Edited by Ipo at 19-2-2015 10:14 PM
BAB 5
HANI meneliti maklumat yang diperolehi dulu. Kes pembunuhan bersiri berlaku lagi setelah sebulan lebih dari kes pertama dulu. Kes pembunuhan Joe dan Rizal juga masih menemui jalan buntu. Semalam, dia baru saja bertemu dengan Ipo yang datang membawa maklumat mengenai kes pembunuhan sadis yang disyaki dilakukan oleh binatang buas. Cebisan mayat dijumpai di bawah sebatang pokok di Ulu Yam. Pembunuhan kali ini pihak polis tidak dapat mengenal pasti identiti mayat yang sudah hancur dirobek. Kali ini tiada mawar hitam diletakkan di situ.
Fail kes Joe dan Rizal pula dibuka. Mereka berdua juga menjadi mangsa dengan tikaman bertubi-tubi di muka dan perut dan juga di bahagian kemaluan. Nampak seperti kes dendam jika melihat cara dan modus operandi penjenayah menyerang mangsa. Sudah pasti sekuntum bunga mawar hitam diletakkan di sisi mayat. Menatap gambar dan nama mangsa, Hani menghembuskan nafas berat. Kejadian sepuluh tahun dulu seolah masih segar di ruang ingatannya. Ya, empat lelaki termasuk Joe dan Rizal sudah membuat onar dalam hidupnya. Apa yang berlaku seolah tertayang semula di ruang mata. Tanpa sedar air mata yang bergenang menitis perlahan ke pipi.
Fail dibelek lagi namun benaknya masih menerawang memutar kembali kisah hidupnya. Sudah hampir dua bulan dia menjalankan tugas sebagai detektif kanan di unit jenayah berat.Banyak kes pembunuhan dapat diselesaikan dengan baik. Dia mula merasa lega bila kes dapat diselesaikan dengan cepat. Sekurang-kurangnya dia dapat meringankan beban Tuan Muaz yang sudah hampir bersara. Sejak dulu Tuan Muaz terlibat secara langsung dalam kes jenayah berat. Dalam setiap kes, dia lebih senang berpakaian biasa dan bertindak bersama beberapa orang lagi detektif yang menjadi orang kepercayaannya. Orang bawahannya pula tidak pernah merungut atau membantah arahannya walaupun arahan itu datangnya seorang wanita sepertinya.
Hani belek fail kes pembunuhan bersiri yang masih belum dapat diselesaikan. Dia meneliti setiap kes yang mempunyai modus operandi yang sama. Dicapai pula fail di rak yang mempunyai gambar suspek yang disyaki terlibat dengan kes rompak, rogol dan bunuh. Helaian demi helaian fail dibuka. Memang kes itu yang dinantikan olehnya selama ini. Dari dulu, peluang seperti itulah yang ditunggu-tunggu. Sebaik memegang jawatan detektif kanan, Hani mula mencari wajah-wajah yang selalu menghantui dirinya selama ini. Wajah-wajah yang terlepas dari hukuman. Wajah-wajah yang tersenyum sinis kepadanya suatu waktu dulu. Dan kini wajah-wajah itulah yang ingin dihukum satu demi satu.
Sedikit kecewa bila melihat setiap gambar suspek tiada satu pun yang menyerupai wajah-wajah yang dibenci itu. Pencariannya mesti diteruskan walaupun sukar. Perasaan yang dipendam di lubuk hati kian membuak. Bibirnya diketap dengan kuat menahan amarah yang terpendam sekian lama. Tujuannya hanya satu. Manusia seperti itu perlu dihapuskan dari muka bumi ini.
“Puan! Ada tetamu ingin berjumpa puan!”
Hani tersentak dari lamunan. Fail di tangannya diletak semula di rak. Dia pandang Salina, kerani pembantu yang tersenyum kepadanya dan segera mengangguk membenarkan tetamu masuk.
“Assalamualaikum!”
Hani tergamam.Seorang lelaki segak berkemeja putih dan bertali leher tersenyum manis kepadanya. Dia tergamam melihat lelaki itu mula menapak perlahan ke arah mejanya.
“Wa..wa’alaikumussalam..”
“Hani apa khabar?”
Hani hanya memandang lelaki itu yang mula berbicara. Sudah lama mereka tidak bersua. Seingatnya sejak hampir sepuluh tahun dulu.
“Ba..baik..”
Mereka saling berpandangan seketika. Senyap. Sesekali Hani tunduk bila terasa dia ditenung tajam begitu.
“Masih kenal aku?”
Hani mula mendongak. Selama ini wajah itu yang melekat di benaknya. Wajah itu juga yang selalu merobek hati dan perasaannya dan wajah itu jugalah yang dibenci saat kejadian itu. Kini wajah itu muncul semula di depan matanya setelah sepuluh tahun berlalu. Wajah itu juga tidak banyak berubah. Masih seperti dulu.
“Muz..kenapa baru sekarang kau muncul?” Hani renung mata Muzaffar. Soalan yang ditanya sedikit pun tidak dijawab sebaliknya soalan itu dijawab dengan soalan.
“Maafkan aku Hani…aku tak berniat tinggalkan kau. Aku terpaksa mengikut keluarga aku berpindah…” Muzaffar mula tunduk. Wajah manis milik gadis yang pernah tinggal sekampung dengannya dulu ditatap lama. Penyesalan masih terasa hingga kini bila mengingati kejadian yang tidak pernah di duga.
“Bukan itu maksud aku! Kenapa kau tinggalkan aku waktu aku…” Hani tidak dapat meneruskan kata-kata. Kerongkongnya sudah terasa tersumbat. Air mata yang ditahan sejak sekian lama, mula bergenang. Tunggu masa saja untuk jatuh ke pipi.
“Maafkan aku..waktu tu aku tak berani bertindak. Aku tahu aku penakut. Maafkan aku..tapi percayalah aku tetap sayangkan kau walaupun aku tahu kau..”
“Cukup! Aku tak mahu dengar semua itu! Tolong pergi dari sini!” Hani mula meraup muka. Air mata sudah tumpah ke pipi.
Muzaffar semakin rasa bersalah. Bersalah kerana terlalu mengikut kata hati. Bersalah kerana tega meninggalkan gadis manis yang sama sekolah dengannya dulu diperlakukan begitu di depan matanya tanpa berbuat apa-apa. Pemergiannya kerana mengikut keluarga berpindah juga dirasakan satu penyesalan yang tak sudah. Dan yang lebih dia merasa bersalah kerana dia juga telah mengkhianati gadis itu di saat gadis itu butuhkan pertolongan.
“Hani, izinkan aku menebus semua kesalahan aku..selama ini aku sayangkan kau.” Muzaffar masih tidak berputus asa.
“Muz..baliklah.Tak ada apa lagi yang perlu kita bicara. Aku lebih senang macam ni.” Hani masih tunduk.
“Baiklah..aku akan pergi tapi aku tak akan berputus asa. Aku akan tunggu kau sampai bila-bila.”Muzaffar mula bangun dan menghulurkan sejambak bunga Daisi putih kepada Hani. Bunga diletakkan di atas meja bila tidak bersambut. Muzaffar mula melangkah keluar dari bilik Hani.
Hani pula hanya memandang sayu pemergian Muzaffar, lelaki pertama yang bertakhta dalam hatinya.Perasaan sayang, kasih dan cinta yang disimpan untuk lelaki itu sudah lama dibuang. Semua rasa itu sudah hilang sejak hari kejadian itu. Kini fikirannya mula terganggu. Kedatangan Muzaffar telah mengundang semula memori hitam dalam hidupnya hampir sepuluh tahun dulu.
PULANG dari pejabat, Hani terus ke bilik. Badannya dihempas kuat ke atas katil. Dia kembali ke fitrah seorang wanita yang lemah. Naluri wanita masih kukuh di hati. Air mata bercucuran membasahi bantal. Sungguh tidak disangka, Muzaffar muncul semula saat dirinya sudah buang semua memori itu. Kehadiran Muzaffar telah merenggut semula kebahagiaan miliknya.
“Hani! Mari makan nak!”
Hani menoleh ke arah pintu bila mendengar suara ibunya memanggil dari luar. Dia cepat-cepat mengesat air mata cuba menenteramkan dirinya.
“Ah! Buat apa aku nak bersedih lagi! Aku sudah lali dengan semua itu. Aku kan pegawai polis disegani!” Hani mula mendapat kekuatan.
Dia melangkah perlahan dan mula membuka pintu. “Ya mak..”
“Mari makan. Mak dah sediakan makan malam tu. Mak masak sambal udang petai kegemaran Hani.” Puan Zawiah senyum melihat Hani yang masih dalam pakaian seragam.
“Baiklah mak.Hani mandi dulu.” Hani cium dahi ibunya.
Puan Zawiah mula beredar dari situ. Hani pula mula membersihkan diri dan menunaikan solat maghrib.
NASI dalam pinggan dikuis perlahan. Fikirannya masih pada Muzaffar yang tiba-tiba muncul di pejabatnya petang tadi. Sepuluh tahun mereka berpisah. Sebaik tamat SPM, Muzaffar sering bertandang ke rumahnya. Persahabatan yang terjalin antara mereka telah menimbulkan rasa kasih dan sayang lebih dari seorang kawan. Dari sahabat, perhubungan mereka mula bertukar menjadi kekasih. Muzaffar hanya tua setahun darinya. Tika itu,Muzaffar masih menuntut di tingkatan enam.
“Hani..kenapa kuis je nasi tu? Makanlah..penat mak masak..” Puan Zawiah pandang Hani yang hanya menjamah sedikit saja nasi.
“Hani tak ada selera la mak.”
“Kenapa ni…ada masalah ke? Bagi tahu mak.” Puan Zawiah memujuk anak gadisnya yang kelihatan sugul.
“Tak ada apa la mak..mungkin Hani penat hari ni. Banyak kes kena selesaikan. Kejap lagi Hani akan bertugas. Ada serbuan malam ni.” Hani mula teringat tugas malamnya yang tidak rasmi. Sudah lebih sebulan dia menyiasat dan malam nanti, dia sudah bersedia untuk mulakan langkah pertama.
“Hani..tadi keluarga Muz datang. Mereka datang bersama hajat. Mak tak nak paksa Hani tapi Hani fikirlah. Hani pun sudah nak masuk tiga puluh dua puluh tujuh tahun. Tak baik membujang lama-lama bagi seorang perempuan. Terima sajalah Muz tu.” Puan Zawiah merenung Hani yang masih tunduk dan menguis nasi.
Hani mula mendongak. Wajah ibu tua yang sudah lebih separuh abad itu direnung dalam. Patutlah Muzaffar tiba-tiba muncul di pejabatnya hari ini. Dia tahu ibu mana yang tidak inginkan anaknya hidup bahagia bersama suami. Bukan dia tidak mahu menikah.Bukan dia tidak mahu bersuami dan bukan dia tidak mahu memiliki anak-anak yang comel tetapi kejadian sepuluh tahun dulu yang mengubah segala-galanya. Hatta ibunya sendiri tidak tahu semua itu. Biarlah ia menjadi rahsia dirinya sehingga akhir hayat. Dia faham hati seorang ibu yang ingin melihat kebahagiaan anak sendiri. Wajah ibunya yang begitu mengharapkan dirinya mengakhiri zaman bujang dengan sebuah perkahwinan dirasakan terlalu sukar untuk dipenuhi.
“Mak..nantilah Hani fikir dulu.” Hani capai bekas basuh tangan sebelum melangkah pergi.
Puan Zawiah hanya memandang Hani dengan pandangan tidak mengerti. Itulah jawapan yang diberi oleh Hani setiap kali soal kahwin dilontarkan.
"Ha..dah balik anak mak yang ni?" Puan Zawiah pandang pula pada Linda yang sudah menapak ke ruang dapur dengan beg sandang di bahu kiri. Entah mana dia pergi, maghrib baru sampai rumah.
Linda tidak menjawab pertanyaan ibunya, Beg sandang diletakkan di kerusi dan dia segera menceduk nasi. Nasi dikunyah lahap. Dia perasan ibu menjeling tajam ke arahnya tadi. Ah, dia bukan pergi merewang tidak tentu hala. Dia pergi berbincang hal kuliah dengan kawan sekampus saja.
Puan Zawiah geleng. Anak gadisnya yang seorang ini memang jauh beza perangainya dengan Hani. Suka memberontak dan suka hati pula pulang ke rumah bila dah keluar merayap. Harap-harap tak ada apa yang buruk berlaku pada Linda. Hani yang sudah ke bilik pula entah apa yang tidak kena. Takkan hal keluarga Muzafar datang merisik? Kan dulu Hani dan Muzafar tu suka sama suka? Dia geleng lagi.
|