CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 9-2-2026 11:26 AM | Show all posts
Buruh maut, isteri parah selepas terlibat kemalangan langgar lari
Februari 8, 2026, Ahad - 7:18pm

SRI AMAN: Seorang buruh maut manakala isterinya cedera parah selepas terlibat kemalangan langgar lari di KM7, Jalan Sri Aman awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sri Aman Superintenden Dennis Bunyam berkata, dalam kemalangan yang berlaku pada lebih kurang jam 4.30 pagi itu, mangsa maut dikenali Ranggau Berandak, 46, yang memandu kereta jenis Perodua Kancil bersama isterinya Chindu Malang, 36, dilanggar sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti, dipercayai terlibat kejadian langgar lari.

"Akibat kemalangan tersebut, pemandu kenderaan Perodua Kancil telah meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sri Aman manakala isterinya mengalami kecederaan parah dan kini masih menerima rawatan di hospital yang sama.

"Siasatan awal mendapati mengsa baru selesai menukar tayar kenderaan yang pancit di bahu jalan sebelum dirempuh oleh kenderaan lain yang tidak dikenal pasti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, kedua-dua mangsa dari Rumah Eveyln, Ibol, Sungai Raya Undop, di sini.

Dennis menyeru pemandu kenderaan yang terlibat supaya tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat diminta untuk menghubungi mana-mana Balai Polis berhampiran atau IPD Sri Aman di talian 083-322121 sambungan 238, katanya.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tambahnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 9-2-2026 11:27 AM | Show all posts
Rumah musnah terbakar, lima sekeluarga hilang tempat tinggal
Februari 8, 2026, Ahad - 7:22pm

MIRI: Lima sekeluarga termasuk seorang bayi berusia setahun, kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka di Jalan Surau, Kampung Tengah Bekenu, Sibuti, musnah dalam kebakaran petang semalam.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.03 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 41 kilometer dari balai.

Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati rumah berstruktur tidak kekal itu telah musnah sepenuhnya dijilat api.

“Turut musnah dalam kebakaran tersebut ialah sebuah kenderaan, dua buah motosikal serta sebuah enjin bot,” demikian menurut kenyataan JBPM.

Anggota bomba segera menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan bekalan air daripada jentera bomba selain mengepam air dari sungai berhampiran sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Selepas kebakaran berjaya dikawal, kerja-kerja pemeriksaan dan pengawasan dilakukan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.23 petang sebelum anggota bomba beredar dari lokasi kejadian.

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-2-2026 11:28 AM | Show all posts
Dua penunggang motosikal ditahan, 15 motosikal disita, 45 saman dikeluarkan
Februari 8, 2026, Ahad - 7:26pm



Selain menahan dua remaja, sebanyak 15 motosikal disita dan 45 saman dikeluarkan dalam Operasi Samseng Jalanan di Miri.

MIRI: Dua penunggang motosikal berusia 17 tahun ditahan manakala 15 buah motosikal disita dan 45 saman dikeluarkan dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan dari jam 11 malam Sabtu hingga 5.30 pagi tadi di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi bersepadu itu melibatkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Miri.

Menurutnya, pemeriksaan jalan raya dijalankan di beberapa lokasi tumpuan termasuk Jalan Piasau, Jalan Pujut, Jalan Tanjong, Jalan Miri By-pass serta kawasan Marina.

“Sepanjang operasi, seramai 75 lelaki tempatan dan 11 wanita tempatan bersama 72 buah motosikal telah diperiksa.

“Hasil operasi, Bahagian Trafik IPD Miri mengeluarkan 45 saman manakala JPJ Miri mengeluarkan 33 notis atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara kesalahan yang dikesan termasuk cukai jalan tamat tempoh, tiada nombor pendaftaran, penggunaan nombor pendaftaran hiasan, menunggang tanpa lesen memandu yang sah, penggunaan ekzos ubah suai serta ketiadaan cermin sisi.

Mohd Farhan berkata, dalam operasi sama, seorang penunggang motosikal tempatan berusia 17 tahun ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya termasuk melakukan aksi ‘wheelie’.

Seorang lagi penunggang motosikal berusia 17 tahun turut ditahan di bawah Seksyen 108(3)(f) akta sama kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada motosikalnya.

Tambah beliau, sebanyak 15 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu dan menunggang secara berhemah serta berhati-hati, selain menjauhi aktiviti samseng jalanan dan tidak mengubah suai struktur asal kenderaan.

Beliau turut mengingatkan agar orang ramai tidak berkumpul di tepi jalan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas, menghalang pergerakan kenderaan atau menghasilkan bunyi bising yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Katanya, sikap cuai pemandu dan penunggang bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-2-2026 11:29 AM | Show all posts
Lelaki memiliki satu rekod berkaitan narkotik, tiga rekod jenayah ditahan di Saratok
Februari 8, 2026, Ahad - 7:34pm



SARATOK: Seorang lelaki tempatan yang mempunyai satu rekod lampau berkaitan narkotik dan tiga rekod jenayah telah berjaya ditahan dalam Ops Tapis Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok, semalam.

Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie (gambar) berkata, lelaki tersebut telah berjaya ditahan di tepi jalan di Kampung Bunga Raya Saratok.

“Hasil maklumat awam, pasukan Task Force Ops Tapis IPD Saratok telah bergerak ke lokasi berkenaan dan berjaya menahan lelaki itu yang berusia 30 tahun.

“Sejurus ditahan lelaki tersebut telah dibawa ke Balai Polis Saratok untuk menjalani ujian saringan air kencing.

“Hasil daripada ujian tersebut telah mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan itu kata Mathew, lelaki yang dipercayai penagih dadah tersebut telah ditahan.

“Kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-2-2026 11:30 AM | Show all posts
Kejayaan ekonomi dan sukan harus seiring  
Februari 8, 2026, Ahad - 8:06pm

Sarawak mahu pencapaian besar dalam pembangunan ekonomi negeri turut diterjemahkan kepada kejayaan dalam arena sukan



Abang Johari menyaksikan Abdul Karim menyampaikan piala kepada juara keseluruhan temasya SUKSAR IV 2026 iaitu kontinjen Zon Utara. - Gambar UKAS

KUCHING: Sarawak mahu pencapaian besar dalam pembangunan ekonomi negeri turut diterjemahkan kepada kejayaan dalam arena sukan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, pencapaian seperti pengambilalihan Affin Bank dan pemilikan bangunan ikonik di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur, wajar menjadi inspirasi kepada atlet negeri untuk mencipta prestasi cemerlang di Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

“Anak-anak Sarawak kalau pergi ke SUKMA nanti dan melihat bangunan tinggi di TRX, itulah lambang kejayaan ekonomi Sarawak kerana kita telah mengambil alih sebuah bank.

“Maka dalam SUKMA pun, kita mahu jadi juara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Sukan Sarawak (SUKSAR) IV  2026 di Stadium Tertutup Kompleks Sri Aman hari ini.

Beliau menegaskan walaupun SUKMA tahun ini berlangsung di Selangor, semangat juang atlet negeri harus kekal tinggi.

“SUKMA sebelum ini, Sarawak telah muncul juara keseluruhan.

“Justeru, kita akan terus berjuang habis-habisan. Kalau di Sri Aman, Kilat Boy telah memberikan kejayaan tinju kepada Sarawak.

“Manakala dalam acara renang, jangan lawan atlet Sarawak kita iaitu Dato Pandelela Rinong,” katanya sambil menambah, atlet Sarawak turut mencatat prestasi membanggakan dalam acara lain termasuk boling, badminton perseorangan yang menunjukkan peningkatan ketara, khususnya dari Miri.

Beliau dalam pada itu memuji peningkatan prestasi pasukan bola sepak Kuching City FC yang mencatat kemenangan ke atas DPMM Brunei FC dan Negeri Sembilan FC.

“Ini menunjukkan bola sepak kita semakin meningkat. Tahniah kepada pasukan Kuching City. Tidak mustahil mereka melangkah ke suku akhir, seterusnya separuh akhir dan final.

“Bahkan, kalau jumpa kumpulan bola sepak Johor Darul Takzim pun, kita boleh lawan,” kata beliau.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-2-2026 11:36 AM | Show all posts
WSO iktiraf kecemerlangan Sarawak dalam penjagaan strok
Februari 8, 2026, Ahad - 8:55pm



Dr Sim (sebelas kiri) merakam gambar bersama penerima anugerah pada Malam Apresiasi HUS dan Pengiktirafan Kuching sebagai ‘Angels Region’.  

KUCHING: Kuching diiktiraf sebagai kawasan kedua di Malaysia yang menerima status ‘Angels Region’ daripada Pertubuhan Strok Sedunia (WSO), sekali gus mengangkat Sarawak ke peta dunia dalam kecemerlangan penjagaan strok (angin ahmar).

Pengiktirafan itu diumumkan sempena Malam Apresiasi Hospital Umum Sarawak (HUS) 2025 semalam yang turut mengiktiraf sumbangan luar biasa warga kesihatan negeri ini dalam meningkatkan mutu perkhidmatan perubatan walaupun berdepan pelbagai kekangan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, Kuching menjadi kawasan kedua di Malaysia menerima status ‘Angels Region’, selepas Taiping,manakala Pulau Pinang muncul sebagai kawasan ketiga.

Pencapaian ini katanya, menjadikan Malaysia antara dua negara di rantau Asia-Pasifik yang mempunyai tiga ‘Angels Region’, satu pengiktirafan yang amat signifikan di peringkat global.

"Status Angels Region diberikan di bawah inisiatif ‘100 Angels Regions’, iaitu strategi global di bawah ANGELS Initiative, sebuah program penambahbaikan penjagaan strok yang dilancarkan oleh Boehringer Ingelheim dengan kerjasama rakan strategik termasuk WSO dan Pertubuhan Strok Eropah (ESO).

"Inisiatif ini menyasarkan pembentukan sistem penjagaan strok yang terselaras dan berkualiti tinggi merangkumi kesedaran awam, respons kecemasan dan rawatan akut di hospital menjelang Disember 2027," katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya.

Tambah Dr Sim, Kuching layak menerima pengiktirafan tersebut hasil beberapa pencapaian utama, antaranya HUS dan Borneo Medical Centre Kuching yang masing-masing memperoleh Status Emas dalam WSO Angels Awards manakala PHCS Hospital Umum Sarawak pula meraih Status Berlian dalam EMS Angels Awards sebagai sebahagian daripada rangkaian perkhidmatan perubatan kecemasan wilayah.

Selain itu, usaha kesedaran strok di peringkat komuniti turut mencatat kejayaan apabila program FAST Heroes berjaya menjangkau 1,530 kanak-kanak, melebihi tiga kali ganda sasaran asal seramai 497 orang.

Program itu katanya, diterajui oleh Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Kuching dengan pelaksanaan di enam buah sekolah sekitar bandar raya ini.

Pada majlis sama, pelbagai anugerah turut disampaikan termasuk Anugerah Kualiti dan Kawalan Jangkitan, Anugerah Penghargaan dan Pengiktirafan Awam, Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Anugerah Khas sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan warga kerja kesihatan.
Majlis turut meraikan kakitangan yang bersara, dengan penghargaan diberikan atas khidmat bakti, pengorbanan dan dedikasi seumur hidup mereka dalam perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Sarawak.

HUS di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), merupakan sebuah hospital rujukan kuarterner, dengan kapasiti 1,020 katil, merangkumi 78 kepakaran dan subkepakaran klinikal serta disokong oleh kira-kira 4,600 warga kerja.

Hospital ini beroperasi dengan peruntukan belanjawan sekitar AS$820 juta, jauh lebih rendah berbanding hospital bersaiz hampir sama di luar negara.

Semakan sumber manusia oleh KKM pada tahun 2025 turut mendapati hospital dengan saiz setara di Semenanjung Malaysia lazimnya mempunyai sekitar 1,100 kakitangan tambahan, sekali gus menonjolkan cabaran besar yang dihadapi HUS dari segi tenaga kerja.

Namun, di sebalik beban kerja tinggi, kekurangan kakitangan dan kekangan dana, HUS tetap berjaya mencatat pencapaian luar biasa dengan meraih pelbagai pengiktirafan kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun 2025, hasil komitmen dan dedikasi tinggi doktor pakar serta jururawat yang terus berkhidmat demi rakyat Sarawak.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 9-2-2026 11:37 AM | Show all posts
Nancy sambut baik pelancaran laman web rasmi Persatuan Wanita India Sarawak
Februari 8, 2026, Ahad - 9:00pm



Nancy dikalung bunga sebagai simbolik alu-aluan sempena pelancaran web rasmi SIWA di Kuching hari ini.

KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri menyambut baik pelancaran laman web rasmi Persatuan Wanita India Sarawak (SIWA) yang disifatkan selari dengan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030.

Menurut Nancy, laman web itu secara tidak langsung akan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada wanita sekiranya dimanfaatkan secara strategik dan bertanggungjawab.

"Saya telah difahamkan bahawa inisiatif pendigitalan itu turut menekankan literasi digital, keusahawanan serta penglibatan lebih besar wanita khasnya kaum India di Sarawak dalam ekonomi moden," kata Nancy ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laman Web Rasmi SIWA di sebuah hotel di Kuching hari ini.

Tambahnya, pemerkasaan wanita bukan sekadar slogan, sebaliknya memerlukan tindakan berterusan melibatkan komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor awam dan swasta.

“Persatuan seperti SIWA memainkan peranan penting sebagai jambatan antara dasar nasional dan keperluan sebenar di peringkat akar umbi,” katanya.

Menurut beliau, SIWA telah banyak menyumbang dalam meningkatkan kebajikan, kemahiran dan keyakinan wanita India di Sarawak sejak lebih dua dekad lalu.

Beliau berkata, pelancaran laman web rasmi SIWA merupakan satu langkah penting dalam era digital, memandangkan kewujudan dalam talian yang sahih dan dipercayai kini menjadi keperluan asas bagi sesebuah organisasi.

“Laman web menjadi pusat untuk berkongsi maklumat yang tepat, melibatkan pihak berkepentingan serta melindungi orang awam daripada maklumat palsu dan penipuan.

“Apabila digunakan secara bertanggungjawab dan strategik, teknologi mampu membuka peluang baharu serta pasaran yang lebih luas untuk wanita,” katanya.

Beliau turut memuji usaha SIWA memperkukuh kredibiliti institusi melalui pendigitalan, termasuk mendokumentasikan sejarah, program, pencapaian serta kisah komuniti persatuan itu.

“Dengan lebih 20 tahun perkhidmatan, segala usaha dan sumbangan wajar diakses oleh semua...dan ketelusan ini membina kepercayaan, mengukuhkan kerjasama dan membuka ruang kepada kolaboratif yang lebih besar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata langkah SIWA meneroka harta intelek dan produk berasaskan pengetahuan mencerminkan pemikiran ke hadapan dalam memastikan kelestarian organisasi.

“Dalam keadaan kos yang semakin meningkat, kreativiti dan inovasi boleh menjadi sumber pendapatan mampan, justeru apabila organisasi lebih berdikari, mereka bukan sahaja menyokong diri sendiri, malah membantu kerajaan memperluas bantuan kepada kumpulan baharu,” katanya.

Hadir sama ialah Presiden SIWA Penghulu Paliani Samba Bilaidom@Lucy Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara Nordina Haron, Timbalan Pengarah (Persekutuan) Jabatan Kebajikan Sarawak Mohamad Ali Taib, Setiausaha Politik Menteri Mohammed Kamaluddin Mohd Effendi, Pengarah Komunikasi Digital Lembaga Pelancongan Sarawak Melvin Jong, wakil daripada Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak Wendy Trang serta sebahagian komuniti India di Kuching.

Dalam pada itu, orang ramai boleh mengunjungi laman web milik SIWA di pautan www.sarawakindianwomen.com.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-2-2026 11:38 AM | Show all posts
Pengerusi DAP Bintulu agih angpau Tahun Baharu Cina
Februari 8, 2026, Ahad - 9:20pm



Tony menyampaikan angpau kepada orang awam yang sedang menikmati sarapan pagi di sebuah kedai kopi di Bintulu, pagi hari ini.

BINTULU: Bagi menyemarakkan sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026, Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Bintulu Tony Chiew Chan Yew mengagihkan angpau kepada orang awam di beberapa buah kedai kopi sekitar bandar Bintulu hari ini.

Jelasnya, dalam tempoh lapan hari lagi, masyarakat Cina akan menyambut tahun baharu yang mana ia merupakan sambutan terpenting komuniti berkenaan setiap tahun.

"Pagi ini, saya bersama angggota parti singgah ke beberapa kedai kopi berhampiran bagi mengagihkan sampul berisi angpau serta menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baharu kepada orang awam yang sedang menikmati sarapan pagi," ujarnya.

Jelasnya, aroma kopi pagi yang disertai dengan ucapan Selamat Tahun Baharu sememangnya mewujudkan suasana yang begitu mesra dan menghangatkan hati yang mana ia benar-benar menghidupkan semangat perayaan itu sendiri.

Tony berkata pihaknya amat gembira  kerana mendengar bahawa ramai penduduk akan merayakan sambutan tahun baharu di Bintulu pada tahun ini.

"Sama ada mereka pulang ke kampung halaman selepas bekerja atau berniaga di sini, setiap keluarga yang memilih untuk meraikan perayaan bersama di sini menggambarkan bahawa suasana perayaan di bandar kita terasa lebih hangat dan bermakna dengan kehadiran semua, " ujarnya.

Bagi masyarakat Cina katanya, tahun baharu bukan sekadar satu perayaan semata-mata, namun ia merupakan peluang bagi seluruh keluarga untuk berkumpul serta makan bersama-sama sekali gus mengeratkan lagi silaturahim sesama mereka.

"Semoga kita semua akan dikurniakan dengan ketibaan tahun kuda yang penuh dengan kegembiraan serta keamanan," katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 9-2-2026 11:38 AM | Show all posts
Penduduk disaran lapor kemusnahan tanaman kepada pejabat daerah
Februari 8, 2026, Ahad - 9:23pm



Dr Rundi semasa berucap melancarkan program gotong-royong perdana di Sebauh.

BINTULU: Segala kerosakan prasarana/infrastruktur serta kemusnahan tanaman yang berlaku akibat banjir harus dilaporkan kepada pejabat daerah berdekatan bagi memastikan bantuan susulan dibuat kepada golongan terjejas, kata Menteri Industri Makanan Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Menurutnya, setiap kerosakan atau kemusnahan yang berlaku dalam kejadian banjir yang melanda bahagian ini khususnya daerah Sebauh harus dilaporkan segera ke pejabat daerah bagi membolehkan permohonan bantuan dijalankan.

"Bagi setiap petani kecil-kecilan serta sederhana besar yang tanaman mereka musnah akibat banjir, setiap aduan akan diambil kira bagi membolehkan bantuan disalurkan buat golongan terjejas,"  ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan acara Gotong-Royong Perdana yang diadakan bertempat di Daerah Sebauh pada Sabtu.

Dalam masa sama katanya, kerosakan dari segi fasiliti akibat banjir juga boleh dipertimbangkan untuk bantuan bag meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh setiap mangsa.

Dr Rundi turut mengingatkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab setiap ketua kaum bagi mengenal pasti akan penduduk yang memerlukan bantuan bagi membolehkan penduduk terjejas banjir menerima bantuan susulan.

"Setiap ketua kaum dalam masa sama harus proaktif bagi memastikan tiada seorang pun mangsa yang terjejas akibat banjir tercicir daripada menerima bantuan bagi memastikan semua kumpulan sasaran menerima bantuan sewajarnya," jelasnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-2-2026 11:39 AM | Show all posts
FCAKSS menghargai peranan media sebagai rakan strategik
Februari 8, 2026, Ahad - 9:37pm



Dr Sim (tengah duduk) bersama Wee (lima kanan, duduk) dan Chew (empat kiri, duduk) dikelilingi tetamu yang hadir dan pengamal media jemputan merakam kenangan bersama hari ini . - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian (FCAKSS) menghargai peranan media sebagai rakan strategik dalam menyebarluaskan maklumat, memperkukuh kefahaman masyarakat serta menjadi penghubung penting antara kerajaan dan komuniti.

Presidennya Dato Sri Richard Wee Liang Chiat berkata media memainkan peranan besar dalam membantu menyampaikan aktiviti, hasrat serta fungsi pertubuhan itu kepada masyarakat pelbagai lapisan membolehkan masyarakat memahami aspirasi dan peranan FCAKSS secara lebih menyeluruh.

“FCAKSS berhasrat untuk terus dikenali sebagai organisasi yang menjadi jambatan antara kerajaan dan komuniti agar suara dan rayuan serta cadangan masyarakat dapat disampaikan secara berkesan kepada pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Penghargaan Media 2026 anjuran FCAKSS di sebuah restoran di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, Wee turut merakamkan penghargaan kepada pihak media atas sokongan berterusan serta komitmen dalam menyebarkan maklumat dan dasar-dasar penting kepada masyarakat.

Menurutnya juga, FCAKSS akan terus menyokong usaha Kerajaan Sarawak dalam memperjuangkan hak-hak negeri termasuk berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak minyak dan gas yang menjadi milik Sarawak.

“Kita tidak meminta lebih, kita hanya menuntut apa yang sememangnya menjadi hak kita. FCAKSS berdiri teguh di belakang Kerajaan Sarawak dalam memperjuangkan perkara ini,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden FCAKSS Chew Kien Liang yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur menyatakan bahawa peranan media penting sebagai jambatan penting dalam masyarakat yang dahagakan maklumat.

Juga memainkan peranan besar dalam menyampaikan suara komuniti secara bertanggungjawab dan beretika, tegasnya.

Beliau tambahnya, menghargai jasa semua pengamal media yang sentiasa mengekalkan prinsip profesionalisme kebenaran dan tanggungjawab dalam menyampaikan berita serta mendokumentasikan perkembangan masyarakat.

“Majlis ini merupakan tanda penghargaan kecil daripada pihak penganjur, selain menjadi platform untuk berinteraksi, mengukuhkan hubungan serta mempereratkan kerjasama antara semua pihak,” ujarnya.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, barisan kepimpinan FCAKSS, wakil-wakil media serta tetamu kehormat lain.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-2-2026 11:40 AM | Show all posts
BCCI raikan kedatangan Tahun Kuda Emas, perkukuh semangat perpaduan
Februari 9, 2026, Isnin - 8:22am



Pang (tengah) merakamkan gambar bersama tetamu kehormat dan para hadirin.

BINTULU: Bagi menyambut kedatangan Tahun Kuda Emas, Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bintulu (BCCI) mengadakan Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina di sebuah restoran di sini, malam tadi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang, majlis tersebut merupakan simbolik kepada bermulanya musim bunga yang dimeriahkan dengan perjumpaan keluarga serta sanak saudara.

"Suasana majlis makan malam yang amat meriah ini jelas mencerminkan semangat perpaduan, kekuatan serta kerjasama dalam kalangan ahli BCCI dan masyarakat Cina di bahagian ini secara keseluruhannya," jelasnya.

Pang turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua penggiat perniagaan di bahagian ini dengan harapan agar mereka terus mencapai kejayaan dalam kerjaya, dikurniakan kesihatan berpanjangan, perniagaan yang makmur serta kesejahteraan seisi keluarga dengan segala urusan dipermudahkan.

Jelasnya, acara makan malam tersebut merupakan satu malam penuh kegembiraan kepada semua ahli dan keluarga yang hadir, khususnya komuniti perniagaan di sini.

"Saya berharap agar kita semua dikurniakan tahun baharu yang penuh kemakmuran, kesihatan yang baik, kebahagiaan serta rezeki yang melimpah ruah," katanya.

Justeru, katanya, majlis makan malam ini menjadi tanda kesefahaman serta memperkukuh perpaduan komuniti perniagaan di bahagian ini.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-2-2026 11:40 AM | Show all posts
250 keluarga memerlukan di DUN Tanjong Datu terima sumbangan PETRONAS sempena TBC
Februari 9, 2026, Isnin - 8:31am



Azizul bersama yang lain pada majlis perasmian Program PETRONAS Memacu Kehidupan di Lundu, pada Ahad. - Gambar UKAS

KUCHING: Seramai 250 keluarga daripada golongan memerlukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu menerima sumbangan bakul makanan sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) menerusi Program PETRONAS Memacu Kehidupan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan berkata, beliau berterima kasih kepada PETRONAS kerana memilih Tanjong Datu sebagai salah satu daripada 45 daerah di Sarawak yang terlibat dalam pelaksanaan program tersebut.

“Saya harap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan, termasuk sempena perayaan utama lain seperti Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak.

“Ia selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) yang menekankan prinsip pembangunan inklusif dan kebajikan menyeluruh,” katanya dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program PETRONAS Memacu Kehidupan di Dewan Masyarakat Daerah Lundu, pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada masyarakat meraikannya serta menasihatkan orang ramai yang pulang ke kampung halaman agar sentiasa mengutamakan keselamatan perjalanan.

Sebelum majlis utama berlangsung, Azizul bersama rombongan turut turun padang menyantuni beberapa penerima dengan menyampaikan sumbangan bakul makanan secara terus ke kediaman mereka.

Antara lokasi yang dikunjungi adalah Jalan Melintang Pekan Lundu dan Kampung Pulo Ayer, Lundu.

Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Perhubungan Negeri PETRONAS Anuar Ismail, Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail, Pengurus Kanan PETRONAS Sarawak Nor Azam Abg Zawawi, Pemanca Chin Kian Ming serta ketua-ketua kaum dan masyarakat Daerah Lundu.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-2-2026 11:42 AM | Show all posts
Penduduk Flat Sibu Jaya adakan upacara miring susulan tragedi lemas
Februari 9, 2026, Isnin - 8:52am

SIBU: Penduduk Flat Sibu Jaya mengadakan upacara miring pada Ahad susulan tragedi lemas di kolam kumbahan berhampiran kawasan perumahan itu yang meragut nyawa tiga kanak-kanak, baru-baru ini.

Upacara berkenaan turut disertai hampir kesemua pengerusi protem Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Flat Sibu Jaya, yang menzahirkan kebimbangan serius terhadap isu keselamatan di kawasan perumahan tersebut yang sangat padat dengan penduduk.

Penduduk berpandangan bahawa tahap kepadatan tinggi di kawasan flat berkenaan menuntut pendekatan keselamatan yang lebih ketat, sistematik dan menyeluruh berbanding kawasan perumahan biasa.



Penduduk Flat Sibu Jaya mengadakan upacara miring susulan tragedi lemas yang meragut nyawa tiga kanak-kanak.

Pengerusi Protem JKKK Blok N Lorita Sawang berkata, tragedi tersebut telah mendedahkan kelemahan ketara dalam pengurusan keselamatan persekitaran kawasan flat, khususnya di lokasi berisiko yang terletak berhampiran kawasan kediaman padat.

“Tragedi ini menunjukkan bahawa aspek keselamatan di kawasan berisiko tidak boleh dipandang ringan, terutama apabila ia terletak terlalu hampir dengan kawasan kediaman yang dihuni ramai penduduk,” katanya.

Menurutnya, infrastruktur keselamatan seperti pagar di sekitar kolam kumbahan didapati tidak lagi berfungsi dengan berkesan, sekali gus meningkatkan risiko kepada penduduk, khususnya kanak-kanak.

“Di kawasan padat seperti ini, kegagalan fungsi pagar atau sistem keselamatan lain bukan isu kecil kerana ia melibatkan keselamatan ratusan penduduk, termasuk kanak-kanak,” tegasnya.



Penduduk mendakwa penghadang yang dipasang baru-baru ini, masih boleh diakses.

Pandangan itu disokong Ketua Flat Blok A Osman Abdullah yang berkata, kepadatan penduduk yang tinggi menjadikan keperluan kawalan keselamatan lebih kritikal dan tidak boleh bersifat minimum.

“Kawasan flat yang padat memerlukan tahap keselamatan lebih tinggi berbanding kawasan perumahan biasa kerana sebarang risiko akan memberi kesan kepada ramai orang dalam satu masa,” katanya.

Menurut beliau, risiko keselamatan turut meningkat susulan pembangunan projek-projek baharu di sekitar kawasan tersebut yang mengubah landskap persekitaran dan menambah pendedahan kepada kawasan berbahaya.

“Apabila pembangunan baharu berlaku di sekeliling kawasan flat, penilaian risiko keselamatan perlu dibuat secara berkala dan bukan selepas tragedi berlaku,” ujarnya.



Sebilangan penduduk Flat Sibu Jaya bergambar berlatarbelakangkan papan tanda amaran yang baharu dipasang susulan kejadian lemas.

Sementara itu, Ketua Flat Blok H Muhammad Hazim Abdullah mencadangkan supaya tembok konkrit setinggi kira-kira enam kaki dibina sepenuhnya di sekeliling kawasan berisiko sebagai langkah perlindungan fizikal yang lebih berkesan.

“Langkah fizikal seperti tembok konkrit yang kukuh perlu dilaksanakan kerana ia lebih sesuai dengan realiti kepadatan penduduk dan pergerakan kanak-kanak di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, langkah keselamatan tersebut perlu dijadikan sebahagian daripada pelan keselamatan jangka panjang dan bukan sekadar tindak balas sementara terhadap insiden tragis.

Dalam pada itu, penduduk turut menggesa supaya kawasan rekreasi di kawasan kediaman flat dibersihkan dan disenggara secara lebih sistematik agar kanak-kanak mempunyai ruang bermain yang selamat dalam kawasan perumahan.

“Apabila kawasan rekreasi tidak diselenggara dan dipenuhi struktur haram, kanak-kanak akan mencari tempat lain untuk bermain, termasuk kawasan yang berbahaya,” menurut seorang wakil penduduk.

Mereka juga menuntut supaya semua struktur haram di sekitar kawasan flat dirobohkan bagi mengelakkan kanak-kanak bermain di luar kawasan kediaman yang berisiko tinggi.

Penduduk menegaskan bahawa jaminan keselamatan di kawasan perumahan berpenduduk padat mesti diterjemahkan melalui dasar yang jelas, penguatkuasaan konsisten serta pemantauan berterusan.

“Kami tidak mahu jaminan secara lisan semata-mata. Keselamatan perlu dilaksanakan melalui tindakan nyata dan pemantauan berterusan,” tegas mereka.

Mereka berharap pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan segera dan menyeluruh demi memastikan keselamatan komuniti Flat Sibu Jaya sejajar dengan standard keselamatan kawasan perumahan padat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-2-2026 11:43 AM | Show all posts
Keselamatan IPD Sibu dipertingkat dengan pemasangan 55 lampu solar
Februari 9, 2026, Isnin - 9:23am



Tiong (kanan) merasmikan projek lampu solar di IPD Sibu yang telah siap sepenuhnya, sambil disaksikan oleh Zulkipli (tengah) dan yang lain.

SIBU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM110,000 bagi meningkatkan tahap pencahayaan dan keselamatan di sekitar kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu melalui pemasangan 55 batang lampu solar.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, pihaknya akan terus memastikan aspek keselamatan terus diberi keutamaan dalam semua komponen berkaitan.

Katanya, pencahayaan merupakan elemen yang amat penting dalam menjamin keselamatan.

“Walaupun terdapat pasukan penguatkuasaan, kita juga perlu mengambil langkah menjaga keselamatan diri.

“Jangan sampai anggota polis yang ditugaskan mengawal keselamatan terpaksa berdepan dengan risiko dan terdedah kepada bahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan projek di bawah dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong itu yang telah siap pada Ahad.

Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong turut memuji usaha Kelab Polis IPD Sibu yang memasang sendiri lampu solar berkenaan secara bergotong-royong.



Tiong (tengah) melihat lampu solar yang telah siap dipasang sambil mendengar penerangan daripada Zulkipli (kiri).

Beliau berkata, semangat kerjasama ini membuktikan keupayaan masyarakat setempat melaksanakan projek dengan lebih cekap dan menjimatkan kos berbanding melalui proses tender.

“Walaupun kita mahu menjaga kepentingan kontraktor kelas F atau kandungan tertentu, namun sekiranya rakyat mampu melaksanakan projek tersebut, maka peluang wajar diberikan,” ujarnya.

Beliau menambah, walaupun IPD Sibu bukan berada dalam kawasan jagaannya, namun beliau tidak menolak untuk menghulurkan bantuan memandangkan pihak polis memainkan peranan yang amat penting dalam menjaga keselamatan orang awam di seluruh kawasan Sibu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili merakam penghargaan kepada Tiong kepada Tiong serta Kerajaan Sarawak atas penyaluran peruntukan RTP yang membolehkan projek berkenaan disiapkan sepenuhnya.

“Saya juga dimaklumkan bahawa Yang Berhormat (Tiong) bersetuju untuk memperuntukkan RM100,000 lagi bagi tujuan yang sama.

“Pemasangan lampu solar ini memberikan manfaat besar dari segi keselamatan dan keselesaan, khususnya di kawasan IPD,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-2-2026 11:44 AM | Show all posts
Peniaga makanan diseru buat pelarasan harga secara berhemah, fokus kelangsungan perniagaan
Februari 9, 2026, Isnin - 9:32am



Ting (dua kiri) menerima cenderamata daripada Lee selepas menyempurnakan Majlis Penutupan The Big Deal Expo 2026 di Sibu, malam tadi.

SIBU: Para peniaga khususnya dalam sektor makanan diseru supaya menilai struktur kos secara menyeluruh dan bertindak secara rasional apabila berlaku turun naik kecil harga bahan mentah tanpa terburu-buru menaikkan harga jualan secara menyeluruh.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing berkata, kenaikan kecil harga bahan tertentu seperti gula tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menaikkan harga makanan secara keseluruhan, sebaliknya peniaga perlu berusaha mengekalkan harga demi kelangsungan jangka panjang perniagaan serta kepentingan pengguna.

"Perniagaan yang berjaya ialah perniagaan yang menitikberatkan reputasi dan kelangsungan jangka panjang.

"Pelarasan harga perlu dibuat secara berhemah kerana apabila kos menurun, harga jualan lazimnya sukar untuk disesuaikan dengan segera," katanya semasa berucap menyempurnakan Majlis Penutupan The Big Deal Expo 2026 di Stadium Tertutup Sibu, malam tadi.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Joshua Ting yang mewakilinya menyempurnakan majlis tersebut.

Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong turut menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi tidak bermula daripada projek berskala besar semata-mata, sebaliknya dipacu oleh aktiviti komuniti serta peniaga kecil dan sederhana (PKS).

Apabila perniagaan komuniti berkembang, katanya, perbelanjaan akan kekal dalam kawasan setempat dan seterusnya merangsang peluang ekonomi tempatan.



Ting (tiga kanan) bersama Lee (tiga kiri) merakamkan kenangan bersama komuniti perniagaan yang mengambil bahagian dalam The Big Deal Expo 2026 di Sibu, malam tadi.

"Dalam pada itu, para peniaga disaran mengamalkan prinsip keuntungan kecil dengan jualan tinggi, menawarkan harga berpatutan serta mengekalkan kualiti dan konsistensi produk bagi membina kepercayaan pelanggan," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bintulu.

Menurutnya, The Big Deal Expo 2026 menghimpunkan lebih 70 peniaga merangkumi jenama terkenal serta usahawan tempatan, sekali gus menjadi platform penting untuk pendedahan jenama, jaringan perniagaan dan interaksi langsung dengan pengguna.

Tiong turut menggalakkan peniaga agar terus berinovasi, mengamalkan profesionalisme dan menjadikan integriti sebagai teras perniagaan, khususnya dalam mendepani cabaran kos operasi yang meningkat serta persaingan pasaran yang semakin sengit.

"Hanya dengan keyakinan terhadap produk dan perkhidmatan sendiri, barulah keyakinan dapat dizahirkan kepada pelanggan, sekali gus membina kepercayaan masyarakat dan reputasi yang baik secara berperingkat.

"Dengan langkah yang mantap dan konsisten, saya yakin perniagaan akan terus berkembang dan berdaya tahan," ujarnya.

Tiong menyifatkan ekspo berkenaan bukan sekadar acara jualan jangka pendek, sebaliknya berkembang sebagai platform berterusan untuk memupuk jenama tempatan dan merancakkan ekonomi komuniti di Sibu.

"Saya berharap acara ini bukan sekadar sebuah pameran jualan jangka pendek, tetapi dapat berkembang menjadi platform jangka panjang bagi memupuk jenama tempatan, menggalakkan pertukaran idea dalam kalangan peniaga serta merancakkan ekonomi komuniti.

"Dengan penyertaan dan sokongan berterusan daripada semua pihak, ia pasti memberi impak positif yang berpanjangan kepada pembangunan perniagaan di Sibu," tambahnya.

Hadir sama, Pengarah The Big Deal Expo 2026 Wesley Lee serta tetamu jemputan yang lain.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-2-2026 11:45 AM | Show all posts
ADUN Ngemah dilantik Penasihat PVTLDM Sarawak
Februari 9, 2026, Isnin - 9:40am



Anyi (dua kiri) menerima baju korporat persatuan daripada Unyok (dua kanan) sebagai simbolik atas pelantikannya sebagai penasihat PVTLDM Sarawak di Sibu.

SIBU: Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Sarawak telah sebulat suara melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana sebagai penasihat persatuan tersebut.

Pelantikan itu mencerminkan penghargaan serta sokongan penuh persatuan terhadap kepimpinan dan komitmen beliau dalam memperkukuh peranan serta hala tuju persatuan di peringkat negeri.

Majlis pelantikan Anyi diadakan bersempena dengan sesi perjumpaan dan jamuan bersama ADUN Ngemah itu di sebuah kafe di Jalan Kampung Nyabor di sini, baru-baru ini.

Perjumpaan tersebut dianjurkan oleh PVTLDM Sarawak sebagai platform untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama antara kepimpinan persatuan dengan wakil rakyat.

Majlis itu bukan sahaja bertujuan memperkukuh hubungan antara kepimpinan persatuan dan wakil rakyat, malah menjadi medium penyatuan dalam usaha memperkasakan peranan persatuan dalam pembangunan komuniti di Sarawak.

Pengerusi PVTLDM Sarawak PW I (B) Unyok Dasi berkata, pelantikan tersebut merupakan satu penghormatan besar kepada persatuan.

Menurutnya, sokongan dan bimbingan daripada Anyi diyakini mampu menjadi pemangkin dalam memperkukuh organisasi serta membantu merealisasikan visi dan misi PVTLDM Sarawak pada masa hadapan.

Dalam pada itu, dalam ucapan balasnya, Anyi menyatakan rasa gembira serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan yang diberikan melalui pelantikan tersebut.

Beliau turut menyuarakan harapan agar PVTLDM Sarawak terus memperkukuh kerjasama, semangat perpaduan dan komitmen dalam kalangan ahli demi mencapai matlamat yang lebih besar untuk kebaikan persatuan pada masa akan datang.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 9-2-2026 11:46 AM | Show all posts
TM Cawangan Sepupok Niah dan Cawangan Bintulu jayakan AGM ke-2
Februari 9, 2026, Isnin - 9:45am



Ahli-ahli TM Cawangan Sepupok Niah merakamkan kenangan bersama selepas bermesyuarat di Batu Niah pada Sabtu lalu.

SIBU: Persatuan Kebajikan Tunjang Masyarakat Sarawak, atau lebih dikenali sebagai Persatuan Kebajikan Terabai Menua (TM) Cawangan Sepupok Niah, telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-2 pada Sabtu lalu bertempat di Balai Raya Rumah Andrew Abak, Batu Niah.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Nicol Stendy dan dihadiri oleh seramai 42 orang ahli yang terdiri daripada ahli jawatankuasa serta ahli biasa persatuan.

Mesyuarat ini diadakan bertujuan untuk membentangkan laporan tahunan, laporan kewangan, serta membincangkan hal ehwal berkaitan pengurusan dan kebajikan ahli persatuan.

Selain itu, mesyuarat turut menjadi platform bagi ahli-ahli untuk menyuarakan pandangan, cadangan serta idea baharu demi memperkukuhkan peranan persatuan dalam membantu golongan terabai menua di kawasan Sepupok Niah.

Beberapa cadangan berkaitan perancangan aktiviti kebajikan dan program kemasyarakatan bagi tahun semasa turut dibincangkan secara terbuka dan konstruktif.

AGM itu berlangsung dalam suasana yang harmoni dan teratur, mencerminkan semangat kerjasama serta komitmen tinggi dalam kalangan ahli terhadap usaha memperkasakan persatuan.

Pihak persatuan berharap agar segala perancangan yang telah dibincangkan dapat dilaksanakan dengan jayanya demi manfaat bersama.



Ahli-ahli TM Cawangan Bintulu merakamkan kenangan selepas bermesyuarat pada Sabtu lalu.

Sementara itu, TM Cawangan Bintulu juga telah berjaya mengadakan AGM ke-2 pada Sabtu lalu.

Mesyuarat ini diadakan bagi membincangkan hal ehwal persatuan serta memperkukuhkan peranan persatuan dalam usaha kebajikan kepada masyarakat.

Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Royston Lungi selaku wakil daripada ibu pejabat persatuan, dan dihadiri oleh seramai 20 orang ahli.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk pembentangan laporan aktiviti persatuan, laporan kewangan,perbincangan perancangan program kebajikan, serta hala tuju dan penambahbaikan pengurusan persatuan bagi tahun mendatang.

"Terima kasih kepada semua ahli yang hadir dan terus memberikan komitmen berterusan terhadap persatuan," kata persatuan.

Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-2 ini telah berlangsung dengan lancar dan teratur, sekali gus mencerminkan kesungguhan ahli-ahli persatuan dalam memperjuangkan kebajikan golongan terabai di daerah Bintulu.

Pihak persatuan berharap agar segala keputusan dan perancangan yang telah dipersetujui dapat dilaksanakan dengan jayanya demi manfaat masyarakat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-2-2026 11:48 AM | Show all posts
Wanita pukul anak angkat guna hos ditahan di Saratok
Februari 9, 2026, Isnin - 10:18am



SARATOK: Seorang wanita ditahan kerana dipercayai memukul anak angkatnya, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, menggunakan hos air.

Menurut Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie (gambar), wanita berusia 47 tahun itu ditahan di Jalan Bunga Raya, di sini.

Pihak polis turut merampas hos yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa sebagai bahan bukti.

Berdasarkan siasatan awal katanya, mangsa dipercayai dipukul oleh ibu angkatnya hanya kerana bertanya apa yang perlu dibawa untuk pergi ke pusat tuisyen.

“Suspek menjawab dengan nada yang marah-marah kerana mangsa tidak tahu apa perlu dibawa dan suspek pergi ke dapur mengambil hos warna kuning lalu datang ke arah mangsa dan memukul di bahagian belakang badan mangsa.

“Selepas itu suspek turut menampar di kedua-dua bahagian pipi mangsa dan mangsa yang kesakitan telah menjerit dan menangis,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut Mathew, jiran yang juga merupakan guru telah terdengar mangsa menjerit dan menangis setelah dipukul dan ditampar oleh suspek.

Ekoran kejadian itu katanya, guru telah memanggil mangsa ke pejabat pada keesokan harinya untuk membuat pemeriksaan dan mendapati terdapat kesan lebam pada muka serta belakang badan mangsa.

“Dalam masa yang sama, mangsa mengaku sering dipukul oleh suspek sejak setahun yang lalu.

“Risau akan keselamatan mangsa dan guru terbabit telah bertindak membuat laporan polis dan berdasarkan laporan tersebut, mangsa terus dibawa ke Hospital Saratok bagi tujuan rawatan dan pemeriksaan doktor," katanya lagi.



Hos yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa telah dirampas dan dijadikan bahan bukti. - Gambar IPD Saratok

Mathew berkata, hasil pemeriksaan awal, pihak perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada belakang dan muka (soft tissue injury over back and face) dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut.

Berikutan itu, katanya, ibu angkat mangsa telah ditahan reman selama empat hari mulai Sabtu lepas dan hasil siasat awal mendapati suspek mengaku melakukan kejadian tersebut.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Dalam kes ini, suspek merupakan ibu angkat kepada mangsa dan menjadi penjaga yang sah.

“Sementara itu, bapa kandung mangsa telah meninggal dunia pada tahun 2019 dan ibu kandung mangsa telah berkahwin baru pada tahun 2022, manakala mangsa telah dijaga oleh suspek sejak dari kecil lagi ketika mangsa berumur 3 tahun,” ujar Mathew lagi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-2-2026 11:49 AM | Show all posts
Lelaki disyaki terlibat kes curi ditahan di Miri
Februari 9, 2026, Isnin - 10:34am

MIRI: Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kecurian melibatkan sebuah mesin pemotong besi dan satu set pistol rivet berjaya diberkas polis pada pagi Ahad.

Tangkapan ke atas suspek dilakukan berikutan satu laporan polis yang diterima berhubung kehilangan barangan tersebut dari sebuah rumah di kawasan Kampung Pujut Padang Kerbau di sini.

Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Pusat Miri diketuai Ketua Polis Balai Pusat ASP Goldy Jangan telah melakukan serbuan ke sebuah rumah di kawasan sama.

Dalam serbuan jam 11 pagi itu, polis telah menangkap suspek kerana disyaki terlibat dalam kes ini dan merampas pakaian yang dipakainya semasa melakukan jenayah tersebut, satu unit mesin pemotong besi dan satu set pisau rivet dipercayai barang curi untuk dijadikan barang kes.

Berikutan itu, suspek bersama barang kes kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-2-2026 11:52 AM | Show all posts
Sedekad harapan, SOSHF bertemu semula dengan bekas pesakit
Februari 9, 2026, Isnin - 11:37am



KENANGAN: Eva (berdiri, tengah belakang) merakamkan gambar kenangan bersama keluarga Eidy.

KOTA KINABALU: Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah (SOSHF) berasa amat terharu dan gembira apabila dapat bertemu semula dengan Eidy, seorang bekas pesakit  yang berjaya menjalani pembedahan jantung pada usia tiga tahun pada 2014.

Presiden SOSHF, Datuk Eva Susau berkata, Eidy telah ditaja untuk menjalani pembedahan itu secara percuma di Severance Cardiovascular Hospital, Korea Selatan.

Katanya, usaha itu turut mendapat kerjasama antara Lions Club of Kota Kinabalu Host.

Eva berkata, dengan bantuan SOSHF, Eidy pada hari ini berusia 15 tahun merupakan seorang remaja yang sihat dan aktif.

"Dia sedang menuntut di tingkatan tiga...Ini membuktikan pendedahan awal kepada rawatan awal penting untuk penjagaan secara berterusan," katanya.

Pertemuan itu bertempat di Hospital Queen Elizabeth II (QEH II), selepas ibu Eidy menghubungi Eva ketika keluarga mereka dalam perjalanan dari Labuan.

Mereka membawa Eidy ke Kota Kinabalu untuk menjalani imbasan CT berjadual sebagai sebahagian daripada pemeriksaan susulan rutin perubatannya.

Eidy yang hadir bersama ibu bapa dan adik-adiknya berasa gembira dapat bertemu semula dengan Eva serta pasukan SOSHF.

Kini sebagai seorang remaja penuh bertenaga, dia aktif dalam sukan bola tampar, satu bukti kegembiraan terhadap kesihatan yang telah dipulihkan.

Seorang lagi pesakit muda, Al Daffi Siri, turut menerima manfaat daripada tajaan yang sama.

“Melihat Eidy sihat, aktif dan penuh keceriaan selepas 10 tahun adalah antara ganjaran terbesar dalam misi kami.

"Saat-saat seperti ini mengingatkan kami mengapa kami perlu terus berusaha agar setiap anak yang diamanahkan kepada kami dapat membesar dan meneruskan kehidupan," katanya.

Sejak ditubuhkan pada 1981, SOSHF telah membantu 735 pesakit jantung, sekali gus membolehkan kanak-kanak dari Sabah menerima rawatan jantung sama ada di dalam negara atau luar negara.

Orang ramai yang ingin menyokong misi SOSHF boleh memberikan sumbangan kepada Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah (SOSHF)  menerusi akaun Maybank (5101-4311-2262).


Sumber : Utusa Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-2-2026 08:57 PM GMT+8 , Processed in 0.582819 second(s), 29 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list