|
|
Shahir tidak pernah lari
Oleh MOHD. HAIKAL ISA
Foto JEFRI IRAN
KEMBALI AKTIF - Shahir teruja kembali meneruskan kecintaan terhadap karier seni dan bakal muncul dengan single terbaharu tidak lama lagi.
Satu fakta menarik yang nyata terjadi pada sesi fotografi bersama sang juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Shahir di Studio Utusan baru-baru ini adalah ia berjalan dengan cukup lancar. Sesi fotografi dan wawancara selesai hanya dalam masa kira-kira 30 minit.
Sebaik sahaja tiba pada waktu yang dijanjikan, Shahir atau nama sebenarnya, Ahmad Shahir Zawawi, 29, tidak berlengah.
Dia terus menyarung kemeja-T berserta beberapa helaian jaket tajaan butik Nerd Unit. Usai gambarnya dibidik, pelantun lagu Kebahagian Dalam Perpisahan itu dengan tenang menjawab satu per satu soalan yang diajukan ke mukanya.
Ditanya mengenai kemunculan semulanya dalam industri, dengan nada cukup merendah diri, Shahir bercerita bahawa dia berasa amat terharu kerana masih ramai peminat menghargai bakat seninya, sekali gus membakar semangatnya untuk terus bergelar anak seni.
“Sebenarnya, saya memang tidak menyangka masih ada orang yang mengingati saya. Masya-Allah, siapa sangka hati saya dibukakan untuk terus melangkah dalam bidang ini. Terima kasih kepada sekumpulan peminat yang mengajak saya untuk berbuka puasa bersama sebelum ini.
“Sebelum ini, memang saya bercuti daripada bidang muzik kerana memberikan fokus 100 peratus kepada perniagaan kelapa sawit di Perak. Sekarang, perniagaan tersebut sudah stabil dan saya tidak risau untuk ia diuruskan orang lain,” kata Shahir.
Tidak lari
Meneruskan bicara, Shahir turut menafikan dakwaan bahawa dia ingin terjun semula dalam bidang nyanyian kerana mempunyai masalah kewangan berkaitan perniagaan yang diusahakannya itu.
“Bukan begitu. Memang sudah lama saya ingin kembali menyanyi, namun masa tidak mengizinkan. Tiga tahun saya menyepi dan kadang-kadang saya muncul dalam mana-mana acara.
“Kalau ada teman-teman yang menjemput saya menghadiri sesuatu acara, saya cuba memenuhi jemputan tersebut. Itu yang membuatkan khalayak fikir saya main-main untuk buat comeback, walhal ketika itu saya tidak pun bercadang untuk kembali aktif,” ujarnya.
Tambah Shahir lagi, kini dia sudah bersedia dan merupakan waktu yang tepat untuk melampiaskan rindu dalam bidang seni, khususnya nyanyian. Oleh itu, dia bakal melancarkan sebuah single baharu yang merupakan hasil ciptaan sendiri sepenuhnya.
“Saya tidak pernah lari daripada media atau orang ramai. Barangkali apabila dicari, saya sedang sibuk dengan urusan perniagaan dan pada waktu itu, saya memang akui sedang cuti panjang.
“Jadi sekarang, kalau tiada aral melintang saya ingin berkongsi sebuah lagu ciptaan sendiri dengan peminat.
Tiga tahun saya ‘peram’ lagu ini dan harap-harap dapat dikongsikan bersama peminat dalam masa terdekat,” cerita Shahir yang menunggu waktu sesuai untuk melancarkan single tersebut.
Muzik dan pertandingan
Dalam pada itu, Shahir sempat meluahkan buah fikirannya tentang trend muzik masa kini, medium dan gaya selebriti berkomunikasi bersama peminat.
“Dahulu dengan sekarang sangat berbeza. Saya jenis yang penyegan dan tidak pandai untuk berkongsi terutama hal peribadi dengan orang ramai. Sekarang zaman media sosial, semua selebriti berhubung dengan peminat melalui medium seperti Instagram. Jadi, saya cuba untuk melazimkan diri dengan hal sama memandangkan kini sudah kembali menyanyi.
“Kalau bercakap tentang trend muzik, ramai yang kata lagu-lagu sekarang kembali ke arah rentak 1980-an atau 1990-an. Single pertama saya dahulu pun, (Kebahagiaan Dalam Perpisahan) ada unsur tersebut, namun dimodenkan bersesuaian dengan kehendak muzik pada waktu itu.
“Jadi, saya tidak mempunyai masalah dengan trend muzik sekarang, asalkan ia membawa kebaikan untuk industri muzik tanah air,” tutur Shahir.
Ditanya mengenai perkembangan seni terbaharu, Shahir mendedahkan, dalam kesibukan mengatur langkah sebagai penyanyi, rezeki dan peluang berlakon pula datang menyergah.
“Saya sempat berlakon dalam drama My Darling Inspektor Daniel yang bakal ditayangkan pada Ogos depan. Walaupun hanya membuat kemunculan istimewa, seronok juga dapat berlakon dan berada di lokasi penggambaran,” katanya.
Dalam rancak berbicara, Shahir memaklumkan kepada Kosmo! bahawa dia bakal terlibat dengan sebuah program realiti pertandingan popular yang pernah membawa dirinya ke puncak populariti suatu ketika dahulu, namun dalam versi berlainan iaitu Akademi Fantasia Mega Star (AFMegaStar).
“Saya tidak mempunyai masalah untuk bersaing dengan rakan-rakan artis atau bekas-bekas juara AF. Saya berasa sangat teruja kerana dapat berkumpul dengan kawan-kawan. Menang kalah, belakang cerita.
“Saya fikir, program tersebut merupakan medium terbaik untuk kembali sebagai penyanyi. Tiga tahun saya senyap pasti ramai yang sudah lupa siapa Shahir dan terlalu ramai penyanyi lahir daripada AF,” ujarnya.
Cinta
Tidak lengkap andainya bertemu empat mata dengan Shahir dan berpeluang mewawancara dirinya, namun tidak bertanyakan hal-hal peribadi. Persoalan kisah cintanya dengan Primadona Filem Melayu, Erra Fazira menyusul masuk dalam perbualan.
Tetap berhati-hati menuturkan kisah dalam relung jiwa, Shahir berkata, dia dan Erra masih berhubung seperti biasa, namun jika ditebak persoalan mengenai jodoh atau perkahwinan, dia memulangkan segalanya kepada takdir.
“Sebenarnya saya jenis pemalu, bukan tidak mahu berkongsi lanjut tenang hal itu (cinta). Beginilah, kalau sudah sampai waktunya dan ada perkembangan, kami akan berkongsi lanjut.
“Lagipun, saya dengan Erra sibuk dengan kerjaya seni. Kalau ada waktu yang terluang, saya dan dia akan bertemu, cuma buat masa sekarang kami hanya jalani hidup seperti biasa,” katanya seraya melemparkan senyuman.
Ditanya tentang keseriusan hubungan cintanya dengan Erra, begini jawab Shahir: “Kami masih berada di landasan yang sama. Ada juga berbincang untuk ke arah seterusnya (perkahwinan), namun biarlah nanti apabila sampai waktunya, kami sendiri akan memaklumkannya.
“Insya-Allah, dia sudah bertemu dengan keluarga saya dan saya juga rapat dengan anaknya, Engku Aleesya. Saya tidak mempunyai masalah untuk menggalas tanggungjawab sebagai ‘bapa’ kepada Aleesya. Insya-Allah, doakan yang baik-baik.”
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/co ... 1.htm#ixzz4nOJeryq3
Hakcipta terpelihara |
|