PUTRAJAYA 28 Julai - Keluarga mendiang Th'ng Boon Siang iaitu pekedai runcit yang diputuskan mati oleh Mahkamah Koroner dua tahun lalu akibat lemas hasil perlakuan erotik sendiri, memohon agar inkues kematian lelaki itu dibuka semula.
Peguam Gurbachan Singh yang mewakili keluarga mendiang memberitahu Mahkamah Rayuan hari ini bahawa pihaknya akan mengemukakan surat representasi kepada Peguam Negara agar inkues itu dibuka semula.
Jelas beliau, permohonan itu dikemukakan kerana keluarga mendiang tidak berpuas hati terhadap keputusan koroner bahawa Boon Siang, 41, mati akibat lemas ketika melakukan perbuatan erotik bagi membangkitkan nafsu seks.
Menurutnya, keputusan koroner yang menjurus kepada kelemasan akibat perbuatan sendiri boleh dipertikaikan kerana terdapat fakta yang menjurus kepada perbuatan jenayah.
Keluarga mendiang percaya Boon Siang dibunuh kerana mayatnya ditemui di atas lantai kedainya di Manjung, Perak pada 29 Mei 2003 dalam keadaan leher dan kaki diikat dengan tali rafia.
Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie yang bersidang bersama Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Azahar Mohamed menangguhkan sehingga 15 September ini bagi permohonan peguam mendapatkan kebenaran merayu.
Keluarga mendiang memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang menolak semakan kehakimannya dan mengekalkan keputusan koroner bahawa punca kematiannya akibat asfiksia auto-erotik dengan jerutan di leher.
Terdahulu, Gurbachan berhujah memohon penangguhan bagi membolehkan pihaknya mengemukakan surat representasi kepada Peguam Negara mengikut Seksyen 339(2) Kanun Tatacara Jenayah agar inkues itu dibuka semula.
Beliau menyatakan, wujud penemuan oleh Pakar Patologi Forensik dari Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Dr. Bhupinder Singh berhubung enam jenis kecederaan yang tidak konsisten dengan perbuatan sendiri.
Ujar peguam tersebut, dapatan itu menunjukkan muka mangsa berdarah yang tidak memungkinkan ia disebabkan oleh perbuatan untuk memuaskan nafsu seks secara sendiri.
Menurut Gurbachan, selain itu, keterangan saksi penting iaitu pembantu rumah warganegara Indonesia tidak dikemukakan sedangkan wanita itu melihat majikannya terbaring dalam keadaan badan dan kakinya terikat, mulut disumbat serta mukanya ditekup dengan bantal.
Peguam itu malah menyatakan, percakapan amah tersebut tidak dikemukakan sedangkan wanita itu mengaku menulis surat kepada keluarga di kampung menceritakan rumah majikannya dipecah masuk menyebabkan kehilangan wang dan barangan berharga.
Tambah Gurbachan, pegawai penyiasat kes juga memaklumkan siasatan belum selesai sepenuhnya kerana enam cap jari yang diperolehi belum dihantar kepada pakar untuk dianalisis.