‘Ayah bersusah payah kumpul wang haji, tak sangka digunakan untuk maksiat’
SUNGAI PETANI – Anak sulung Sabari Baharom, 62, tidak menyangka suspek tergamak mencuri wang simpanan bapanya untuk berjudi sedangkan Sabari bersusah payah menyimpan wang itu untuk menunaikan ibadah haji. Suraiya Izzaty, 29, berkata, dia amat terkilan kerana bapanya menjadi mangsa kekejaman manusia yang tidak bermoral sehingga sanggup membunuh orang yang tidak bersalah semata-mata untuk menutup perbuatan jenayah yang dilakukannya.
“Ayah bersusah payah bekerja, kumpul wang untuk tunai haji, namun saya tidak sangka ada manusia sanggup bertindak sekejam itu dan menggunakan wang tersebut ke arah maksiat. “Jumlah sebenar wang simpanan itu saya tak pasti, tapi ada dalam berbelas ribu juga. Kami juga belum tahu berapa jumlah wang yang hilang kerana semua rekod transaksi dan pengeluaran wang masih dalam siasatan polis,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Kosmo! melaporkan, kontraktor yang disyaki menyamun sebelum mencampakkan Sabari ke Sungai Padang Terap, di Kubang Pasu dikatakan menggunakan wang RM16,000 milik pesara Felcra itu untuk berjudi. Sementara itu, ujar Suraiya, meskipun jasad bapanya belum ditemui, namun dia reda dan akan terus berdoa agar ditemui segera.
“Kami reda dengan kententuan Allah bahawa kemungkinan besar ayah memang sudah tiada lagi melainkan jika ada keajaiban lain namun hanya Allah sahaja yang tahu,” ujarnya. Suraiya berkata, setakat ini pihak keluarga masih meneruskan ikhtiar dengan melakukan solat hajat dan majlis bacaan yasin supaya jasad Sabari dapat ditemui. Katanya, pihak berkuasa juga menasihatkan pihak keluarga untuk merujuk kaedah pengurusan jenazah yang hilang dengan pejabat agama Islam terlebih dahulu supaya ianya dapat dilaksanakan. Terdahulu, operasi pencarian di Sungai Padang Terap yang dijalankan selama tiga hari bermula Isnin lalu telah ditamatkan kelmarin selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tidak menemukan sebarang petunjuk. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/10/04/ayah-bersusah-payah-kumpul-wang-haji-tak-sangka-digunakan-untuk-maksiat/
|