|
Menanti juara ABPBH 36
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hgjk3t5t_1726819050.jpg)
Barisan artis yang menghadiri majlis pengumuman Malam Kemuncak ABPBH 36 di Hotel Courtyard by Marriot Kuala Lumpur South, kelmarin. FOTO Asyraf Hamzah
Kuala Lumpur: Bintang senior seperti kumpulan Senario, Raja Ema, Raja Azura dan Joey Daud memecah dominasi artis muda apabila diumum antara 36 calon yang meraih undian tertinggi setakat ini pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36.
Senarai calon Top 36 itu dikongsi pada majlis pengumuman Malam Kemuncak ABPBH 36 di Courtyard by Marriot Kuala Lumpur South di ibu negara, kelmarin.
Meneliti senarai Top 36 itu, artis yang diketahui bersandar kepada kekuatan kelab peminat selama ini seperti Siti Nordiana, Aina Abdul, Anna Jobling, Khai Bahar dan Haqiem Rusli, turut tersenarai.
Bintang Paling Popular, ABPBH 34, Janna Nick juga berjaya membolosi Top 36 bersama Tyzo Xander yang menyandang gelaran Penyampai Radio Popular pada ABPBH 35, tahun lalu.
Calon popular lain termasuk Khairy Jamaluddin atau KJ; Aedy Ashraf; Alif Hadi; Amir Masdi; Bella Hanna; Isyariana; DJ Sonic; Dolla; Janna Nick; Hun Haqeem; Hisyam Hamid; Harissa Adlynn dan Fahimi Rahmat.
Turut tersenarai, Ezzanie Jasny; Erysha Emyra; Puteri Sarah Liyana; Putera Muhammad; Nadhir Nasar; Ernie Zakri; Elly Mazlein; Meerqeen; Syafiq Kyle; Sophia Albarakbah; Siti Khadijah dan Shah Iskandar.
Pengarang Kanan Berita Hiburan dan Projek BH merangkap Pengarah ABPBH 36, Shamshul Azree berkata, senarai Top 36 yang diumumkan sempena penganjuran kali ke-36 acara anugerah berprestij itu menampakkan keseimbangan antara bakat lama dan baharu.
"Kita percaya selepas kejayaan artis senior Bell Ngasri merangkul trofi Bintang Paling Popular pada ABPBH 35, sudah nampak kesedaran dalam kalangan peminat industri hiburan untuk mengiktiraf bakat 'orang lama'.
"Biarpun kelompok artis senior rata-rata tiada kelab peminat, namun, penyokong masih mengundi hingga mereka bolos calon Top 36.
"Ini yang kita mahu lihat apabila peminat makin bijak menilai bakat dan mahu memberi pengiktirafan sewajarnya kepada bintang senior.
"Kita lihat kumpulan pelawak, Senario misalnya terus mendapat sokongan padu biarpun sudah lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni," katanya.
Bagaimanapun, Shamshul Azree berkata, dengan tempoh undian berakhir pada jam 11.59 malam 30 September ini, senarai Top 36 boleh berubah.
"Peminat masih ada masa lagi untuk mengundi artis pilihan. Dengan sokongan padu, tidak mustahil artis yang bukan dalam kelompok Top 36 juga boleh memberi saingan dalam mencari juara iaitu Bintang Paling Popular," katanya.
Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 mengangkat tema Teguh membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia.
ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama.
Disiarkan pada: September 20, 2024 @ 3:57pm
https://www.hmetro.com.my/rap/20 ... anti-juara-abpbh-36 |
|