Bab 6
“Mak marah ke?”
Hashimah diam. Memang sedikit terkejut dia melihat kepulangan anak gadisnya itu bersama seorang lelaki asing. Dia tidak kenal lelaki itu. Najwa pula, tidak pernah berbuat begitu sebelum ini.
“Mak…Aja minta maaf ya. Aja tahu mak marah,”
“Mak bukan apa. Nanti jiran-jiran tengok, timbul cerita lain pula. Mak tak nak jadi buah mulut nanti. Belum ada apa-apa ikatan dah bawa balik ke rumah,”
Najwa tunduk. Bersimpuh sambil tangan diletak di riba ibunya. Mahu berterus-terang, tidak ubah seperti dia menghunus pisau ke jantung ibunya. Mahu berdalih, alasan apalah yang mampu dia cari? Bukannya sebelum ini dia tidak boleh balik sendiri. Wajah ibunya dipandang lagi. Segunung rasa bersalah bersarang di hati tatkala matanya berlaga dengan renungan lembut ibunya. Mengundang rawan yang bukan sedikit di hati.
“Aja minta maaf, mak,”air mata menitik perlahan-lahan. Laju mengalir ke pipi.
“Aja… kenapa ni?,”
“Lepas ni, Aja tak buat lagi, ya mak,”
Hashimah diam. Tersenyum melihat air mata di pipi anak sulungnya itu.
“Kenapa sampai menangis ni…,”lembut soalan meniti dibibir sambil jemarinya mengusap wajah Najwa. Tidak menyangka Najwa sampai menitiskan air mata hanya kerana kesilapan yang tidak sebesar mana itu.
“Makcik… bukan salah Najwa. Saya yang berkeras nak ikut. Dia dah melarang. Saya yang nak juga ikut Najwa balik kampung. Nak tengok suasana kampung. Maklumlah, saya tak ada kampung, makcik,”
Najwa mengangkat muka. Hashimah sedikit terkejut. Tidak menyangka rungutannya sampai ke telinga tetamu. Senyum kelat terukir di bibirnya. Bersalah pula membuat tetamu disapa serba-salah dek omelannya.
“Najwa pun dah sampai. Kalau makcik keberatan, saya boleh balik…,”
“Ish…jangan..jangan… takkan baru sampai nak balik semula ke KL. Jauh tu. Bukannya dekat,”
Luqman tersenyum.
“Tak apa. saya boleh tidur kat hotel. Kat pekan,”
“Jangan..jangan… Dah susah-susah hantar anak dara makcik ni, nak terus balik pula. Makcik minta maaf. Tak patut layan tetamu macam tu. Kan? Luqman bermalam saja di sini. Makcik minta maaf, ya,”
“Tak apa, makcik. Saya faham,”
“Luqman ni, kawan Aja ya?,”
Luqman mengangguk.
“Aja, pergilah sediakan minuman. Penat Luqman memandu ni,”
Najwa mengangguk sambil mengangkat punggung. Berlalu ke dapur. Luqman yang bertenggek di tangga, kemudiannya begerak mengambil tempat di kerusi. Berdepan dengan Hashimah.
“Aja cakap baliknya sekejap saja. Ingat boleh berlama dengan dia. Sejak kerja kat KL, balik pun jarang. Harapkan cakap di telefon aje. Sejak akhir-akhir ni, sepi pula. Risau makcik dibuatnya. Baru nak cuba-cuba telefon, tengok-tengok dah ada kat laman rumah. Budak Aja ni, suka sangat buat makcik terkejut,”
Luqman tersenyum. Riang wajah Hashimah bercerita tentang anak perempuannya itu.
“Aja ada berapa orang adik? Katanya dia yang sulung. Tapi, tak pernah nak cerita pasal keluarga dia,”
“Tiga orang. Seorang perempuan. Dua lelaki. Semuanya sekolah lagi. Itulah… kesian Aja. Dia cakap, lepas periksa, dia nak sambung belajar. Tapi, dia pula yang kena kerja sebab adik-adik nak belajar. Dia tak bersungut, tapi makcik tahu, dia sedih,”
Luqman mengangguk perlahan.
“Adik-adik, semua sekolah ya?,”
“Ya. Najihah sekarang tingkatan empat. Hafizi dengan Hafizul, darjah lima. Kembar,”
“Mana mereka?,”
“Kejap lagi, baliklah tu. Ada program di sekolah kata mereka tadi,”
Luqman mengangguk perlahan.
“Dah lama ke Luqman kenal Najwa?,”
“Tak lama sangat. Dan, tak baru sangat. Maaf ya makcik. Saya yang beria-ia nak datang. Saya betul-betul tak ada niat nak buat makcik kurang selesa,”
Hashimah tersenyum kecil.
“Bukan soal selesa ke tidak, Luqman. Cuma, ye lah. Ni kan kampung. Tengok yang pelik sikit, banyak pula mulut nak menegur. Makcik ni, sorang-sorang aje. Tinggal dengan anak-anak aje. Mulut orang, faham-faham ajelah. Tapi, tak apalah. Mulut tempayan boleh kita tutup. Ya tak? Mulut orang, kita tunggu ajelah nanti,”
Luqman tergelak. Penjelasan yang diselit sedikit humor. Namun, dia faham akan titik tolak yang cuba ibu Najwa sampaikan.
“Nanti Najwa balik sekali dengan Luqman ke?,”
“Kalau makcik tak keberatan,”
“Hmm.. tak apalah. Ni…kawan biasa ke kawan luar biasa sikit?,”
Luqman tersenyum. Tiada jawapan. Kehadiran Najwa bersama dulang berisi sirap, menyelamatkannya daripada soalan itu.
“Minumlah bang,”
“Terima kasih,”
Hashimah tersenyum. Memandang wajah Najwa yang sedikit pucat.
“Aja sakit ke? Tak sihat ya? Pucat aje,”
Najwa kelu. Berbohong? Dia tidak sampai hati. Berterus-terang, dia tidak sanggup.
“Kerja siang malam. Overtime manjang, macam mana muka tak pucat, makcik,”
Hashimah berpaling mencari wajah Luqman. Penjelasan itu meruntun hatinya. Pandangannya dialihkan ke wajah Najwa. Kasihan anak gadisnya itu.
“Mak tahu Aja kena cari duit untuk adik-adik. Untuk mak. Tapi, diri Aja, Aja kena jaga. Jangan paksa diri. Mak tak nak Aja jatuh sakit nanti. Ingat tu, ya,”
Najwa tunduk. Kata-kata itu bagai selumbar. Membenam perlahan-lahan ke hati. Kejam sungguh dirinya. Rasa bersalah kembali bertandang. Semakin kuat menyeksanya. Segera dia menyapu air mata yang mahu menitis.
|