CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 10-2-2026 01:24 PM | Show all posts
Kanak-kanak enam tahun rentung, kebakaran dua rumah, tiga kenderaan
Februari 10, 2026, Selasa - 11:09am

TAMBUNAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ditemukan rentung manakala seorang wanita cedera dalam kebakaran membabitkan dua rumah dan tiga kenderaan di Kampung Patau, awal pagi Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan Mitchell Francis George, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.08 pagi sebelum menggerakkan lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 16 kilometer dari balai.

“Pasukan bomba tiba pada jam 4.26 pagi dan mendapati api marak melibatkan dua rumah jenis separuh kekal serta tiga kenderaan persendirian.

“Operasi pemadaman dijalankan segera bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran.

“Pasukan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan air. Sumber air diperoleh daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, operasi berjaya dikawal sekitar jam 4.40 pagi sebelum kerja-kerja pemeriksaan dan pemadaman sisa api dijalankan bagi memastikan lokasi selamat.

“Kebakaran menyebabkan rumah pertama berkeluasan 40 x 50 kaki persegi musnah sepenuhnya dan rumah kedua dengan keluasan sama mengalami kemusnahan kira-kira 90 peratus.

“Tiga kenderaan iaitu dua kenderaan jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah van turut terbakar sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemukan seorang kanak-kanak perempuan rentung di dalam bilik salah sebuah rumah.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

“Seorang lagi mangsa, wanita berusia 31 tahun, mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan diri.

“Mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, pasukan memastikan tiada lagi bahaya seperti bara api atau runtuhan struktur sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 pagi, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 10-2-2026 01:24 PM | Show all posts
Bekas anggota keselamatan antara suspek ditahan curi kabel
Februari 10, 2026, Selasa - 11:32am



RAMPAS: Kabel dan peralatan lain yang dirampas semasa penahanan suspek.

KOTA KINABALU: Dua lelaki termasuk seorang bekas anggota pasukan keselamatan ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel telekomunikasi Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, kedua-dua suspek dikesan sedang memotong kabel telekomunikasi di kawasan Maktab Gaya, Luyang.

“Ketika cuba ditahan, suspek bertindak agresif dan melarikan diri daripada sekatan kereta peronda polis (MPV) dengan menaiki pacuan empat roda.

“Anggota polis terus mengejar kenderaan berkenaan bagi menghalang suspek melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini.

Beliau berkata, sepanjang operasi terbabit, suspek enggan memberhentikan kenderaan dan bertindak berbahaya dengan menghimpit kenderaan polis ke laluan bertentangan.

“Tindakan itu membahayakan keselamatan anggota bertugas serta pengguna jalan raya lain apabila suspek memandu secara melulu dan berisiko tinggi di beberapa laluan awam.

“Insiden berakhir di sebua taman perumahan di Telipok selepas kenderaan dinaiki suspek terbabas akibat tayar belakang pecah,” katanya.

Kasim berkata, kedua-dua suspek berjaya ditahan sebaik kenderaan berhenti dan hasil pemeriksaan dalam kenderaan membawa kepada penemuan tiga batang kabel sebuah syarikat telekomunikasi.

Katanya, turut ditemukan peralatan memotong kabel, sepucuk pistol tiruan serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti jenayah dan dadah jenis syabu seberat 0.44 gram.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu dan mereka akan direman bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 431A akta sama berkaitan kecurian kabel serta Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Terdahulu, kejadian membabitkan suspek berjaya dirakam orang awam sebelum tular di media sosial.

Rakaman berkenaan menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen apabila ada dakwaan menyebut seorang anggota polis cedera ditikam suspek.

Bagaimanapun, polis mengesahkan anggota berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan di kaki akibat bergelut dengan salah seorang suspek.

Sehubungan itu, Kasim menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap individu yang bertindak ganas terhadap anggota penguat kuasa serta terlibat dalam jenayah menjejaskan keselamatan awam dan infrastruktur negara.

Orang awam turut dinasihatkan supaya tidak bersubahat dalam kegiatan kecurian kabel dan segera menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-2-2026 01:29 PM | Show all posts
Penunggang motosikal parah dalam kemalangan di Semporna
Februari 10, 2026, Selasa - 12:07pm

SEMPORNA: Seorang lelaki cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal di Jalan Pantai Kampung Selamat, di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai pada jam 11.03 malam.

Katanya, sepasukan lapan anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.  

“Jentera bomba tiba di lokasi kira-kira empat minit kemudian dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan seorang mangsa lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan parah.

“Pasukan bomba segera membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengangkat mangsa ke dalam ambulans untuk dihantar ke Hospital Semporna bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Rastam berkata, setelah memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.24 malam.

“Maklumat lanjut berhubung punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-2-2026 01:30 PM | Show all posts
MySpace tekad perkukuh integriti, tadbir urus bersih - Nizam
Februari 10, 2026, Selasa - 12:41pm



PENGHARGAAN: Setiausaha Tetap MySpace, Datuk Mansur Asun menyampaikan cenderakenangan kepada Nizam.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (MySpace) menegaskan komitmen penuh untuk memperkukuh integriti serta mengamalkan tadbir urus yang bersih dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab perkhidmatan awam.

Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, amalan integriti bukan sekadar prinsip pentadbiran, sebaliknya menjadi asas utama kepada kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri.

Katanya, lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang dizahirkan oleh warga kementerian bukan satu ritual kosong, sebaliknya satu peringatan jelas bahawa setiap amanah yang dipikul adalah tanggungjawab kepada rakyat.

“Di bawah kepimpinan saya, tidak akan ada toleransi terhadap rasuah, salah guna kuasa atau kecuaian dalam melaksanakan tugas.

“Penjawat awam adalah penjaga integriti sistem dan wajah kerajaan di mata rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (MySpace), di sini, hari ini.

Nizam berkata, semua perancangan dan strategi pembangunan negeri tidak akan memberi makna sekiranya tidak disokong oleh tadbir urus yang telus dan bersih.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan seluruh warga kementerian supaya memastikan setiap keputusan, kelulusan dan perkhidmatan dilaksanakan dengan niat yang bersih serta berpaksikan kepentingan rakyat, bukan kepentingan peribadi.

Dalam pada itu, beliau berkata, MySpace bukan lagi sebuah kementerian pinggiran, sebaliknya sebuah kementerian strategik yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) yang digariskan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Menurutnya, SMJ 2.0 menuntut jentera pentadbiran negeri bergerak lebih pantas, cekap dan berani membuat keputusan dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar dan berdaya saing,” katanya.

“Penjenamaan MySpace membawa bersama tuntutan standard kerja yang lebih tinggi, pemikiran profesional serta komitmen yang tidak berkompromi terhadap amanah dan integriti.

“Rakyat menilai kerajaan bukan berdasarkan slogan, tetapi melalui kualiti perkhidmatan yang diterima setiap hari,” katanya.

Nizam turut menyeru seluruh warga MySpace supaya bergerak sebagai satu pasukan, berfikir secara strategik dan melaksanakan amanah dengan penuh disiplin serta tanggungjawab.

“Marilah kita buktikan bahawa MySpace adalah kementerian pembina masa hadapan Sabah yang berfokuskan impak, berpaksikan rakyat dan selari sepenuhnya dengan aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-2-2026 01:35 PM | Show all posts
Hiasan tanglung di Masjid Al-Qadim sempena TBC tonjolkan keharmonian kaum
Februari 10, 2026, Selasa - 9:48am



Sekitar Masjid Al-Qadim yang dihiasi dengan tanglung merah. - Gambar Facebook Dr Annuar Rapaee

SIBU: Inisiatif Masjid Al-Qadim di sini memasang tanglung sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di pekarangannya bukan sahaja menyemarakkan suasana perayaan, malah mencerminkan keharmonian serta semangat toleransi antara kaum dan penganut agama di Sarawak.

Perkara itu dikongsikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee menerusi hantaran di Facebook rasminya pada Isnin.

Menurut beliau, kemeriahan sambutan TBC di Sibu semakin dirasai, sekali gus mendorong usaha untuk menghiasi pekarangan Masjid Al-Qadim, masjid tertua di Sarawak, dengan tanglung.



Dr Annuar membantu memasang tanglung pada ranting pokok di hadapan Masjid Al-Qadim bagi menyemarakkan suasana perayaan Tahun Baharu Cina di Sibu. - Gambar Facebook Dr Annuar Rapaee

“Suasana sambutan Gong Xi Fa Cai kini semakin terasa di Bandar Sibu. Masjid Al-Qadim juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama meraikan Tahun Baharu Cina pada tahun ini dengan memasang tanglung di sekitar pekarangannya.

“Sama-sama kita raikan Tahun Baharu Cina tanpa mengira bangsa dan agama,” tulis beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu turut berkongsi beberapa keping gambar yang memaparkan pekarangan Masjid Al-Qadim dihiasi dengan tanglung berwarna merah.

Beliau juga dilihat sama-sama membantu menggantung tanglung pada pokok di hadapan masjid, melambangkan semangat kebersamaan serta perpaduan dalam meraikan kepelbagaian budaya di Sibu.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-2-2026 01:36 PM | Show all posts
Sufiah Hyairoune cari bapa kandung untuk jadi wali pernikahan
Februari 10, 2026, Selasa - 10:14am

LIMBANG: Seorang bakal pengantin, Sufiah Hyairoune Mohamad Syukri (gambar), 44, dari Kampung Pelita di sini memohon bantuan orang ramai bagi mengesan bapa kandungnya, Mohamad Syukri Abdullah, 68, selepas pelbagai usaha dilakukan sejak 15 tahun lalu tidak berhasil.

Sufiah Hyairoune berkata, bapa kandungnya meninggalkan beliau dan adiknya sejak ibu kandung mereka meninggal dunia ketika beliau berusia lapan tahun.

Katanya, ayahnya difahamkan bekerja di Brunei Darussalam.

“Pelbagai usaha sudah dilakukan untuk bertemu dengan ayah kandung saya kerana sudah lama terpisah selain ingin ayah saya untuk menjadi wali pernikahan saya yang diadakan tidak lama lagi,” katanya kepada media hari ini.

Beliau menjelaskan kali terakhir bertemu ayahnya ialah pada 2011.

Justeru, Sufiah Hyairoune berharap orang ramai dapat membantunya supaya perkahwinan dengan pasangannya dapat berjalan lancar.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Mohamad Syukri boleh menghubungi emak saudara Sufiah Hyairoune, Agnes Undil, di talian 013-8346383.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 10-2-2026 01:36 PM | Show all posts
SABERKAS Dudong santuni keluarga mangsa lemas di Sibu Jaya
Februari 10, 2026, Selasa - 10:40am



Hu (tiga kanan) bersama ahli SABERKAS menyampaikan sumbangan kepada datuk mendiang, baru-baru ini.

SIBU: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Dudong melalui Program Saberkas Prihatin tampil menghulurkan sumbangan khairat kematian kepada keluarga mangsa lemas, mendiang Daniella Arisa Tayas, 10, yang ditemukan lemas di kolam kumbahan berhampiran Flat Sibu Jaya.

Sumbangan disampaikan kepada datuk mangsa Abdul Hamid Abdullah dalam satu kunjungan ziarah oleh Bendahari SABERKAS Cawangan Dudong Hu Kiing Ley bersama ahli-ahli cawangan berkenaan.

Menurut maklumat, kejadian tragis itu berlaku pada 4 Februari lalu, jam 4.15 petang, apabila mendiang bersama dua lagi mangsa dipercayai terjatuh ke kolam kumbahan berdekatan flat berkenaan sebelum ditemukan lemas.

Hu berkata, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban keluarga mangsa selain sebagai tanda keprihatinan SABERKAS terhadap kebajikan masyarakat setempat.

“Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-2-2026 01:37 PM | Show all posts
DAPSY Sarawak cadang program bantuan MyKasih diperluas ke farmasi
Februari 10, 2026, Selasa - 11:03am



MIRI: Ketua Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) Sarawak Peter Hee mencadangkan program bantuan MyKasih diperluas ke farmasi bagi memastikan keluarga berpendapatan rendah mempunyai akses kepada ubat-ubatan dan barangan kesihatan asas.

Cadangan itu diutarakan selepas kerajaan semalam menambah kategori barangan sejuk beku ke dalam senarai barangan asas Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Hee berkata langkah kerajaan itu menunjukkan kesediaan menyesuaikan dasar bagi memenuhi keperluan sebenar rakyat.

“Langkah logik seterusnya adalah mengkaji penyertaan farmasi di bawah program ini,” katanya dalam dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut laporan pada Isnin, kerajaan bersetuju memperluaskan kategori barangan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi merangkumi makanan sejuk beku selain barangan asas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat berikutan permintaan orang ramai supaya kategori barangan asas turut merangkumi makanan sejuk beku.

DAPSY Sarawak berpendapat program ini juga wajar diperluas ke farmasi dalam pusingan kedua SARA.

Beliau menekankan bahawa ubat-ubatan bukanlah perbelanjaan pilihan bagi banyak isi rumah, terutamanya keluarga dengan warga emas, pesakit penyakit kronik atau anak kecil kerana kos perubatan sering menjadi beban kewangan jangka panjang.

“Memperluaskan MyKasih ke farmasi akan mengukuhkan rangka perlindungan sosial untuk rakyat, asalkan disokong dengan mekanisme pengawalseliaan dan langkah keselamatan yang betul,” katanya.

Beliau menambah bahawa inisiatif ini boleh diperkenalkan secara berperingkat melalui program perintis, penilaian dan penambahbaikan bagi memastikan keberkesanan dan akauntabiliti.

Hee optimis dengan penglibatan berterusan antara kerajaan, agensi berkaitan dan pihak industri, program MyKasih boleh dipertingkatkan lagi untuk memenuhi keperluan praktikal pelbagai segmen masyarakat.

Pusingan kedua bantuan SARA (sekali bayar RM100) bagi rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas bermula 9 Februari 2026 hingga 31 Disember 2026, manakala jumlah premis runcit dan pasar raya yang menyertai telah meningkat kepada lebih 10,000, termasuk kedai runcit kecil.

“Peningkatan ini menunjukkan kerajaan mendengar suara rakyat dan bersedia menyesuaikan skim bantuan agar relevan dengan keperluan sebenar rakyat,” ujarnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 10-2-2026 01:40 PM | Show all posts
sbh - Mekanik cedera kaki dilastik besi, suspek ditahan

swk - Sarawak catat 21,747 kes kemalangan jalan raya pada 2025

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-2-2026 01:43 PM | Show all posts
Persatuan pickleball Limbang dan Brunei jayakan perlawanan persahabatan
Februari 10, 2026, Selasa - 10:28am



Alfonso (lima kiri) bertukar cenderamata dengan wakil Presiden PBDA Izzati Zaidi (lapan kiri). Turut kelihatan Lee (tiga kiri) dan yang lain.

LIMBANG: Seramai 37 peminat sukan pickleball dari Limbang dan Brunei menyertai Permainan Persahabatan Pickleball Merentas Sempadan di Dar Takaful Sports & Health Club di Brunei pada Ahad.

Acara itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Pickleball Limbang (LPA) dan Persatuan Pickleball Brunei Darussalam (PBDA).

Penyelaras aktiviti merangkap Timbalan Presiden LPA Samuel Lee berkata, matlamat utama program itu adalah untuk memperkukuhkan hubungan dan persefahaman antara LPA dan PBDA.

“Usaha ini sekali gus memudahkan kerjasama pada masa hadapan bagi penganjuran lebih banyak aktiviti sukan pickleball secara bersama,” katanya kepada media hari ini.

Hadir sama, Presiden LPA Alfonso Franklin.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden PBDA Layla Abdullah atas kerjasama dan bantuan dalam pelbagai aspek sehingga memastikan kelancaran acara.

Lee menjelaskan, bagi edisi kali ini, pasukan dari Limbang telah berkunjung ke Brunei, manakala pada masa akan datang, giliran pasukan Brunei pula akan bertandang ke Limbang.

“Pengiliran ini bertujuan untuk terus membina ikatan persahabatan yang lebih kukuh melalui sukan ini,” tambah beliau.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-2-2026 04:19 PM | Show all posts
Sabah naib juara Kejohanan Badminton AFFIN 100Plus 100plus JET 1
Februari 10, 2026, Selasa - 1:57pm



CEMERLANG: Kontinjen badminton Sabah mencatat pencapaian membanggakan apabila muncul naib juara keseluruhan Kumpulan C pada Kejohanan Badminton AFFIN 100Plus Junior Elite Tour (JET) 1 di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Kontinjen badminton Sabah mencatat pencapaian membanggakan apabila muncul naib juara keseluruhan Kumpulan C pada Kejohanan Badminton AFFIN 100Plus Junior Elite Tour (JET) 1 di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Saingan kumpulan itu menyaksikan persaingan sengit melibatkan Kedah, Terengganu, Wilayah Kuala Lumpur dan Sabah, namun barisan pemain muda negeri ini kekal konsisten sepanjang kejohanan.

Sabah mengumpul dua pingat emas, dua perak dan empat gangsa hasil aksi bertenaga pemain pelbagai kategori umur.

Dua emas disumbangkan Avrielle Tan dalam acara perseorangan wanita bawah 12 tahun serta pasangan bergu wanita bawah 12 tahun, Izz Hadirah Mohd Rushdi dan Wisyah Zahrah Zuyyin Nurfadli.

Avrielle mempamerkan kawalan gelanggang kemas dan pukulan tajam ketika menewaskan pemain tuan rumah Kedah, Ang Sin Yee, 21-16, 21-9 pada perlawanan akhir.

Kemenangan itu mengukuhkan reputasi Avrielle sebagai antara prospek muda paling menyerlah dalam skuad pembangunan Sabah.

Izz Hadirah dan Wisyah Zahrah turut mencuri tumpuan apabila menundukkan pasangan sepasukan Charolyne Jess Christopher dan Elizabellacyanne Lim dalam straight set 21-5, 21-11 bagi memastikan satu lagi emas.

Aksi pasangan muda itu jelas mempamerkan keserasian tinggi selain strategi permainan yang tersusun.

Pingat perak pula diraih Charolyne bersama Elizabellacyanne dalam acara bergu wanita bawah 12 tahun, manakala satu lagi perak disumbangkan Chiara dan Deirdree bagi kategori bergu wanita bawah 16 tahun.

Empat gangsa menambah koleksi Sabah hasil sumbangan Wisyah dalam perseorangan wanita bawah 12 tahun.

Gangsa lain hadir menerusi gandingan Hamizan dan M Firdaus bagi acara bergu lelaki bawah 14 tahun.

Pasangan Hanisah dan Dania turut menghadiahkan podium ketiga dalam acara bergu wanita bawah 14 tahun.

Charlotte bersama Avrielle melengkapkan kutipan gangsa menerusi acara bergu wanita bawah 12 tahun.

Pengurus pasukan, Rechine Jikah yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Sabah (SBA) menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai permulaan positif bagi kalendar pertandingan tahun 2026.

Menurutnya, barisan pemain mempamerkan disiplin tinggi sepanjang kem latihan dan kejohanan, sekali gus memberi keyakinan terhadap potensi lebih besar pada siri seterusnya.

“Kita anggap keputusan ini sebagai motivasi awal musim. Bagi JET 2 nanti, pasukan akan membuat persiapan lebih rapi agar mampu membawa pulang lebih banyak pingat,” katanya.

Beliau turut merakam penghargaan kepada pemain, jurulatih dan ibu bapa yang memberi komitmen padu selain berterima kasih kepada pengurusan SBA di bawah pimpinan Datuk Dr Maijol Mahap atas sokongan berterusan kepada pembangunan badminton akar umbi negeri.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-2-2026 04:20 PM | Show all posts
Sabah-MM2H dorong pelaburan asing, peluang pekerjaan - PPMRKS
Februari 10, 2026, Selasa - 2:26pm



KUNJUNGAN: Jafry menerima cenderakenangan daripada Jenny dalam kunjungan berkenaan.

KOTA KINABALU: Program Sabah-Malaysia Rumah Keduaku (Sabah-MM2H) terus memainkan peranan penting dalam mempromosikan Sabah sebagai destinasi penginapan jangka panjang bertaraf antarabangsa.

Presiden Persatuan Perunding Malaysia Rumah Keduaku Sabah (PPMRKS), Jenny Ngu, berkata Sabah-MM2H juga dilihat dapat merancakkan lagi ekonomi negeri ini.

“Program di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) itu juga telah menarik minat peserta antarabangsa ketika ini.

“Sabah-MM2H turut menyumbang kepada peningkatan pelaburan asing, perbelanjaan berkaitan pelancongan, serta membuka peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan,” katanya.

Menurutnya, Sabah-MM2H merupakan program penting di bawah KePKAS yang bukan sahaja mempromosikan Sabah sebagai destinasi penginapan jangka panjang bertaraf antarabangsa.

Malah, katanya ia juga berperanan besar merancakkan ekonomi negeri melalui peningkatan pelaburan asing, perbelanjaan pelancongan dan peluang pekerjaan tempatan.

Beliau berkata demikian semasa kunjungan hormat PPMRKS kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Arifin, baru-baru ini.

“Kunjungan itu bertujuan menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikan Datuk Jafry dan menegaskan sokongan persatuan terhadap usaha kementerian memperkukuh sektor pelancongan Sabah,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara persatuan dan kementerian untuk menambah baik pelaksanaan program Sabah-MM2H, memperluas promosi antarabangsa dan memastikan peserta berkualiti terus memilih Sabah sebagai destinasi penginapan jangka panjang.

Jenny berkata, pihaknya komited untuk bekerjasama rapat dengan KePKAS dan pihak berkepentingan lain bagi memajukan program Sabah-MM2H selaras dengan agenda pembangunan pelancongan dan ekonomi negeri serta menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Terdahulu, PPMRKS juga menjemput Jafry untuk menghadiri Majlis Makan Malam Gala Pra-Tahun Baharu Cina sempena Majlis Pelantikan Pertama Persatuan, yang akan berlangsung pada 15 Februari depan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-2-2026 04:21 PM | Show all posts
Seoul Garden di Imago kini dibuka semula, tampil suasana lebih kondusif
Februari 10, 2026, Selasa - 2:32pm



ALBUM: Nicholas (tiga kanan) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Restoran Seoul Garden iaitu jenama Korea Selatan yang sudah lama bertapak di Malaysia kini membuka semula operasinya di pusat membeli-belah Imago di sini.

Pembukaan rasmi restoran itu semalam mengalu-alukan kehadiran para pelanggan bagi merasai pengalaman baharu sekali gus  mencerminkan komitmen berterusan pihak Seoul Garden terhadap kualiti, keselesaan dan nilai tambah.

Selepas melalui tempoh kerja penambahbaikan, cawangan ini dibuka semula dengan suasana baharu dan menampilkan ruang makan yang lebih kondusif.

Penambahbaikan ini bertujuan mewujudkan ruang yang lebih selesa dan mesra pelanggan sambil mengekalkan suasana sedia ada.

Seiring dengan pembukaan semula itu, para tetamu ditawarkan hidangan makanan yang lebih baik yang dihasilkan untuk menampung kumpulan pelanggan sama ada kecil mahupun besar.



RASMI: Para tetamu kehormat menyempurnakan acara perasmian itu.

Ruang yang dikemas kini mampu menampung kehadiran pelanggan untuk menjamu makanan tengah hari secara santai, hidangan keluarga, dan pertemuan sosial.

Wakil Restoran Seoul Garden berkata, biarpun tampil berwajah baharu, Seoul Garden  masih menyediakan hidangan istimewa iaitu Bufet Grill dan Hotpot Korea 2 dalam 1.

“Pembukaan semula Seoul Garden di Imago menandakan langkah penting dalam usaha berterusan kami untuk menambah baik restoran sambil kekal setia pada apa yang digemari pelanggan.

“Naik taraf ini membolehkan kami menawarkan pengalaman menjamu selera yang lebih menyenangkan dan selesa, tanpa menjejaskan kualiti makanan atau kehangatan layanan Korea," kata wakil Seoul Garden.

Kembalinya Seoul Garden di Imago mencerminkan komitmen berterusan jenama ini terhadap penambahbaikan berterusan, memastikan setiap kunjungan memberikan pengalaman hidangan makanan Korea yang boleh dipercayai, menyeronokkan dan memuaskan.

Seoul Garden Imago kini dibuka setiap hari dan bersedia menyambut pelanggan untuk menikmati semula hidangan Korea kegemaran mereka dalam ruang yang lebih baharu.

Hadir sama Pengurus Besar Seoul Garden Group, Nicholas Nyeow.



BERTENAGA: Persembahan tarian singa yang memukau suasana pengunjung ke restoran itu.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-2-2026 04:25 PM | Show all posts
SEC, PETRONAS meterai HoA bangunkan Kluster Mutiara
Februari 10, 2026, Selasa - 2:43pm



SERAH: Adzmir (kiri) bertukar dokumen HoA bersama Ziaril majlis itu. Turut kelihatan Hajiji (berdiri, belakang, tiga kiri).

KUALA LUMPUR: Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) dan PETRONAS pada 9 Februari 2026 menandatangani pertukaran Heads of Agreement (HoA) bagi pembangunan Kluster Mutiara, satu sumber gas luar pesisir strategik di perairan luar Sandakan, dalam usaha memperkukuh bekalan gas asli ke Pantai Timur Sabah.

Pertukaran dokumen HoA itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SEC, Datuk Adzmir Abd Rahman dan Pengurus Besar Kanan Pengurusan Hidrokarbon Bersepadu PETRONAS, Ziaril Faiz Zakaria.

Majlis berkenaan disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Safar Untong; Pengerusi SEC, Datuk Annuar Ayub serta Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM), Datuk Bacho Pilong.

HoA itu menetapkan rangka kerja komersial dan kerjasama strategik ke arah pemeteraian perjanjian jual beli gas pada masa hadapan, sekali gus menyokong pembangunan dan pengewangan sumber gas Kluster Mutiara bagi memenuhi keperluan tenaga jangka panjang Sabah.

Kluster Mutiara disasarkan mencapai pengeluaran gas pertama pada awal 2029 dan dijangka memainkan peranan penting dalam merombak landskap bekalan tenaga negeri.

Ketika ini, gas asli membekalkan kira-kira 86 peratus keperluan penjanaan elektrik Sabah, namun bekalan itu tertumpu di Pantai Barat, manakala Pantai Timur masih bergantung kepada penghantaran gas asli cecair (LNG) berskala kecil.

Pembangunan Kluster Mutiara bertujuan menangani ketidakseimbangan berkenaan dengan menyediakan bekalan gas berskala besar yang lebih stabil dan boleh dipercayai ke Pantai Timur, sekali gus menyokong keselamatan tenaga, merancakkan aktiviti ekonomi serta memacu pembangunan industri hiliran di Sandakan dan kawasan sekitarnya.

Selain pembangunan infrastruktur, HoA itu turut mencerminkan komitmen bersama SEC dan PETRONAS untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam membuka potensi sumber gas tempatan Sabah secara bertanggungjawab, di samping menyokong pasaran tenaga negeri yang lebih seimbang dan berdaya tahan.

Pembangunan Kluster Mutiara juga selari dengan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dan dijangka menyumbang kepada aliran pelaburan berterusan, penciptaan peluang pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang negeri.

Dalam pada itu, SEC turut mengumumkan pertukaran Heads of Agreement (HoA) dengan PETRONAS bagi pembangunan Kluster Mutiara, iaitu sumber gas luar pesisir strategik yang terletak di perairan luar Sandakan.

SEC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adzmir Abd Rahman, manakala PETRONAS diwakili oleh Ziaril Faiz Zakaria, Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Hidrokarbon Bersepadu, PETRONAS.

HoA ini menetapkan rangka kerja komersial dan kerjasama ke arah perjanjian jual beli gas pada masa hadapan, bagi menyokong pembangunan serta pengewangan sumber gas daripada Kluster Mutiara untuk memenuhi keperluan tenaga jangka panjang Sabah.

Dengan sasaran pengeluaran gas pertama pada awal 2029, Kluster Mutiara dijangka memainkan peranan penting dalam merombak landskap bekalan tenaga negeri ini. Ketika ini, gas asli membekalkan 86 peratus keperluan tenaga elektrik Sabah, namun tumpuan bekalan tersebut lebih terarah ke Pantai Barat, manakala Pantai Timur bergantung kepada penghantaran LNG berskala kecil.

Pembangunan Kluster Mutiara bertujuan menangani ketidakseimbangan ini dengan membolehkan bekalan gas yang berskala, boleh dipercayai dan sesuai untuk kegunaan industri ke Pantai Timur, sekali gus menyokong keselamatan tenaga, aktiviti ekonomi serta pembangunan industri hiliran di Sandakan dan kawasan sekitarnya.

Di samping pembangunan infrastruktur, HoA ini mencerminkan komitmen bersama SEC dan PETRONAS untuk memperkukuh kerjasama dalam membuka potensi sumber gas tempatan Sabah secara bertanggungjawab, di samping menyokong pasaran tenaga negeri yang lebih seimbang dan berdaya tahan.

Pembangunan Kluster Mutiara juga selari dengan agenda pembangunan SMJ 2.0 dan dijangka menyumbang kepada pelaburan berterusan, penciptaan peluang pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang negeri.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-2-2026 04:26 PM | Show all posts
SMJ 2.0 pacu lonjakan ekonomi inklusif Sabah: Hajiji
Februari 10, 2026, Selasa - 2:44pm



HAJIJI

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri terus memperkasa pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) sebagai fasa lonjakan baharu bagi memacu daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri, sekali gus memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara inklusif oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, SMJ 2.0 bukan sekadar kesinambungan kepada pelan pembangunan sebelum ini, sebaliknya menjadi pemangkin perubahan menyeluruh yang menuntut peningkatan keupayaan diri, termasuk perubahan cara berfikir, bekerja serta mencipta nilai baharu demi kesejahteraan rakyat Sabah.

“SMJ 2.0 adalah fasa lonjakan ke hadapan yang menekankan pembangunan ekonomi, pemerkasaan modal insan dan kesejahteraan rakyat. Perpaduan kekal sebagai kunci utama kepada kestabilan serta kemakmuran negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Tahun Baharu Cina 2026 di sini, pada Isnin.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang.

Hajiji berkata, kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 memberi keyakinan bahawa Sabah berada di landasan tepat, manakala SMJ 2.0 pula dirangka selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Menurutnya, pendekatan pembangunan berterusan itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta mampu  menangani cabaran masa depan secara lebih strategik dan bersepadu.

Hajiji turut menegaskan bahawa kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat berbilang kaum merupakan asas kekuatan sosial Sabah yang perlu terus dipelihara.

“Karnival seperti ini mencerminkan keunikan Sabah sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya, di mana setiap perayaan diraikan bersama dalam semangat saling menghormati dan muhibah,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan inklusif kerajaan negeri selari dengan aspirasi membina sebuah Sabah yang aman, bersatu padu dan sejahtera untuk semua.

Hajiji turut mengiktiraf peranan penting masyarakat Cina sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri, khususnya dalam sektor ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan pemeliharaan warisan budaya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong inisiatif serta penglibatan aktif pertubuhan masyarakat Cina sebagai rakan pelaksana agenda pembangunan Sabah di bawah kerangka Sabah Maju Jaya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Gabungan Persatuan Cina Sabah yang menghimpunkan lebih 160 persatuan dari seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan atas sumbangan berterusan dalam menjayakan pelbagai program kemasyarakatan.

Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat tanpa mengira kaum amat penting bagi memastikan dasar pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

Hajiji turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2026 kepada seluruh masyarakat Cina di Sabah, sambil berharap sambutan perayaan itu terus menjadi pemangkin kepada perpaduan, keharmonian dan kemajuan bersama demi masa depan negeri yang lebih cemerlang.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-2-2026 04:27 PM | Show all posts
Edited by Vellfire at 10-2-2026 04:29 PM

SUARA terus perkukuh peranan belia
Februari 10, 2026, Selasa - 2:57pm



Ahli Majlis Pimpinan Persatuan Suara Belia Beaufort (SUARA) merakamkan gambar kenangan selepas Mesyuarat Pengurusan Ahli Majlis Pimpinan yang diadakan dekat sini.

BEAUFORTini.: Persatuan Suara Belia Beaufort (SUARA) terus melakar langkah progresif ke arah pengukuhan peranan belia menerusi satu yang dipengerusikan Presiden SUARA, Raja Radhi Zuhair, dekat sini.

Mesyuarat Pengurusan Ahli Majlis Pimpinan. Bil 1/2026 yang diadakan menjadi simbol kesatuan dan pembaharuan kepimpinan belia apabila berlangsungnya sesi penyampaian watikah pelantikan kepada Ahli Majlis Pimpinan yang terpilih pada Mesyuarat Agung Tahunan SUARA kali ke-15 termasuk beberapa pelantikan secara lantikan Presiden.

Turut diadakan penyampaian watikah pelantikan kepada dua orang penasihat persatuan yang akan berperanan sebagai tonggak sokongan dan panduan strategik kepada hala tuju organisasi.

Raja Radhi dalam ucapan merakamkan tahniah serta penghargaan kepada seluruh barisan kepimpinan yang telah diberikan amanah kali ini.



LANTIKAN: Presiden SUARA, Raja Radhi Zuhair menyampaikan watikah kepada Siti Noor Laila atas pelantikan sebagai Timbalan Presiden II sempena mesyuarat itu.

Tegasnya, SUARA harus tampil sebagai wadah belia yang progresif, dinamik dan berani ke hadapan, di samping kekal relevan dalam memperjuangkan suara, idea serta aspirasi belia sejajar dengan keperluan pembangunan semasa.

Beliau turut menyatakan keyakinan tinggi agar persatuan itu mampu meneruskan momentum kecemerlangan dengan mempertahankan gelaran Johan Anugerah Perdana Belia peringkat negeri Sabah buat kali ketiga pada tahun ini, seterusnya tampil sebagai pasukan belia yang berdaya saing, berwibawa dan menjadi pencabar utama dalam saingan Anugerah Perdana Belia peringkat kebangsaan bagi tahun ini.

“Saya yakin dan percaya SUARA mampu mempertahankan gelaran Johan Anugerah Perdana Belia peringkat negeri Sabah buat kali ketiga pada tahun ini. Lebih daripada itu, SUARA bersedia untuk melangkah lebih jauh sebagai pencabar utama Anugerah Perdana Belia peringkat kebangsaan, sekali gus membuktikan bahawa belia Beaufort mampu berdiri sama tinggi dan bersaing di pentas nasional,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Radhi turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan berterusan kepada SUARA, khususnya Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Majlis Belia Sabah, Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM-SDG) serta institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Tambahnya, SUARA optimis untuk terus memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik dan berharap agar lebih banyak pihak tampil berganding bahu bersama persatuan tersebut dalam menjayakan program-program komuniti yang berimpak tinggi, khususnya di daerah Beaufort dan secara amnya di seluruh negeri Sabah.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 10-2-2026 04:29 PM | Show all posts
Lelaki ditahan beri maklumat palsu permohonan MyKad tiga individu
Februari 10, 2026, Selasa - 3:20pm

TAHAN: Suspek ditahan selepas disyaki memberi maklumat palsu ketika membuat permohonan kad pengenalan bagi tiga individu berasingan.
KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah menahan seorang lelaki selepas disyaki memberi maklumat palsu ketika membuat permohonan kad pengenalan bagi tiga individu berasingan.

Tangkapan dibuat kira-kira jam 11 pagi pada 4 Februari di pejabat JPN Kota Kinabalu hasil tindakan pegawai penguat kuasa negeri yang menjalankan pemantauan dan siasatan dalaman.

JPN Sabah memaklumkan, suspek dipercayai bertindak sebagai penganjur atau penjamin dalam beberapa permohonan dokumen pengenalan diri berkenaan.

Menurut kenyataan dimuat naik menerusi akaun rasmi Facebook agensi itu, lelaki berkenaan mengemukakan maklumat tidak benar dengan mendakwa dirinya sebagai bapa kepada individu yang memohon kad pengenalan.

Perbuatan itu dikesan selepas semakan lanjut mendapati wujud percanggahan maklumat pada dokumen sokongan dan rekod pendaftaran, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kesahihan permohonan.

Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

JPN Sabah menegaskan komitmen agensi bagi memastikan integriti sistem pendaftaran negara sentiasa terpelihara serta bebas daripada sebarang penyalahgunaan atau cubaan penipuan identiti.

Agensi itu turut memberi amaran tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang cuba memberikan maklumat palsu atau menggunakan dokumen tidak sah dalam urusan berkaitan kad pengenalan dan pendaftaran kewarganegaraan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-2-2026 04:30 PM | Show all posts
sbh - Lelaki ditahan beri maklumat palsu permohonan MyKad tiga individu

swk - Sarawak catat 21,747 kes kemalangan jalan raya pada 2025

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-2-2026 10:14 PM GMT+8 , Processed in 1.688820 second(s), 26 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list