KELAB memanah Keris Warisan Subang mahu seni memanah tradisional Melayu diteruskan dan diperturunkan kepada generasi akan datang.
MELIHAT kumpulan yang berbusana Melayu lama lengkap dengan tanjak dan sampin sedang mengadakan latihan memanah di pinggir hutan Kampung Melayu Subang Tambahan, Shah Alam, pasti ada yang merasakan ia satu `kerja gila’.
Setiap Ahad bermula 8.30 pagi, ahli Kelab Memanah Keris Warisan Subang di bawah komuniti Pencinta Warisan Melayu Keriswarisan.com (Keris Warisan) akan berkumpul di sana dan melakukan latihan yang amat berbeza dengan sukan memanah moden.
Jika memanah moden lebih mengharapkan ketepatan sasaran dengan bantuan kecanggihan peralatan, memanah tradisional lebih mengharapkan kemampuan dan kebolehan diri pengguna dengan tidak mengharapkan peralatan canggih sebagai kekuatan utama, membuatkan ia lebih mencabar.
Latihan memanah tradisional Melayu amat lasak dan mempunyai lebih banyak teknik memanah seperti semasa bergerak, berdiri setempat, duduk, baring dan sebagainya, berbeza dengan memanah moden yang hanya memanah sasaran lurus dan tidak bergerak.