[size=0.9em]Teknologi dalam filem Honey I Shrunk The Kids arahan Joe Johnston dan animasi Thumbelina memberi idea kepada Kabir Bhatia untuk menghasilkan Delina.
[size=0.9em]Skrip drama 13 episod ditulis Zuliana Ismail itu menampilkan elemen drama, mistik dan fantasi, menjadikan ia karya pertama menampilkan watak bersaiz normal dikecilkan.
[size=0.9em]Menangani drama yang bakal bersiaran di TV9 ini pasti memberi cabaran besar buat produksi terbabit, ter-utama Kabir selaku pengarah harus memastikan kesan khas ditampilkan dalam Delina nampak hidup dan meyakinkan penonton.
Ketika ditemui di lokasi Delina baru-baru ini, Khabir menjelaskan, drama terbabit menggunakan khidmat dua pengarah di mana dia menjaga daripada sudut lakonan dan watak perwatakan sementara Mohd Rosh-faizal Ariffin atau Rosh bertindak sebagai pengarah teknik kesan khas.
[size=0.9em]
Katanya, pengalaman menghasilkan beberapa kesan khas dalam produksi drama, antaranya Vektor 58 yang juga ditayangkan di TV9, memberi kelebihan kepada Rosh untuk mewujudkan watak Delina yang disumpah nenek kebayan dan mengecil.
[size=0.9em]
Menjelaskan lebih lanjut mengenai projek terbaru itu, Kabir berkata, drama Delina penuh fantasi dan dekat dengan penonton remaja.
Menerangkan gambaran penghasilannya, kata pengarah drama bersiri popular Nur Kasih itu, ia ibarat seperti menonton filem Harry Potter tetapi versi tempatan.
Kebanyakan kesan khas dalam filem boleh dilaksanakan dengan baik memandangkan kos diperuntukkan besar, tetapi untuk drama 13 episod dengan bajet kecil, pasti ia memberi kekangan dalam merealisasikan kreativiti seperti yang dimahukan drama Delina.
“Ia nampak mudah atas kertas tetapi untuk menonjolkan watak Delina mengecil secara visual, tidak dinafikan ia menjadi cabaran besar buat saya mahupun produksi. Bagaimanapun, apabila Rosh ada bersama saya menangani pembikinan drama ini, ia menjadi mudah.
“Walaupun mempunyai dua pengarah, kami tidak membahagikan kerja di mana saya jaga bahagian saya dan Rosh hanya memberi tumpuan kepada kesan khas, sebaliknya kami banyak berbincang.
“Tambahan pula jalan cerita Delina dari sudut watak perwatakan dan teknik kesan khas adalah seimbang banyaknya bagi setiap episod,” katanya.
Kabir turut menjelaskan, untuk mendapatkan setiap babak antara karakter Delina (dilakonkan pendatang baru Ezzaty Abdullah) yang mengecil berbanding pelakon lain atau props dalam saiz biasa juga memakan masa kerana ia memerlukan ketelitian.
Sebagai contoh, rakaman awal menggunakan layar hijau bagi watak Ezzaty dan watak lain harus seimbang dari sudut pencahayaan lampu, begitu juga pergerakan dan prop yang ada di sekeliling harus selari.
Turut membintangi Delina ialah Fadlan Hazim sebagai Farid, Zara Zya (Naufah), Aedy Ashraf (Danish), Puteri Chi Chi (Mia) dan Shakilla Khoriri (Tasha).
Rosh pula menjelaskan, cabaran besar pastinya Delina kerana harus berlakon bersendirian yang mana ia dirakam terlebih dulu dan kemudian dicantum dengan visual sebenar dalam babak sama.
“Bagaimanapun, untuk melaksanakannya tentu ada panduan dibuat untuk pelakon supaya mereka dapat membayangkan apa harus mereka lakukan.
“Filem mahupun drama tempatan boleh melakukan teknik penggambaran seperti ini dengan teknologi yang ada. Apa yang dirasakan susah boleh dilaksanakan asal saja ia dipermudahkan,” katanya.
Selaku pelakon utama drama ini, tentu cabaran berat lebih dirasai Ezzaty, apatah lagi dia pendatang baru dalam industri perfileman dan penyiaran tempatan.
Ditemui di lokasi, Ezzaty berkata, pengalaman bekerja dengan Kabir dalam iklan Merahnya Mak Ngah (PNB) memberi kelebihan dan faham cara kerja pengarah terkenal itu.
“Sebagai orang baru, saya ang-gap bertuah apabila diberi kepercayaan memegang watak besar ini. Bayangkan, sebagai Delina, saya harus memegang watak remaja nakal dan bermasalah.
“Kemudian didatangi nenek kebayan yang menyedut tubuh sehingga saya mengecil dan nenek kebayan itu menjadi diri saya. Tiga watak sekali jalan.
“Setiap kali sebelum penggambaran dijalankan, Kabir mahupun Ross akan ajar dan tunjuk apa harus saya lakukan, terutama apabila berlakon seorang diri berlatarkan layar hijau, membuatkan saya tidak berasa tertekan untuk menzahirkan watak.
“Lagipun sebelum penggambaran dimulakan, latihan dibuat terlebih dulu supaya pergerakan tepat dengan watak atau prop digunakan.
“Bagi memastikan saya dapat merasakan apa yang akan saya lakukan, mereka memberi saya menonton terlebih dulu rakaman babak lebih awal,” katanya.
Menurut Ezzaty, cabaran lain apabila dia harus memastikan gerak tubuh benar-benar menepati situasi keliling, contohnya apabila tubuhnya mengecil, segala barang yang ada di kelilingnya menjadi besar. Jadi untuk memegang setiap barang yang ada harus tepat dan meyakinkan penonton.
Namun, selaku pe-ngarah teknik khas, Rosh akan memastikan apa dilakukan adalah betul, begitu juga apabila dia berdiri di atas telapak tangan manusia dan diangkat. Badan yang bergoyang juga harus tepat dengan situasi.