|
~ Hotel Johor ~
Ia merupakan rumah rehat pertama yang dibina pada tahun 1895 di Johor Bahru. Bangunan ini terletak di Jalan Ibrahim. Permbinaannya bermula apabila Sultan Ibrahim merasakan perlunya dibina sebuah rumah rehat bagi para pelawat yang datang ke Johor Bahru yang ingin meluangkan lebih masa lama lagi atau menanti perjalanan feri yang seterusnya dari Johor Bahru ke Singapura. Sultan Ibrahim telah melantik seorang arkitek berbangsa Eropah bernama Dato WN Gawler untuk mereka sebuah bangunan yang berciri moden. Satu lot tanah di Jalan Ibrahim milik keluarga Dato Haji Mohammad Salleh ( Dato Hakim) yang terletak di kaki Bukit Timbalan telah dipilih oleh Sultan Ibrahim.
Segala kelengkapan perabut, perkakas dapur, kutleri dan set pinggan mangkuk serta dua buah meja billiard telah ditempah dan dimport dari England. Rumah rehat ini telah siap dibina pada tahun 1899 dan dinamakan Hotel Johor. Hotel ini menjadi sebuah bangunan yang indah dan cantik kerana terletak betul-betul mengadap Selat Tebrau. Ia sangat masyur dikalangan warga Eropah. Oleh itu Sultan Ibrahim telah melantik seorang warga Eropah sebagai pengurus bagi menguruskan operasi hotel ini.
Atas sambutan yang hangat dan menggalakkan dari warga Eropah yang menetap di Singapura dan juga tempatan, pihak kerajaan telah bersetuju memperuntukkan dua buah lot tanah yang bersebelahan dengan hotel untuk dibina dua buah lagi bangunan tambahan. Kelengkapan perabut tambahan dan kemasan juga ditempah dan diimport dari England. Tuala mandi, set linen, set kutleri dan pinggan mangkuk diukir dengan monogram 'Johor Hotel' didalam tulisan jawi dan rumi bersama lambang bulan sabit dan bintang.
Hiasan dan susun atur dalaman hotel ini berkonsepkan Eropah. Selain menyediakan bilik-bilik penginapan dan restoran terdapat juga bilik untuk para pegawai warga Eropah bersosial dan berhibur. Ia dinamakan Johor Club (JC). Manakala sebuah bilik lagi dikhaskan untuk para pegawai tempatan yang berkhidmat dengan kerajaan dan ia dinamakan Johor Civil Service Club (JCSC).
Pada tahun 1924, selepas pembukaan Tambak Johor, perjalanan menyeberang ke Pulau Singapura bukan menjadi satu masalah lagi. Para pelawat boleh menyeberang bila-bila masa sahaja. Pembinaan tambak telah memberi kesan terhadap perniagaan hotel. Perniagaan semakin merosot dan bilik-biliknya banyak yang kosong kerana pelanggan yang menginap semakin berkurangan. Kemerosotan pelanggan semakin kritikal apabila Johor Club telah memindahkan operasi mereka ke sebuah bangunan di Jalan Sungai Chat. Manakala Johor Civil Service Club (JCSC) pula berpindah ke bangunan yang terletak di Jalan Ayer Molek.
Akhirnya Hotel Johor terpaksa menamatkan operasinya. Pada tahun 1927, dari terbiar kosong Sultan Ibrahim telah menitahkan pejabat-pejabat kerajaan iaitu Pejabat Pos , Pejabat Town Board, Pejabat Public Work Department dan Pejabat Survey di arah berpindah ke Hotel Johor. Apabila jabatan-jabatan ini berpindah ke bangunan sendiri, sekali lagi ia terbiar kosong. Akhirnya hujung tahun 1962, bangunan yang sangat indah, masyur dan gemilang pada awal 1900an telah dirobohkan untuk projek pelebaran jalan bagi mengatasi kesesakkan lalu lintas dalam bandar JohorBahru.
Oleh Dang Ku Puteri
Sumber rujukan :
Streets Johor - Jewels In Johor Landscape
Buku Peringatan Kerajaan (State Diary)
National Archives Of Malaysia and National Archives Of Singapore
Perkongsian dari FB Dang Ku Puteri |
|