Wooi Yik kembali pulih, fokus buru mata ke Hangzhou

KUALA LUMPUR: Peluang untuk menempah tiket beraksi di Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2024 yang dijadual Disember depan kembali terbuka buat pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Ini berikutan kecederaan dihadapi oleh Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 disahkan sudah pulih sepenuhnya. Perkembangan positif itu diumumkan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky ketika ditemui selepas sesi latihan, hari ini. "Ketika ini, Wooi Yik sudah pun menjalani latihan secara normal dan kini apa yang kita lakukan adalah untuk menetapkan fokusnya sahaja," kata Rexy.
"Apa yang dibuat ketika ini adalah untuk memastikan dia bersedia dan mengembalikan tahap kecergasannya sebelum menyertai kejohanan." Seperti diketahui, Wooi Yik mengalami kecederaan retak tulang ibu jari kaki kanan ketika beraksi di separuh akhir Olimpik Paris 2024. Susulan itu, dia dan Aaron terpaksa melupakan beberapa kejohanan utama termasuk yang berstatus Super 1000 Terbuka China, minggu lalu. Mengulas lanjut, Rexy berkata, anak buahnya itu masih berpeluang layak untuk beraksi di kejohanan berstatus Grand Slam berkenaan sekiranya mampu mencapai meraih salah satu kemenangan dalam kejohanan berstatus Super 500 selepas ini antaranya di Terbuka Artic yang dijadual bulan depan. Begitupun katanya, gandingan itu berkemungkinan akan menjadikan Korea Masters pada bulan depan sebagai medan untuk membuat kepulangan semula.
Berdasarkan kedudukan semasa ranking Jelajah Dunia, Aaron-Wooi Yik begitupun perlu bekerja keras untuk layak beraksi di Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2024 yang dijadual berlangsung di Hangzhou, China itu. Ini kerana pasangan itu ketika ini berada di ranking ke-15 selepas mengumpul 46,440 mata.
Sebagai info, hanya lapan pasangan terbaik ranking Jelajah Dunia layak untuk beraksi di Jelajah Dunia Akhir dengan maksimum dua pasangan dari satu negara yang sama. Tetapi apa yang menarik, Malaysia ketika ini sudah memiliki tiga pemain gandingan yang mengisi kedudukan lapan terbaik iaitu pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di ranking kelima (67,760 mata); Man Wei Chong-Tee Kai Wun di ranking ketujuh (60,700 mata) dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri di ranking kelapan (57,900 mata).
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2024/09/1302458/wooi-yik-kembali-pulih-fokus-buru-mata-ke-hangzhou
|