Barangkali Ang Lee, pengarah filem Life of Pi, terasa bahawa sudah sampai masa baginya untuk meluahkan rasa hati tentang hegemoni filem-filem yang spektakular tetapi kosong di segi pengisian.
Life of Pi membawa beberapa persoalan, antaranya: Bukankah kebenaran itu lebih jujur dari sesuatu yang direka-reka? Bukankah filem itu sesuatu yang spiritual, dan rahsia alam dan diri hanya dapat difahami melalui pengembaraan fizikal, mental dan spiritual? Jika Tuhan memberi petunjuk kepada seseorang, bagaimanakah dia boleh meyakinkan orang lain tentang apa yang dialami dan dirasainya? Ang Lee menyampaikan sebuah cerita berteknologi tinggi ala Hollywood. Tetapi ia juga membawa kita berasa kagum dengan kebesaran Tuhan dan alam ciptaan-Nya.
Cerita bermula dengan perbualan antara seorang India (Pi) dan kenalannya dari negara Eropah. Pi menyampaikan kisah benar yang berlaku ke atas dirinya semasa dia remaja. Bapa Pi, yang memiliki sebuah zoo di Selatan India, bertekad untuk berhijrah ke Kanada dengan membawa binatang-binatang dalam zoonya untuk dijual di Amerika. Dalam perjalanan dengan kapal, berlaku ribut dan kapal itu tenggelam. Yang terselamat, hanya Pi dan seekor harimau.
Sinema sebagai subjekPengarah yang hebat selalunya menggunakan red herring. Lain yang ditunjuk tetapi lain pula yang dimaksudkannya. Subjek Ang Lee banyak berkisar tentang agama tetapi Life of Pi sebenarnya tentang sinema dan aspek spiritualnya yang kini sudah pupus akibat kerakusan kapitalis filem. Untuk memahami ini, berikan perhatian bukan kepada story telling (cerita) tetapi kepada story making (teknik penceritaan).
Hermeneutik filem ialah seni membuat interpretasi daripada tanda-tanda yang memberikan bentuk kepada sesuatu filem. Untuk menyelami cerita sebenar sesebuah filem, lihatlah kepada bentuknya dan untuk memahami bentuknya, lihatlah kepada tanda-tandanya. Life of Pi ialah kisah seorang remaja dengan seekor harimau. Apakah pula yang tersirat dan bagaimanakah Ang Lee menyampaikannya secara sinematik?
Visual pada awal filem menjadi petanda bahawa Life of Pi sebenarnya mengenai sinema. Seekor zirafah yang memakan daun-daun di atas pokok menjadi petunjuk kepada filem Jurassic Park di mana seekor dinosaur memakan daun di atas pokok yang tinggi. Filem ini mencetuskan fenomena rekaan binatang-binatang raksasa di dalam filem melalui imej janaan komputer (CGI). Adegan kapal tenggelam dengan lampu-lampunya masih menyinar indah adalah rujukan kepada filem Titanic yang begitu gah dengan CGI. Ang Lee seakan menyaran: Lupakan filem-filem kosong ini yang hanya mengkayakan kapitalis filem. 'Lahirlah semula' dan melihat ke dalam diri di mana terdapatnya cerita-cerita yang lebih menakjubkan.
Visual Ang Lee menampakkan alam yang indah yang ada kalanya berkilauan dengan cahaya keemasan. Pada waktu malam, ikan dan air laut yang mengandungi fosforus seakan muncul dari alam kayangan. Imbas kembali kepada kata-kata ibu Pi semasa dia kecil: Apabila merenung ke dalam mulut dewa Wisynu, akan kelihatan sekalian alam cakerawala. Kamera Ang Lee menyaksikan minda Pi masuk ke dalam lukisan cakerawala dalam buku yang dibacanya. Pi 'disediakan' Tuhan lebih awal agar ia dapat menyaksikan alam yang tersembunyi indah semasa terapung di dasar laut pada waktu malam. Realiti kini menjadi 'fantasi' yang nyata! Selepas Pi diselamatkan dan berada di hospital, ia ditemubual oleh dua orang Jepun, wakil pemilik kapal yang tenggelam. Mereka tidak dapat menerima apa yang diceritakan oleh Pi. Mereka mendesak: "Kami perlukan kisah yang boleh dipercayai. Cerita yang mudah. Cerita yang benar!"
Adegan ini digambarkan dengan warna putih keseluruhannya. Ia menjadi petanda tentang 'mautnya' sinema di tangan kapitalis sebegini. Dua orang Jepun ini sebenarnya mewakili penerbit-penerbit filem yang tidak suka kepada kisah benar, kisah di luar pemikiran audiens biasa. Pi akur dan memberikan 'kisah yang benar'. Air matanya mengalir, tanda kesedihan di atas pembohongan yang dilakukannya. Itulah nasib karyawan muda hari ini apabila terpaksa akur dengan kehendak kapitalis filem.
Pada akhir filem, penulis Eropah itu tidak tahu sama ada kisah Pi itu benar atau tidak. Ia membuat tafsiran bahawa harimau dan binatang yang lain di atas bot adalah sebenarnya metafora. Nampaknya setakat itu sajalah ilmu dari Barat mengenai filem, hanya menggunakan metafora, alegori dan semiotik! Dia juga gembira cerita Pi mempunyai happy ending sesuai dengan kehendak penerbit dan audiens biasa.
Pi menyerahkan kepadanya kisah yang ditulisnya itu. Syot dekat menampakkan penulisan Pi seakan sebuah skrip filem. Penulis Eropah itu sebenarnya mewakili penerbit filem di Barat. Apakah kisah Pi akan menjadi sebuah filem yang jujur atau diubahsuai oleh kapitalis filem agar ia menjadi 'lebih benar' (baca: lebih menguntungkan)?
Persoalan Ang Lee dan juga kita ialah, adakah filem semata-mata hiburan? Bukankah karyawan juga khalifah, yang memimpin dengan betul dan mengajak kepada kebenaran? Di alaf yang baru, kita sepatutnya melakukan transformasi bukan regresi. Apakah kita mampu merasai apa yang dirasai Pi dan kemudian menghasilkan filem-filem yang sebenarnya filem - yang mempunyai jati diri, penuh kebijaksanaan dan bersifat spiritual? Atau apakah kita mahu terus 'syok sendiri' dan menghasilkan sampah semata-mata kerana wang?
Persoalan Ang Lee tentang sinema ditujukan kepada kita semua. Inilah permasalahan yang generasi karyawan baru Malaysia ternanti-nanti penyelesaiannya.
Hassan Abd Muthalib adalah Karyawan Tamu Kanan di Fakulti Filem, Teater & Animasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Perdana, Shah Alam.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20121223/hi_10/Manusia-kapitalis-dan-sinema#ixzz2FyQD5faS
© Utusan Melayu (M) Bhd
|