Kota Bharu: "Saya terdengar bunyi dentuman dan terfikir ia adalah bom, namun sebaik berlari keluar dari restoran dapat dilihat beberapa kereta 'berselerak' dengan sebuah daripadanya sedang terbakar," kata Mohd Khairul Anwar Mohd Zin, 42.
Dia adalah antara yang terawal melihat kejadian sebuah kereta meletup dan menyebabkan seorang lelaki maut di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh di sini, petang hari ini.
Menurutnya, dia berada di dapur restoran miliknya yang hanya berada 40 meter dari lokasi kejadian terus bergegas keluar dan keadaan sedikit kelam-kabut dengan orang ramai berlari menyelamatkan diri.
"Saya terdengar suara meminta tolong daripada mangsa terselamat, malah ada yang gigih berlari menyelamatkan diri dalam keadaan berdarah.
"Kami cuba untuk membantu namun keadaan agak teruk sehinggalah pihak bomba datang dan memberitahu bahawa seorang lelaki maut.
"Lebih mengejutkan apabila mangsa rupa-rupanya tercampak ke dinding restoran saya, mungkin kerana kesan letupan yang kuat itu," katanya ketika ditemui di restoran miliknya.
Mohd Khairul berkata, restorannya turut mengalami kerosakan susulan siling dan cermin pecah, kedai runcit milik adiknya juga menerima kesan yang sama.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Mohd Wildan Azhari mengesahkan kejadian terbabit meragut mangsa lelaki berusia 49 tahun.
"Setakat ini, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya.
Polis mendapatkan maklumat daripada ahli keluarga mangsa kereta meletup di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh di Kota Bharu hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Kota Bharu: "Sebaik tahu kejadian ini tular, anak kedua saya datang ke lokasi kejadian melihat sendiri keadaan berlaku kerana kami dikhabarkan kereta Proton Iswara Aeroback yang terbabit dan risau ia milik suami," kata Faridah Hussin, 49.
Dia adalah isteri kepada Wan Hassan Wan Ali, 49, yang maut dalam kejadian kereta meletup di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh di sini, hari ini.
Menurutnya, anaknya pulang dan dengan yakin beritahu bahawa ia bukan kereta milik arwah namun anak sulung saya, Wan Nur Hidayah, 22, sekali lagi ke lokasi sebelum mengesahkan ia adalah kenderaan ayahnya memandangkan dia lebih biasa dengannya.
Dia yang masih dalam keadaan terkejut, memberitahu kali terakhir berjumpa suami pada 4 petang ketika mangsa menghantarnya ke rumah saudaranya di Kampung Tanjung Chat di sini, dan berlalu pergi tanpa sebarang perlakuan yang mencurigakan.
"Sebaik diberitahu, ia (kejadian itu) membabitkan suami, saya terus ke lokasi kejadian dan badan saya bagaikan kaku seketika apabila dia dalam keadaan yang sudah tidak sempurna susulan letupan terbabit.
"Hanya tuhan yang tahu betapa luluhnya hati saya. Kami sekeluarga tidak berganjak ke tempat lain dan hanya berkumpul di lokasi kejadian sehingga jenazah suami dibawa ke hospital sambil membaca ayat suci al-Quran sebagai satu-satunya cara untuk tenangkan kami.
"Sekarang kami serah sahaja kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka dan Insya-Allah...jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sireh selepas semua urusan selesai," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Faridah berkata, sudah menjadi rutin suaminya berulang-alik di jalan berkenaan dari Kampung Sireh ke Kampung Kota di sini, memandangkan kami akan berpindah ke rumah baharu tidak lama lagi.
"Bagaimanapun, keterujaan untuk pindah ke rumah baharu kini sudah tiada dengan apa yang terjadi hari ini, saya reda namun pasti mengambil masa untuk membiasakan diri tanpa dia di sisi.
"Insya-Allah, saya cuba kuatkan diri bersama tiga anak berusia 19 hingga 22 tahun," katanya.
mujur family kaka tak lalu situ... scary yach boleh meletop macamni sekali... iols syak satu karton mercun kot?
sampai kenderaan2 lain pun terpelanting... gila ke apa bawak mercun banyak2 macamtu dalam kereta ko dah tahu tu kereta dik ko simpan lagi dalam tu...